Thursday, October 27, 2011

ULASAN NOVEL MUSTAFA KAMAL ATATURK

Ulasan menarik mengenai novel Mustafa Kamal Ataturk di akhbar Utusan Malaysia hari ini.














BADIUZZAMAN SAID NURSI





“Selagi al Quran ini berada di tangan orang-orang Islam maka selagi itulah kita tidak dapat menguasai mereka. Kerana itu kita mesti jauhkan al Quran dari mereka atau berusaha membuat mereka tidak lagi mencintai al Quran.”

Demikian kata-kata Gladstone (1809-1898) semasa berucap dalam House of Common Britain. Kemudian dia menghempaskan al Quran itu ke lantai.

Apabila Tahir Basya Gabenor Van... membaca berita itu dalam surat khabar lalu memaklumkannya kepada Badiuzzaman Said Nursi. Dengan penuh semangat beliau pun berkata.

“Aku akan buktikan kepada dunia bahawa al Quran itu bagaikan matahari. Cahayanya tidak akan padam dan tidak siapa boleh memusnahkannya.”

Kemudian Badiuzzaman Said Nursi menubuhkan madrasah sendiri yang menitik beratkan pelajaran agama dan pelajaran moden kepada anak-anak muridnya.
Beliau juga berusaha mendirikan sebuah Universiti Islam di Anatolia Timur .

Untuk menjayakan rancangan itu Badiuzzaman Said Nursi pergi ke Istanbul mengadap Sultan Abdul Hamid 11. Namun permintaannya tidak diperkenankan. Malah beliau dituduh menghina sultan lalu dihadapkan ke mahkamah. Hakim memerintahkan beliau dihantar ke hospital gila.

Doktor yang memeriksanya berkata. “Jika orang seperti ini dikatakan gila maka tidak ada lagi orang yang waras di dunia ini.”

Badiuzzaman Said Nursi dibebaskan. Dia meneruskan perjuangnya mengajak umat Islam kembali kepada al Quran serta mencintainya…

Akibatnya beliau dihadapkan ke mahkamah dengan hampir 2 ribu pertuduhan, dikurung dalam penjara selama berpuluh tahun, diberi racun sebanyak 19 kali dan dibuang ke tempat yang terpencil dengan tujuan supaya beliau menjadi gila atau mati sendirian.

Setelah berjuang selama berpuluh tahun akhirnya beliau meningal dunia pada tahun 1960 ketika berumur 83 tahun.

Wednesday, October 26, 2011

EKSPO BUKU ISLAM 2011

Ekspo Buku Islam diadakan pada 26 Oktober hingga 1 November 2011 ini bermula dari jam 9 pagi hingga 9 malam di Tingkat 2, Stesen Sentral, Kuala Lumpur.




Saya dan Tuan Zahiruddin dalam acara dedah buku pada 26hb. Dimeriahkan oleh Ustaz Rohidzir (Pengurus PTS Litera) sebagai juruacara...








Seorang pelajar Tahfiz Darul Quran Jakim...





Anak ini baru berusia 11 tahun datang ke Ekspo Buku Islam 2011. Beliau mengatakan sudah membaca banyak novel sejarah Islam antaranya Sultan Muhamad al Fateh, Salahuddin Ayubi dan lain-lain...Beliau mencadangkan ditulis kisah pemerintahan Mamluk di Mesir dan dinasti Fatimiyah.


Monday, October 24, 2011

GELARAN BADIUZZAMAN

Gelaran Badiuzzaman atau keajaiban zaman, pertama kali diberikan kepada Said Nursi ketika berumur 15 tahun. Ketika itu beliau sudah menghafal 80 buah kitab. Kelebihan beliau apabila membaca terus melekat dalam ingatannya. Dengan kelebihan itu beliau dapat menamatkan pengajiannya dalam masa tiga bulan sahaja sedangkan orang lain mengambil masa selama 15 tahun.

Beliau diuji oleh beberapa orang ulama yang terkenal pada masa itu antaranya Syeikh Muhamad Jelali, Syeikh Muhamad Amin Efendi, Syeikh Mehmed Abdullah dan ramai lagi. Kesemua mereka mengakui Said Nursi seorang ulama. Beliau disuruh memakai jubah (pakaian ulama pada masa itu) beliau menolak dengan mengatakan masih muda belum layak digelar ulama.

Ketika berada di Siirt, Molla Fetullah seorang ulama terkenal memberi gerlaran Badiuzzaman. Said Nursi menolak gelaran itu kerana merasakan dirinya masih terlalu muda belum layak mendapat gelaran Badiuzzaman.

Pada tahun 1897 (1314H), ketika berusia 20 tahun, Said Nursi pergi ke Van atas jemputan Hassan Basya, Gabenor Van. Jemputan itu diterimanya kerana di Van ketika itu belum ada lagi tokoh ulama.

Setelah Hassan Basya meninggal dunia diganti gabenor baru Tahir Basya seorang yang cintakan ilmu pengetahuan serta menghormati ulama. Beliau menjemput Said Nursi duduk di rumahnya. Jemputan itu diterima kerana di rumah Tahir Basya ada sebuah perpustakaan besar yang terdapat banyak buku termasuk kitab-kitab agama dan juga buku-buku sains moden seperti fizik, geologi, matematik dan sebagainya.

Akhirnya dengan usaha sendiri dalam masa yang singkat beliau telah dapat menguasai ilmu-ilmu moden seperti sejarah, geografi, matematik, fizik, kimia, astronomi, falsafah moden, kaji hayat dan kaji bumi. Kehebatannya diakui oleh para cerdik pandai pada zaman itu lalu diberi gelaran Badiuzzaman. Kali ini baru beliau menerima gelaran tersebut.

“Tidakkah gelaran itu menjadikan anda bangga diri?” tanya seorang kenalannya.

“Saya menerima gelaran itu bukan untuk bermegah tetapi untuk mengingatkan diri ini berbeza dari orang lain,” jawabnya.

Beliau juga pernah berkata gelaran itu bagi mensyukuri kurniaan Allah terhadapnya.

“Nama Badiuzzaman itu bukan milik saya tetapi nama pemilik Risalah Nur,” katanya.

Walaupun sudah mencapai taraf ulama dan mendapat gelaran "Orang istimewa dalam satu zaman" namun beliau masih berpakaian kaum Kurdis.

Tahir Basya menawarkan hadiah seribu lira, sebuah rumah dan anak gadisnya untuk dijadikan isteri jika Badiuzzaman Said Nursi mahu memakai pakaian ulama, namun dia menolaknya.


Thursday, October 20, 2011

KATA-KATA PUJIAN DARI SEORANG PEMBACA




Kata-kata pujian serta penghargaan daripada Cikpuan Hayati Edward seorang peminat novel sejarah Islam membuat saya berasa terharu...

Novel-novel tuan mudah dibaca dan menarik sekali sehingga apabila kita mula membaca kita tidak ingin melepaskan buku itu sehingga ceritanya habis dibaca. Novel tuan menyinari jiwa dan membuat hati rindu untuk bertemu rasullullah saw dan sahabat serta pendampingnya.

Ini bukan pujian semata tetapi lebih kepada mahu mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kerana mampu membawa saya berkembara di zaman silam. Zaman kegemilangan Islam dan zaman yang menyedarkan kita betapa kesempurnaan iman itu sangat manis dan indah sekali sehingga sanggup mati kerana Allah. Rasulullah saw dan Agama Islam. Syabas.

Keep on writing the best of Islam. May Allah guide you to success always. Salam.


BADIUZZAMAN SAID NURSI






Betapa gembiranya hati ini, sebelum novel siap, sudah ada pihak yang mahu mengadakan majlis pelancaran, memperkenalkan Badiuzzaman Said Nursi dan Risalah An Nur serta merancang untuk pergi ke Turki sekali lagi.

Ya Allah, bantulah hambaMu ini…

RECEP TAYYIP ERDOGAN



Perdana Menteri Turki Recep Tayyip Erdogan menyeru kepada seluruh rakyat Turki supaya bertenang dan jangan bertindak terburu-buru dalam menghadapi huru hara yang dilakukan musuh negara.

Ini berikutan serangan PKK kemarin (Rabu 19/10) yang menewaskan 24 anggota keselamatan Turki serta mencederakan 18 yang lain.

Ekoran dari kejadian itu, Pemimpin Parti Rakyat Republik (CHP) Kemal Kılıçdaroğlu, meminta Perdana Menteri Recep Tayyip Erdogan berundur serta meletak jawatan.

"Semua orang, baik musuh dan kawan harus tahu bahwa Turki tidak akan menyerah, tidak akan mundur dan tidak akan mengorbankan sedikitpun tanah air ini. Mereka yang menggugat perdamaian dan membuat huru hara pasti menghadapi perlawanan dari seluruh rakyat," kata Recep Tayyip Erdogan.

Pada masa sekarang, sesiapa yang pernah melawat Turki pasti bangga melihat negara itu semakin maju dan ekonominya semakin meningkat sejak di bawah pemerintahan Recep Tayyip Erdogan. Banyak perubahan yang dilakukannya terhadap rakyat Turki.


Di bawah pemerintahannya al Quran tidak lagi diharamkan, sudah boleh dibaca,dicetak dan dijual. Banyak madrasah dan sekolah tahfiz Quran telah didirikan di seluruh Turki. Pelajar perempuan di Universiti sudah dibenarkan memakai tudung.

Sesungguhnya umat Islam di seluruh dunia ingin melihat Islam kembali bersinar di Turki.


Wednesday, October 19, 2011

BERTEMU ABDUL KADIR BADILI


Abdul Kadir Badili antara anak-anak murid Ustaz Badiuzzaman Said Nursi yang masih hidup. Kami dipertemukan dengannya semasa berada di Ankara. Beliau menulis biografi Badiuzzaman Said Nursi sebanyak tiga jilid dan buku itu dihadiahkan kepada saya disertakan tanda tangannya dalam tulisan Uthmaniah.

Salah satu catatan Abdul Kadir Badili dalam bukunya, pada tahun 1969 beliau menemuramah seorang rakan karib Ustaz Badiuzzaman Said Nursi bernama Fakirullah Molazade yang ketika itu sudah berusia 96 tahun.

Menurut Fakirullah Molazade pada suatu hari Badiuzzaman Said Nursi berkata, “Kamu akan hidup sampai usiamu 100 tahun. Dan aku meninggal dunia di Urfa. Kemudian orang akan menggali kuburku dan memindahkan ke suatu tempat rahsia…”

Benarlah seperti apa yang dikatakan Badiuzzaman Said Nursi, beliau meninggal dunia di Urfa pada 23 Mac 1960/ 25 Ramadan 1379). Tiga bulan selepas dikebumikan, kuburnya digali pihak tentera lalu dipindahkan ke tempat yang tidak diketahui…

Fakirullah Molazade pula meninggal dunia pada tahun 1973 ketika berumur 100 tahun.


























Monday, October 17, 2011

MUJADDID ABAD KE 20








Saya berasa gembira dapat menulis novel Badiuzzaman Said Nursi, seorang Mujaddid abad ke 20. Mujaddid maksudnya orang alim yang diutuskan Allah bagi menyelesaikan masalah pada zamannya. Dan dia kurniakan karamah atau maunah.

Setelah Nabi Muhamad wafat tidak ada lagi Nabi atau Rasul sesudahnya. Namun Allah itu Maha Bijaksana. Untuk menjaga umat ini dan agama Islam yang diredaiNya dari lenyap dari muka bumi ini, maka Allah mengutus Mujaddid bagi menguatkan agama.

Antara mereka yang dipercayai Mujaddid ialah Khalifah Umar Abdul Aziz, Imam Syafie, Imam Ghazali, Imam Bukhari, Syeikh Abdul Kadir Jailani dan beberapa orang lagi.

Ramai yang percaya Badiuzzaman Said Nursi adalah Mujaddid abad ke 20 ini. Pada masa hidupnya beliau dapat mempertahankan umat Islam Turki dari fahaman sekular. Setelah meninggal dunia karyanya Risalah an Nur diterjemahkan ke pelbagai bahasa dan dibaca oleh umat Islam di seluruh dunia kerana pemikirannya dapat membantu menyelesaikan masalah umat Islam pada zaman ini.

Beberapa karyanya telah diterjemahkan ke bahasa Melayu…



Sunday, October 16, 2011

TERLARIS SEPTEMBER 2011







Mustafa Kamal Ataturk tersenarai antara novel PTS yang terlaris jualannya pada September 2011. Ramai pembaca memberi pujian kerana novel ini berjaya mendedahkan siapa sebenarnya tokoh tersebut.

Benarkah Mustafa Kamal Ataturk pahlawan yang berjaya menyelamatkan Turki dari penjajahan Greek dan Eropah?. Benarkah Mustafa Kamal Ataturk yang berjaya menyelamatkan Islam di Turki?.

Novel ini telah memberikan jawapannya....

Mustafa Kamal Ataturk dalam bahasa Turki membawa maksud “Leluhur atau Nenek Moyang Turki Yang Paling Mulia.”

Kerana itu generasi muda Turki sekarang terutama mereka yang berpendidikan agama tidak mahu menyebut nama tersebut. Mereka lebih suka menyebut “dia” atau “orang itu”.

“Orang itu” yang menghapuskan sistem khalifah, menukar undang-undang Islam kepada undang-undang barat, menukar azan ke dalam bahasa Turki, masjid dijadikan gudang dan kandang kuda, mengharamkan pelajaran agama di sekolah, menutup semua sekolah agama dan universiti Islam, menangkap serta membunuh ulama, tokoh agama malah mereka yang membaca dan menyimpan Al Quran sehingga jumlahnya mencecah 500 ribu orang...


KISAH SUDU YANG PATAH


Sudu patah dan barang-barang lain yang ditinggalkan Ustaz
Badiuzzaman Said Nursi masih disimpan dengan elok...



Pada suatu hari seorang anak murid Ustaz Badiuzzaman Said Nursi terjumpa satu sudu patah kepunyaan gurunya. Kerana menyangka sudu patah itu sudah tidak berguna lagi lalu dibuangnya. Ustaz Badiuzzaman Said Nursi menyedari kehilangan sudu patah itu lalu menanyakannya.

“Sudu itu sudah saya buang,” jawab anak muridnya.

“Susu itu sudah berkhidmat kepada saya selama berpuluh tahun. Kerana itu saya tidak membuangnya walaupun sudah patah,” kata Ustaz Badiuzzaman Said Nursi lalu dicari dan disimpan semula sudu patah itu.

Beliau terus menyimpan susu patah itu sehingga ke akhir hayatnya. Dan sekarang sudu patah itu menjadi salah satu barang bernilai yang ditinggalkannya…

Ustaz Badiuzzaman Said Nursi memang terkenal dengan sifat mulianya. Suatu hari dia bersama anak-anak muridnya melalui satu kawasan hutan. Mereka terjumpa pokok yang sedang berbuah. Beliau melarang anak-anak muridnya mengambil buah itu dengan berkata.

“Pokok buah-buahan dalam hutan ini untuk makanan binatang. Kita hanya boleh mengambil buah secara percuma dari pokok yang kita tanam sendiri.”



PERTANYAAN PEMBACA



Salam Pak Latip,

Mohon untuk pak latip berikan saya link, sumber dan hujah kebenaran peristiwa orang islam dan kristian berkongsi masjid damaskus semasa zaman pemerintahan khalifah umar bin abdul aziz sepertimana yg. ditulis dalam novel sejarah islam, umar abdul aziz: bayangan khalifah al rasyidin. lagi bagus sekiranya ada riwayat daripada ulama' yang menyokong sama. terima kasih banyak2..

Sabihah Shamsuddin


--------------------------------------------------------------



Cikpuan Sabihah Shamsuddin

Terima kasih kerana mengemukakan satu soalan yang agak sukar untuk saya menjawabnya.

Al Hafiz Ibnu Kasir berkatra, “Para ulama sependapat bahawa Umar bin Abdul Aziz adalah pemimpin yang adil, pemimpin yang sanggup membawa rakyatnya ke jalan yang lurus. (Sejarah Pahlawan-Pahlawan Islam Pustaka Ilmi 2006 oleh Muhamad Syadid muka surat 127)

Betapa adilnya pemerintahan Khalifah Umar Abdul Aziz sehingga kambing dan serigala boleh bersatu, umat Islam dan kristian boleh berkongsi tempat ibadat. (Sejarah keagongan kerajaan Islam Oleh Mohd Mokhtar Shafie Nurin Enterpres 1993 muka surat 407)

Islam tidak pernah dilaksanakan dalam bentuknya yang murni, kecuali selama zaman khalifah Umar Abdul Aziz... (Muhamad Qutb, Islam The Misanderstood Religion hal 330)

Yahya Ibnu Sa’id berkata, “Umar bin Abdul Aziz telah mengutus aku ke Afrika Utara untuk membahagikan zakat. Lalu aku cari fakir miskin untuk diberikan zakat tetapi tidak mendapat seorang pun yang mahu menerimanya. Umar Abdul Aziz telah menjadikan rakyatnya kaya...” (khalifah Umuar Abdul Aziz ms. 206)

Berkata Hasan al Qashab, “Aku melihat beberapa ekor serigala bersama beberapa ekor kambing disebuah padang pada zaman khalifah Umar Abdul Aziz. Maka aku mengucapkan subhanallah serigala dengan kambing hidup rukun tidak mengganggu....(khalifah Umar Abdul Aziz ms 202)

Kisah berkongsi tempat ibadat ada diceritakan dalam buku yang ditulis K.H Firdaus diterbitkan Pustaka Ilmi 2001 pada muka surat 191.

Kisah bermula pada zaman khalifah Walid bin Abdul Malik yang telah menukarkan sebuah gereja kepada sebuah masjid di Damaskus.

Apabila Umar Abdul Aziz menjadi khalifah kaum nasrani menuntut semula masjid itu supaya dijadikan gereja. Maka mendapat bantahan orang ramai. Sebagai jalan penyelesaian maka dibina sebuah masjid baru berhampiran dengan gereja itu.

Sementara menunggu masjid baru itu siap maka masjid yang bakal ditukar semula kepada gereja itu dikongsi bersama. Tetapi itu Cuma untuk sementara waktu sahaja bukan untuk selamanya. Iaitu sementara menunggu pembinaan masjid baru itu siap.
Semasa Khalifah Umar Abul Aziz menjadi khalifah telah berjaya menjadikan rakyatnya kaya, hidup aman damai sehingga seriga dan kambing boleh hidup bersama maka tidak mustahil baginda dapat menyatukan umat Kristian dan Islam sehingga boleh berkongsi rumah ibadat (dalam keadaan dharurat).

Sama ada benar atau tidaknya fakta itu hanya Allah sahaja yang Maha Mengetahui...


Saturday, October 15, 2011

KEMBALI KE RAHMATULLAH



Bonda saya telah kembali ke rahmatullah pada 11hb Oktober 2011 jam 8 malam (selasa), dikebumikan pada keesokan harinya jam 11.30 pagi (12hb Rabu), berusia 80 tahun.

Terima kasih diucapkan kepada Tuan Imam, Tuan Bilal, jawatan kuasa masjid dan penduduk Kampung Ulu Seperi, Rembau yang telah datang untuk menyempurnakan pengkebumiannya serta menghadiri majlis tahlil selama tiga malam berturut.

Terima kasih juga kepada tuan-tuan dan puan-puan yang turut mendoakan serta menghadiahkan bacaan al Fatihah terhadap bonda. Semoga arwah tenang di alam sana serta mendapat rahmat serta keampunanNya.

Al fatihah....


Sunday, October 9, 2011

MAYATNYA TIDAK REPUT

“Mayatnya tidak reput seolah sedang tidur malah kain kafannya masih elok…”kata beliau dalam esakan tangisnya.

Beliau yang juga seorang Imam tidak dapat menahan perasaan sedih dan hiba apabila diminta menceritakan kisah pembongkaran kubur Ustaz Badiuzzaman Said Nursi. Beliau adalah seorang anak murid Ustaz Badiuzzaman Said Nursi yang masih hidup sempat kami temui di Sanliurfa…beliau sendiri menyaksikan pembongkaran kubur itu.

Alasan membongkar kubur Ustaz Badiuzzaman Said Nursi bagi mengelakkan kurafat apabila orang ramai berjunjung ke kuburnya tidak boleh diterima. Ini kerana kubur Sultan Salahuddin Al Ayubi, Abu Ayub Al Ansari dan kubur Nabi Yusak juga dikunjungi orang ramai.

Namun ada juga hikmah daripada peristiwa tersebut kerana Ustaz Badiuzzaman Said Nursi pernah berkata beliau tidak mahu kuburnya di ketahui orang. Mayatnya tidak reput itu juga bukti bahawa beliau orang mukmin yang mulia di sisi Allah kerana Nabi Muhamad bersabda yang maksudnya sepuluh orang yang mayatnya tidak busuk dan tidak reput antaranya para Nabi dan Rasul, mereka yang syahid, alim ulama…





Suasana sayu apabila Imam itu menceritakan kisah pembongkaran kubur Ustaz Badiuzzaman Said Nursi yang beliau sendiri menyaksikannya.





Kubur itu dibina semula walaupun mayatnya sudah diambil dan ditanam entah di mana.






Bergambar di Sanliurfa...







Sempat juga berdoa di kubur Uztaz Badiuzzaman Said Nursi...


Friday, October 7, 2011

ISLAM KEMBALI BERSINAR DI TURKI


Pucuk kepimpinan Islam pernah dipegang oleh bangsa Arab pada zaman Nabi Muhamad hingga ke zaman khalifah Ar Rasyidin, Khalifah Umaiyah dan Khalifah Abasiyah. Kemudian pucuk kepimpinan itu dipegang oleh bangsa Kurdis di bawah kepimpinan Salahuddin al Ayubi. Kemudian bertukar kepada bangsa Turki pada zaman Khalifah Uthmaniyah.

Semasa zaman kegemilangannya Khalifah Uthmaniyah memerintah hampir separuh penduduk dunia. Dari Turki hingga ke Semenanjung Tanah Arab termasuk Mekah, Madinah, Mesir hingga ke Yaman dan Rantau Balkan berada di bawah pemerintahan kerajaan Uthmaniyah.

Setelah memerintah selama 636 tahun di bawah 36 orang Sultan akhirnya pada tahun 1924 Khalifah Uthmaniyah dihapuskan. Maka bermula zaman pemerintahan sekular di Turki.

Di bawah pemerintahan Mustafa Kamal Ataturk undang-undang Islam digantikan dengan undang-undang barat. Azan diperintahkan dalam bahasa Turki, Masjid di tutup malah ada yang dijadikan gudang dan kandang kuda. Tidak dibenarkan membaca dan mengajar al Quran, pelajaran agama Islam di sekolah diharamkan, kaum wanita dipaksa memakai pakaian barat dan kaum lelaki dipaksa memakai topi koboi.

Masa terus berlalu dan suasana terus berubah.

Baru-baru ini kami pergi ke Turki di bawa melawat Istanbul, Bursa, Barla, Konya, Isbarta, Yozgat, Ankara dan Sanliurfa hingga ke sempadan Syria. kami melihat kebangkitan Islam yang begitu hebat di Turki.

Apabila masuk waktu sembahyang maka suara azan berkumandang di seluruh masjid dan orang ramai datang sembahyang berjemaah. Kaum wanita sudah ramai yang memakai tudung dan pakaian menutup aurat. Pengajian agama di madrasah sudah dibenarkan dan kelas tahfis al Quran sudah banyak didirikan.

Islam kembali bersinar di Turki.


Ustaz Badiuzzaman Said Nursi berjaya mempertahankan Islam di Turki melalui Risalah An Nur.


Islam kembali bersinar di Turki...beliau membenarkan kelas pengajian agama di masjid dan madrasah. Kelas pengajian Quran semakin banyak didirikan.



Pemandangan di sebuah masjid di Ankara...

Sudah ramai Kaum wanita yang memakai tudung boleh dilihat dimana-mana sahaja.




Darshane atau Madrasah dijadikan tempat pengajian ilmu





Semasa Quran diharamkan dan kitab-kitab agama dihapuskan maka Risalah An Nur menjadi benteng umat Islam di Tuki.



Thursday, October 6, 2011

AKAN TERBIT



Novel baru yang bakal terbit Sa'ad Abu Waqas seorang lagi sahabat Rasulullah yang dijamin tempatnya di syurga. Dilahirkan 17 tahun sebelum Rasulullah diutus menjadi Rasul. Apabila Hamnah ibu Sa’ad mengetahui anaknya memeluk Islam dia berasa sangat susah hati lalu tidak mahu makan dengan harapan anaknya kembali ke agama asal.

Dengan tegas Sa’ad berkata “Sekiranya ibu mempunyai seribu nyawa dan keluar satu persatu nescaya saya tidak akan meninggalkan agama Islam.”

Kemudian beliau turut berhijrah ke Madinah dan menyertai semua peperangan bersama Rasulullah. Semasa Perang Uhud beliau menjadikan badannya sebagai perisai bagi melindungi Nabi Muhamad.

Sa'ad Abu Waqas juga menjadi saksi dalam perjanjian Hudaibiyah. Kejayaan Sa’ad yang paling besar ialah memimpin pasukan tentera Islam dalam peperangan al Qadisiyah. Kemudian beliau membuka serta membangunkan negeri Iraq. Sa’ad Abi Waqas dicalunkan sebagai khalifah tetapi beliau menolak. Kemudian dilantik menjadi gabenor Kufah.

Antara Kelebihan Sa’ad Abi Waqas ialah apabila melepaskan anak panah tidak pernah tersasar dan doanya makbul berkat setelah didoakan Rasulullah.

Semasa pemerintahan Khalifah Uthman Affan, beliau pergi ke Cina bagi menyibarkan agama Islam. Beliau turut menyokong perlantikan Ali bin Abi Talib sebagai khalifah tetapi bersikap berkecuali apabila berlaku perselisihan sesama umat Islam.

Beliau meninggal dunia ketika berumur 85 tahun dikebumikan di perkuburan Baqik.


Wednesday, October 5, 2011

BERTEMU ANAK MURID USTAZ BADIUZZAMAN SAID NURSI



Dalam usaha menjejaki sejarah kehidupan Ustaz Badiuzzaman Said Nursi kami pergi ke Istanbul, Bursa, Barla, Isbarta, Konya, Ankara, Yozgat dan Urfa. Kami juga menemui anak-anak murid beliau yang masih hidup antaranya Abdullah Yegin, Mehmet Firinci, Said Ozdemir, Salih Ozcan dan Abdulkadir Badili. Kesemua anak murid Ustaz Badiuzzaman Said Nursi bertaraf ulama. Jika anak muridnya begitu hebat apatah lagi gurunya.

Kenangan paling tidak dapat dilupakan apabila bertemu dengan Ustaz Said Ozdemir. Kami berkunjung ke rumahnya disambut sebagai tetamu. Dijamu dengan buah-buahan.

Beliau bercerita mengenai satu kisah seorang lelaki yang mengaku Imam Mahdi mahu menemui Uztaz Badiuzzaman Said Nursi. Namun setiap kali mahu berjumpa ada sahaja halangannya. Ustaz Badiuzzaman Said Nursi dikurniakan firasat dapat mengetahui apa tujuan seseorang mahu menemuinya.

Akhirnya Ustaz Badiuzzaman berkata, “Ada seorang Imam Mahdi palsu mahu menemui aku…”

Sebelum kami pulang Ustaz Said sempat mengusap kepala saya sambil mendoakan. Beliau juga memberi sesuatu yang paling berharga yang belum pernah diberikannya kepada orang lain…

Alhamdulillah…


Tuesday, October 4, 2011

DARSANA ATAU MADRASAH

Sebuah Darsana atau Madrasah yang baharu siap di Sanliurfa...


Di Turki ada beribu buah darsana atau madrasah yang dibina sendiri oleh jemaah an nur. Madrasah itu sungguh cantik dan bersih. Fungsinya sebagai pusat penyibaran ilmu agama. Madrasah seperti itu diwujudkan juga di luar Turki termasuk dua buah di Malaysia.

Apabila musim cuti atau setelah tamat belajar di university, ramai pelajar datang bagi mendalami ilmu agama sebelum melangkah ke alam pekerjaan. Ramai juga yang datang untuk berkhidmat secara sukarela. Mereka dipanggil "Wakaf". Tugas mereka ada yang menjaga madrasah, mengajar dan menyediakan makanan kepada tetamu yang datang.

Semoga suatu masa nanti sebuah madrasah dibina ditempat saya di Jelebu. Mereka yang datang boleh membaca novel sejarah Islam dan risalah an nur. Tempat tinggal dan makanan diberi percuma....

Dalam madrasah tersebut ada dewan, surau, tempat belajar, perpustakaan, dapur, tempat tidur,bilik mandi dan tandas.


Monday, October 3, 2011

KESULTANAN MELAYU MELAKA




Kesultanan Melayu Melaka bermula pada tahun 1400 dan berakhir pada tahun 1511 memerintah selama 110 tahun. Parameswara yang membuka Melaka memeluk Islam lalu memakai gelaran Sultan Iskandar Shah. Anaknya Sri Maharaja menukar namanya Sultan Muhamad Shah dan seterusnya Sultan Abu Syahid, Muzafar Shah, Sultan Mansor Shah, Sultan Alauddin Riayat Shah dan Sultan Mahmud Shah.

Ketika itu sudah wujud hubungan baik antara Melaka dengan Turki malah Kerajaan Melayu Melaka bernaung di bawah Khalifah Uthmaniyah. Kerana itu nama-nama Sultan Melaka dipengaruhi nama-nama sultan Uthmaniyah. Malah tulisan jawi juga dipengaruhi tulisan Uthmaniyah.

Apabila Sultan Muhamad al Fateh berjaya menakluk Kota Konstantinopel pada tahun 1453 maka Sultan Muzaffar Shah (1446-1458) telah menyuruh imam-imam di masjid mendoakan kejayaan Sultan Muhamad al Fateh dalam khutbah Jumaat. Kemudian baginda juga mengistiharkan Agama Islam adalah agama rasmi Melaka.

Hubungan baik itu terputus setelah Melaka ditakluk Portugis, Belanda dan Inggeris yang bermula tahun 1511 hingga 1957 atau 446 tahun.

Alhamdulillah sekarang hubungan baik itu sudah terjalin semula….

Saturday, October 1, 2011

HARTA YANG DITINGGALKAN





Ustaz Badiuzzaman Said Nursi banyak menghabiskan masa dalam penjara dan tempat dibuang daerah kerana pelbagai tuduhan terhadapnya. Namun penjara menjadi madrasah apabila para banduan menjadi anak muridnya. Dan tempat buangan daerah menjadi kelahiran risalah an nur.

Suatu masa apabila berada dalam penjara beliau telah mengamanahkan kepada seorang kawannya agar menjaga hartanya. Setelah keluar dari penjara beliau menuntut semula hartanya itu namun tidak diberikan. Uztaz Badiuzzaman Said Nursi tidak marah lalu beredar dari situ.

Semasa dalam perjalanan tiba-tiba didapatinya dalam sakunya ada dua keping syiling emas. Sekeping digunakan untuk perbelanjaannya. Sekeping lagi disimpan. Duit syiling emas itu masih ada sampai sekarang. Kami dapat melihat serta mengambil gambarnya....


ROTI DARI SYURGA




Pada suatu hari Ustaz Badiuzzaman Said Nursi dan anak-anak muridnya kehabisan makanan. Kerana kelaparan mereka mengadu kepada guru. Beliau mengajak mereka bersembahyang sunat. Selesai berdoa Ustaz Badiuzzaman Said Nursi memberi isyarat menyuruh mereka memandang ke belakang. Subhanallah...mereka melihat ada sepotong roti. Walau roti itu sedikit namun dapat mengenyangkan ramai yang memakannya malah masih berbaki. Seorang anak murid menyimpan baki roti itu ke dalam bekas.

Roti dari syurga itu masih ada tersimpan sehingga sekarang dan kami dibawa untuk melihatnya. Biasanya makanan buatan manusia walau disimpan dalam balang kaca akan berkulat dan hancur. Roti itu masih elok walau sudah berpuluh tahun lamanya.


Selain dari Roti Dari Syurga kami juga dapat melihat harta milik Ustaz Badiuzzaman Said Nursi yang ditinggalkannya termasuk sudu patah, beberapa keping wang shiling dan sekeping wang emas...