Thursday, October 30, 2008

DAPAT HADIAH NOVEL IMAM

Seorang pembaca blog ini Tuan Fazli Hashim mengirim emel menceritakan beliau sudah puas mencari novel IMAM karya SN Datuk Abdullah Hussain tetapi masih belum dapat.

“Saya sanggup membayar 200% harga asal novel itu termasuk belanja pos sekiranya saudara dapat mencarikannya untuk saya,” beritahu Fazli dalam emelnya.

Saya menghubungi ujanailmu.com bertanyakan novel tersebut. Masih ada dalam stok. Lalu saya memaklumkan kepada Fazli supaya berhubung terus dengan ujanailmu.com.

“Saudara tak perlu membayar lebih kerana harganya Cuma RM29.90 dan belanja pos RM3.00. Sekiranya saudara ada duit lebih boleh beli 2 buah hadiahkan sebuah kepada saya,” kata saya pula sekadar bergurau.

Semalam saya mendapat kiriman novel tersebut. Rupanya Fazli telah membelinya melalui ujanailmu.com lalu menghadiahkannya kepada saya. Terima kasih Fazli kerana menghadiahkan novel tersebut
.



Kebetulan saya memang ingin memiliki novel IMAM. Dulu saya pernah membelinya. Semasa berpindah ke Sarawak saya membawanya. Tetapi belum sempat membacanya Anuar Yusof Rawa (anak yusof Rawa) yang tinggal berjiran dengan saya meminjam novel tersebut. Kebetulan pula dia sedang mencari novel itu tetapi belum dapat.

Novel IMAM memenangi tempat pertama Hadiah Novel Nasional 1992/1994. Setelah novel itu diumumkan sebagai pemenang dan sebelum novel itu diterbitkan, saya sempat berbual dengan Pak Lah, ketika itu beliau masih belum bergelar SN dan Datuk. Kebetulan kami duduk satu bangku dalam bas semasa mengikuti rombongan GAPENA melawat Sumatera Barat.




Menurut Pak Lah beliau bimbang sekiranya novel tersebut menimbulkan kontroversi kerana ada beberapa perkara sensitif yang terkandung dalam novel tersebut.

Setelah pulang dari lawatan tersebut saya menulis sebuah rencana mengenai temubual itu dan tersiar dalam Utusan Zaman. Mujurlah sebelum menghantar tulisan itu kepada surat khabar saya menghubungi Pak Lah serta menghantar salinannya. Beliau telah membuang beberapa perenggan yang dianggapnya terlalu peribadi. Kerana itu apabila rencana itu tersiar Pak Lah mengucapkan terima kasih. Alhamdulillah, apa yang dibimbangkan itu tidak berlaku kerana masyarakat pembaca dapat menerimanya. Malah novel tersebut antara novel yang paling laris.


Menurut Pak Lah, judul asal novel itu IMAM MIHAD. Beliau mengambil masa lebih 3 tahun untuk menyiapkan novel setebal 900 halaman itu.




Daripada SN Datuk Abdullah Hussain juga saya mendapat beberapa petua menulis. Beliau menyatakan kebiasaannya sebelum memulakan kerja menulis akan memeram dulu bahan-bahan penulisannya dalam kepala kemudian barulah dicurahkan di atas kertas.


Beliau mengambil contoh bagaimana kelahiran seorang bayi yang mana melalui beberapa tahap sebelum dilahirkan dan jika belum cukup bulan bayi dilahirkan maka bayi tersebut dianggap premature.

Mengenai petua supaya rajin menulis, beliau mengatakan mesti menulis setiap hari paling kurang lima muka surat.




Bergambar dengan SN Datuk Abdullah Hussain semasa melawat Sumatera Barat (Minangkabau) pada tahun 1994.

Friday, October 17, 2008

NOVEL TERAKHIR DENGAN PTS FORTUNA


Pada 5hb Oktober yang lalu saya ada siarkan entri bertajuk NOVEL KE 13. Semasa menulisnya saya teringat mengenai kepercayaan orang Barat dan Eropah yang takut dengan angka 13 dengan anggapan angka itu membawa sial. Tetapi dalam Islam tidak ada angka yang sial.

Entah secara kebetulan barangkali, novel ke 13 itu merupakan novel saya yang terakhir dengan PTS Fortuna.

Thursday, October 16, 2008

BERARAKLAH AWAN PILU



Seorang pelajar bernama Norul Faqiehah membuat kajian mengenai novel ini. Beliau telah menghantar 16 soalan bertulis untuk saya jawab. Soalan pertamanya ialah:

1- Apakah objektif sebenar pengarang menulis novel “Beraraklah Awan Pilu”?

Judul asalnya “Mencari Ayah”. Tujuan saya menulisnya untuk berkongsi pengalaman dengan pembaca mengenai pengalaman sendiri mencari ayah. Sejak dilahirkan saya tidak pernah melihat ayah. Membesar tanpa kasih sayang seorang ayah kerana ayah menghilang diri ketika saya masih dalam kandungan ibu.

Setelah saya dewasa dan berumah tangga, anak-anak saya selalu bertanya, siapakah datuk mereka?. Di mana dia berada sekarang?. Persoalan itu juga yang menghantui saya sejak kecil. Dan saya tidak malu mengaku pernah dihantar ke rumah anak yatim Ulu Gadong.

Pada tahun 1989 saya nekad untuk mencari ayah saya. Ibu saya sendiri tidak tahu di mana ayah saya berada. Entah masih hidup atau telah meninggal dunia. Gambarnya pun tidak ada. Cuma kata ibu saya, ayah orang Pulau Pinang. Alamat lengkapnya tidak ada. Namun saya nekad juga hendak mencarinya walaupun terpaksa menjelajah ke seluruh Pulau Pinang. Dipendekkan cerita, akhirnya saya dapat menemui ayah saya tapi di Singapura bukan di Pulau Pinang. Pengalaman mencari ayah itulah saya rakamkan dalam novel ini.

Namun banyak juga yang saya tokok tambah bagi menyedapkan cerita. Contohnya, watak utama bernama Syafiq bukan aku. Novel ini berlatar belakangkan negara Brunei bukan Pulau Pinang dan Singapura. Kenapa saya memilih negara Brunei?.

Pada tahun 2004, saya pernah melawat Brunei. Lalu saya rakamkan pejalanan ke Brunei itu dalam novel ini.

Setelah novel ini siap ditulis, saya menghantarnya untuk hadiah sastera utusan 2005. Nasib baik menang. Kerana judul Mencari Ayah kurang menarik maka Editor Kanan Utusan (Puan Nor Azah) mencadangkan supaya ditukar kepada Beraraklah Awan Pilu. Saya bersetuju kerana judul itu lebih menarik dan sesuai dengan tema novel ini.

Kini telah "Beraraklah Awan Pilu" itu.


Monday, October 13, 2008

BERTEMU TUNKU IBRAHIM

Tunku Ibrahim minat membaca sejarah Islam. Pada suatu hari ketika berada dalam sebuah kedai buku di Seremban beliau terjumpa novel Khalid Memburu Syahid lalu membelinya.

"Saya tertarik dengan buku itu kerana bahasanya mudah difahami serta diolah dengan begitu baik. Kemudian saya menghubungi penerbit buku itu (PTS) untuk berkenalan dengan penulisnya," kata Tunku Ibrahim semasa saya datang berhari raya di rumahnya di Kuala Pilah.

Sejak itu kami sering bertanya khabar, berbincang mengenai sejarah Islam dan isu-isu semasa.

"Saya juga suka membaca karya Faisal Tehrani," kata Tunku Ibrahim.

"Penulis tidak sudikah datang ke rumah saya pada hari raya ini?" tanya Tunku Ibrahim melalui sms yang dihantar kepada saya.

"Saya memang dah lama nak bertemu tunku," balas saya.


Terima kasih tunku dan keluarga kerana menjamu saya dengan juadah yang menyelerakan.



Sempat mengambil gambar salasilah jurai keturunan Tunku Ibrahim. Beliau kerabat Diraja Seri Menanti.

Sebelum balik sempat bergambar dengan Tunku Ibrahim.

Saturday, October 11, 2008

PENDAHULUAN DAN SINOPSIS

Sejak entri buku ini disiarkan ada yang mencarinya di kedai buku tetapi tidak ada lagi kerana diterbitkan sepuluh tahun yang lalu. Kerana itu ada yang ingin mengetahui kandungannya. Untuk itu saya siarkan petikan Pendahuluan dan Sinopsis Istana Menanti.

Pendahuluan

Adik-adik pembaca,

Mata pelajaran Sejarah sudah menjadi subjek teras di sekolah-sekolah seluruh tanah air. Tahukah adik-adik peri pentingnya pendidikan Sejarah sehingga mata pelajaran ini diberi perhatian istimewa oleh Kementerian Pendidikan?.

Sejarah sesebuah negara mesti diketahui oleh setiap warganya, lebih-lebih lagi generasi muda. Sejarah mengenalkan kita siapa kita sebenarnya, dari mana asal kita dan siapa jurai keturunan kita. Sejarah juga boleh menjawab persoalan tentang nilai yang kita pegang atau budaya yang kita amalkan. Kerana itulah para sarjana dan bijak pandai mengembeleng tenaga mengkaji segala peristiwa, tarikh, perjanjian dan segala tinggalan, artifak atau fakta-fakta yang ditinggalkan oleh orang terdahulu. Apa yang terjadi dahulu itulah yang telah membentuk negara yang kita diami hari ini.

Buku ini direka dan disusun khas untuk bacaan adik-adik di tingkatan peralihan atau tingkatan satu hingga tingkatan tiga. Buku ini menggunakan pendekatan kreatif atau cereka untuk menyampaikan fakta sejarah.

Sejarah yang adik-adik baca dalam buku sekolah penuh dengan tarikh, perjanjian, senarai tokoh dan peristiwa. Tidak ada unsur kemanusiaan di dalamnya, menjadikan apa yang adik-adik baca hanyalah sesuatu yang kering. Agaknya kerana itulah belajar sejarah terasa amat membosankan, lebih-lebih lagi kerana segala faktanya terpaksa dihafaz.

Buku ini kaya dengan unsur kemanusiaan seperti semangat, perjuangan, sedih pilu, gembira ria, cinta kasih, suspen, malahan kelucuan. Unsur-unsur inilah yang diolah dan dicanai dengan cara yang menarik lagi dramatik. Dengan ini sejarah lebih mudah dihayati bahkan menyeronokkan pula.

Selepas membaca buku ini kami berharap adik-adik akan lebih memahamni mata pelajaran sejarah di sekolah, menggunakan bahasa yang mudah dan dikawal. Menjadikannya juga bahan yang sesuai untuk membina dan menggilap penguasaan Bahasa Melayu adik-adik.

Mudah-mudahan minat adik-adik terhadap sejarah tanah air terpupuk dengan baik dan terus berkembang. Sesungguhnya apa yang berlaku hari ini akan menjadi sejarah hari esok.

Buku ini mendekatkan pembaca kepada sejarah tanah air bermula pembukaan Melaka hingga zaman menuntut kemerdekaan.

Selamat membaca dan beroleh manfaat.


Sinopsis

Novel remaja awal ini mengisahkan tiga orang sahabat, Fadhil, Ramasamy dan Ah Seng tertarik dengan kisah sebuah istana lama yang terletak di puncak sebuah gunung. Istana Menanti ada kaitan dengan sejarah kedatangan orang-orang Minangkabau ke Tanah Melayu. Pernah menjadi tempat bersemayam Raja Melewar. Pernah menjadi tempat persinggahan Sultan Mahmud Shah sebelum berundur ke Muar setelah Melaka ditawan Portugis. Di Istana Menanti juga pernah menjadi tempat berkumpulnya pendekar-pendekar Rembau sebelum pergi ke Naning membantu Dol Said menentang British dalam perang Naning pertama. Semasa pendudukan Jepun Istana Menanti digunakan oleh gerakan bawah tanah bagi menentang askar Jepun. Dan yang terakhir pernah digunakan oleh pengganas Komunis sebelum negara kita merdeka.

Tiga sahabat itu akhirnya sampai ke puncak gunung lalu memasuki istana tersebut. Pelbagai peristiwa ganjil. menyeramkan malah melucukan yang mereka tempuhi tetapi dengan semangat setiakawan akhirnya mereka terselamat dari bahaya.

Monday, October 6, 2008

ISTANA MENANTI

Istana Menanti yang diterjemahkan dalam Bahasa English pada tahun 2000

Istana Menanti yang diterbitkan dalam Bahasa Melayu terbit pada tahun 1998.


Dalam tahun 1998, Utusan Publications & Distributors menerbitkan Balai Sejarah mengandungi 8 novel dan 2 antologi cerpen. Daripada 8 novel itu 2 di antaranya karya saya berjudul Istana Menanti dan Pendekar Siamang Gagap. Kedua novel itu diterjemahkan ke dalam Bahasa English diterbitkan pada tahun 2000.

Tetapi entah kenapa siri Balai Sejarah itu tidak diteruskan lagi.

Tahun lepas saya dapat membeli novel tersebut dalam jumlah yang agak banyak dengan harga paling murah.

Kata orang tuah ayam pada taji. Tuah penulis pada bukunya. Hari ini saya dapat berita yang mengembirakan. Semoga berita itu benar dan menjadi kenyataan. Sekiranya benar, apa lagi yang patut diucapkan selain Alhamdulillah, bersyukur kepada Allah SWT yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani.

Sunday, October 5, 2008

NOVEL KE 13

PTS Fortuna
RM 27.90 / RM 30.90 (Sabah & Sarawak),
978-967-5136-21-4; 9789675136214
Tarikh Terbit: 10 October 2008 ;
Jumlah Muka Surat : 368 halaman

Ini adalah novel saya yang ke 13 diterbitkan oleh PTS Fortuna. Syukur.

Ada yang bertanya bagaimana boleh menerbitkan 13 buah novel dalam masa dua tahun?. Berapa lama menghasilkan sebuah novel?. Adakah Pak Latip dibantu oleh sesiapa?.

Kerana novel sejarah belum ramai yang menulisnya maka saya mendapat peluang untuk menerbitkannya dengan PTS. Kerana novel sejarah itu laku keras serta diulangcetak memberi semangat kepada saya untuk terus menulisnya.

Saya tidak menetapkan berapa lama menyiapkan sebuah novel tetapi saya menulisnya setiap hari. Tambahan pula sekarang menjadi penulis sepenuh masa dapatlah sepenuh masa menulis.

Kata Faisal Tehrani dalam blognya, dia mendapat bantuan dari “langit.” Kata Ramli Awang Mursyid pula, novelnya laris berkat keluarkan zakat dan sedekah. Saya ambil iktibar dari dua orang novelis yang terkenal itu.

Maka selalulah saya berdoa semoga diberi hidayah, ilham serta kekuatan untuk menulis. Royalti yang diterima dari PTS juga akan dikeluarkan zakat apabila cukup haul dan nisabnya. InsyaAllah.

Saya juga yakin apabila kita membantu mereka yang memerlukan bantuan maka Allah SWT juga pasti membantu kita.