Showing posts with label SEJARAH MELAYU. Show all posts
Showing posts with label SEJARAH MELAYU. Show all posts

Monday, January 16, 2012

HANG TUAH


Bangsa Melayu mempunyai sejarah gemilang yang tersendiri bermula dari zaman Kesultanan Melayu Melaka. Kita berasa bangga dengan kisah pahlawan-pahlawan yang gagah dan berani seperti Hang Tuah. Kisah kegagahan dan keberaniannya sentiasa hidup berkembang di tengah-tengah masyarakat Melayu, namanya harum semerbak, dan jasa-jasanya tidak akan luput daripada kenangan bahkan menjadi teladan kepada tiap-tiap anak bangsa turun-temurun.

Generasi sekarang sudah ada yang tidak tahu kisah Hang Tuah. Atau mungkin kenal namanya saja tetapi tidak tahu sejarah hidupnya. Dan tidak mustahil nama pahlawan Melayu itu akan hilang dan lupus dari lipatan sejarah jika usaha menafikan kewujudannya itu berjaya. Akibatnya generani Melayu akan datang tidak mempunyai pahlawan yang dibanggakan.

Setelah Melaka ditakluk Portugis maka segala khazaha melayu termasuk kitab-kitab agama sejarah telah dirampas lalu di bawa balik ke Negara Mereka. Ada pula yang mengatakan kapal yang membawa khazanah itu karam di selat Melaka.

Kerana itu antara sumber rujukan kita yang masih ada ialah Sulalat al Salatin Yakni Pertuturan Segala Raja-raja (Sejarah Melayu) ditulis Tun Seri Lanang. Tuhfat al-Nafis (Sejarah Melayu dan Bugis) karangan Raja 'Ali-al-Haji Riau.

Dan buku Sejarah Melayu naskhah Raffies No. 19 atau naskhah Shellabear (naskhah Munshi Abdullah).

Jika dirujuk kepada semua buku-buku tersebut ada menerangkan mengenai seorang pahlawan Melayu bernama Hang Tuah.

Hang Tuah lahir di Sungai Duyung, ayahnya bernama Hang Mahmud dan nama ibunya Dang Merdu Wati danm beliau mempunyai tiga orang anak.

Dalam kitab Sulalat al Salatin (Sejarah Melayu) ada disebutkan nama Hang Tuah
seorang hulubalang Melayu yang menyandang jawatan Laksamana pada zaman Kerajaan Melayu Melaka.

Di dalam buku Sejarah Melayu itu ada menerangkan sifat-sifat istimewa Hang Tuah dalam khidmatnya kepada raja atau sultan. Hang Tuah dikatakan seorang hulubalang yang gagah berani. Beliau menjadi pemimpin angkatan perang Melaka.

Antara sifat-sifat Hang Tuah ialah taat setianya kapada pemerintah. Pahlawan Melayu itu berkhidmat dengan tiga orang sultan Melaka, iaitu Sultan Mansur Shah, Sultan 'Alau'ddin Riayah Shah I dan Sultan Mahmud Shah.

Di dalam Tuhfat al-Nafis (Sejarah Melayu dan Bugis) karangan Raja 'Ali-al-Haji Riau tatkala meriwayatkan kisah Kerajaan Melayu Melaka pada zaman pemerintahan Sultan Mansur Shah, ada menyebut nama Hang Tuah.

Dalam buku Sejarah Melayu, sama ada naskhah Raffies No. 19 atau pun naskhah Shellabear (naskhah Munshi Abdullah) juga ada disebutkan nama seorang pahlawan Melayu bernama Hang Tuah.



Friday, December 9, 2011

TOK JANGGUT


Pada tahun 1914 berlaku Perang Dunia Pertama setelah British, Perancis dan Rusia mengistiharkan perang ke atas Jerman dan Austria. Kerajaan Khalifah Uthmaniyah Turki telah menyertai peperangan dengan menyebelahi German dan Austria.

Anggota Majlis Ulama Turki yang dianggotai Badiuzzaman Said Nursi, Syeikhul Islam Mustafa Khairi Affandi, Syed Ahmad as Syarif as Sanusi, Muhammad Asad Affandi dan Hamdi Yazir telah merangka fatwa jihad bagi pihak khalifah. Kemudian Sultan Muhamad V1 atau Sultan Muhammad Reshad telah mengistiharkan jihad kepada umat Islam diseluruh dunia.

Fatwa tersebut mendakwa bahawa kuasa-kuasa Eropah yang diketuai oleh Britain berusaha untuk meruntuhkan kerajaan Islam Turki Uthmaniah dan menakluki negara-negara Islam.

Ekoran daripada itulah maka Tok Janggut yang ketika itu berada di Mekah telah pulang ke tanah air untuk menentang Inggeris yang menjajah Tanah Melayu. Walaupun ketika itu beliau berumur 65 tahun sanggup terjun ke medan perang demi untuk mempertahankan agama dan tanah airnya.

Namun Inggeris telah berjaya mempengaruhi sultan supaya mengistiharkan Tok Janggut adalah penderhaka kerana enggan membayar cukai.


Pihak Inggeris telah melaporkan kepada Sultan bahawa Tok Janggut dan rakan-rakannya telah memberontak. Sultan Muhammad IV sangat murka terhadap Tok Janggut dan rakan-rakannya. Baginda menggangap mereka sebagai penderhaka. Baginda telah mengeluarkan titah sesiapa yang dapat menangkap salah seorang daripada Engku Besar Tun Ahmad, Tok Janggut, Haji Said, Ishak dan Penghulu Adam akan diberi wang hadiah sebanyak RM500. Harta benda Tok Janggut dan rakan-rakannya telah dirampas dan rumah mereka akan dibakar.

Setelah mendengar titah tersebut, Tok Janggut dan rakan-rakannya telah menetapkan tidak mahu menyerah diri dan telah bersiap sedia dengan membuat sebuah kubu di Kampung Saring
yang dikenali sebagai Batas Besar Kubu Tok Janggut.

Pada 25 Jun 1915
Tok Janggut bersama pengikutnya telah bertempur dengan askar Inggeris dan dalam pertempuran itu Tok Janggut syahid. Mayat TOK JANGGUT telah dibawa ke Kota bharu, diarak dan digantung sonsang selama empat jam Di padang bank sebelum dikebumikan di kampung pasir Pekan.

Tok Janggut bukan menderhaka, beliau pejuang yang mempertahankan agama dan tanah airnya.


Cheah Boon Kheng, Prof Sejarah USM dalam bukunya To’ Janggut (old Long Revard) National Universiti Of Singapore, mengatakan banyak perkara tentang Tok Janggut disembunyikan Inggeris.

Nasron Sira Rahim, Berita Harian : Tok Janggut

Inggeris cuba menyembunyikan cerita sebenar tentang Tok Janggut. Lelaki itu dan kumpulannya dituduh penderhaka kepada sultan, bangsa dan tanah airnya iaitu Kelantan.




Wednesday, January 5, 2011

PAHLAWAN-PAHLAWAN MELAYU


Pahlawan Melayu di bumi sendiri namanya hampir dilupakan, sejarah perjuangan mereka hampir tidak lagi dikenang. Atas kesedaran itulah kisah mereka dijadikan novel agar pembaca dapat mengenang kembali nama serta menghayati perjuangan mereka. Alhamdulillah usaha kami itu tidak sia-sia kerana sudah ramai yang membacanya. Sesungguhnya bangsa yang maju tidak seharusnya melupakan jasa pahlawan mereka walaupun suatu ketika dulu pernah dilabel sebagai penentang dan penderhaka . Malah Kita sepatutnya berbangga dengan pahlawan Melayu seperti Tok Janggut, Dol Said,Mat Kilau, Pendekar Siamang Gagap, Rentap, Mat Salleh dan ramai lagi.


























Pusara Si Bongkok Tanjung Puteri




Pusara Pendekar Siamang Gagap













Thursday, May 6, 2010

TOK JANGGUT PAHLAWAN KELANTAN


Tok Janggut atau nama sebenarnya Haji Mat Hassan bin Munas atau Panglima Munas lahir di Kampung Saring daerah Jeram, Kelantan pada tahun 1850. Ayahnya Panglima Munas berkhidmat sebagai panglima istana Tengku Seri Maharaja Jeram, kerana itu Tok Janggut dibesarkan dan dididik dalam istana. Apabila dewasa beliau dihantar menuntut ilmu di Mekah dan pulang ke tanah air pada tahun 1910 ketika berusia 60 tahun.

Setahun sebelum itu atau pada tahun 1909 telah diadakan perjanjian Inggeris-Siam menyebabkan Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis diletakkan di bawah kuasa Inggeris manakala Patani, Menara, Jalor dan Setol di bawah Siam.

Camputangan Inggeris di Kelantan tidak disenangi penduduk tempatan apatahlagi apabila Inggeris membuat perubahan yang ternyata bertentangan dengan adat istiadat Melayu dan undang-undang Islam.

Sebelum kedatangan Inggeris negeri Kelantan diperintah oleh Sultan Mansur yang memakai gelaran Sultan Muhammad III. Beliau seorang sultan yang taat beragama dan warak. Baginda mendampingi ulama yang terkenal pada masa itu antaranya Haji Abdul Malik Sungai Pinang, Tok Ku Syed Hakim@Syed Muhammad bin Syed Alwi, Imam Haji Nik Wan Daud, Imam Haji Abdullah, Imam Haji Mahmud Tuan Padang, Haji Muhammad Ta’, Haji Ismail Langgar, Haji Daud Kampung Menuang, Haji Taib anak Tuan Padang dan Haji Nik Abdul Rahman Dakwat.

Sultan Mansur Syah atau Sultan Muhammad 111 telah menguatkuasakan undang-undang Islam. Antaranya perlaksanaan hukum hudud ke atas pencuri dan qisas ke atas pembunuh, baginda juga menguatkuasakan undang-undang ta’zir ke atas orang-orang yang tidak berpuasa dan mengenakan hukuman terhadap perempuan yang tidak menutup aurat.

Semasa pemerintahan Sultan Mansur atau Sultan Muhammad 111, negeri Kelantan berada pada zaman kegemilangannya dalam sejarah perundangan Islam dan kehidupan beragama di kalangan rakyat negeri Kelantan.

Tetapi segalanya berubah apabila Inggeris menghantar penasihatnya ke Kelantan. British telah memperkenalkan undang-undang mereka sendiri terhadap rakyat Kelantan antaranya merubah sistem pemilikan tanah yang mana secara otomatik menolak undang-undang tanah tradisional Melayu yang berlandaskan kepada undang-undang Islam yang berdasarkan prinsip Ihya (usaha) dan Tha’jir (tanda).

Itulah punca penentangan Tok Janggut yang sebenar, bukan hanya disebabkan enggan membayar cukai yang dipaksakan Inggeris seperti yang diuwar-uwarkan British.

Sentimen anti-Inggeris semakin meningkat apabila tercetusnya Perang Dunia Pertama pada Ogos 1914 yang mana British berperang dengan Turki Uthmaniyah. Kerajaan Kelantan yang berada dalam keadaan tersepit akibat perjanjian Inggeris-Kelantan 1910 dipaksa menyatakan bahawa mereka menyebelahi England dalam peperangan itu.

Keputusan Kelantan memihak kepada British dan bukan Turki Uthmaniah dalam Perang Dunia Pertama mengecewakan Tok Janggut kerana bertentangan dengan fatwa Syaikhul Islam, Khayri Effendi, yang mewajibkan umat Islam berjihad menentang British dan sekutunya.

Penindasan menerusi kutipan cukai yang tinggi menyemarakkan lagi kemarahan penduduk Kelantan. Pada mulanya Tok Janggut dan pengikut turut membayar cukai walaupun tidak berpuas hati. Tetapi apabila terpaksa menunggu selama beberapa hari di pejabat tanah kerana tidak ada pegawai mengutip cukai yang melayannya akhirnya Tok Janggut memutuskan tidak mahu membayar cukai dan mempimpin gerakan menentang Inggeris pada tahun 1915.

Pada 29 April 1915, Haji Mat Hassan atau Tok Janggut bermesyuarat dengan para pengikutnya di rumah Tok Nik Bas di Kampung Tok Akib. Mereka mengatur strategi menentang Inggeris, mengambil alih pemerintahan di Pasir Puteh dan mengisytiharkan jajahan itu merdeka atau memerintah sendiri mengikut undang-undang Islam.

Bagaimanapun mesyuarat sulit itu diketahui Pegawai Jajahan Pasir Puteh, Abdul Latif yang berasal dari Singapura, kemudian mengeluarkan waran kepada Ketua Balai Polis, Sarjan Che Wan Sulaiman, untuk menangkap Tok Janggut.

Sarjan Che Wan yang diiringi beberapa anggotanya bertolak ke Kampung Tok Akib pada pagi 29 April bagi memaksa Tok Janggut menyerah diri. Kebetulan ketika itu, Tok Janggut sedang berucap di hadapan kira-kira 1,000 penduduk yang kebanyakannya bersenjata.

Bagi mengelakkan berlaku pertempuran Tok Janggut bersetuju mengikut anggota polis ke pejabat jajahan untuk memberi penjelasan mengenai tindakannya. Tetapi sikap lembut dan mengalah Tok Janggut disalahartikan oleh Sarjan Che Wan yang memberi layanan seperti penjenayah lalu berlaku perbalahan.

Dalam usaha mempertahankan dirinya Tok Janggut telah menikam Sarjan Che Wan dengan kerisnya menyebabkan tercetusnya peperangan antara Tok Janggut dengan Inggeris. Tok janggut dan pengikutnya berjaya menawan Pasir Puteh lalu menubuhkan pentadbiran sendiri, beliau menjadi Ketua Menteri dan Ungku Besar Jeram sebagai Raja.

Inggeris yang ketika itu merupakan salah sebuah kuasa besar dunia berasa tercabar lalu menghantar pasukan tentera ke Kelantan.

Akhirnya pada 24 mei 1915 berlaku pertempuran sengit dikampong dalam pupuh yang berakhir dengan Tok Janggut gugur syahid bersama dengan sahabat-sahabatnya Tok Abas dan Tok Hussin.

Kemudian mayat Tok Janggut dibawa ke Kota Bharu, diarak dan digantung sonsang selama empat jam di padang bank atau Padang Merdeka sebelum dikebumikan di kampung pasir Pekan.

Apakah yang mendorong Tok Janggut yang ketika itu berumur 65 tahun menentang sebuah kuasa besar yang punya peralatan senjata yang lengkap, ada kapal perang, meriam dan senapang?.

Menasabahkah seorang lelaki tua memberontak hanya disebabkan tidak mahu membayar cukai?.

Sesungguhnya Tok Janggut berjuang demi membela agama, bangsa dan tanah airnya...Dia seorang mujahid....


Thursday, November 26, 2009

Thursday, October 29, 2009

LEMBING AWANG PULANG KE DAYANG

Menurut Allahyarham Shaharom Husain dalam bukunya Memoir Shaharom Husain Selingkar kenangan Abadi, beliau menulis novel sejarah antaranya Lembing Awang Pulang ke Dayang itu berdasarkan penyelidikan yang dibuatnya sendiri dari kisah yang benar-benar pernah berlaku di Johor.

Cerita itu pada mulanya diceritakan secara lisan dari satu generasi ke satu generasi dengan judul yang sama iaitu Lembing Awang Pulang Ke Dayang. Selain itu ada beberapa buah cerita lagi yang juga diceritakan secara lisan seperti Si Bongkok Tanjung Puteri, Sultan Mahmud Mangkat di Julang, Batu Belah Batu Bertangkup, Si Tenggang Anak Derhaka dan lain-lain lagi. Semua itu adalah cerita lisan yang tajuknya telah dipopularkan sejak dahulu. Dan Shaharom Husain telah mengekalkan judul tersebut dalam karyanya. Kerana itu tidak salah apabila saya juga mengekalkan judul yang sama. Cuma pengolahan ceritanya atau jalan ceritanya berlainan.


Walau bagaimanapun kredit tetap diberikan kepada Allahyarham Shaharom Husain kerana beliau yang mempopularkan dahulu cerita tersebut. Dalam novel Lembing Awang Pulang ke Dayang yang saya tulis juga dicatatkan di muka belakang nama dan buku beliau.





Tuesday, October 13, 2009

LEMBING AWANG PULANG KE DAYANG



Tragedi berdarah yang mengorbankan 99 orang ini berlaku di Parit Raja Laut Muar Johor pada tahun 1776. Ketika itu ia terletak di bawah jajahan Padang (antara Bandar Maharani dengan Parit Jawa). Dinamakan Padang kerana kawasan tersebut pernah terbakar sehingga menjadi padang jarak padang tekukur. Ketika itu daerah ini diperintah oleh Orang Kaya Aris zuriat daripada Daing Seriuk.

Awang dan Dayang berpangkat sepupu mengikut nisab sebelah ibu. Ibu Dayang adalah kakak kepada ibu Awang. Mereka jatuh cinta lalu ditunangkan. Tetapi keluarga Dayang meminta wang belanja berjumlah $370.07 (tiga ratus tujuh puluh ringgit dan tujuh duit) dan sehelai kain mastuli tenunan Bugis sebagai hantarannya. Mereka mengikat janji selama tiga tahun untuk memberi peluang kepada Awang mencari wang dan membeli kain mastuli di Makasar.

Awang belayar ke Siak, lalu ke Makasar dan bekerja di sana. Kebetulan pula Raja Bugis mengadakan perlawanan catur diraja dengan hadiah sepasang lembing sakti, sebilah jantan dan sebilah betina. Awang memasuki pertandingan itu dan memenanginya. Setelah berhasil mengumpul wang untuk belanja perkahwinannya serta kain mastuli tenunan Bugis, maka Awang pun pulang. Tetapi kepulangannya tertangguh selama lima bulan.

Kerana tempoh pertunangan selama tiga tahun sudah tamat dan Awang masih belum pulang, dan tersebar pula berita mengatakan Awang terbunuh dalam satu pertempuran di laut, maka pertunangannya dengan Dayang diputuskan. Kemudian Dayang dilamar oleh Bachok, anak Orang Kaya tetapi angkuh dan sombong. Tambahan pula dia anak murid Panglima Hitam, bekas ketua lanun di Tanjung Tohor.

Ketika Awang sampai di kampungnya, didapati orang ramai sedang meraikan majlis pernikahan Dayang dengan Bachok. Awang berasa malu dan marah kerana keluarga Dayang mungkir janji. Tambahan pula apabila mendapat tahu Bachok yang menyebarkan berita bohong kononnya Awang sudah meninggal dunia supaya dapat mengahwini Dayang.

Awang membawa sebilah lembing lalu pergi ke rumah Dayang. Ketika itu kedua-dua pengantin sedang bersanding. Awang tidak dapat menahan marah apabila melihat tunangnya bersanding dengan orang lain lalu menikam Bachok.

Kawan-kawan Bachok mencabut lembing itu lalu melontarnya kepada Awang tetapi tidak mengenai sasaran, sebaliknya mengenai orang yang berhampiran dengan Awang. Lembing itu terus memakan korban seorang demi seorang sehingga jumlahnya 99 orang. Kesemua mangsa dikebumikan dalam sebuah kubur yang panjang di Dusun Tua yang terletak di antara Parit Besar dengan Parit Raja Laut.

Novel Lembing Awang Pulang Ke Dayang ini akan terbit penghujung bulan ini serentak dengan tayangan filemnya di pawagam.




Sunday, August 23, 2009

SURAT DARI PEMBACA


Marniyati Mohd. Nor pada 24hb Ogos pukul 12.19 pagi

Assalamualaikum Tuan Abdul Latip.
Semoga tuan berada dalam kesejahteraan dan sentiasa berada dalam lindungan Allah sentiasa.Mohon maaf andai email ini mengganggu urusan hidup tuan. Saya doakan semoga apa juga urusan itu dipermudahkan Allah hendaknya, Insyaallah.

Saya baru sahaja mengulang bacaan novel sejarah "Ali bin Abu Talib" buat kali kedua. Bacaan kali ini saya sertakan dengan 'ulasan selari' kepada anak sulung saya, Farhan (7 tahun) yang sangat gemarkan kisah pejuang Islam.

Secara tiba-tiba anak saya menegur, "Mama, kenapa guna nama 'beliau' untuk nabi? Kan kita kena guna nama 'baginda'?"

Terkedu saya dibuatnya apabila anak kecil itu menegur. Teringat pula saya pernah menerangkan kepadanya mengapa kita harus mengunakan kata ganti nama diri ketiga 'baginda' apabila merujuk kepada Baginda Rasulullah s.a.w.

Justeru, suka saya menyatakan bahawa dalam buku tuan, memang tuan menggunakan kata ganti nama diri ketiga 'beliau' bagi merujuk kepada Rasulullah s.a.w dan saya berpendapat bahawa kata ganti nama diri ketiga 'baginda' lebih sesuai dengan darjah kehormatan junjungan kita itu.

Jutaan kemaafan saya pohon andai kenyataan saya ini menyinggung perasaan tuan yang pasti lebih maklum dengan karya tuan itu.Apa pun, saya mengucapkan jutaan terima kasih juga kerana tuan sudi berkarya dan berkongsi kisah pejuang Islam melalui karya tuan.

Semoga Allah memberikan rahmat dan keberkatan kepada tuan di dunia dan di akhirat. Segala yang baik itu datangnya daripada Allah dan segala yang tidak baik itu juga adalah ketentuan dari Nya.

Mohon maaf sekali lagi. Harap tuan tidak berkecil hati.

Terima kasih.


Friday, May 1, 2009

PAHLAWAN MAT KILAU

Kisah Mat Kilau yang merupakan tokoh pahlawan Pahang menentang Inggeris sekitar tahun 1891 hingga 1895 sudah siap dijadikan novel. Tidak kisahlah apa anggapan orang terhadap tokoh pahlawan yang termasyhur dan berjasa ini. Apa yang penting kisah-kisah menarik, misteri dan kehebatan Mat Kilau perlu diketahui oleh generasi kita.


Lukisan Pahlawan Mat Kilau. Sumber Internet.

Semasa memulakan penulisan novel ini, ketika itu baru siap bab pertama, tiba-tiba hati saya tergerak untuk pergi ke Kampung Pulau Tawar untuk melihat tempat Mat Kilau dilahir dan dibesarkan. Pergi ke Gua Gelangi tempat dia mendalami ilmu persilatannya dan menziarahi makamnya di Pulau Tawar.

Pulang dari Pulau Tawar saya demam menyebabkan penulisan novel ini tertangguh selama dua minggu. Apabila sudah sihat saya menyambung semula penulisannya sehingga siap.

Antara masalah yang saya hadapi ketika menulis kisah Mat Kilau adalah sukar mendapat maklumat yang tepat. Ia bermula dari tarikh kelahiran Mat Kilau. Ada yang mencatatkan tarikh 1847 dan ada pula 1867.

Saya yakin tarikh lahirnya 1847 berdasarkan pengakuannya berumur 122 tahun ketika membuat pengistiharan pada Disember 1969. Dengan ini Mat Kilau terlibat dalam perang saudara yang berlaku di Pahang sebelum campur tangan Inggeris.

Antara buku rujukan saya menulis novel ini ialah Jejak Pahlawan Mat Kilau yang diselenggarakan oleh Dr Talib Samat. Buku itu banyak membantu saya.

S
ebagai seorang pahlawan banyak kisah misteri tentang Mat Kilau. Antaranya beliau dikurniakan buntat embun yang tumbuh di jari kakinya. Antara kelebihan buntat embun itu apabila dalam keadaan terdesak Mat Kilau boleh menjadikan dirinya seperti orang mati bagi mengelirukan musuhnya. Tetapi apabila embun turun atau buntat embun itu dibasahkan dengan air embun maka dia hidup semula. Kerana itu Mat Kilau diberitakan mati sebanyak tiga kali tetapi hidup semula dan mayatnya diganti dengan batang pisang. Kerana itu antara amalan pahlawan ini selain zikir beliau mandi air embun pada setiap pagi.

Selain pandai bersilat dan banyak ilmu kepahlawanan, Mat Kilau juga sejak kecil dididik dengan ilmu agama oleh ayahnya Imam Rasu. Kemudian berguru dengan Haji Osman yang dikenali juga sebagai Haji Muntuk, Mufti Negeri Pahang.

Orang yang sangat memusuhi Mat Kilau adalah Hugh Clifford penasihat Inggeris di Pahang. Dia seorang yang licik dan banyak tipu muslihatnya. Dalam usaha untuk memujuk dan mempengaruhi sultan supaya menerima penasihat dan menandatangani perjanjian dengan Inggeris, Hugh Clifford sanggup mengaku Imam Rasu (ayah Mat Kilau) orang yang paling rapat dengan sultan sebagai keluarga angkatnya. Beliau tinggal di rumah Imam Rasu. Menjadikannya ayah angkat dan Mat Kilau sebagai adik angkatnya. Kemudian dia memusuhinya sehingga Mat Kilau terpaksa bersembunyi selama 80 tahun. Selama dalam persembunyian Mat Kilau memakai beberapa nama antaranya Mat Dahan, Mat Siam dan Mat Din.

Pada 26 Disember 1969 baru rahsia terbongkar apabila membuat pengistiharan dirinya adalah Mat Kilau. Beliau meninggal dunia pada 16 Ogos 1970 dikebumikan di Pulau Tawar. Usianya ketika itu 123 tahun.


Friday, February 27, 2009

DI BAWAH TIKAMAN GARPU


Saya terbaca entri mengenai buku ini dari blog.


http://shapiaimohdramly.blogspot.com/


Begitu hebatnya semangat orang-orang Melayu ketika menentang Malayan Union. Di Johor sahaja orang ramai keluar sehingga mencecah 18,000 orang. Di negeri lain juga tidak kurang hebatnya. Antara tenaga penggerak menentang Malayan Union ketika itu ialah Dato' Onn Jaafar.

Tetapi Malayan Union yang ditentang oleh orang Melayu ketika itu akhirnya berjaya juga dilaksanakan oleh British dengan menggunakan tipu helahnya memujuk pemimpin-pemimpin Melayu ketika itu apabila menuntut kemerdekaan Tanah Melayu.

Contohnya, di bawah Malayan Union, orang asing boleh diberikan taraf kerakyatan berdasarkan prinsip jus soli (boleh menjadi rakyat Malaya jika mereka lahir di tanah Melayu). Itu perkara utama yang ditentang oleh orang Melayu ketika itu.

Tetapi apa yang terjadi selepas itu?. Mereka tetap juga mendapat kerakyatan.

Kenapa terjadi begitu?. Orang Melayu ini taat kepada ketua. Bila ketua kata setuju maka semua akhirnya setuju.

Sejarah sudah berlalu dan kita tidak boleh berpatah ke belakang semula. Cuma kita bimbang jika pemimpin kita terus bertolak ansur akhirnya tidak ada apa-apa lagi yang boleh dibanggakan oleh orang Melayu jika bahasa sendiri tidak dapat dipertahankan.

Tuesday, February 10, 2009

TERBUANG TAPI TERBILANG


Pada 26 Disember 1969 bertempat di Masjid Pulau Tawar, Jerantut Pahang, seorang lelaki tua yang dikenali sebagai Mat Siam atau Muhamad bin Ibrahim telah mengistiharkan dirinya sebagai Mat Kilau, pahlawan Melayu yang berjuang menentang campur tangan Inggeris di negeri Pahang sekitar tahun 1891 hingga 1895.

Pelbagai andaian dibuat orang ramai ada yang percaya tetapi ada pula yang ragu-ragu. Tambahan pula Pemangku Residen Pahang D.H. Wise di dalam kenyataannya pada tahun 1895 menyatakan, di dalam bulan November 1895 maklumat telah diterima bahawa enam ketua penderhaka Bahaman (Bekas Orang kaya Semantan) Awang Nong, Yusof, Teh Ibrahim, Haji Mat Wahid, dan Mat Lela telah ditangkap dengan perantaraan pemerintah Siam dan dibawa ke Siam. Kebenaran berita itu telah pun disahkan oleh utusan-utusan dari Pahang. Imam Rasu ( Tok Gajah) dan Mat Kilau dilaporkan telah mati.

W.Linehan M.A M.C.S pula di dalam tulisannya “A History of Pahang “ menulis “Di dalam bulan November 1895 enam daripada ketua-ketua penderhaka Bahaman dan Mat Kilau dilaporkan telah mati di Terengganu.”

Haji Muhamad bin Haji Abdullah cucu saudara Tok Gajah juga mendakwa Mat kilau sudah meninggal dunia.

Ekoran dari itu Kerajaan Negeri Pahang telah menubuhkan Jawatankuasa Menyiasat munculnya Mat Kilau pada 8 Januari 1970 mereka terdiri daripada:

1. Y.B Dato’ Haji Abdul Aziz bin Ahmad- Pengerusi
2. Y.B Encik Ibrahim bin Arshad
3. Encik Abdul Razak bin Hitam
4, kapt Haji Mohd Ali bin Muhammad
5. Encik Zakaria bin Hitam
6. Encik As’ari bin Haji Yaacob - setiausaha

Setelah membuat siasatan yang terperinci akhirnya mereka membuat kenyataan, “Muhamad bin Ibrahim, yang lebih dikenali sebagai Mat siam itu dipercayai Mat Kilau bin Imam Rasu.”

Sebelum itu beberapa orang telah ditemuramah bagi membuktikan bahawa Mat Siam itu adalah Mat Kilau. Setelah disahkan maka pada pukul 10.30 pagi hari Khamis, 6 Ogos 1970
, Mat Siam diisytiharkan sebagai Mat Kilau oleh Menteri Besar Pahang YAB Tan Sri Haji Yahaya Mohd Seth.

Mat Kilau atau nama sebenarnya Muhamad, lahir pada tahun 1847/1848 tetapi ada pula yang mengatakan beliau lahir pada tahun 1866. Sehubungan dengan itu saya yakin beliau lahir pada tahun 1847 berdasarkan kenyataan Jawatankuasa Penyiasat Kemunculan Mat Kilau yang ditubuhkan kerajaan Negeri Pahang mengatakan ketika meninggal dunia pada 1970, usianya ketika itu dipercayai 122 tahun.

Sejarah pergolakan di Pahang bermula pada tahun 1857 setelah Bendahara Ali meninggal dunia maka anak-anaknya berperang kerana berebut kuasa. Akhirnya Bendahara Ahmad dapat mengalahkan abangnya Bendahara Mutahir. Tetapi anak-anak Bendahara Mutahir meneruskan perjuangan ayahnya merebut Pahang dari bapa saudaranya Bendahara Ahmad.

Pada tahun 1888 Bendahara Ahmad yang bergelar Sultan Ahmad mengutus surat kepada Gabenor Inggeris di Singapura meminta campur tangan di Pahang. Inggeris telah melantik J.P Rodger jadi Residen di Negeri Pahang.

Ekoran campur tangan Inggeris itu menimbulkan pemberontakan di kalangan rakyat negeri Pahang diketuai oleh Orang Kaya Semantan Abdul Rahman yang bergelar “Datuk Bahaman”.

Pada tahun 1892 J.P Rodger dan Sultan Ahmad mengetuai beribu-ribu tentera Inggeris dan Pahang menyerang pasukan Datuk Bahaman di Semantan. Akibatnya Datuk Bahaman dan pengikutnya terpaksa berundur ke dalam hutan lalu meneruskan perjuangan secara gerila. Ekoran dari itu kerajaan Pahang mengeluarkan tawaran hadiah sebanyak seribu ringgit kepada sesiapa saja yang dapat menangkap Datuk Bahaman hidup atau mati.

Kemudian Sultan Ahmad memerintahkan Imam Rasu atau Tok Gajah dan anaknya Mat Kilau menentang Datuk Bahaman tetapi kedua beranak itu mengambil keputusan menyebelahi pasukan penentang.

Pada tahun 1892 Tok Gajah dan Mat Kilau menyerang tentera Inggeris di Sepanjang Sungai Pahang dan Kuala Lipis. Kemudian berlaku pula pertempuran besar-besaran di Raub. Pihak Inggeris mengalami banyak kerugian nyawa dan harta.

Tentera Inggeris yang dibantu askar-askar Pahang menyerang serta memusnahkan Kampung Budu yang menjadi tempat tinggal Mat Kilau apabila dia enggan menyerah kalah. Mat Kilau terpaksa melarikan diri ke Ulu Cheka lalu bergabung dengan pasukan Datuk Bahaman.

Atas desakan Inggeris Sultan Ahmad cuba memujuk Tok Gajah supaya kembali ke Pulau Tawar. Dia juga ditawarkan pergi ke Mekah mengerjakan ibadat haji. Kemudian Tok Gajah diperintahkan menangkap anaknya Mat Kilau yang bergabung dengan Datuk Bahaman menentang Inggeris. Tetapi Tok Gajah mengambil keputusan bergabung semula dengan anaknya lalu terus menentang Inggeris di Tembeling. Kemudian berlaku lagi pertempuran di Kuala Atok.

Serangan demi serangan dilancarkan terhadap askar-askar Inggeris sehingga mendatangkan kerugian yang banyak. Akhirnya atas nasihat Inggeris Sultan Ahmad cuba mencari jalan perdamaian dengan mengistiharkan pengampunan kepada Datuk Bahaman dan Tok Gajah serta memujuk mereka kembali ke Pahang. Tetapi anihnya Mat Kilau tidak mendapat pengampunan dan terus diburu.

Datuk Bahaman dan Tok Gajah menolak tawaran itu lalu meneruskan penentangan mereka bersama Mat Kilau. Inggeris terpaksa menghantar beribu askar ke Pahang bergabung dengan pasukan Pahang memerangi Mat Kilau dan kawan-kawannya. Akhirnya mereka terpaksa melarikan diri ke Kelantan dan Terengganu.

Akhirnya Inggeris memujuk Siam menangkap Datuk Bahaman dan akhirnya menyerah kepada kerajaan Siam. Tok Gajah pula meninggal dunia di Terengganu. Tetapi Mat Kilau pula terus menghilangkan diri.

Dia terpaksa menyamar diri dengan memakai beberapa nama seperti Mat Dadu, Mat Dahan, Mat Din dan Muhamad bin Ibrahim atau Mat Siam.

Setelah berpuluh tahun menyembunyikan diri akhirnya salah seorang cucunya Cikgu Abu Bakar Hasan berjaya memujuk serta meyakinkan bahawa Negara kita sudah merdeka dan keselamatannya terjamin lalu bersetuju mengistiharkan dirinya adalah Mat Kilau, Pahlawan Melayu yang terbilang.

Thursday, November 6, 2008

TANJUNG PUTERI


Tajuk Johor Tanjung Puteri
Selat Teberau airnya biru
Di Pantai Lido tepian mandi
Sepanjang masa di hari minggu

Atas bukit Tanjung Puteri
Taman hiburan indah berseri
Pemandangan menawan hati
Jalan tambak hubungan negeri

( korus )

Tanjung Sekijang nun di kuala
Tempat nelayan mengail gelama
Istana Hinggap di Kuala Danga
Pantai berkelah keluarga diRaja

Dari Tebrau orang berakit
Singgah Setulang membeli kopi
Pusara Si Bongkok di lereng bukit
Di tepi pantai Tanjung Puteri



Monday, October 6, 2008

ISTANA MENANTI

Istana Menanti yang diterjemahkan dalam Bahasa English pada tahun 2000

Istana Menanti yang diterbitkan dalam Bahasa Melayu terbit pada tahun 1998.


Dalam tahun 1998, Utusan Publications & Distributors menerbitkan Balai Sejarah mengandungi 8 novel dan 2 antologi cerpen. Daripada 8 novel itu 2 di antaranya karya saya berjudul Istana Menanti dan Pendekar Siamang Gagap. Kedua novel itu diterjemahkan ke dalam Bahasa English diterbitkan pada tahun 2000.

Tetapi entah kenapa siri Balai Sejarah itu tidak diteruskan lagi.

Tahun lepas saya dapat membeli novel tersebut dalam jumlah yang agak banyak dengan harga paling murah.

Kata orang tuah ayam pada taji. Tuah penulis pada bukunya. Hari ini saya dapat berita yang mengembirakan. Semoga berita itu benar dan menjadi kenyataan. Sekiranya benar, apa lagi yang patut diucapkan selain Alhamdulillah, bersyukur kepada Allah SWT yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani.

Thursday, May 1, 2008

MENJEJAKI WARIS LEFTENAN ADNAN



Leftenan Adnan bin Saidi gugur di Permatang Pasir Panjang Singapura, semasa mempertahankan Tanah Melayu dari serangan tentera Jepun dalam perang dunia kedua. Beliau telah menunjukkan keberanian yang luar biasa, tidak mahu menyerah kalah dan sanggup berjuang hingga ketitisan darah terakhir. Keperwiraannya bukan sahaja membanggakan orang Melayu malah mendapat pujian dari pihak Inggeris.

Menurut Lt General A.E Percival dalam perutusannya berkenaan Pemerintahan Operasi Malaya dari tarikh Disember 1941 sehingga 15 Februari 1942:

"Selepas dibedil dengan meriam dan motar, tentera Jepun menyerang Regimen Melayu yang mempertahankan Permatang Pasir Panjang. Regimen Melayu bertempur dengan gagah beraninya tetapi mengalami kehilangan jiwa yang teruk, dan menjelang petang musuh sampai ke Pasir Panjang. Di tapak bersejarah ini, pertempuran bagi pertahanan terakhir Singapura telah berlarutan selama 48 jam, berakhir dengan satu-satunya pertempuran jarak dekat tangan-ke-tangan dengan Tentera Jepun.”

Korporal Yaakob, yang mendapat pingat keberanian Medal of Gallant, merupakan salah seorang daripada mereka yang terselamat dalam pertempuran di Bukit Candu.

Menurut Korporal Yaakob, semasa pertempuran sedang berlaku, dia turut terkena tembakan musuh dan terjatuh di atas mayat mereka yang terkorban. Dia terselamat kerana berpura-pura mati dan melihat kematian mengerikan Leftenan Adnan.

Tentera Jepun yang marah kerana keberaniannya menentang musuh sehingga ramai yang terkorban telah berjaya menawan Leftenan Adnan lalu diserkup dengan guni. Tentera Jepun kemudiannya telah menggantungkan Leftenan Adnan yang cedera parah itu pada dahan pokok ceri.

Kerana meradang akibat kehilangan ramai rakan, tentera Jepun kemudiannya telah berbaris panjang kemudian mereka berjalan di bawah pokok ceri itu. Setiap orang yang lalu di bawah pokok ceri itu telah menikam tubuh Leftenan Adnan yang tergantung pada pokok tersebut dengan boyonet. Kejadian itu dilihat sendiri oleh Koperal Yaakob.

Kisah keberanian Leftenan Adnan ini telah difilemkan tetapi belum pernah dijadikan novel. Kerana itu saya ingin menovelkannya tetapi bukan adaptasi dari filem tersebut. Sesuai dengan teknik surah Yusuf, cerita bermula dari beliau lahir sehingga menghembuskan nafas terakhir.

Terima kasih kepada pihak PTS Fortuna yang telah meluluskan sinopsisnya. Dengan ini penulisannya sudah boleh dimulakan. Namun saya merasakan penulisan novel ini tidak lengkap sekiranya tidak dapat menjejaki waris Leftenan Adnan.

Semasa menulus novel Si Bongkok Tanjung Puteri, saya pergi hingga ke Belungkur Johor bagi menjejaki pusara Si Bongkok.

Untuk menghasilkan novel Leftenan Adnan ini pula, saya ingin menjejaki warisnya. Leftenan Adnan meninggalkan seorang balu dan tiga orang anak. Beliau juga mempunyai tiga adik beradik tetapi dua terkorban semasa menentang tentera Jepun.

Adakah isterinya masih hidup?. Kalau masih hidup umurnya mungkin sudah menjangkau 80an. Atau kalau bernasib baik dapat betemu dengan anak-anaknnya. Mungkin ada kisah menarik yang masih belum diketahui umum mengenai pahlawan kebanggaan orang Melayu itu.

Saya akan menjejaki waris Leftenan Adnan dalam masa terdekat. Semoga berjaya menemuinya. InsyaAllah.

Saturday, April 12, 2008

DOL SAID PAHLAWAN NANING


British sebuah kuasa besar dunia pernah dikalahkan oleh pahlawan-pahlawan Melayu dalam perang Naning pertama pada tahun 1831. Kekalahan itu amat mengaibkan Inggeris kerana mereka adalah kuasa besar boleh dikalahkan oleh Naning sebuah daerah kecil. Pada mulanya mereka yakin Naning boleh ditewaskan dalam masa sehari sahaja. Tetapi mereka ditentang hebat oleh pahlawan-pahlawan Melayu yang hanya bersenjatakan parang panjang, lembing, anak panah dan pelbagai senjata tradisional yang lain. Setelah berlaku pertempuran selama 18 hari maka tentera British terpaksa berundur setelah ramai tenteranya yang terbunuh dan cedera. Kekalahan itu amat mengaibkan Inggeris sehingga mereka terpaksa menghantar ramai tentera termasuk meriam dalam usaha menundukkan Naning.

Sebelum berlakunya Perang Naning kedua pada tahun 1832, British berjaya memecahbelahkan perpaduan orang-orang Melayu dengan mengikat perjanjian dengan daerah-daerah yang bersempadan dengan Naning termasuk Rembau, Sungai Ujung dan Seri Menanti.

Dalam perang Naning pertama Dol Said mendapat bantuan daripada orang-orang Rembau yang diketuai oleh Syed Saaban. Setelah adanya perjanjian itu maka penghulu Rembau bukan sahaja menarik pahlawan-pahlawannya dari Naning malah mereka membantu Inggeris menakluk Naning.

Walaupun tidak lagi mendapat bantuan dari Rembau dan daerah yang berjiran dengannya namun Dol Said dan orang-orangnya bertekad mempertahankan Naning.

Pada April 1832 askar-askar Inggeris yang diketuai oleh Kolenal Herbert dibantu oleh pasukan Rambau yang diketuai oleh Syed Shaaban menyerang Naning bagi kali kedua.

Sekali lagi berlaku pertempuran yang sengit antara kedua belah pihak. Dan setelah berlaku pertempuran selama hampir dua bulan akhirnya Dol Said dan para pengikutnya terpaksa berundur dari Naning.

Namun kemenangan itu tidak mengembirakan British kerana mereka terpaksa menangung kerugian 100,000 pound dan kehilangan ramai askar bagi menakluk sebuah daerah kecil.

DOL Said atau nama sebenarnya Abdul Said lahir pada tahun 1773 di Naning, Alor Gajah, Melaka. Beliau berasal dari suku Semelenggang. Dol Said adalah penghulu Naning yang ke sembilan.

Sejak kecil lagi, sifat keberaniannya mula diperlihatkan apabila beliau mula belajar ilmu mempertahankan diri atau seni silat sejak berusia enam tahun. Dol Said seorang yang tekun mengaji, cekap dalam seni mempertahankan diri dan sentiasa dihormati orang ramai. Beliau juga seorang yang taat kepada kedua orang tuanya.

Dol Said dilantik sebagai Penghulu Naning menggantikan Penghulu Anjak pada tahun 1799 sewaktu berumur 26 tahun.

British telah meminta Naning memberi satu persepuluh daripada hasilnya. Dan ini dibantah oleh Penghulu Dol Said kerana Naning telah merdeka.

Semasa Belanda memerintah Melaka selepas kejatuhan Portugis, Naning berada di bawah kuasa Belanda dan mereka menghantar satu persepuluh hasil Naning kepada Belanda. Tetapi kemudiannya Belanda telah mengiktiraf Naning sebuah wilayah yang merdeka.
Tetapi apabila British mengadakan perjanjian dengan Belanda pada 1824 British menyerahkan Bengkulu, Sumatera kepada Belanda dan Belanda menyerahkan Melaka kepada pemerintahan British. Dan British memganggap Naning berada di bawah pemerintahan mereka.Sejak itu bermulalah persengketaan antara Dol Said dengan Brtish yang membawa kepada perang Naning pertama 1831 dan Perang Naning kedua 1832.

Kemenangan pahlawan-pahlawan Melayu menentang British dalam perang Naning pertama disebabkan wujudnya perpaduan di kalangan orang Melayu. Naning tidak sendirian kerana di sokong oleh daerah-daerah yang berjiran dengannya.

Tetapi kekalahan dalam perang Naning kedua kerana tidak wujud lagi perpaduan di kalangan orang Melayu malah mereka sanggup membantu Inggeris menyerang Naning.

Kisah Dol Said Pahlawan Naning ini akan dijadikan novel.