Thursday, April 25, 2013
HADIAH UMRAH PELAJAR CEMERLANG
10 A SPM 2012 (SM AGAMA PERSEKUTUAN LABU N.SEMBILAN)
OLEH: NUR BALQIS BINTI MOHD BADAWI
Lafaz pertama dalam wahyu Al-Quran ialah iqra’ dan sudah tentu apabila lafaznya adalah daripada Allah, pasti roh mesej
yang terkandung dalamnya amat hebat sekali. Allah menyeru sekalian umat
untuk membaca, sebagai wahyu yang pertama dalam kitab Allah yang agung
tiada tolok bandingnya. Saya memanjatkan rasa kesyukuran, alhamdulillah
kerana dalam jutaan manusia yang gemar membaca, saya dalam golongan
seperti mereka. Malah, saya lebih bersyukur, kerana dalam lautan manusia
di dunia, saya dipilih oleh Allah untuk membaca bahan pengasah minda
yang bermanfaat untuk jiwa, minda dan rohani saya. Antara bahan yang
Allah jodohkan kepada saya untuk menghayatinya ialah karya tuan Abdul
Latip Talib, seorang hamba Allah yang diberi ilham menghasilkan
novel-novel pencetus idea ummah pada zaman millennium ini. Justeru,
izinkan saya untuk mencoret beberapa impak yang terkesan ke atas diri
saya setelah membaca novel-novel Islam, bahan bermaklumat penuh manfaat
rakyat budiman hari ini. Namun, karangan saya agak panjang kerana saya
berharap ini merupakan satu perkongsian buat sesiapa yang membaca. Dalam
masa yang sama, saya juga berharap bait perkataan saya menjadi suatu
sumbangan dakwah buat Islam, satu-satunya agama yang diredai Allah.
Sebelum saya mengulas impak-impak membaca novel Islam pada diri saya
dengan lebih lanjut, sudilah kiranya saya kongsikan rentetan kisah saya
terlebih dahulu. Semenjak usia saya menginjak 6 tahun, minat membaca
mula mendapat tempat untuk mengisi kekosongan masa saya di alam
kanak-kanak. Pada mulanya, komik-komik seperti Doraemon, Shin Chan,
Dorabase, Anak Satria, Yugi-Oh, Yaiba dan komik kegemaran saya, Conan
berjaya merebut perhatian saya. Lebih-lebih lagi, pada awal usia
kanak-kanak, saya lebih suka akan hiburan santai yang menyeronokkan
dalam bentuk kartun. Minat dan perbuatan saya ini disedari oleh ibu
kesayangan saya. Malah, setiap kali beliau melihat saya yang begitu leka
membaca komik, beliau akan bertanya, “Balqis, bila Balqis nak
‘graduate’ daripada membaca komik ni?”. Saya pasti akan tersenyum setiap
kali mendengar soalan itu diutarakan dan meneruskan bacaan saya
walaupun boleh dikatakan setiap komik yang saya dan adik-beradik saya
beli pasti dibaca berulang-kali sehingga buku tersebut lunyai.
Setelah keputusan UPSR keluar, ibu bapa saya bersungguh-sungguh memujuk
saya untuk masuk ke sekolah berasrama penuh apabila surat tawaran ke SBP
datang pada penghujung bulan Disember 2007. Saya agak keberatan
memandangkan banyak perkara yang berlegar-legar dalam kotak pemikiran
saya. Rindu pada ibu bapa, adik-beradik, kawan-kawan dan banyak lagi
yang bercampur-aduk dalam benak hati saya di awal usia remaja. “Tak
dapat lagi baca komik,” rintih saya dalam hati. Namun, terngiang-ngiang
pada pendengaran saya pesan seorang murobbi yang saya hormati,
“Bersyukurlah kerana masih mempunyai ibu bapa. Lihat sahaja sirah Nabi
Muhammad SAW, semenjak kecil kehilangan kedua-dua orang tua. Berbaktilah
kepada mereka selagi mereka bernafas.” Langkah diayunkan dan semangat
dihidupkan. Pada Allah sahaja yang tahu apa yang tersimpul di dalam atma
kecil ini.
“Banyak udang banyak garam, banyak orang banyak
ragam”. Pantun dua kerat ini sering saya ingatkan pada diri saya apabila
melihat banyak kerenah rakan-rakan dan senior di asrama dan sekolah.
Namun, satu perkara yang saya suka akan sekolah saya ialah budaya yang
mereka semarakkan tanpa mereka sedari, iaitu budaya membaca yang menebal
dalam kalangan pelajar mahupun guru termasuklah staf sokongan yang
bekerja di pejabat mahupun makmal. Lima tahun saya hidup dalam budaya
itu, dari seorang junior yang suka menangis hinggalah kelak membesar
menjadi senior yang memikul banyak tanggungjawab. Apabila saya berada di
tingkatan 5, saya diamanahkan pula menggalas tanggungjawab sebagai
pengerusi pusat sumber meskipun saya seorang perempuan. Saya berazam
untuk sama-sama membawa perubahan dari tahap yang baik kepada yang lebih
baik dengan bantuan dan sokongan guru pusat sumber saya, dua orang staf
sokongan tulang belakang perpustakaan dan pengawas-pengawas pusat
sumber berdedikasi yang lain. Bukankah bangsa berjaya ialah bangsa yang
membaca?
Titik tolak saya mula berkenalan dengan novel-novel
Islam ialah apabila seorang pelajar junior datang bertanya kepada saya,
“Kak, di perpustakaan ni tak ada ke buku Abu Bakar Sahabat Sejati?”.
Pada ketika itu, saya menyoal kembali pada diri saya, buku apa yang
dimaksudkan pelajar tersebut. Lalu, saya mencarinya melalui sistem
carian buku dalam komputer. Gelengan kepala saya mengecewakan adik
tersebut. Saat itu, sebagai pengerusi pusat sumber, satu kegagalan mula
mencalar amanah yang saya pikul. Saya berazam mencari buku tersebut.
Setiap tahun, pada kelazimannya, ibu kesayangan saya akan membelanjakan
apa-apa sahaja buku pada bulan Julai dan Disember, sebagai satu galakan
untuk saya dan adik-beradik yang lain ‘graduate’ daripada membaca
komik-komik. Lalu, kesempatan itu saya ambil untuk mencari buku yang
dimaksudkan pelajar tersebut. Natijahnya, banyak pula buku novel Islam
yang saya temui. Saya pun membeli buku-buku tersebut dan membacanya
terlebih dahulu sebelum diletakkan di perpustakaan. Ya, seharusnya di
mana-mana perpustakaan baik di sekolah mahupun di bandar dan di desa
memiliki koleksi novel-novel Islam mahupun novel fiksyen Islam supaya
masyarakat segera celik dengan kehebatan generasi 1400 tahun yang lalu.
Sebagai mantan pengerusi pusat sumber sekolah, saya berani menjamin buku
ini pasti mendapat antara sambutan buku yang popular dipinjam kerana
masyarakat hari ini terutamanya sasarannya kepada kumpulan pelajar
dahagakan ilmu dan kisah tokoh-tokoh pejuang Islam.
Sesungguhnya, Allah itu Maha Mengetahui dan Maha Hebat. Sebuah buku
berjaya mengubah tahap pemikiran saya dan pandangan saya terhadap banyak
aspek kehidupan dalam erti kata kesan-kesannya yang amat banyak.
Impak-impak untuk diambil ibrah oleh mereka yang melihatnya dengan mata
hati yang hidup. Alhamdulillah, Allah memilih saya dalam kalangan
hamba-hambaNya untuk mengutip mutiara hikmah yang tersembunyi dalam
buku-buku yang diilhamkan kepada para penulis.
Kesan perdana
setelah saya membaca novel Islam ialah saya dapat mengenal pencipta saya
yang Maha Agung iaitu Allah, dengan lebih dekat. Dalam status bergelar
‘pelajar lepasan SPM’ ini, nikmat yang sering manusia lupakan iaitu
nikmat masa cuba saya penuhi dengan membaca. Guru mata pelajaran bahasa
Melayu saya pernah berpesan, “Membaca dapat meluaskan horizon pemikiran,
mengasah minda, dan mempertajam idea. Membacalah kerana ada ilmu
dalamnya. Dan ilmu yang sahih ialah ilmu yang mendekatkan kita kepada
Allah, mengenal Allah iaitu makrifatullah”. Guru kelahiran Kemboja ini
juga merupakan guru debat sekolah saya. Beliau juga seorang guru yang
berjiwa Islam pada pandangan saya sebagai anak muridnya. Dalam saya
membaca novel-novel Islam ini, saya amat tertarik dengan kisah
tokoh-tokoh Islam yang sibuk dengan urusan dakwah, namun masih bertenaga
dan berupaya menghidupkan sepertiga malamnya kepada Allah. Walaupun
dijamin oleh kekasih Allah bahawa mereka mendapat tiket ke syurga,
mereka masih kuat dalam beribadah seharian.
Justeru, saya agak
tersentap apabila ada bisikan dalam sanubari saya bertanya, “Kau ni
banyak membaca. Ini dan itu. Memang bagus baca novel-novel Islam ni.
Ambil ibrah. Tapi khatam Al-Quran dah berapa kali? Al-Quran itu ‘suara’
Allah tahu?”. Allahu Rabbi. Bisikan yang menjalar ketika saya sedang
ralit menghabiskan bacaan novel Islam, Saad bin Abu Waqas. Kesan membaca
kisah tokoh-tokoh Islam yang hebat ini mengingatkan saya bahawa membaca
itu bagus, namun membaca Al-Quran perlu lebih diutamakan sebagaimana
yang dikisahkan dalam novel-novel Islam. Sebagai contoh mudah, berapa
kali Imam As-Shafie khatam sepanjang hayatnya? Alhamdulillah, setelah
kesedaran itu datang, saya mula berjinak-jinak dengan Al-Quran semula
setelah Allah mengurniakan hidayah tersebut. Alhamdulillah sebagai satu
lafaz syukur yang sangat mulia kerana dalam masa lebih kurang dua bulan
saya berjaya mengkhatamkan bacaan Al-Quran sebanyak 30 juzuk. Masa
terluang saya banyak sama seperti rakan-rakan saya. Oleh itu, saya juga
ingin menyeru sahabat-sahabat lepasan SPM di luar sana, sebelum kita
kembali sibuk dengan mengejar cita-cita dan bercinta dengan buku
pelajaran, ayuh kita tanamkan cinta pada Al-Quran, supaya kelak rindu
pada ‘suara-suara’ Allah itu sering bertamu dalam taman hati yang punyai
iman. Semoga kita istiqamah dalam beribadah kepada Allah dan lebih
taqarrub kepada Al-Khaliq kita. Jika saya yang biasa-biasa dapat
melakukan, apatah lagi sahabat-sahabat yang jauh lebih hebat di luar
sana.
Selain itu, implikasi hebat ke atas diri saya setelah
membaca novel-novel Islam ialah saya dapat memantapkan cara pemikiran
saya. Kalau dahulu, saya lebih cenderung untuk menggunakan kaedah barat
dalam memberi pendapat kepada orang lain. Sebagai tamsilan, “Sekiranya
ingin dihormati, hormatilah orang lain”. Namun, apabila saya membaca
kisah panglima tentera yang masyhur dalam Islam, iaitu Tariq bin Ziyad,
saya dapati, “Sekiranya ingin dihormati, hormatilah Allah terlebih
dahulu.” Hal ini boleh dirujuk dalam buku tokoh tersebut nukilan tuan
Abdul Latip Talib, apabila dikisahkan seorang wanita dihantar oleh pihak
musuh untuk menjatuhkan maruah Tariq bin Ziyad yang berada di dalam
khemah bersama sahabat-sahabat beliau. Wanita tersebut mengajak beliau
berjumpa secara berdua-duaan. Namun, Tariq patuh pada perintah Allah dan
menghormati Allah SWT sebagai yang utama. Justeru, rancangan pihak
musuh gagal malah peristiwa ini menyumbang kepada kemenangan Islam
apabila wanita tersebut memberikan maklumat tentang musuh Islam pada
waktu itu. Semua ini kerana hamba Allah yang menghormati Allah, akan
dihormati manusia sebagaimana Tariq menghormati Allah, maka wanita
tersebut menghormati pendirian beliau yang kuat berpegang pada pucuk
akar agama Islam. Sesungguhnya, terdapat banyak lagi kisah yang tidak
dapat saya tuliskan kesannya di ruang kecil ini setelah membaca
novel-novel Islam ini. Bahan bacaan ini wajar kita renungi dan hayati
dengan mata hati, dan bukan sekadar membaca bagi mengisi masa lapang.
Di samping itu, impak ke atas diri saya setelah membaca novel-novel
Islam ialah saya dapat mengasah dan memantapkan daya kepimpinan saya.
Ketika saya berada di bangku sekolah menengah, tanggungjawab sudah amat
sinonim bagi setiap senior di tingkatan 5. Mustahil sekali sesiapa yang
berada di tahun akhir sekolah tidak diberi tanggungjawab dalam
kepimpinan. Justeru, ketika saya bertungkus-lumus mempersiap diri
menelaah mata pelajaran bagi menghadapi peperiksaan SPM, saya juga giat
mencari kisah-kisah mahupun kata-kata tokoh yang memberi inspirasi dan
dorongan dalam kepimpinan yang diamanahkan pada saya iaitu sebagai ketua
‘batch’ puteri tingkatan 5. Sebagai contoh, apabila Saad bin Abu Waqas
dituduh oleh pihak musyrikin di Kufah iaitu Usamah bin Qatadah bahawa
beliau hidup kaya-raya hasil cukai yang dikutip. Lantas, Khalifah Umar
bin Al-Khattab menyiasat laporan tersebut dan mendapati itu semuanya
hanyalah fitnah yang dilemparkan oleh mereka yang mempunyai penyakit
hati yang tiada akhirnya.
Lantas, Saad bin Abu Waqas akhirnya
ditawarkan untuk menjadi ahli majlis syura di Madinah dan menyerahkan
amanahnya kepada Abdullah bin Utbah, iaitu orang yang dipercayai boleh
menjadi gabenor Kufah yang baik. Sungguhpun Saad bin Abu Waqas
diturunkan daripada menjadi gabenor, itu tidak menjadi masalah baginya
kerana niatnya berkhidmat kepada khalifah adalah kerana Allah
semata-mata. Di situ, saya dapat mencontohi 3 aspek kepimpinan dalam
diri para pemimpin yang berjiwa sahabat iaitu kematangan dalam memikul
amanah, teliti dan ikhlas. Yang pertama, sebagai pemimpin, apabila ada
dalam kalangan sahabat yang dituduh melakukan kesalahan, kita hendaklah
bersikap rasional dalam menangani situasi tersebut. Sikap berbaik sangka
juga harus dimasukkan bersama. Namun, pemimpin sendiri hendaklah
menjalan siasatan dengan terperinci supaya neraca keadilan itu saksama.
Dalam pada masa yang sama, sikap Saad bin Abu Waqas yang tidak terkesan
apabila jawatannya beralih tangan jelas membuktikan keikhlasan beliau
sebagai pemimpin yang juga merupakan hamba Allah serta kepatuhan pada
khalifah yang berkuasa pada waktu itu. Justeru, saya amat terkesan
apabila membaca novel Islam yang memerihalkan tokoh-tokoh Islam yang
amat hebat dan wajar dikagumi. Dalam kalangan sahabat-handai, kami dapat
aplikasikan sifat-sifat mahmudah ini dalam kalangan rakan sebaya
mahupun adik-adik di bawah kami. Kata-kata mereka kami gunakan ketika
berucap dan memberi semangat antara satu sama lain. Kami pasti berasa
lebih tenang kerana pelaksanaan yang dilakukan mengikut kaedah
Rasulullah SAW dan para sahabat terdahulu berpandu ilmu wahyu dari Allah
SWT. Bukannya taklid tanpa ilmu. Jauh di dasar hati saya, jika para
sahabat sudah sehebat begini, banyak lagi yang perlu saya baca dan kaji
tentang ketokohan Rasulullah SAW kerana baginda ialah insan kamil yang
selayaknya dijadikan idola segenap lapisan masyarakat hari ini. Satu
persoalan yang cukup mudah, wujudkah insan kamil selepas Rasulullah SAW?
Ibarat sambil menyelam minum air, sambil membaca novel-novel Islam yang
amat mudah difahami, pada masa yang sama menyemarakkan rasa cinta yang
sebenar dan suci kepada junjungan besar serta para sahabat. Justeru,
sedikit demi sedikit kita dapat merasai kemanisan iman kerana hadis
daripada Anas riwayat Imam Bukhari ada menyebut, “Tiga perkara yang
sesiapa memilikinya, dia akan mendapat kemanisan iman. Hendaklah Allah
dan rasulNya lebih dicintai mengatasi selain kedua-duanya. Hendaklah dia
mencintai seseorang kerana Allah. Hendaklah dia benci untuk kembali
kepada kekufuran sepertimana dia benci untuk dicampakkan ke dalam
neraka”. Satu persoalan yang acap kali berlegar-legar di ruang minda
saya iaitu bagaimana hendak saya tanamkan rasa cinta terhadap Rasulullah
SAW jika saya tidak pernah sekalipun bermimpi tentang baginda jauh
sekali hendak bersua muka dengan wajah agung itu. Rasa cinta itu mula
dibajai apabila menyingkap satu persatu kisah baginda bersama para
sahabat. Sikap baginda bersama ibu-ibu orang mukmin. Sikap baginda
terhadap musuh. Sesiapa yang membaca kisah-kisah ini pasti bersetuju
bersama saya bahawa benarlah apa yang diriwayatkan oleh Saiditina Aisyah
bahawa sesungguhnya akhlak baginda seperti Al-Quran. Melalui pembacaan
dalam novel-novel Islam, saya dapat lihat bagaimana yang dikatakan
hebatnya cinta para sahabat kepada Rasulullah SAW. Lelaki mulia yang
digelar Al-Faruq telah menginfakkan separuh daripada hartanya dan
meninggalkan yang separuh lagi buat keluarganya yang tercinta. Sumbangan
beliau pada Islam amat dahsyat kerana cintanya tiada tara pada Allah
dan rasulNya. Saidina Abu Bakar pula telah menginfakkan segalanya dan
menggetarkan atma kecil sesiapa yang membaca kata-kata beliau yang penuh
ikhlas dan mulia. Terasa menusuk kalbu dan menggoncang iman dalam dada.
"Aku tinggalkan Allah dan RasulNya buat mereka (keluarga beliau)".
Kata-kata seorang lelaki luar biasa imannya. Berat imannya tidak dapat
ditandingi sekalian umat sekalipun ditambahkan kesemua sekali. Allahu
Rabbi. Di samping itu, menjelangnya hari kewafatan insan mulia itu,
cinta itu dizahirkan apabila Amirul Mukminin meraung tidak dapat
menerima hakikat kewafatan baginda, apabila Bilal bin Rabah terkelu
lidah dan ada kalanya pengsan ketika hendak melaungkan azan pada lafaz
“Aku naik saksi bahawa Muhammad itu pesuruh Allah”, dan ketika rindu
Fatimah anakanda Rasulullah yang begitu menyentuh sehingga beliau
dijemput menghadap Illahi beberapa bulan selepas kewafatan insan agung
yang dikasihi seluruh penduduk langit dan bumi. Maka, benarlah juga
kajian yang dilakukan oleh seorang tokoh barat iaitu Michael H. Hart
dalam bukunya berjudul 100 Manusia Yang Paling Berpengaruh di Dalam
Sejarah, iaitu Nabi Muhammad SAW merupakan tokoh yang paling berpengaruh
di atas muka bumi ini dan tiada tolok bandingnya.
Akhir
sekali, impak besar apabila saya membaca novel-novel Islam ialah saya
dapat menguatkan semangat juang untuk menyebarkan ilmu, risalah serta
sirah Rasulullah dan kisah para sahabat kepada orang ramai. Saya ingin
kongsikan apa yang saya rasa, apa yang saya dapat, apa yang menyentuh
hati kecil ini dan macam-macam lagi perasaan yang bercampur apabila
membaca novel-novel Islam yang dinukilkan. Alhamdulillah, Allah berikan
satu medan untuk saya sebarkan ilmu mulia ini kepada anak-anak generasi
harapan masa depan apabila saya lulus dalam temu duga untuk menjadi guru
sementara di KAFA tempat saya menuntut ilmu selama lima tahun sebelum
ini iaitu tempat saya membina serta mengukuhkan pemahaman asas-asas
fardhu ain sebagai seorang muslim. Di sini, saya diberi kelas tahap dua
iaitu tahun 4,5 dan 6 untuk mengajar subjek Sirah dan Feqah. Saya agak
buntu apabila mengajar namun saya yakin apabila kita membaca dan
memahaminya kita mudah pula untuk menyebarkannya. Saya harus akui
walaupun hanya 5 tahun saya meninggalkan sekolah tersebut namun
generasinya sudah berubah gaya dan pemikiran. Pada hemat saya, mungkin
kesan lambakan teknologi dan kemudahan yang mereka dapati sangat hampir
dengan mereka. Teknologi yang diibaratkan seperti pisau. Jika baik cara
penggunaannya maka bolehlah digunakan untuk memotong sayur-sayuran dan
bahan masakan. Namun sekiranya tidak, pisau yang tajam itu akan
menumpahkan darah manusia yang tidak berdosa di muka bumi ini. Berbalik
pada murid-murid perintis revolusi masa depan ini, ada kalanya mereka
hanya memandang sepi subjek yang diajar terutamanya Sirah. Namun,
apabila saya menceritakan kisah-kisah baru para sahabat yang tidak
pernah kedengaran pada sepasang cuping telinga mereka, mereka pasti
bersemangat malah sanggup duduk di atas lantai di hadapan saya untuk
mendengar cerita yang ingin disampaikan. Perasaan teruja bercampur
gembira bersinar pada anak mata para intelek penyambung visi kudsi
Wawasan 2020 ini, menunjukkan semangat roh mereka yang hidup dan ruang
dan peluang yang besar untuk dididik dan ditarbiyyah. Ilmu itu bukan
diguna untuk mempertajam minda sahaja malah amat bermanfaat untuk
membentuk akhlak dan sahsiah yang terpuji seperti orang-orang terdahulu
yang Allah muliakan. Peluang keemasan ini tidak saya siakan memandangkan
bahan bacaan iaitu novel-novel Islam semakin saya teliti hari demi hari
agar anak-anak murid yang dikasihi berasa puas dan ingin mendengar lagi
pada kelas akan datang. Teringat kisah apabila saya menceritakan
bagaimana Ubay bin Khalaf dibunuh oleh Rasulullah SAW dalam perang Uhud
di dalam kelas. Saya mengambil sebatang pembaris sebagai contoh
Rasulullah SAW hendak membaling tombak pada tangannya, lantas ada murid
lelaki menjerit, “Ustazah, demolah. Kami nak tengok macam mana gaya
Rasulullah SAW bunuh lelaki tu”. Suasana kelas menjadi gamat kerana
terhibur. Alhamdulillah, kelas yang seramai 30 pelajar itu dapat dikawal
kerana masing-masing begitu tekun mendengar kisah yang disampaikan. Ada
juga murid yang datang bertanya kepada saya dan sendiri menjawab
soalannya berkaitan Sirah, tentang “Ikramah bin Abu Jahal” serta
penentangan mereka pada zaman jahiliyyah. Jawapan dan penerangan pelajar
tu mempesonakan saya. Setelah saya bertanya kembali, saya amat
berbangga kerana pada awal usia mudanya, dia telah pun menghabiskan
bacaan Ikramah Abu Jahal , karya tuan Abdul Latip Talib. Alhamdulillah,
Allah memilih pelajar tersebut membaca kisah-kisah sebegitu pada usia 10
tahun berbanding saya yang baru mula bertatih membacanya pada usia 17
tahun. Pasti dalam usia 7 tahun perbezaan itu, dia akan mendapat
kesan-kesan yang jauh lebih banyak dan hebat berbanding saya yang sudah
lewat berbanding usia anak harapan ummah itu. Masa depan mereka cerah.
Sesungguhnya, benarlah kata pepatah, melentur buluh biarlah dari
rebungnya.
Secara total, sememangnya banyak kesan ke atas diri
saya sebagai pembaca setelah menelaah novel-novel Islam. Novel-novel
yang ditulis sarat dengan fakta namun disampaikan secara santai dan
berjaya menggabungjalinkan elemen ilmu dan cinta. Ilmu tentang
kisah-kisah yang pelbagai dan penuh informasi serta rasa cinta pada
Allah dan rasulNya. Tidak lupa juga cinta kepada mereka yang berjuang
memartabatkan kalimah agung di muka bumi ini seperti para sahabat, para
tabi’ dan tabi’ tabi’in yang dirahmati Allah. Novel-novel Islam ini
menjadi motivasi dan pendorong yang kuat kepada saya bukan sahaja kerana
isi kandungan novelnya yang amat baik malah penulisnya berjaya
menzahirkan sikap gigih dan bersungguh-sungguh dalam mengarang. Saya
sempat bersua dengan tuan Ikram Wazir, pengurus besar penerbitan PTS,
dalam satu seminar penulisan di UIA Gombak baru-baru ini. Beliau ada
menceritakan bagaimana hebatnya usaha tuan Abdul Latip Talib menulis
novel-novel Islam sebegini kerana kajiannya perlu teliti dan mendalam.
Kadang-kala ada sahaja yang memberi komentar, kritikan dan pandangan
tentang karya penulis. Dari sudut ketepatan fakta, sumber, teknik
penceritaan dan pengolahan serta pelbagai aspek lagi perlu diberi
perhatian khususnya apabila melibatkan junjungan agung yang ingin kita
dapatkan syafaat baginda di akhirat kelak. Sumber yang sahih perlu
dirujuk seperti hadis yang diambil kisah dalamnya dan buku-buku yang
dijadikan sumber penulisan. Pada pandangan saya., begitulah asam garam
kehidupan seorang penulis. Pihak yang meberikan kritikan mahupun
pandangan pastinya menginginkan yang terbaik buat penulis dan karyanya,
tidak lupa juga pembaca yang terdiri daripada lapisan umur, bukan di
bumi Malaysia malah di seantero dunia. Rupa-rupanya bukan mudah menjadi
penulis namun melihat kejayaan tuan Abdul Latip hari ini sememangnya
menyuntik semangat saya untuk meneruskan cita-cita saya untuk menjadi
seorang penulis. Hal ini demikian kerana kita pasti berasa amat seronok
sekali apabila ada yang bahagia membaca hasil karya kita. Seperti yang
tuan Abdul Latip pernah sebutkan dahulu di laman sosial Facebook pada 3
Januari 2013 yang lalu, “Rasa bahagia seorang penulis novel sejarah
apabila ada pelajar yang mengatakan buku itu membantu mereka memahami
sirah atau sejarah Islam sehingga dapat menjawab soalan peperiksaan
dengan mudah. Rasa bahagia apabila ada pembaca mengatakan setelah
membaca novel sejarah Islam bertambah rasa cinta terhadap Islam serta
menghargai tokoh-tokoh Islam yang terbilang. Sehingga mereka mengatakan
apabila menjadi pemimpin nanti mahu mencontohi khalifah Umar Abdul Aziz
dan jika menjadi tentera mahu mencontohi Khalid al Walid. Rasa bahagia
apabila ada ibu menghantar surat mengatakan anaknya menjadi anak yang
baik, rajin sembahyang dan rajin membaca buku setelah membaca novel
sejarah Islam. Rasa bahagia apabila dapat membantu pelajar universiti
yang membuat tesis mengenai penulisan novel sejarah Islam sehingga
beroleh kejayaan. Dan banyak lagi rasa bahagia yang dikurniakan Tuhan.
Semoga rasa bahagia ini berterusan di dunia dan akhirat”. Saya
terinspirasi dengan kata tuan Abdul Latip dan juga kata-kata seorang
sahabat dan menantu kesayangan Rasulullah SAW, khalifah keempat dalam
Islam dan kanak-kanak pertama yang menyatakan keislamannya iaitu Saidina
Ali. Kata beliau, “Semua penulis akan mati. Hanya karyanya yang akan
terus abadi. Maka, tulislah sesuatu yang dapat membahagiakan dirimu di
akhirat nanti”. Justeru, ayuh, berbahagialah menjadi penulis! Saya juga
memohon pembaca budiman yang sudi membaca karangan saya ini agar
sama-sama mendoakan buat semua bakal penulis, penulis dan termasuk diri
saya agar diberikan kesihatan, hidayah dan ilham yang baik lagi sahih
serta bermanfaat untuk menghasilkan karya-karya yang dapat memberi
sumbangan kepada masyarakat Islam terutamanya. Penulis bukan setakat
pengarang namun mereka jugalah pendakwah dalam diam yang tidak ramai
menyedarinya. Ayuhlah, kita cemerlang untuk ummah! Pada kesempatan ini,
sekiranya ibu kesayangan saya membaca karangan saya ini, ingin sekali
saya beritahu ibu saya yang tercinta, “Mama, alhamdulillah, Balqis dah
‘graduate’ daripada baca komik-komik kerana Balqis dah jumpa bahan-bahan
bacaan yang lebih bermanfaat seperti novel-novel Islam”. Semoga Allah
reda akan karangan ini.
PEMENANG UTAMA HADIAH UMRAH
PERKONGSIAN PENGALAMAN DENGAN SEORANG PENSYARAH...
Assalammualaikum warahmatullah hiwabarokatuh
Allahuakbar! Allahuakbar! Allahuakbar!
Alhamdulillah terima kasih pada Allah di atas kehendakNya melahirkan
seorang penulis yang hebat masa kini. Hebatnya Pak Latip kerana menulis
dengan penuh kejiwaan hingga setiap penulisan beliau masuk ke dalam jiwa
sesiapa yang membaca.
Membaca novel Pak Latip membuatkan diri
saya berasa turut berada di zaman Rasululullah dan para sahabat. Rasanya
sangat jelas dan nyata sehingga ia memberikan semangat yang membara
dalam meneruskan dakwah Islam ini agar diri sendiri dan sahabat yang
lain tidak sekadar menjadi umat Islam tetapi menjadi umat Islam yang
Mukmin. Yang setiap saat menyedari Allah. Yang redha pada Allah dan
Allah redha pada kita semua.
Saya sangat mudah mengingati nama
Pak Latip, penulis novel Islam terbaik abad ini kerana nama beliau sama
dengan nama ayah saya Abdul Latip. Ketika nama Abdul Latip sering diguna
orang dengan akhiran 'F' tetapi nama Pak Latip dan arwah ayah saya
menggunakan akhiran 'P'. Kerana itu nama ini sentiasa terpahat di
ingatan saya.
Novel-novel Pak Latip sangat memberi kesan kepada
diri saya. Ketika kita disarankan agar menyayangi Rasulullah dan
sahabat serta alim ulamak, saya tercari-cari cara yang terbaik untuk
memiliki rasa cinta dan sayang ini.
Cinta dan sayang kepada
Rasululullah dan yang lain bukanlah sesuatu yang boleh direka-reka.
Ketika kita mereka-reka, cinta dan sayang itu adalah palsu. Lalu setiap
hari saya cuba mendapatkan cara terbaik untuk memiliki rasa cinta, kasih
dan sayang pada Rasulullah, sahabat dan alim ulama. Sentiasa memohon
kepada Allah tanpa putus.
Ketika PTS menerbitkan novel Pak
Latip tentang Khulafa al-Rasyidin, saya sangka ia sama seperti
novel-novel biasa. Sekadar fakta dan penjelasan. Namun ketika sekilas
membaca di kedai buku, ia sangat berbeza dan menarik hati saya lalu saya
membelinya.
Membaca novel yang digarap baik oleh Pak Latip,
diri seakan-akan turut bersama di dalam perjuangan Islam. Terasa
semangat diri ini berkobar-kobar. Segala rasa yang ada pada para sahabat
turut terasa sama dengan sangat jelas pada saya.
Saya yakin
penulis (Pak Latip) juga berasa sedemikian ketika menulis. Kerana itu
hasil penulisan Pak Latip sangat baik disamping semangat yang lahir itu
terus mengalir untuk menyiapkan novel demi novel sebagai wadah terbaik
berdakwah dari Pak Latip untuk umat hari ini.
Ketika para
Rasulullah dan para sahabat berada di medan perang, saya sangat jelas
terasa debarannya. Diri berasa berada di medan peperangan itu. Malah
saya sendiri berpeluh-peluh ketika membaca novel karya Pak Latip. Tidak
pernah berlaku seumur hidup saya membaca novel hingga jadi seperti ini.
Saya juga turut berasa bersama-sama Rasulullah dan para sahabat dalam
petempuran peperangan itu untuk memperjuangkan Islam.
Diri
berasa juga dengan jelas berserahnya pada Allah ketika di dalam
peperangan. Allahurabbi. Novel karya Pak Latip benar-benar membuatkan
saya menyelami setiap peristiwa yang berlaku di zaman Rasulullah dan
para sahabat. Hati bagaikan merasai apa yang Rasulullah dan para sahabat
rasa. Ia sangat menusuk jiwa.
Kekadang bahagia. Kekadang
sedih. Kekadang berdebar. Kekadang sangat bersemangat. Kekadang rindu.
Kekadang cinta. Kekadang kasih.
Di saat Rasulullah dan sahabat
bahagia, bahagia itu sangat terasa. Di saat Rasulullah dan sahabat
bersedih, diri saya juga sangat sedih hingga menangis. Banyak kali
isteri menegur ketika saya menangis membaca novel Pak Latip. Isteri
berasa hairan mengapa hingga menangis membaca novel Islam ini. Hinggalah
beliau membaca sendiri novel-novel Pak Latip dan juga menangis, barulah
beliau memahami mengapa saya menangis. Allahuakbar.
Ketika
diri berasa bersama dalam setiap peristiwa yang dilalui oleh Rasulullah,
sahabat dan alim ulamak yang lain yang diceritakan dengan baik dalam
bentuk realiti berdialog, saya sangat rasakan kecintaan, kerinduan dan
kasih pada Rasulullah, sahabat dan alim ulama. Hinggakan saya selalu
berfikir, "Andai aku turut sama dalam perjuangan ini... Allahuakbar,
indahnya".
Namun hari ini juga saya tetap ada peluang untuk
berjuang. Kerana itu semangat yang ada dalam novel-novel Pak Latip
sentiasa mengalir dalam diri ini untuk terus memperjuangkan Islam dengan
berdakwah lebih giat lagi. Yang termampu hari ini sekadar menulis di
blog dan facebook. Belum sehebat Pak Latip malah sangat jauh dan jauh
berbanding beliau.
Dengan membaca novel-novel Pak Latip, ia
memberikan saya satu cara yang terbaik untuk saya memiliki rasa cinta,
rindu dan kasih pada Rasulullah, sahabat dan alim ulamak yang lain. Rasa
cinta, kasih dan rindu itu bukan rekaan di fikiran. Ia benar-benar
muncul dari dalam hati. Dari dalam pelusuk jiwa ini yang diilhamkan
Allah SWT.
Lalu saya sampaikan kepada sahabat-sahabat yang lain
cara terbaik dan sangat praktikal malah mudah untuk dilakukan untuk
memiliki rasa cinta, kasih dan rindu pada Rasulullah, sahabat dan alim
ulamak. Iaitu dengan membaca novel hasil karya Abdul Latip Talib atau
Pak Latip.
Inilah kesan terbesar buat diri saya hasil membaca
novel-novel Pak Latip. Ketika cinta, rindu dan kasih pada Rasulullah,
sahabat dan alim ulama berkurang atau bersedih ketika berdakwah,
novel-novel Pak Latip menjadi tatapan. Walaupun dibaca berulang kali
namun ia tetap terus mampu memberikan semangat yang baru malah semangat
yang lebih dari sebelumnya. Rasa-rasa ini datang serta merta sebaik
sahaja membaca novel-novel tersebut.
Saya ucapkan jutaan pada
Pak Latip. Ilham yang dianugerahkan oleh Allah kepada Pak Latip tidak
disia-siakan. Semoga perjuangan murni ini mendapat anugerah terbesar dan
anugerah terbesar adalah datangnya dari Allah SWT.
[note]:
saya memberikan nama ada kedua saya Muhammad Nuqman Afeef. Nama Nuqman
adalah nama pahlawan Islam zaman Umar Al-khattab. Saya mendapat nama
tersebut hasil membaca novel Umar Al-Khattab karya Pak Latip.
MOHD FUAD BIN ABDUL LATIP (Fuad Latip)
PEMENANG UTAMA HADIAH UMRAH
Assalamualaikum wbt...
Pada tanggal 28 Ogos tahun 2000, saya dilahirkan. Ayah menamakan saya
dengan nama yang cukup indah. A’ina Salsabiila. Kalimah Salsabiila
tercatit dalam lembaran al-Quran pada ayat 18 surah
al-Insaan. Sewaktu umur masih setahun jagung, ayat tersebut selalu
diulang-ulang setiap hari oleh ‘walid’ kesayangan. Dalam solat. Ketika
di rumah. Sewaktu memandu. Setiap kali ayat tersebut dialunkan, hati
saya berbunga-bunga. Perasaan gembira yang saya rasakan sukar untuk saya
gambarkan dengan kata-kata. Di situlah saya merasakan keistimewaan nama
Salsabiila.
Kini, umur saya telahpun mencecah 13 tahun.
Berbekalkan tarbiyyah yang diberikan, saya disekolahkan oleh kedua ibu
bapa saya yang tercinta di sebuah sekolah kampung berhampiran dengan
kediaman kami. Saya hanya pelajar biasa. Saya belajar di sebuah sekolah
biasa. Karakter saya juga biasa-biasa sahaja. Biarpun begitu, saya
mempunyai cita-cita yang tinggi walaupun jika hendak dibandingkan dengan
teman-teman yang lain, saya tidak mempunyai bakat yang begitu istimewa
untuk ditonjolkan. Sejak awallagi, saya mempunyai minat membaca yang
sangat mendalam. Seolah-olah buku dan saya sukar untuk dipisahkan.
Saya mengambil pelbagai jenis bahan bacaan untuk mengisi masa yang
terluang. Namun, cerita saya bermula sejak usia saya mencecah 9 tahun
apabila abang sulung saya membawa pulang sebuah novel karya Abdul Latip
Talib yang berjudul ‘Abu Bakar Sahabat Sejati’. Indah sekali peribadi
manusia bernama Abu Bakar As-Siddiq. Siapalah saya jika hendak
dibandingkan dengan tokoh hebat ini. Saya begitu teruja dengan kezuhudan
lelaki yang bukan sahaja merupakan sahabat nabi, tetapi juga merangkap
ayah mertua Rasulullah SAW sendiri. Bermula dari sebuah buku, timbul
minat yang cukup mendalam dalam diri saya untuk menyelami kisah
tokoh-tokoh Islam yang lain. Pasti tidak kurang hebatnya! Lalu saya
meminta dan memujuk ‘walid’ dan ‘ummi’ saya untuk membelikan novel siri
tersebut satu demi satu. Terima kasih, ‘walid’ dan ‘ummi’! Kini, saya
berjaya menghabiskan hampir 20 buah novel sejarah Islam. Alhamdulillah!
Ternyata, tindakan mereka membelikan novel-novel tersebut bukanlah satu
usaha yang sia-sia. Setelah membaca kisah keempat-empat orang khulafa’
ar-Rasyidin, keempat-empat imam mazhab yang terkenal, kisah peperangan,
penghijrahan dan kisah-kisah sahabat nabi yang lain serta tokoh Islam
yang terkemudian, saya dapat merasakan kesan yang cukup berbeza dalam
diri saya. Air mata yang dulunya cukup ego, kini terasa begitu mudah
mengalir terutama sekali semasa saya membaca kisah tokoh-tokoh tersebut,
sedangkan sebelum ini, saya bukanlah seorang yang sebegitu. Mungkin
kerana isi bacaan saya tidak sama dengan yang dulu lagi. Apa yang cukup
terkesan dalam diri saya adalah ketabahan tiap-tiap seorang tokoh ini
untuk menegakkan syiar Islam di bumi masing-masing serta kesungguhan
mereka menyambung tugas nabi iaitu menyebarkan keindahan Islam ke
seluruh pelusuk dunia.
Sebagai seorang pelajar biasa, saya juga
tidak pernah berjaya mendapatkan markah melebihi 80 peratus dalam
subjek Sirah. Tetapi, alangkah gembira dan sukanya saya apabila suatu
hari, saya mendapati markah saya bahkan melebihi angka 90! Ketika itu,
saya sedar bahawa inilah hikmahnya saya banyak membaca kisah tokoh-tokoh
hebat Islam. Tanpa saya sedari, pengetahuan sirah sayajuga semakin
bertambah. Apa yang saya pelajari di bilik darjah, diulas dengan cukup
menarik dengan gaya tersendiri dalam novel-novel sejarah Islam yang saya
baca sebelum ini, bahkan lebih mendalam lagi. Masya-Allah!
Untuk menambahkan kebolehan saya dalam bersosial serta meningkatkan
keyakinan dalam diri saya sebagai seorang pelajar, saya telah dihantar
oleh kedua ibu bapa saya untuk menyertai sebuah perkhemahanyang
dijalankan di Hulu Langat bersama kakak tercinta. Saya masih ingat lagi
saat di mana terdapat seorang motivator, beliau telah menceritakan
kepada kami kisah para sahabat lalu pada hujung slotnya, beliau menguji
kami dengan satu soalan. Siapakah sahabat yang telah membeli perigi
daripada seorang Yahudi di Madinah? Untuk menjawab soalannya, tiada
seorang pun yang tampil. Lalu, saya memberanikan diri untuk menjawabnya
setelah tiada siapa bangun mahupun mengangkat tangan beberapa lama
selepas soalan diutarakan. Lelaki itu ialah Saidina Uthman bin
Affan!Jawab saya penuh yakin.
Saya sangat gembira kerana
jawapan saya tepat sekali. Motivator tersebut memuji dan menghadiahisaya
RM 10.00 kerana berjaya memberikan jawapan yang tepat kepada soalan
beliau. Terima kasih kepada Abdul Latip Talib kerana telah memberitahu
saya tentang kemurahan hati Uthman yang merupakan salah seorang sahabat
yang cukup kaya pada zaman itu, melalui karya beliau, ‘Uthman Affan
Pengumpul al-Quran’.
Saya teringat pada suatu hari di mana
ketika itu saya telahpun menamatkan bacaan novel ‘Imam Hanafi Pendebat
Kebenaran’. Saya bergaduh dengan adik lelaki saya yang pada akhirnya,
dia telah memburuk-burukkan saya akibat terlalu marah. Sejujurnya, saya
juga sangat marah apabila dihina oleh adik saya sendiri. Namun, kisah
seorang imam besar, Imam Abu Hanifah yang menghulurkan 1000 dirham
kepada Jabar yang telah mengumpatnya bermain di ingatan saya selepas
itu. Jadi, saya juga ingin meniru perbuatan beliau yang bagi saya cukup
berhikmah serta meyakinkan. Saya yakin bahawa balasan pahala akan
disediakan jika saya diumpat, kemudian sabar. Jadi, untuk apa saya marah
sedangkan hati saya cukup yakin dengan ganjaran yang cukup besar itu.
Ya! Saya pun menghulurkan RM 1 kepada adik saya tadi. Walaupun
terpinga-pinga, dia terus mengambilnya. Itulah kelainan antara manusia
biasa dengan mereka yang yakin dengan janji Allah SWT. Di saat orang
lain membalas umpatan dengan kata-kata hinaan, Imam Abu Hanifah
membalasnya dengan huluran wang. Begitulah antara kesan yang cukup
mendalam yang dapat saya rasakan mengenai beliau. Sedikit sebanyak, saya
cuba untuk menghayati dan meneladani sikap mulia beliau, walaupun ia
bukanlah suatu yang mudah untuk dipraktikkan pada hakikatnya.
Jika di rumah saya banyak menghabiskan masa untuk membaca hasil-hasil
karya Abdul Latip Talib, di laman facebook pula saya banyak mengikuti
perkembangan penulis berbakat yang cukup saya hormati ini sehinggakan
beliau menerima saya sebagai rakan di laman sosial itu. Saya gembira
kerana bukan sahaja saya dapat membaca hasil tulisan beliau, malah saya
juga dapat berhubung dengan beliau sebagaimana peminat-peminat beliau
yang lain. Saya sedar bahawa inilah hikmah besar di sebalik sebuah buku
yang dibawa pulang oleh abang saya ke rumah. Kini, Allah memperkenalkan
saya dengan penulis yang telah banyak memikat hati anak bangsa dengan
kisah tokoh-tokoh pejuang Islam melalui karya-karya beliau. Itulah
dakwah beliau! Saya pula bagaimana?Esok, saya bakal melangkah ke dunia
‘sekolah menengah’ saya.
Jika mahu dibandingkan dengan sekolah
saya ‘semalam’, tentusekali di tempat baru ini suasananya lebih meriah
dengan hati-hati yang terisi dengan hafalan ayat-ayat suci al-Quran.
Tetapi, mengenangkan peribadi sahabat-sahabat Rasulullah SAW, imam-imam
besar dan penakluk-penakluk kota yang begitu teguh iman di hati mereka,
saya sedar akan sesuatu. Apalah ertinya hafalan tanpa penghayatan.
Ayat-ayat Allah yang bakal saya hafali, mesti dihayati sepenuh hati.
Sempurna di mata manusia, tak semestinya cantik pada pandangan Tuhan.
Kini, saya tahu apa yang saya perlu lakukan demi kebaikan diri saya dan
insan-insan di sekeliling saya. Bermula sejak setahun yang lalu, saya
mula memperkenalkan novel-novel ini kepada sahabat-sahabat dan ahli
keluarga saya yang cukup saya sayangi. Tidak lama kemudian, saya seronok
melihat mereka yang mula menunjukkan minat untuk mengenali tokoh-tokoh
Islam yang lain secara lebih mendalam melalui novel-novel karya Abdul
Latip Talib.Itulah dakwah seusia 12 tahun yang mampu saya lakukan,
setakat ini. Saya berharap agar di dunia ‘sekolah menengah’ esok, saya
mampu melakukan lebih lagi. Itu semua demi menyebarkan keindahan cerita
tiap-tiap manusia yang berpegang teguh dengan janji-janji Allah. Ketika
itu saya terfikir. Mungkinkah mereka juga bakal jatuh cinta dengan
karya-karyaAbdul Latip Talib sebagaimana saya pada tiga tahun yang lalu?
Ameen ya Rabb!
A’INA SALSABIILA BINTI DZULKEFLI
PEMENANG UTAMA HADIAH UMRAH
MINAT MEMBACA NOVEL SEJARAH ISLAM SEJAK BERUMUR 7 TAHUN
Selawat dan salam ke atas junjungan,
Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang saya mulakan.
Nama diberi, Muhamad Firdaus bin Ali,
Diberi oleh, ayah bonda yang sentiasa dihati,
Ingin kusembah, kesan positif novel Islami,
Moga menjadi manfaat, duniawi dan ukhrawi.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh,
Pertama kalinya saya membaca novel sejarah Islam adalah pada tahun
2008. Ketika itu, saya berumur tujuh tahun. Novel pertama yang saya
miliki ialah “Sultan Muhammad Al-Fateh | Penakluk Konstantinopel”.
Novel tersebut telah membuatkan mula berjinak-jinak dengan banyak lagi
novel sejarah Islam lain di pasaran. Saya merasakan ia sangat penting
untuk dipelajari kerana ianya memberi gambaran pada pemikiran tentang
kaedah dan strategi pemerintahan Islam semasa zaman Nabi Muhammad SAW,
khulafa’ ar-Rasyidin, khalifah Bani Umaiyah, dan zaman kegemilangan
Islam yang lainnya.
Selain itu, ia turut memberi gambaran
kepada saya bagaimana insan-insan hebat ini menghadapi dan menangani
setiap cabaran kehidupan dengan tenang, sabar, mujahadah, tawaddu’,
serta tawakkal yang boleh saya jadikan teladan. Dunia yang semakin
mencabar ini, benar-benar memerlukan saya untuk membina kekuatan dalaman
yang mantap seperti mereka agar tidak mudah putus asa dalam ujian
kehidupan, dengan izin Allah.
Berulangkali saya membaca novel
Sultan Muhammad Al-Fateh, salah seorang figura mukmin yang membuatkan
jiwa saya amat terkesan. Beliau sememangnya seorang tokoh yang
sepatutnya dicontohi. Kekuatan imannya, ketinggian ibadahnya,
keperibadian dan akhlaknya dalam menyantuni rakyat, dan juga
keberaniannya menentang orang-orang kafir sangat saya cemburui.
Alhamdulillah, syukur ke hadrat Ilahi, sejak mula membaca novel
tersebut, saya tidak lagi meninggalkan solat fardu sehari semalam, azam
saya kuat, tekad saya bulat. Selain itu, saya dapat melawan keinginan
nafsu yang malas contohnya; melewat-lewatkan solat, berat tulang dalam
bekerjasama dengan ahli keluarga, dan lain-lain. Ibu dan ayah saya juga
komited dalam memastikan kami solat berjemaah di awal waktu, berpuasa
sunat setiap bulan, terutama sekali pada bulan Muharam, Rejab, Syaaban,
Syawal, dan Zulhijjah. Walau bagaimanapun, masih banyak lagi ilmu yang
perlu saya dalami, agar ibadah yang dilakukan dapat saya hayati
kemanisannya. Keberanian dan ketaqwaan Al-Fateh juga mendorong saya
untuk memantapkan kemahiran berenang dan mula menyertai sukan memanah.
Apa yang saya rasai adalah, semangat dan keberanian beliau walaupun
secara jujurnya sebelum ini bersukan itu adalah hobi yang tidak menarik
minat saya. Kini, saya telah berubah! Menurut hadis Rasulullah SAW,
“Mukmin yang kuat itu lebih dicintai dan disukai Allah melebihi mukmin
yang lemah”. [Hadis Riwayat Muslim | No. 4816]
Selepas membaca
novel-novel sejarah Islam, saya mula melihat sesuatu perkara mahu pun
senario, secara holistik dan kreatif serta kritis. Saya sering
membayangkan, jika Rasulullah SAW masih berada di sisi, apa tindakan
yang akan baginda ambil dalam mendepani sesuatu perkara.Saya juga
menjadikan Nabi Muhammad SAW dan sahabat-sahabat serta
cendekiawan-cendekiawan Islam lain sebagai qudwah hasanah, iaitu contoh
teladan yang baik dalam mendalami ilmu dunia dan akhirat serta
bersungguh-sungguh melakukan ibadah secara konsisten, InsyaAllah.
Kisah berkenaan ketabahan dan kecekalan Bilal bin Rabah, turut
mendorong saya untuk sering melaungkan azan di masjid, ianya seolah-olah
satu tiupan semangat yang masih hangat, seperti dapat dirasai auranya
dari insan mulia pilihan Nabi SAW bagi mengalunkan azan pertama di kala
itu. Ketika melaungkan azan, bagaikan terngiang-ngiang suara Bilal bin
Rabah r.a yang mengasyikkan, walaupun tidak pernah mendengarnya. Biarpun
wajahnya tidak dipandang oleh makhluk di bumi, tetapi kedudukan beliau
amat tinggi,di langit.
Wahai Bilal,
Suaramu bagaikan emas,
Keikhlasanmu bagaikan bulan purnama.
Laungan azanmu di dengari penghuni langit,
Menghiba penghuni bumi.
Malaikat mendengar azanmu,
Menjawab azanmu,
Dan merindui azanmu.
Ya Allah, betapa bertuahnya hamba-Mu ini, kerana dapat hidup di dalam
negara yang aman dan merdeka. Bebas daripada perhambaan. Hamba-Mu ini
bebas mengamalkan ajaran Islam. Dahulu kala, muazin Rasulullah ini
diseksa, kerana mengucap lafaz yang suci, lailaahaillallah. Diseksa,
ianya merupakan suatu ujian keimanan yang dahsyat untuknya. Namun,
bibirnya tetap basah melafazkan nama-Mu, Allahu Ahad, Allahu Ahad,
Allahu Ahad. Aku bersyukur ke hadrat-Mu ya Allah, aku dapat beribadah
bila-bila masa, di mana jua, tanpa ancaman dan ugutan. Harapanku,
janganlah ketenteraman dan ketenangan ini, alpa dan leka dalam mengukir
syukurku kepada-Mu. Usahlah jua ia mengurangkan sujudku kepada-Mu. Dan
mudah-mudahan, aku dijauhkan dari keinginan duniawi yang berlebihan.
Novel Hijrah pula membuatkan saya yang dahulunya tidak begitu mendalami
sejarah kehidupan Rasulullah SAW, tiba-tiba datang satu perasaan ingin
tahu di dalam hati saya untuk lebih memantapkan ilmu sirah, lebih
daripada apa yang ada di dada. Benarlah baginda merupakan rahmat untuk
sekalian alam. Seringkali perasaan sayu datang tatkala mengenangkan
pengorbanan Rasulullah SAW. Kisah yang dibaca berulangkali oleh kami
adik beradik ini, meresap dalam diri, menguatkan semangat kami untuk
menghidupkan sunnah baginda SAW dalam kehidupan seharian kami
sekeluarga.”Ya Allah, berilah kami kekuatan dalam meneruskan hidup di
dunia dan mendapatkan kebahagiaan di akhirat”
Selain
memantapkan penguasaan saya terhadap ilmu sirah dan juga aqidah,
penghayatan serta kemanisan dalam beribadah, terutama sekali
perlaksanaan dalam solat, puasa, dan menuntut ilmu cuba saya rasai satu
persatu. Hati saya sering tertanya-tanya bagaimanalah tingginya
ketenangan jiwa yang dirasai oleh insan-insan pilihan Allah ini, atas
segala pengorbanan dan ibadah yang mereka lakukan. Masya Allah,
rupa-rupanya ibadah yang Allah tentukan untuk kita ini, tidak lain
hanyalah untuk membentuk ketenangan jiwa kita sebagai hamba-Nya.
Mengenali as-Syeikh Badiuzzaman Said an-Nursi menyedarkan saya akan
betapa mudahnya saya menimba ilmu setiap hari. Pengorbanan beliau yang
sanggup berjalan jauh di usia muda untuk menuntut ilmu amat sukar
ditandingi. Berbanding saya yang dihantar setiap hari ke sekolah, saya
perlu lebih bersungguh-sungguh dalam menuntut ilmu, agar menjadi seorang
ilmuwan islam suatu hari nanti, dengan izin Allah. Masya Allah,
kekuatan cinta kepada Ilahi membuatkan beliau mengenepikan segala
rintangan dan halangan bagi meraih syurga Allah yang abadi, serta
sanggup meninggalkan dunia yang bersifat fatamorgana, dan penuh dengan
fitnah ini.
Firman Allah SWT di dalam al-Quran al-Karim
”Dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan yang memperdaya." (Surah Ali 'Imran, ayat 185).”
Kesan positif yang paling utama dirasai adalah, sejak memiliki novel
sejarah Islam yang pertama, ianya bagaikan satu fenomena untuk kami
sekeluarga untuk terus membeli dan menghayati sejarah Islam. Adik-adik
yang pada ketika itu masing-masing baru berusia lima dan enam tahun
turut mula membaca satu demi satu novel sejarah Islam biarpun tidak
disuruh. Ini mungkin disebabkan oleh semangat ingin tahu yang
membuak-buak tentang kenapa saya sering membaca buku-buku tersebut
secara berulang-ulang. Hubungan antara kami sangat rapat kerana minat
dan hobi yang sama. Perasaan hormat dan kasih sayang yang tinggi
terhadap ibu dan ayah juga sangat saya rasai. Pertama kerana ia
merupakan perintah Allah SWT, keduanya kerana mencontohi kisah-kisah
dalam novel sejarah Islam yang dibaca.
Alhamdulillah, kini
selain membaca novel-novel tersebut berkali-kali, kami tiga beradik akan
terus menambah koleksi novel sejarah Islam kami, insyaAllah.
Begitu juga terhadap adik-beradik, saya kini lebih merasai tanggungjawab
dalam mengawasi, mewujudkan sifat toleransi antara kami, bekerjasama,
dan memimpin, serta memberi contoh teladan yang baik (qudwah hasanah),
alhamdulillah.
Di kalangan kawan-kawan juga, saya terdorong
untuk membina semangat ukhwah yang rapat. Selepas membaca novel sejarah
Islam yang bertajuk “Uthman Affan Pengumpul Al-Quran”, saya dapat
merasakan hubungan saya dan rakan-rakan semakin rapat. Cara pergaulan
bersama mereka juga semakin baik. Kini, saya dapat mempelajari cara
berdakwah kepada rakan-rakan dengan kaedah yang positif. Saya mula
menceritakan serba sedikit contoh dan teladan kisah sejarah Islam kepada
rakan-rakan, mengajak melakukan kebaikan bersama-sama, dan
membangkitkan semangat berani menghadapi ujian dalam diri kami semua.
Ukhwah kami semakin rapat. Kekurangan antara kami, cuba kami lengkapi di
antara satu sama lain.
Benarlah firman Allah SWT di dalam Al-Quran :
“Sesungguhnya setiap mukmin itu adalah bersaudara” – Al Hujurat:10
Hubungan saya bersama guru-guru juga kini lebih bermakna. Rasa hormat
saya terhadap guru-guru semakin tinggi. Pada dahulunya, saya agak malu
untuk menanyakan soalan tentang pelajaran pada guru. Kini, saya semakin
bersikap positif, dan sangat aktif bertanya soalan di dalam kelas. Saya
juga sering ke hadapan setiap kali guru memerlukan bantuan.
“Ya
Allah, rahmatilah guruku, atas penat lelah mereka mendidik kami.
Kurniakanlah nikmat syurga Firdaus-Mu ya Dzul Jalali Wal Ikram”.
Kesimpulannya, dengan memahami tujuan sebenar kita dihidupkan di dunia
dan pergantungan diri kepada Ilahi secara mutlak adalah dasar kejayaan
hidup di dunia dan akhirat. Mencari keredhaan Allah dalam setiap
perbuatan dan tindakan kita, secara automatik mengemudi kehidupan kita
untuk bersungguh-sungguh dalam melakukan ibadah. Mendalami setiap ibadah
wajib dan sunat yang dituntut oleh Allah SWT secara terperinci serta
berusaha untuk menyempurnakannya, mudah-mudahan didorongkan ke jalan
yang terbaik di sisi Allah Rabbul Jalil. Ketenangan jiwa tidak boleh
dipperolehi dengan wang ringgit, ia adalah hubungan istimewa di antara
pencipta dan hamba-Nya.
Jika Allah memilih saya untuk
menunaikan umrah dan menziarahi rumahnya di Tanah Suci Makkah
Al-Mukarramah dan diberi peluang oleh Allah untuk menziarahi makam
rasul-Nya yang tercinta di Madinah Al-Munawwarah, saya berasa hati ini
tidak putus-putus memanjatkan rasa kesyukuran ke hadrat Ilahi kerana
memberi peluang kepada hamba-Nya yang kerdil ini untuk menziarahi
rumah-Nya di Masjidilharam dan juga menziarahi makam rasul-Nya, Muhammad
Al-Amin di Masjid An-Nabawi. Hanya hamba-Nya yang terpilih sahaja yang
layak menjejakkan kaki di bumi anbiya’ yang penuh dengan rahmat dan
berkat oleh pemiliknya, Allah al-Malik. Moga Allah mengizinkan daku
menunaikan solat di Masjidil Haram, yang mana akan dikurniakan 100,000
kali ganda pahala, manakala di Masjid an-Nabawi pula pahalanya 1000 kali
ganda daripada solat di tempat lain. Hanya jiwa yang ikhlas sahaja yang
dapat merasakan kesayuan, kecintaan, keajaiban pada rumah Allah
tersebut. Ya Allah, izinkan daku menziarahi rumah-Mu, menunaikan umrah
di rumah-Mu, berdoa di hadapan rumah-Mu, menunaikan solat di hadapan
rumah-Mu, menziarahi makam rasul-Mu Rasulullah SAW, dan beribadah di
Raudhah; salah satu daripada taman-taman syurga. Ya Allah, terimalah doa
hamba-Mu yang kerdil ini.
Sekian, ini sahaja yang dapat saya
kongsikan kepada saudara/saudari. Mohon maaf jika terdapat salah dan
silap, kurang dan lebih, dan lain-lain kecacatan yang terdapat di dalam
karangan ini. Wabillahi taufiq wal hidayah, wassalamu’alaikum
warahmatullahi taala wabarakatuh.
Nabi dan Rasul menjadi ikutan,
Barakah bersinar hingga akhir zaman,
Yang benar,
Muhamad Firdaus bin Ali
HADIAH UMRAH 2013..
Assalamualaikum
wbt, tujuan “hadiah Umrah” ini diadakan sebagai menyatakan rasa syukur
dan terima kasih kepada peminat novel sejarah Islam yang telah memberi
sokongan. Tahniah kepada mereka yang terpilih, yang belum terpilih jangan kecewa, semoga hadiah seperti ini dapat diadakan lagi pada masa hadapan. Terima kasih.
HADIAH UTAMA UMRAH
Muhamad Firdaus bin Ali, 12 tahun, Skudai, Johor.
A’ina Salsabilla Binti Dzulkefli, 13 tahun, Kajang, Selangor.
Mohd Fuad bin Abdul Latip (Fuad Latip) 36 tahun, Shah Alam, Selangor.
HADIAH UMRAH PELAJAR CEMERLANG
Nur Balqis binti Mohd Badawi, 18 tahun, Seremban, Negeri Sembilan.
MELANCONG KE VIETNAM
Abdul Muiez bin Mohammad Ruslee, 30 tahun, Sungai Besar, Selangor.
Nur Syafiqah binti Syafie, 21 tahun, Kuala Lumpur.
Muhammad LuqmanulHakeem Bin Mohd Mahayudin, 15 tahun, Kuantan, Pahang.
Ahmad Iqbal bin Zulkefli, 19 tahun, Pasir Mas, Kelantan.
Nur Shafiqah binti Sabri, 14 tahun, Seremban, Negeri Sembilan
HADIAH KEDUA BUKU PTS BERNILAI RM300.00
Adenan bin Sayan
HADIAH KETIGA BUKU PTS BERNILAI RM 200.00
Maizatulakmar Binti Abd. Rahman, 33 tahun, Kuala Lumpur.
HADIAH KE EMPAT BUKU PTS BERNILAI RM 100.00
Dr. Noor Shuhada binti Nor Azman, Kuala Lumpur
5 HADIAH SAGU HATI BUKU PTS BERNILAI RM 50.00
Samsiah binti Sanusi, Kunak, Sabah.
Nur Fatin Hanani binti Haji Salim, Sungai Petani, Kedah.
Nurul Aqilah binti Abdul Halim, kedah.
Nur Farah Hanis binti Mohamad Pakhrudin, Kuantan.
Hasmizi Mizie
KISAH BULAN TERBELAH DUA
Dalam buku
Khalifah-Khalifah Yang Benar pada bab: 3 muka surat 23 ada diceritakan
kisah bulan terbelah dua. Ada pembaca yang bertanya apakah benar
kisah tersebut?. Apa buktinya?. Adakah kisah itu terdapat dalam Quran dan Hadis?. Adakah kisah bulan terbelah dua itu ditokok tambah?
“Telah hampir datangnya masa itu (kiamat) dan bulan terbelah. Dan
setelah mereka melihat suatu tanda (mukjizat) mereka berpaling lalu
berkata “Ini adalah sihir yang luar biasa” dan mereka mendustakannya
dengan mengikut hawa nafsu sedang setiap yang berlaku ada ketetapannya.”
(Surah al Qamar ayat 1-3).
Abdullah bin Masud berkata:
Bulan terbelah menjadi dua pada masa Rasulullah, lalu Rasulullah bersabda, Saksikanlah oleh kalian. (Shahih Muslim No.5010).
Anas r.a kata; bahwa penduduk Mekah meminta kepada Rasulullah untuk
diperlihatkan kepada mereka satu mukjizat (tanda kenabian), maka
Rasulullah memperlihatkan kepada mereka mukjizat terbelahnya bulan
sebanyak dua kali. (Shahih Muslim No.5013)
Ibnu Abbas r.a
berkata, Sesungguhnya bulan pernah terbelah pada masa Rasulullah
Shallallahu alaihi wassalam.. (Shahih Muslim No.5015)
Dari Anas
bin Malik berkata, sesungguhnya penduduk Mekah meminta nabi satu bukti
kebenaran risalah yang dibawanya. Lalu baginda menunjukkan kepada
mereka bulan terbelah sehingga mereka melihat gua hirak berada di antara
keduanya. (Sahih Bukhari dan Muslim)
Dari ayat al Quran dan
hadis yang dinyatakan itu membuktikan memang benar telah berlaku bulan
terbelah dua. Kejadian itu disaksikan penduduk Mekah termasuk Abu Jahal
dan Abu Lahab.
Gambar yang diambil oleh NASA pula terdapat
satu garisan di tengah permukaan bulan. Itu membuktikan bahawa bulan
pernah terbelah suatu ketika dahulu kemudian dicantumkan semula.
Menurut kisahnya, sebelum kejadian itu penduduk Mekah mengadakan
mesyuarat bagaimana hendak membuktikan kepada orang ramai bahawa
Muhamad itu pendusta. Lalu dicadangkan mereka menyuruh Muhamad menukar
siang kepada malam, menukar matahari kepada bulan tidak cukup dengan
itu mereka meminta bulan itu dibelah dua kemudian belahan bulan itu
turun dan masuk ke lengan baju baginda. Mereka sengaja meminta suatu
perkara yang mustahil dapat dilakukan oleh manusia biasa walau
bagaiamana hebat ilmu sihirnya. Dengan kuasa Allah swt Nabi Muhamad saw
dapat menyahut cabaran mereka.
Jika setakat bulan terbelah dua
saja tentulah kafir Quraisy tidak mengatakan ini adalah sihir yang
amat luar biasa kerana sebelum itu Nabi Muhamad saw telah menunjukkan
beberapa mukjizatnya.
Bulan terbelah dua kemudian turun lalu
masuk ke dalam jubah Rasulullah saw kemudian keluar dari lengan baju
kiri dan kanan baginda sebelum bercantum semula benar-benar berlaku dan
disaksikan oleh orang ramai termasuk Raja Habib dari Syam. Setelah
melihat kejadian yang luar biasa itu ramai yang mendapat hidayah
termasuk Raja Habib. Tetapi lebih ramai yang tidak percaya lalu
mengatakan itu sihir luar biasa Muhamad…
Allah swt Maha
Berkuasa, boleh berbuat apa sahaja, Peristiwa Israk dan Mikraj lebih
luar biasa hebatnya berbanding bulan terbelah dua dan masuk ke lengan
baju nabi berbanding memperjalankan HambaNya ke Sidratul Muntaha hanya
dengan satu malam sahaja yang jaraknya berjuta tahun cahaya…
Mukjizat itu adalah kejadian luar biasa kurniaan Allah kepada nabi dan
rasul untuk membuktikan kebenaran risalah yang mereka bawa. Ilmu
pengetahuan manusia tidak mampu menghuraikan bagaimana mukjizat itu
berlaku kerana ia kuasa Allah SWT.
Kisah bulan terbelah ini ada
diceritakan dalam buku Mukjizat-Mukjizat Rasulullah, Kisah Menakjubkan
Dalam Kehidupan Rasulullah, 33 Kisah Menarik Para Nabi-Nabi, kitab Nur
Yaqin (jawi), Hikayat Nabi Bercukur dan Bulan Terbelah (jawi). Malah
dalam Qisasul Anbiyak (jawi) ada diceritakan kisah Raja Syam yang telah
beriman setelah menyaksikan kejadian bulan terbelah dua.
Namun
ada yang mengatakan bulan terbelah dua itu memang benar berlaku tetapi
bulan yang terbelah itu turun ke bumi lalu masuk ke lengan baju Nabi
Muhamad saw lalu mengucapkan salam dan naik semula ke angkasa lalu
bercantum itu adalah tokok tambah yang sengaja di ada-adakan. Benarkah?.
Al Quran adalah panduan umat Islam. Kandungannya telah lengkap. Namun
umat Islam diminta berfikir dan mengkajinya. Kerana itu wujudnya tafsir
Al Quran dan tafsir hadis. Mereka yang anti hadis akan sesat kerana
akal fikiran mereka tidak dapat mentafsirkan ayat al Quran itu dengan
lengkap. Kerana itu perlunya merujuk kepada hadis-hadis dan
kitab-kitab yang sohih.
Contohnya, dalam al Quran menyuruh
kita sembahyang maka hadis dan kitab fiqah yang memberitahu kita
sembahyang Zohor itu empat rakaat, Asyar itu empat rakaat, maghrib
tiga rakaat, Isyak empat rakaat dan subuh dua rakaat. Hadis yang
kitab-kitab fiqah yang menghuraikannya.
Begitu juga kisah bulan
terbelah dua, jika hanya berpandukan kepada ayat Quran dan tidak mahu
merujuk kepada hadis dan kitab sejarah maka timbul bermacam pendapat dan
andaian. Kerana itu pentingnya merujuk hadis dan kitab sejarah.
Dalam hadis-hadis itu juga tidak dinyatakan siapakah nama penduduk
Mekah yang meminta nabi Muhamad saw menunjukkan mukjizatnya boleh
membelah bulan. Tidak dinyatakan juga peristiwa itu berlaku di mana
tempatnya?. Berlakunya pada waktu siang atau waktu malam.
Kerana itu Allah menyuruh kita berfikir dan membuat kajian. Ayat al
Quran itu diturunkan supaya kita bukan saja percaya tetapi menambah
kepercayaan dengan mengkajinya berpandukan kitab hadis dan pendapat para
ulama.
Untuk menjawab persoalan itu kena rujuk buku atau kitab
sejarah yang ada menceritakan kisah bulan terbelah. Jika tidak maka
akan adalah tuduhan selain itu hanya tokoh tambah penulis kerana tidak
diceritakan dalam Quran dan hadis.
Apabila seseorang itu
membaca al Quran, membaca hadis dan ditambah dengan membaca kitab-kitab
sirah maka akan mengetahui fakta itu dengan lebih lengkap dan
bertambah lagi keyakinannya.
Dalam buku Biografi Agung
Rasulullah SAW penulis Rusydi Ramli Al Jauhari disemak oleh Prof
Madya Dr Engku Ahmad Zaki Enghku Alwi dan Ustazah Maznah binti Daud
penerbit Must Read 2012 pada muka surat 156 atas tajuk Terbelah
bulan ada dinyatakan begini..
Orang Musyrikin Makkah ketika itu
mencabar nabi kalau ia benar maka tunjukkan kepada mereka satu bukti
dengan terbelah duanya bulan yang berada di atas langit. Selepas itu
datang kepada kami yang sebelah kanan dan masuk ke dalam jubah nabi
kemudian keluar melalui lengan baju kiri, manakala bulan bahagian kiri
masuk dari lengan sebelah kiri dan keluar dari lengan kanan. Pada
sahabat ketika itu begitu marah dengan permintaan yang melampau dan
biadap…(m.s 156)
Dan pengetahuan kita berkenaan peristiwa bulan
terbelah dua itu menjadi lebih lengkap jika membaca buku 33
Kisah-kisah Menarik para nabi-nabi yang ditulis Nurul Basri penerbit
Syarikat Nurulhas.
Apakah dengan menceritakan bagaimana
bermulanya kisah bulan terbelah, siapa yang mencabar nabi? Di mana
berlakunya perisitiwa itu, waktu siang atau malam dan kesan dari
peristiwa itu itu maka dituduh menokok tambah, kerana tidak diceritakan
sebegitu lengkap dalam Quran dan hadis?...
KERANA SEBIJI EPAL
Pada kurun ke 5 hijrah atau 11 masihi keadaan umat Islam amat
mendukacita kerana persaudaraan telah hampir musnah. Dengki, khianat,
hidup bernafsu-nafsi dan perlakuan maksiat begitu berleluasa. Keadaan
bertambah buruk apabila munculnya mazhab-mazhab baru dengan
ajaran-ajaran baru antaranya kaum muktazilah dan karomiah yang
menyatakan tuhan itu berada di Arash yang terletak
dalam angkasa lepas. Allah yang Maha Pengasih dan Penyayang tidak
membiarkan hambaNya selamanya berada dalam kesesatan. Maka dilahirkannya
seorang wali yang paling agong dan masyhur pada kurun tersebut untuk
menerangkan semula cahaya islam yang sedang malap.
Beberapa
orang soleh yang hidup pada masa itu telah mendapat alamat atau
tanda-tanda tentang kelahiran Sheikh Abdul Kadir Jailani. Antaranya Abu
bakar bin Hawari pernah berkata kepada murid-muridnya bahawa tidak lama
lagi seorang wali Allah yang agong akan lahir di Ajam dan beliau itu
kelak akan jadi seorang yang sangat bertakwa kepada Allah dan sangat
dihormati oleh manusia. Nama beliau ialah Abdul Kadir dan beliau tinggal
di Baghdad. Beliau akan berkata kepada orang ramai, “kaki ku adalah di
atas leher segala wali Allah”
Di suatu pekan kecil bernama
Jailan atau kilan dalam negeri Parsi ada seorang pemuda soleh dan baik
akhlaknya bernama Abu Soleh Jangi Dost dari keturunan Imam Hasan.
Pada suatu hari beliau duduk bertafakur di tebing sungai. Tiba-tiba
beliau berasa lapar lalu dilihatnya sebiji epal terapung-apung di
hanyutkan arus sungai. Lantas beliau mengambil lalu memakannya.
Tiba-tiba tergeraklah hatinya untuk mengetahui samada buah itu halal
untuknya. Lalu Abu Soleh Jangi Dost bangun dan berjalan menyusuri
tebing sungai itu kehulu.
Akhirnya beliau terjumpa kebun
epal yang mana ada sepohon tumbuh di tebing sungai yang buahnya lebat
hingga jatuh ke dalam sungai. Yakinlah pemuda yang soleh itu bahawa
buah epal yang di makannya itu datang dari pohon epal tersebut.
Setelah disiasat akhirnya beliau mendapat tahu bahawa tuan punya kebun
epal itu bernama Abdullah Shauma. Lantas beliau pun pergi menemuinya
untuk meminta maaf serta minta dihalalkan kerana memakan buah epal
itu.
Setelah mendengar kata-kata Abu Soleh Jangi Dost maka
Abdullah Saumaya yakin pemuda yang sedang berhadapan dengannya itu
seorang yang warak dari keturunan yang baik, lalu dia pun berkata.
“Saya boleh maafkan kamu jika sanggup tinggal bersama saya.”
Sebenarnya Abdullah Shauma hanya mahu menduga anak muda itu. Beliau
berasa gembira apabila pemuda itu menyatakan persetujuannya. Kemudian
beliau berkata lagi.
“Saya halalkan kamu makan buah epal
kepunyaan saya itu jika kamu sanggup berkahwin dengan anak perempuan
saya yang buta, pekak serta lumpuh tangan dan kakinya.”
“Baiklah saya setuju…” kata Abu Soleh Jangi Dosy yang sanggup berbuat
apa sahaja asalkan dia dimaafkan dan dihalalkan apa yang telah
dimakannya.
Setelah dikahwinkan, apabila Abu Soleh Jangi
Dost mendapati isterinya seorang yang cantik jelita, tidak pekak, tidak
bisu dan tidak lumpuh kaki dan tangannya maka beliau berasa terkejut
lalu mendapatkan bapa mertuanya bagi mendapatkan penjelasan.
“Saya beri syarat kamu tinggal di sini bersama saya kerana saya tertarik
dengan budi pekerti kamu yang amat soleh hinggakan makan buah epal
yang hanyut di sungai pun minta dihalalkan. “Mengenai anak gadis saya
itu dia memang seorang yang cantik paras rupanya namun saya tidak mahu
kamu mengahwininya kerana nafsu semata-mata.” Kata Abdullah
“Apa maksud tuan dengan mengatakan dia buta, pekak, bisu dan lumpuh kaki dan tabngannya?” tanya Abu Soleh Jangi Dost.
“Saya katakan anak gadisku itu buta kerana dia tidak pernah memandang
perkara yang haram termasuk orang yang bukan muhrimnya. Saya katakan
dia pekak kerana tidak pernah mendengar umpat keji atau kata-kata
yang tidak benar. Saya katakana bisu kerana mulutnya tidak pernah
menuturkan kata-kata dusta. Saya katakan tangannya lumpuh kerana dia
tidak pernah mencuri atau bersentuh dengan orang yang bukan muhrimnya,
Kakinya lumpuh kerana dia tidak pernah pergi ke tempat-tempat maksiat,”
jawab Abdullah Shauma.
Abu Soleh Jangi Dost berasa amat
gembira mendapat seorang isteri yang solehah bernama Ummu khair Fatimah.
Dari perkahwinan keduanya itu lahir Syeikh Abdul Qadir Jailani.
Monday, April 15, 2013
Saturday, April 13, 2013
Friday, April 12, 2013
Tujuan menulis novel sejarah Islam..
Ini antara soalan yang kerap ditanya sejak buku saya mula terbit pada tahun 2007. Dan jawapan saya tetap sama iaitu merakamkan kisah, peristiwa serta fakta-fakta sejarah Islam dalam bentuk novel. Tamb...ahan pula bidang ini belum ramai malah ketika itu iaitu tahun 2007 belum ada penulis yang menulis novel sejarah Islam.
Adapun takrif novel sejarah ialah watak utamannya benar-benar wujud, fakta atau peristiwa benar berlaku, tempat berlaku dan masanya ada dicatatkan dalam buku atau kitab sejarah.
Fiksyen sejarah pula watak utamanya watak rekaan tidak pernah wujud, faktanya boleh direka-reka kerana tidak pernah berlaku, atau jika berlakupun boleh ditokoh tambah sesuka hati, latar masa dan latar tempat juga boleh direka-reka..
Kenapa Pak Latip tidak terus menulis buku sejarah Islam? Kenapa dinovelkan?
Buku sejarah Islam atau sirah sudah banyak di pasaran…apa salahnya pembaca diberi pilihan iaitu membaca buku sejarah atau pilihan kedua membaca novel sejarah.
Tujuan dinovelkan supaya pembaca mudah memahaminya dan mudah menghayatinya dan usaha itu telah berjaya. Boleh dikatakan semua yang telah membacanya mengatakan mereka lebih mudah memahaminya berbanding membaca buku sejarah. Walau bagaimanapun saya sarankan mereka mestilah membaca buku sejarah juga sebab novel sejarah bukan buku sejarah.. kerana itu pembaca digalakkan membaca serta merujuk buku sejarah bagi mendapatkan fakta yang lebih lengkap.
Sejauh mana kejayaannya?
Alhamdulillah novel sejarah Islam yang saya tulis boleh diterima pembaca ada yang terbit pada tahun 2007 terus diulang cetak hingga sekarang. Ada yang sudah diulang cetak berbelas kali. Hingga sekarang boleh dikatakan setiap bulan ada saja yang diulangcetak.
Pembacanya dari semua lapisan masayarakat iaitu golongan dewasa, remaja dan kanak-kanak. Ada pembaca yang beritahu setelah membacanya semakin faham mereka mengenai sejarah Islam, semakin menebal rasa cinta terhadap Islam dan semakin mereka sayang kepada nabi dan para sahabat yang telah berjuang untuk menegakkan Islam.
Ada ibu bapa membelikannya untuk menjadi bahan bacaan anak-anak di rumah, ada guru membelinya untuk perpustakaan sekolah malah pihak masjid juga membelinya untuk perpustakaan masjid.
Soalan terakhir, kenapa perlu diadakan dialog? Benarkah dialog itu dituturkan watak atau rekaan penulis?
Novel sejarah ternyata lebih digemari pembaca dari buku sejarah… itu diakui sendiri oleh pembaca…ini kerana membaca buku sejarah kata mereka membosankan kerana penuh dengan fakya, tahun dan peristiwa. Membaca novel sejarah seronok kerana ada dialog, ada suasana, ada latar masa dan latar tempat malah pembaca seolah berada pada zaman itu.Secara tidak langsung novel sejarah dapat menarik minat anak muda terhadap sejarah…
Adapun dialog penting dalam sebuah novel. Tanpa dialog itu bukan novel namanya. Kita kena bersedia memandang ke hadapan. Sepuluh atau dua puluh tahun akan datang, ada kemungkinan sejarah akan dijadikan dokumentari, sejarah akan di filemkan dan sejarah akan dijadikan animasi…Apakah apabila difilemkan nanti juga tidak boleh ada dialog? Apakah dalam animasi nanti tidak boleh ada dialog?
Bukankah dalam buku sirah nabi dan para sahabat ada dialog…dalam kitab qisasul anbiak atau kisah2 para nabi ada dialog nabi Adam, ada dialog nabi Ibrahim, nabi Musa dam ramai lagi.
Benarkah dialog nabi Adam dan nabi2 yang lain itu dituturkan mereka?. Ibnu Kathir menulisnya berdasarkan hadis dan ayat al Quran..tetapi dalam hadis dan Quran tidak ada dialog nabi Adam dan nabi lain2 yang begitu banyak dan panjang…lalu bagaimana?
Dialog watak dalam novel sejarah Islam berdasarkan fakta dan suasana…kerana itu dialognya tidak boleh meleret-leret…dialognya mesti terkawal dan tidak boleh dialog yang menimbulkan fitnah…
Apabila fakta sejarah dinovelkan ianya tidak merubah fakta yang sedia ada…malah memurnikan lagi fakta itu. Contohnya kisah perang Badar. Perang Badar itu adalah fakta…bagaimana terjadinya perang Badar? Bagaimana suasana Perang Badar, itu bukan merubah fakta yang sedia ada tujuannya supaya pembaca lebih mudah memahaminya serta berasa lebih yakin. Malah ada pembaca yang berasa seolah berada di tempat tersebut…ini beza antara membaca novel sejarah dengan buku sejarah…
Contoh yang paling tepat…kita mahu hidangkan ikan kepada seseorang…jika ikan itu di bakar tetap dikatakan lauk ikan…jika ikan itu digoreng tatap dikatakan lauk ikan….jika ikan itu digulai dibunuh perisa sehingga menjadi lazat memakannya..tetap dikatakan gulai ikan...
Diharap orang ramai boleh menerima pendekatan baru ini iaitu menyampaikan dakwah melalui bentuk novel…apa sahaja perbuatan jika dapat mengajak orang lain teringat Allah, cinta kepada nabi dan sahabat adalah amalan yang baik…
Jika masyarakat boleh menerima dakwah melalui nasyid atau nyanyian sepatutynya boleh menerimanya melalui novel juga… tren baru ini sebenarnya tidak boleh disekat Cuma boleh di pantau dan diawasi..
Setelah nabi wafat dikatakan ada 70 ribu sahabat yang hafaz al quran. Pada zaman khalifah Abu Bakar ramai syahid kerana berperang dengan mereka yang murtad, enggan membayar zakat dan nabi-nabi palsu. Akhirnya saidina Abu Bakar dan Saidina Omar mencadangkan supaya al Quran dikumpulkan dalam satu naskhah.
Pada mulanya ada dari kalangan sahabat membantah kerana perkara itu tidak pernah dibuat pada zaman nabi…sehingga zaid bin thabit berkata jika disuruh memindahkan gunung lebih mudah melakukannya…Hari ini umat Islam mendapat faedah dari usaha itu…Lihat seterusnya..
Ini antara soalan yang kerap ditanya sejak buku saya mula terbit pada tahun 2007. Dan jawapan saya tetap sama iaitu merakamkan kisah, peristiwa serta fakta-fakta sejarah Islam dalam bentuk novel. Tamb...ahan pula bidang ini belum ramai malah ketika itu iaitu tahun 2007 belum ada penulis yang menulis novel sejarah Islam.
Adapun takrif novel sejarah ialah watak utamannya benar-benar wujud, fakta atau peristiwa benar berlaku, tempat berlaku dan masanya ada dicatatkan dalam buku atau kitab sejarah.
Fiksyen sejarah pula watak utamanya watak rekaan tidak pernah wujud, faktanya boleh direka-reka kerana tidak pernah berlaku, atau jika berlakupun boleh ditokoh tambah sesuka hati, latar masa dan latar tempat juga boleh direka-reka..
Kenapa Pak Latip tidak terus menulis buku sejarah Islam? Kenapa dinovelkan?
Buku sejarah Islam atau sirah sudah banyak di pasaran…apa salahnya pembaca diberi pilihan iaitu membaca buku sejarah atau pilihan kedua membaca novel sejarah.
Tujuan dinovelkan supaya pembaca mudah memahaminya dan mudah menghayatinya dan usaha itu telah berjaya. Boleh dikatakan semua yang telah membacanya mengatakan mereka lebih mudah memahaminya berbanding membaca buku sejarah. Walau bagaimanapun saya sarankan mereka mestilah membaca buku sejarah juga sebab novel sejarah bukan buku sejarah.. kerana itu pembaca digalakkan membaca serta merujuk buku sejarah bagi mendapatkan fakta yang lebih lengkap.
Sejauh mana kejayaannya?
Alhamdulillah novel sejarah Islam yang saya tulis boleh diterima pembaca ada yang terbit pada tahun 2007 terus diulang cetak hingga sekarang. Ada yang sudah diulang cetak berbelas kali. Hingga sekarang boleh dikatakan setiap bulan ada saja yang diulangcetak.
Pembacanya dari semua lapisan masayarakat iaitu golongan dewasa, remaja dan kanak-kanak. Ada pembaca yang beritahu setelah membacanya semakin faham mereka mengenai sejarah Islam, semakin menebal rasa cinta terhadap Islam dan semakin mereka sayang kepada nabi dan para sahabat yang telah berjuang untuk menegakkan Islam.
Ada ibu bapa membelikannya untuk menjadi bahan bacaan anak-anak di rumah, ada guru membelinya untuk perpustakaan sekolah malah pihak masjid juga membelinya untuk perpustakaan masjid.
Soalan terakhir, kenapa perlu diadakan dialog? Benarkah dialog itu dituturkan watak atau rekaan penulis?
Novel sejarah ternyata lebih digemari pembaca dari buku sejarah… itu diakui sendiri oleh pembaca…ini kerana membaca buku sejarah kata mereka membosankan kerana penuh dengan fakya, tahun dan peristiwa. Membaca novel sejarah seronok kerana ada dialog, ada suasana, ada latar masa dan latar tempat malah pembaca seolah berada pada zaman itu.Secara tidak langsung novel sejarah dapat menarik minat anak muda terhadap sejarah…
Adapun dialog penting dalam sebuah novel. Tanpa dialog itu bukan novel namanya. Kita kena bersedia memandang ke hadapan. Sepuluh atau dua puluh tahun akan datang, ada kemungkinan sejarah akan dijadikan dokumentari, sejarah akan di filemkan dan sejarah akan dijadikan animasi…Apakah apabila difilemkan nanti juga tidak boleh ada dialog? Apakah dalam animasi nanti tidak boleh ada dialog?
Bukankah dalam buku sirah nabi dan para sahabat ada dialog…dalam kitab qisasul anbiak atau kisah2 para nabi ada dialog nabi Adam, ada dialog nabi Ibrahim, nabi Musa dam ramai lagi.
Benarkah dialog nabi Adam dan nabi2 yang lain itu dituturkan mereka?. Ibnu Kathir menulisnya berdasarkan hadis dan ayat al Quran..tetapi dalam hadis dan Quran tidak ada dialog nabi Adam dan nabi lain2 yang begitu banyak dan panjang…lalu bagaimana?
Dialog watak dalam novel sejarah Islam berdasarkan fakta dan suasana…kerana itu dialognya tidak boleh meleret-leret…dialognya mesti terkawal dan tidak boleh dialog yang menimbulkan fitnah…
Apabila fakta sejarah dinovelkan ianya tidak merubah fakta yang sedia ada…malah memurnikan lagi fakta itu. Contohnya kisah perang Badar. Perang Badar itu adalah fakta…bagaimana terjadinya perang Badar? Bagaimana suasana Perang Badar, itu bukan merubah fakta yang sedia ada tujuannya supaya pembaca lebih mudah memahaminya serta berasa lebih yakin. Malah ada pembaca yang berasa seolah berada di tempat tersebut…ini beza antara membaca novel sejarah dengan buku sejarah…
Contoh yang paling tepat…kita mahu hidangkan ikan kepada seseorang…jika ikan itu di bakar tetap dikatakan lauk ikan…jika ikan itu digoreng tatap dikatakan lauk ikan….jika ikan itu digulai dibunuh perisa sehingga menjadi lazat memakannya..tetap dikatakan gulai ikan...
Diharap orang ramai boleh menerima pendekatan baru ini iaitu menyampaikan dakwah melalui bentuk novel…apa sahaja perbuatan jika dapat mengajak orang lain teringat Allah, cinta kepada nabi dan sahabat adalah amalan yang baik…
Jika masyarakat boleh menerima dakwah melalui nasyid atau nyanyian sepatutynya boleh menerimanya melalui novel juga… tren baru ini sebenarnya tidak boleh disekat Cuma boleh di pantau dan diawasi..
Setelah nabi wafat dikatakan ada 70 ribu sahabat yang hafaz al quran. Pada zaman khalifah Abu Bakar ramai syahid kerana berperang dengan mereka yang murtad, enggan membayar zakat dan nabi-nabi palsu. Akhirnya saidina Abu Bakar dan Saidina Omar mencadangkan supaya al Quran dikumpulkan dalam satu naskhah.
Pada mulanya ada dari kalangan sahabat membantah kerana perkara itu tidak pernah dibuat pada zaman nabi…sehingga zaid bin thabit berkata jika disuruh memindahkan gunung lebih mudah melakukannya…Hari ini umat Islam mendapat faedah dari usaha itu…Lihat seterusnya..
Wednesday, April 10, 2013
PESTA BUKU BRUNEI 2013
Saya dijemput untuk datang mempromosikan novel sejarah Islam di Brunei sempena Pesta Buku Brunei 2013...
Novel
sejarah Islam yang saya tulis telah disemak, dilulus serta diakui benar
oleh pihak ketiga iaitu pusat dakwah islamiyah brunei sedangkan banyak
buku lain terutama yang ada unsur syiah dan wahabi tidak
diluluskan...pada saya itu satu bukti buku-buku saya itu tidak
merosakkan akidah umat Islam...berhati-hati dengan fahaman syiah dan
wahabi...
Subscribe to:
Posts (Atom)