Showing posts with label PERTEMUAN. Show all posts
Showing posts with label PERTEMUAN. Show all posts

Saturday, January 21, 2012

MIMPI BERTEMU BADIUZZAMAN SAID NURSI


Semasa menulis novel Badiuzzaman Said Nursi, ibu saya meninggal dunia menyebabkan perasaan terganggu dan penulisannya terhenti lebih satu minggu.

Tiba-tiba pada suatu malam saya bermimpi berada di Barla, bertemu dengan Badiuzzaman Said Nursi. Beliau tidak berkata apa-apa cuma memandang ke arah saya. Apabila tersedar dari tidur saya merasakan mood menulis itu datang semula dan selepas itu penulisannya berjalan lancar.

Itulah pengalaman menarik semasa menulis novel Badiuzzaman Said Nursi...



Wednesday, October 19, 2011

BERTEMU ABDUL KADIR BADILI


Abdul Kadir Badili antara anak-anak murid Ustaz Badiuzzaman Said Nursi yang masih hidup. Kami dipertemukan dengannya semasa berada di Ankara. Beliau menulis biografi Badiuzzaman Said Nursi sebanyak tiga jilid dan buku itu dihadiahkan kepada saya disertakan tanda tangannya dalam tulisan Uthmaniah.

Salah satu catatan Abdul Kadir Badili dalam bukunya, pada tahun 1969 beliau menemuramah seorang rakan karib Ustaz Badiuzzaman Said Nursi bernama Fakirullah Molazade yang ketika itu sudah berusia 96 tahun.

Menurut Fakirullah Molazade pada suatu hari Badiuzzaman Said Nursi berkata, “Kamu akan hidup sampai usiamu 100 tahun. Dan aku meninggal dunia di Urfa. Kemudian orang akan menggali kuburku dan memindahkan ke suatu tempat rahsia…”

Benarlah seperti apa yang dikatakan Badiuzzaman Said Nursi, beliau meninggal dunia di Urfa pada 23 Mac 1960/ 25 Ramadan 1379). Tiga bulan selepas dikebumikan, kuburnya digali pihak tentera lalu dipindahkan ke tempat yang tidak diketahui…

Fakirullah Molazade pula meninggal dunia pada tahun 1973 ketika berumur 100 tahun.


























Wednesday, October 5, 2011

BERTEMU ANAK MURID USTAZ BADIUZZAMAN SAID NURSI



Dalam usaha menjejaki sejarah kehidupan Ustaz Badiuzzaman Said Nursi kami pergi ke Istanbul, Bursa, Barla, Isbarta, Konya, Ankara, Yozgat dan Urfa. Kami juga menemui anak-anak murid beliau yang masih hidup antaranya Abdullah Yegin, Mehmet Firinci, Said Ozdemir, Salih Ozcan dan Abdulkadir Badili. Kesemua anak murid Ustaz Badiuzzaman Said Nursi bertaraf ulama. Jika anak muridnya begitu hebat apatah lagi gurunya.

Kenangan paling tidak dapat dilupakan apabila bertemu dengan Ustaz Said Ozdemir. Kami berkunjung ke rumahnya disambut sebagai tetamu. Dijamu dengan buah-buahan.

Beliau bercerita mengenai satu kisah seorang lelaki yang mengaku Imam Mahdi mahu menemui Uztaz Badiuzzaman Said Nursi. Namun setiap kali mahu berjumpa ada sahaja halangannya. Ustaz Badiuzzaman Said Nursi dikurniakan firasat dapat mengetahui apa tujuan seseorang mahu menemuinya.

Akhirnya Ustaz Badiuzzaman berkata, “Ada seorang Imam Mahdi palsu mahu menemui aku…”

Sebelum kami pulang Ustaz Said sempat mengusap kepala saya sambil mendoakan. Beliau juga memberi sesuatu yang paling berharga yang belum pernah diberikannya kepada orang lain…

Alhamdulillah…


Tuesday, August 24, 2010

BERBUKA PUASA

Dapat bergambar dan bersalaman semasa majlis berbuka puasa di kediaman rasmi YAB Tan Sri Dato’ HJ Muhyiddin bin Haji Mohd Yassin Timbalan Perdana Menteri Malaysia di Sri Satria Putrajaya pada 24 Ogos.

Bergambar dengan penyair Rahman Shaari dan Ghazali Malim.

Penulis PTS Nissa' Yusof dengan novel terbaharunya GERHANA


Tak sangka dapat sembahyang di sebelah TPM. Kami bersentuhan bahu semasa bersembahyang dan saya dapat dengar bacaan wirid, doa dan selawatnya yang fasih..


Berbuka puasa bersama pengurus dan editor PTS Litera yang menerbitan novel sejarah Islam...



Berbuka puasa bersama keluarga....




Tuesday, January 6, 2009

MOHD GHAZALI TOCHEH PULANG KE RAHMATULLAH

Mohd Ghazali Tocheh antara penulis kelahiran Negeri Sembilan yang rajin menulis. Walaupun beliau pengarang OKU tetapi tidak menghalangnya untuk berkarya.

Berkat ketekunannya menulis beliau menerima Anugerah Penulis Remaja Negeri Sembilan 2004 dan Anugerah kategori Tokoh Karya Kanak-Kanak / Remaja, Anugerah Sastera Negeri Sembilan 2005. Allahyarham meninggal dunia di kediamannya di Taman Melati, hari ini (Selasa 6hb)

Baru-baru ini beliau menefon saya menceritakan mengenai kegiatannya di bidang penulisan. Saya mencadangkan beliau menghantar karyanya kepada PTS. Khabarnya beliau sudah pun berjumpa dengan Editor PTS.

Saya terkejut apabila dimaklumkan mengenai pemergiannya.

Al Fatihah.

Monday, October 13, 2008

BERTEMU TUNKU IBRAHIM

Tunku Ibrahim minat membaca sejarah Islam. Pada suatu hari ketika berada dalam sebuah kedai buku di Seremban beliau terjumpa novel Khalid Memburu Syahid lalu membelinya.

"Saya tertarik dengan buku itu kerana bahasanya mudah difahami serta diolah dengan begitu baik. Kemudian saya menghubungi penerbit buku itu (PTS) untuk berkenalan dengan penulisnya," kata Tunku Ibrahim semasa saya datang berhari raya di rumahnya di Kuala Pilah.

Sejak itu kami sering bertanya khabar, berbincang mengenai sejarah Islam dan isu-isu semasa.

"Saya juga suka membaca karya Faisal Tehrani," kata Tunku Ibrahim.

"Penulis tidak sudikah datang ke rumah saya pada hari raya ini?" tanya Tunku Ibrahim melalui sms yang dihantar kepada saya.

"Saya memang dah lama nak bertemu tunku," balas saya.


Terima kasih tunku dan keluarga kerana menjamu saya dengan juadah yang menyelerakan.



Sempat mengambil gambar salasilah jurai keturunan Tunku Ibrahim. Beliau kerabat Diraja Seri Menanti.

Sebelum balik sempat bergambar dengan Tunku Ibrahim.

Tuesday, July 22, 2008

PERTEMUAN

Saya mengenali Lelahiro Okinawa atau nama sebenarnya Halela A. Razak sejak empat tahun yang lalu tetapi tidak pernah bertemu. Ketika itu kami sama-sama menjadi ahli esastera.com, Lelahiro admin ruangan Haiku dan saya admin ruangan cerpenis. Walaupun berjauhan kerana beliau menetap di Pualau Okinawa Jepun tetapi kami sering juga bertegur sapa di alam siber.

Darma Mohammad pula memang tak asing lagi namanya sebagai penyair tanah air yang terkenal. Kami juga belum pernah bertemu walaupun saya sering membaca puisi-puisinya yang tersiar dalam akhbar dan Dewan Sastera.

Baru-baru ini berlangsung pertemuan yang tidak disangka antara kami bertiga di Kuala Lumpur, kebetulan hari itu saya berada di Kuala Lumpur lalu membawa kami ke Kampung Kancung di Rantau Negeri Sembilan.

Di rumah Kak Mon di kampong Kancong kami dijamu dengan durian, rambutan dan pulut santan durian. Kami bertiga begitu berselera menikmatinya. Terima kasih kak Mon.

Terima kasih Halela yang membawa buah tangan dari pulau Okinawa untuk saya dan Darma Mohammad semoga kita berjumpa lagi.



Ole-oleh dari Lelahiro. Sebuah antologi Haiku dalam Bahasa Melayu. Dan herba dari Pulau Okinawa.
Kami dijamu dengan pulut santan durian, rambutan dan buah durian di rumah Kak Mon di Kampung Kancong.

Bergambar di rumah Kak Mon yang dikelilingi pokok buah-buahan.

Wednesday, July 16, 2008

BERTEMU CUCU LEFTENAN ADNAN


Perjuangan Leftenan Adnan dan Askar Melayu yang mempertahankan tanah air dari serangan tentera Jepun ketika Perang Dunia kedua dahulu akan dijadikan novel. Diterbitkan oleh PTS Fortuna bulan Ogos nanti. Insya-Allah.

Wan Sofia Zainudin, anak Allahyarham Zainudin, cucu Leftenan Adnan. Ibunya Raja Puteh Zainab masih hidup tetapi ayahnya telah meninggal dunia.

Wan Suhaimi Zainudin, abang Wan Sofia yakin mayat Leftenan Adnan tidak dikebumikan di Bukit Candu tetapi dibawa ke satu tempat oleh tentera Jepun sebagai tanda penghormatan kepada seorang pahlawan.


Melalui blog ini, akhirnya saya dapat menjejaki waris Leftenan Adnan, pahlawan Melayu yang gugur semasa mempertahankan tanah air dalam perang dunia kedua.
Novel yang mengisahkan penaklukan tentera Jepun di Tanah Melayu dan kisah keperwiraan Leftenan Adnan dan kawan-kawannya yang berjuang hingga ke titisan darah yang terakhir di Bukit Candu akan terbit tidak lama lagi. InsyaAllah.

Entri yang berkaitan boleh juga dibaca di blog




Tuesday, July 15, 2008

MENJEJAKI WARIS LEFTENAN ADNAN


Semasa mengumpul maklumat untuk menulis novel Leftenan Adnan saya berusaha menjejaki warisnya di Kampung Sungai Ramal, Kajang tempat kelahiran pahlawan itu tetapi tidak berjaya kerana mereka tidak menetap lagi di tempat tersebut. Ada yang mengatakan mereka berada di Johor Bahru, Melaka dan Seremban. Saya hampir mati akal hendak menjejaki mereka kerana tidak sesiapa yang tahu alamat dan nombor telefon untuk dihubungi.

Usaha menjejaki waris Leftenan Adnan saya siarkan dalam blog ini dengan harapan ada pembaca yang boleh membantu. Puan Ainon juga membantu dengan menyiarkan entri yang sama dalam blognya. Begitu juga dengan Abang Long turut membantu dengan menyiarkan entri dalam blognya.

Usaha itu mula menampakkan hasil apabila seorang pembaca yang dikenali sebagai AURAKAYA meninggalkan mesej dalam ruang komen entri tersebut bahawa isterinya berkawan baik dengan salah seorang cucu Leftenan Adnan bernama Wan Sofia Zainuddin. Akhirnya saya berjaya menjejaki mereka.

Melalui entri ini ingin saya mengucapkan terima kasih kepada AURAKAYA kerana dengan bantuan beliau akhirnya saya dapat menjejaki waris Leftenan Adnan.