Tuesday, December 6, 2011

BADIUZZAMAN SAID NURSI


“Aku berlindung dengan nama Allah daripada syaitan dan politik,” kata Badiuzzaman Said Nursi.

Kata-kata itu diucapkannya setelah Mustafa Kamal Ataturk mengasaskan Parti Republik Rakyat pada 23 Oktober 1923 dan pada 29 Oktober 1923 Turki dengan rasminya telah diisytiharkan sebagai negara “Republik”. Dengan pengisytiharan itu, Turki telah bertukar wajah daripada Negara Islam kepada sebuah negara sekular.

Parti Republik Rakyat adalah parti politik tunggal negara Turki ketika itu. Dasar-dasarnya berlandaskan fahaman sekular dan nasionalis (kebangsaan).

Sesuai dengan dasar perjuangan parti itu maka
sistem khalifah atau khalifah Utmahyiah dihapuskan, dikuatkuasakan penggunaan Kalendar Masihi bagi menggantikan kalender Hijrah. Menutup sekolah-sekolah agama dan dimansuhkan Undang-undang Keluarga Islam diganti dengan undang-undang Barat.

Mustafa Kamal Ataturk semakin berani apabila mengarahkan azan ditukar ke bahasa Turki, al Quran bahasa Arab diganti dengan al Quran terjemahan dan dilarang memakai tudung dan serban. Masjid Aya Sofea ditukar menjadi muzium dan menukarkan Pejabat Agama Islam (al-Mashikhah al-Islamiyyah) menjadi Maktab Wanita, tempat hiburan dan taman permainan.

Pada mulanya Badiuzzaman Said Nursi mengasingkan diri ke Van. Beliau banyak menghabiskan masanya di sebuah tempat terpencil di atas Bukit Arak untuk beribadah dan bertafakkur disamping beruzlah (mengasingkan diri), Badiuzzaman Said Nursi juga menyampaikan kuliah-kuliah agama, khususnya yang berkaitan dengan tafsiran dan hakikat kebenaran al-Qur’an kepada orang-orang yang datang menemuinya.

Menurutnya, memperlihatkan keagungan dan kehebatan al-Qur’an merupakan jalan yang paling utuh untuk mempertahankan akidah dan keimanan umat Islam ketika itu. Tiada tugas yang paling utama ketika itu melainkan tugas menyelamatkan akidah umat Islam dari sebarang anasir yang menyesatkan. Begitulah aktiviti harian Nursi selama hampir tiga tahun berada di Van.

Pada 1925 berlaku pemberontakan di Timur Turki yang dipinpin Syeikh Said Bayram. Badiuzzaman Said Nursi tidak terlibat dalam pemberontakan itu. Namun setelah berjaya dipadamkan Badiuzzaman Said Nursi turut ditangkap.

Badiuzzaman Said Nursi dibawa dari Vann ke Tarabzun (Trabzon) melalui Irdurum dan dari situ beliau kemudiannya dibawa ke Istanbul melalui jalan laut. Beliau ditahan di Istanbul selama dua puluh hari. Walaupun beliau tidak terlibat dengan pemberontakan itu namun tetap dianggap penghalang Negara sekular.

Badiuzzaman Said Nursi dibawa ke Antalya dan kemudiannya ke Burdur . Ketika dalam buangan itu Badiuzzaman Said Nursi telah mengarang al-Madkhal ila al-Nur.

Selepas tujuh bulan berada di Burdur, beliau kemudiannya dipindahkan ke Isbartah. Beliau berada di Isbartah selama dua puluh hari sebelum dibawa ke Barla. Maka bermula penentangan Beliau secara langsung terhadap Mustafa Kamal Ataturk.

Badiuzzaman Said Nursi dalam beberapa tulisannya
menggelarkan Kamal Ataturk sebagai “Dajjal”. Kamal Ataturk menurutnya adalah seorang pemimpin yang tidak perlu dihormati kerana beliau adalah seorang diktaktor yang membuat sesuatu tindakan menurut hawa nafsu.




1 comment:

Aishah said...

tidak sabar menantikan buku Badiuzzaman Said Nursi..Ceritanya mesti menarik..