Saturday, April 12, 2008

SULTAN MUHAMAD AL FATEH

20hb April 2008

Segala puji-pujian bagi Allah swt. Selawat serta salam kepada junjungan besar Nabi Muhamad saw, ahli keluarga dan para sahabat baginda. Alhamdulillah, kerana dengan izinNya beberapa buah lagi novel sejarah pahlawan Islam akan diterbitkan oleh PTS Fortuna antaranya Sultan Muhamad al Fateh Penakluk Konstantinopel.

Sejarah Konstantinopel bermula apabila Maharaja Constantine memindahkan ibu kotanya dari Rom ke Konstantinopel pada tahun 330 Masihi. Ekoran dari itu pada tahun 1054 kerajaan Rom berpecah dua, satu di Rom yang dikenali bermazhab Kristian Roman Katolik dan satu lagi di Konstantinopel bermazhab Ortodoks.

Kerajaan Rom Timur ini meliputi negerinegeri di tenggara Eropah, Asia Minor, Syria, Palestin, Mesir, pulau-pulau di Mediterranean dan Pulau-pulau di Corsica dan Sicily. Ketika itu Konstantinopel menjadi tumpuan pedagang dari seluruh pelusuk dunia.
Mereka juga membina gereja Aya Sophia satu bentuk bangunan yang paling luar biasa cantiknya kerana belum pernah dilihat oleh manusia. Bumbungnya seperti tergantung. Bangunan itu dihiasai dengan batu-batu berwarna, emas, perak dan permata. Lukisan pada dinding dan syilingnya begitu indah sekali.

Kerajaan Byzantium sering mengancam perkembangan Islam. Nabi Muhamad SAW pernah mengutus surat kepada Maharaja Rom tetapi surat itu dikoyakkannya.
Nabi Muhamad SAW bersabda, “Kota Konstantinopel akan jatuh ke tangan Islam. Pemimpin yang menaklukkannya adalah sebaik-baik pemimpin dan pasukan yang berada di bawah komandonya adalah sebaik-baik pasukan.” (H.R. Ahmad bin Hanbal Al-Musnad 4/335)
Setelah lebih 800 tahun hadis itu diucapkan oleh Rasulullah SAW barulah menjadi kenyataan. Seorang sahabat Rasulullah SAW bernama Abu Ayyub Al-Anshari r.a gugur syahid lalu dikebumikan di sisi benteng Konstantinopel..

Usaha menakluk Konstantinopel telah dimulakan oleh Saidina Ali pada tahun 34 Hijrah. Muawiyah bin Abu Sufian pada tahun 84 hijrah. Sultan Sulaiman pada tahun 91 hijrah, Khalifah Harun al Rasyid pada tahun 165 hijrah. Sultan Beyazid pada tahun 1391, 1397 dan 1400 tetapi semuanya menemui kegagalan. Akhirnya pada 20 jamadil awal tahun 857 hijrah bersamaan 29hb Mei 1435 masihi barulah kota konstantinopel berjaya ditawan oleh Sultan Muhamad al Fateh.

Sultan Muhamad al Fateh dilahirkan pada 27 Rajab 835 Hijrah bersamaan 29 Mac 1432 M dan meninggal dunia pada 3 Mei 1481.

Ketika berumur 19 tahun beliau menaiki takhta menggantikan ayahnya Sultan Murad. Baginda menjadikan Adrianopel (Adana) pusat pemerintahan dan ibu kotanya bagi memudahkan cita-citanya menawan Konstantinopel. Dan ketika berusia 21 tahun Sultan Muhamad al Fateh berjaya menakluk Konstantinopel pada 29 Mei 1453 bersamaan 20 jamadil awal 857 hijrah.

Sultan Muhammad Al-Fateh sejak dalam buaian lagi sudah diisyaratkan bakal mencipta sejarah oleh seorang alim, Syeikh Syamsuddin Al Wali. Beliau pernah berkata kepada Sultan Murad ( ayah kepada Muhammad Al Fateh):

“Wahai Sultan Murad, bukan tuanku yang akan membebaskan kota konstantinopel, tetapi anak yang dalam buaian itu,” sambil menunjuk Muhammad Al Fateh yang masih di dalam buaian.

Sejak itu Muhammad Al Fateh dilatih hidup sederhana, dididik dengan ilmu agama dan ilmu peperangan. Beliau membesar sebagai pemuda yang tampan. Bentuk badannya tegap, kuat dan tinggi. Pipinya putih kemerah-merahan dan hidungnya mancung.
Beliau mula menaiki takhta ketika umurnya 19 tahun. Di kala itu baginda sudah begitu arif dengan tipu helah musuh. Pernah Maharaja Konstantinopel mengirim guru-guru terbaik untuk mendidiknya tentang adab dan adat istiadat kehidupan raja-raja, tetapi beliau menolaknya lalu menyuruh guru-guru tersebut pulang.

Kemudian baginda membina benteng yang dinamakan Rumeli Hisarri yang bermaksud benteng orang-orang Rom. Baginda sendiri membuka baju dan serbannya, mengangkat batu dan pasir hingga ulama-ulama dan menteri-menteri terpaksa ikut serta.
Sultan Muhamad al Fateh menukar nama Kota Konstantinopel kepada Istanbul lalu menjadikan ibu kotanya. Kemudian beliau menakluk Serbia pada tahun 1460 dan Bosnia pada tahun 1462. Seterusnya Sultan Muhamad al Fateh menakluk Italia, Hungari, dan Jerman. Ketika berada dikemuncak kegemilangannya, Sultan Muhamad al Fateh memerintah 25 buah negeri. Kemudian dia membuat persiapan menakluk Rhodesia tetapi meninggal dunia kerana diracun oleh seorang Yahudi bernama Maesto Jakopa.

Sultan Muhammad Al Fateh yang dilahirkan pada 29 Mac 1432 itu telah meninggal dunia pada 3 Mei 1481 ketika berusia 49 tahun.

DOL SAID PAHLAWAN NANING


British sebuah kuasa besar dunia pernah dikalahkan oleh pahlawan-pahlawan Melayu dalam perang Naning pertama pada tahun 1831. Kekalahan itu amat mengaibkan Inggeris kerana mereka adalah kuasa besar boleh dikalahkan oleh Naning sebuah daerah kecil. Pada mulanya mereka yakin Naning boleh ditewaskan dalam masa sehari sahaja. Tetapi mereka ditentang hebat oleh pahlawan-pahlawan Melayu yang hanya bersenjatakan parang panjang, lembing, anak panah dan pelbagai senjata tradisional yang lain. Setelah berlaku pertempuran selama 18 hari maka tentera British terpaksa berundur setelah ramai tenteranya yang terbunuh dan cedera. Kekalahan itu amat mengaibkan Inggeris sehingga mereka terpaksa menghantar ramai tentera termasuk meriam dalam usaha menundukkan Naning.

Sebelum berlakunya Perang Naning kedua pada tahun 1832, British berjaya memecahbelahkan perpaduan orang-orang Melayu dengan mengikat perjanjian dengan daerah-daerah yang bersempadan dengan Naning termasuk Rembau, Sungai Ujung dan Seri Menanti.

Dalam perang Naning pertama Dol Said mendapat bantuan daripada orang-orang Rembau yang diketuai oleh Syed Saaban. Setelah adanya perjanjian itu maka penghulu Rembau bukan sahaja menarik pahlawan-pahlawannya dari Naning malah mereka membantu Inggeris menakluk Naning.

Walaupun tidak lagi mendapat bantuan dari Rembau dan daerah yang berjiran dengannya namun Dol Said dan orang-orangnya bertekad mempertahankan Naning.

Pada April 1832 askar-askar Inggeris yang diketuai oleh Kolenal Herbert dibantu oleh pasukan Rambau yang diketuai oleh Syed Shaaban menyerang Naning bagi kali kedua.

Sekali lagi berlaku pertempuran yang sengit antara kedua belah pihak. Dan setelah berlaku pertempuran selama hampir dua bulan akhirnya Dol Said dan para pengikutnya terpaksa berundur dari Naning.

Namun kemenangan itu tidak mengembirakan British kerana mereka terpaksa menangung kerugian 100,000 pound dan kehilangan ramai askar bagi menakluk sebuah daerah kecil.

DOL Said atau nama sebenarnya Abdul Said lahir pada tahun 1773 di Naning, Alor Gajah, Melaka. Beliau berasal dari suku Semelenggang. Dol Said adalah penghulu Naning yang ke sembilan.

Sejak kecil lagi, sifat keberaniannya mula diperlihatkan apabila beliau mula belajar ilmu mempertahankan diri atau seni silat sejak berusia enam tahun. Dol Said seorang yang tekun mengaji, cekap dalam seni mempertahankan diri dan sentiasa dihormati orang ramai. Beliau juga seorang yang taat kepada kedua orang tuanya.

Dol Said dilantik sebagai Penghulu Naning menggantikan Penghulu Anjak pada tahun 1799 sewaktu berumur 26 tahun.

British telah meminta Naning memberi satu persepuluh daripada hasilnya. Dan ini dibantah oleh Penghulu Dol Said kerana Naning telah merdeka.

Semasa Belanda memerintah Melaka selepas kejatuhan Portugis, Naning berada di bawah kuasa Belanda dan mereka menghantar satu persepuluh hasil Naning kepada Belanda. Tetapi kemudiannya Belanda telah mengiktiraf Naning sebuah wilayah yang merdeka.
Tetapi apabila British mengadakan perjanjian dengan Belanda pada 1824 British menyerahkan Bengkulu, Sumatera kepada Belanda dan Belanda menyerahkan Melaka kepada pemerintahan British. Dan British memganggap Naning berada di bawah pemerintahan mereka.Sejak itu bermulalah persengketaan antara Dol Said dengan Brtish yang membawa kepada perang Naning pertama 1831 dan Perang Naning kedua 1832.

Kemenangan pahlawan-pahlawan Melayu menentang British dalam perang Naning pertama disebabkan wujudnya perpaduan di kalangan orang Melayu. Naning tidak sendirian kerana di sokong oleh daerah-daerah yang berjiran dengannya.

Tetapi kekalahan dalam perang Naning kedua kerana tidak wujud lagi perpaduan di kalangan orang Melayu malah mereka sanggup membantu Inggeris menyerang Naning.

Kisah Dol Said Pahlawan Naning ini akan dijadikan novel.

Sunday, April 6, 2008

PESTA BUKU DAN MPH



Gembira tengok buku-buku mendapat tempat di kedai utama seperti MPH.




Pada 6hb (Ahad) sekali lagi saya ke booth PTS. Tetapi kali ini bukan untuk sessi bertemu pembaca tetapi sekadar berjalan-jalan dan melihat suasana.

Saya juga membawa seorang anak angkat baru berusia tujuh tahun. Amirul namanya. Sedang saya berbual-bual dengan Puan Ainon dan kawan-kawan Amirul memilih sendiri buku-buku yang menarik minatnya. Ternyata kanak-kanak amat meminati buku-buku PTS. Bukan sebuah yang dipilihnya tetapi lebih sepuluh buah. Mujur PTS memberi potongan harga istimewa kepada penulisnya.

Kemudian singgah di booth al Ameen berjumpa dengan Faisal Tehrani. Novel-novelnya juga laku keras.

Pada sebelah petang sempat ke MPH Alamanda. Itulah pertama kali saya ke sana. Khabarnya bulan Mac saja lebih 2,000 buku PTS laku di kedai yang menjadi tumpuan keluarga elit itu.

Novel-novel terbaru PTS turut di pamerkan di ruang utama. Novel-novel saya juga turut dijual tetapi diletakkan di rak buku umum. Gembira hati melihat semua novel saya dengan PTS ada dijual di situ. Khabarnya Salahudin Penakluk Jerusalem, Amir Hamzah jilid 1 dan Tariq Menang atau Syahid tersenarai dalam 30 judul yang laris di MPH Alamanda. Alhamdulillah.

Semasa berada di situ ada seorang budak lelaki yang ditemani ayah dan ibunya membeli novel Salahuddin Penakluk Jerusalem. Setelah mengetahui saya penulisnya lantas si ayah meminta saya menandatangani pada buku itu.

Seorang pekerja MPH bertanya adakah saya datang dihantar oleh PTS. Saya jawab tidak.

"Saya cuma nak jalan-jalan," kata saya.

PESTA BUKU ANTARABANGSA 2008




Pesta Buku Antarabangsa 2008 bermula 4hb hingga 13hb. Seperti tahun-tahun yang lalu, ramai yang datang terutama pada hari Sabtu dan Ahad sehingga terpaksa bersesak-sesak. Bagaimana agaknya Kalau booth PTS terletak berhampiran dengan pintu masuk utama?. Tentulah lebih sesak kerana walau terletak agak jauh di seberang sungai tetap dikunjungi ramai.

Puan Ainon kelihatan ceria dan senyum lebar kerana banyak buku-buku PTS yang laku keras. Menurut beliau hampir 200 penulis menerbitkan karya dengan PTS. Banyak judul buku yang habis dijual pada hari pertama pestabuku. Alhamdulillah.

Sesuai dengan namanya pesta buku maka inilah peluang untuk membeli buku, bertemu rakan-rakan penulis, mempromosikan novel serta berjumpa dengan pembaca.

Giliran saya berada di booth PTS pada 5hb (Sabtu) dari jam 3 hingga 4 petang. Turut berada di sana beberapa orang penulus PTS antaranya Prof. Muhamad Kamal Ibrahim penulis Travelog Haji,Imran Yusuf Tip-Tip Poligami dan Meredah Samudera, Firdaus Arif Sayap Adinila, Zaid Akhtar Salju Sakinah dan Zamri Mohamad Rahsia Bisnes Mamak yang mana kesemua karya mereka sedang laris di pasaran.

Sempat juga berjumpa seorang penulis dari Indonesia Asma Nadia. Dia juga mewakili penerbit Mizan di Jakarta yang banyak melesen novel-novel PTS. Sambil membelek-belek novel sejarah Islam dia berkata alangkah baiknya kalau novel itu dilesen oleh Mizan tetapi saya katakan telah dilamar oleh penerbit Salamadani.


Alhamdulillah, pestabuku 2008 ini masih ramai yang membeli novel sejarah Islam.

Seorang lelaki yang datang dari Singapura mengatakan novel sejarah Islam termasuk Si Bongkok Tanjung Puteri dan Setelah Roboh Kota Melaka ada dijual di kota singa itu.

“Saya dah baca novel-novel sejarah Islam dan gembira dapat bertemu dengan penulisnya,”kata lelaki itu.

Seorang guru wanita dari Johor pula membeli kesemua novel-novel saya termasuk Hikayat Amir Hamzah jilid satu dua dan tiga. Setelah membayar secara tunai dia meminta PTS mengirimkan kepadanya melalui pos kerana sudah banyak buku-buku yang dibelinya sehingga tidak larat hendak membawanya.

Beberapa orang pelajar yang sudah membaca novel-novel sejarah Islam datang bertanya bagaimana cara menulisnya.

Kerana seronok berbual, bergambar dan menandatangani novel-novel yang dibeli tidak sedar jam sudah pukul 5 petang. Terus ke majlis pelancaran MBOOK.