Showing posts with label UCAPAN. Show all posts
Showing posts with label UCAPAN. Show all posts

Friday, February 3, 2012

MAULIDUL RASUL




Lelaki yang dimuliakan itu bukan raja
Yatim dan Piatu semasa kecilnya
meraut kasih sayang saudara
dia tidak tahu menulis membaca.

Lelaki itu menjadi mulia
Kerana amanahnya
Kerana budi pekertinya
Kerana Tak pernah berdusta.

Lelaki itu dipuja
Kerana wahyuNya
Kerana kerasulanNya
Kerana kebenaran Kata-katanya.

Setiap 12 Rabiulawal
Lelaki itu diingat lagi
namanya disebut lagi
sirahnya di baca


Lelaki itu lebih hebat dari segala raja
hidupnya berjasa
matinya mulia

SELAMAT MENYAMBUT MAULIDUL RASUL

Wednesday, February 1, 2012

TAHNIAH PEMENANG

HADIAH ISTIMEWA ini diberikan kepada PEMINAT NOVEL SEJARAH ISLAM sebagai tanda syukur dan terima kasih di atas sokongan yang diberikan. Mengikut laporan yang dikeluarkan Universitipts.com, jumlah unit terjual pada tahun 2011 berjumlah 120,008 dengan nilai ringgitnya lebih RM 3 juta. Walau siapa pun yang terpilih pemenangnya adalah mewakili peminat-peminat yang lain.







Pilihan pertama jatuh kepada Aftiey Az-Zarqa atau nama sebenarnya Fatin Nor Izzati Binti Nazim, 18 tahun berasal dari Kuala Terengganu. Beliau pelajar di Universiti Islam Selangor. Anak sulung dari 6 beradik ini minat membaca novel sejarah Islam sejak dalam tingkatan empat. Menurutnya, novel Sultan Muhammad al Fateh adalah buku pertama yang membuka minatnya diikuti Bilal bin Rabah. Menurutnya lagi, novel sejarah Islam turut diminati oleh ayah, ibu dan adik beradiknya. Novel tersebut menjadi bacaan keluarganya.

Menurut Fatin Nor Izzati, beliau mempunyai koleksi novel sejarah Islam yang lengkap tetapi ada yang dipinjam oleh kawan-kawan dan ada pula yang tidak dipulangkan.

Ayahnya seorang peniaga, bukan sahaja memberi izin kepada Fatin Nor Izzati malah menyatakan kesanggupannya untuk mengiringi pemergian anak gadisnya ke tanah suci Mekah supaya dapat bersama mengerjakan umrah dengan perbelanjaan sendiri. MasyaAllah…

Selain koleksi novel sejarah Islam, tulisan Fatin Nor Izzati ini berjaya menyentuh hati pengadil untuk memberinya tempat sebagai pilihan pertama.

“Jika saya terpilih menunaikan umrah di Tanah Suci Mekah pastinya tidak putus-putus hati ini memanjatkan syukur. Hanya insan-insan yang dipilih-Nya yang dapat menjejaki ke Tanah Suci yang penuh berkah dan peninggalan sejarah serta nostalgia kisah-kisah umat terdahulu yang diombak rasa perjuangan. Sudah pastinya, jika diizinkan Allah, berniat dan berihram di miqat, tawaf 7 kali, bersolat di Masjidil haram yang mana pahalanya menyamai 100,000 kali ganda, menyentuh Hajarul Aswad, mengunjungi Makam Nabi Ibrahim, merasai air zam-zam dan saie diharapkan dapat menumbuhkan hati yang lebih lunak dan taqwa. Hanyalah hati yang benar-benar khusyu’ sahaja akan dilambungi rasa kecintaan, kesayuan, keikhlasan, pengertian dan merasai kehebatan berada di Rumah Allah tatkala melakukan ibadah suci ini. Semoga aku antara yang dipilih-Nya.”






Pilihan Kedua jatuh kepada Zariyatul Akmalina atau nama sebenarnya Nur Zariyatul Akmalina Binti Mohd Khalid, 20 tahun berasal dari Selangor. Beliau mula meminati novel sejarah Islam pada tahun 2008 setelah membaca Abu Bakar Sahabat Sejati. Anak ke empat dari enam beradik ini sekarang adalah pelajar di Universiti Sultan Zainal Abidin Terengganu..

Menurut Nur Zariyatul Akmalina, beliau mempunyai koleksi novel sejarah Islam yang lengkap tetapi ada yang sedang dipinjam oleh kawan-kawan dan ada pula yang tidak dipulangkan.

Ayah dan ibunya turut memberi izin kepada Nur Zariyatul Akmalina dan menyatakan sanggup mengiringi pemergian anak gadisnya ke tanah suci Mekah dengan perbelanjaan sendiri. Alhamdulillah.

Selain koleksi novel sejarah Islam tulisan Nur Zariyatul Akmalina ini telah berjaya menarik perhatian pengadil untuk menempatkannya sebagai pilihan kedua.

“Jika saya terpilih mengerjakan umrah ke Tanah Suci Mekah, saya memanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Illahi kerana dengan limpah kurnia dan 'inayahNya saya dipilih oleh Allah SWT menjadi tetamunya. Selama 20 tahun saya hidup di dunia yang fana ini, saya rasakan ibadah saya seakan-akan tiada roh. Tiada rasa haya' dan takut kepadaMu. Sesungguhnya saya ingin mencari semangat yang hilang ini. Dan ingin juga mencari kejernihan air mata yang sering mengiringi bacaan doa saya. Maka hati ini sangat-sangat teringin untuk merasai kenikmatan berdoa dan beribadat kepadaMu. Subhanallah, saya pasti terdiam seribu bahasa tatkala menatapi kaabah dihadapan saya. Akan terlukis juga kerinduan yang hadir dari hati yang dihimpit perasaan ingin dibelai Tuhan. Wallahualam.”





Sunday, November 27, 2011

TAHNIAH

Tahniah diucapkan kepada adik Muhammad Nabil Anif, 12 tahun pelajar Sekolah Kebangsaan Jitra 2 yang mendapat kejayaan cemerlang 5A dalam UPSR baru-baru ini. Beliau peminat tegar novel sejarah Islam. Mempunyai koleksi sendiri di rumahnya.

Apabila mendapat tahu saya berada di UUM Sintok, beliau mengajak ayahnya datang untuk bertemu.

“Pengetahuan sejarahnya Islamnya lebih hebat dari saya,” kata ayahnya sambil menyatakan rasa gembira dengan kejayaan anaknya.

Semoga Muhammad Nabil menjadi anak yang soleh dan pelajar cemerlang.

InsyaAllah..


















Saturday, August 6, 2011

TETAMU DARI PERSATUAN KEBUDAYAAN MALAYSIA - TURKI












Hari ini dikunjungi tetamu dari Persatuan Kebudayaan Malaysia – Turki. Mereka memberikan kerjasama bagi menjayakan penulisan novel sejarah Badiuzzaman Said Nursi.

Jika tiada apa-apa halangan kami akan pergi ke Turki selepas raya puasa ini. Semoga urusan berjalan lancar dan beroleh kejayaan. InsyaAllah.

Friday, July 8, 2011

LAMBAIAN KAABAH





Setelah bertahun mengumpul impian,
esok berangkat ke tanah suci Mekah
mengerjakan Umrah.
semoga perjalanan kami
selamat pergi dan kembali
serta mendapat
umrah yang mabror…insyaAllah.

لَبَّيْكَ اللَّهُمَّ لَبَّيْكَ
لَبَّيْكَ لاَ شَرِيْكَ َ لَبَّيْك
إِنَّ الْحَمْدَ وَالنِّّعْمَةَ,
وَالْمُلْكَ لَكَ
لاَ شَرِيْكَ لَكَ

Kami menyahut seruanMu ya Allah.
Tiada sekutu bagi-Mu
dan kami menyahut seruan-Mu.
Sesungguhnya segala pujian
kenikmatan dan kekuasaan
adalah milik-Mu
dan tidak ada sekutu bagi-Mu.


Thursday, June 2, 2011

SELAMAT HARI LAHIR






Semalam 2hb Jun 2011 adalah hari kelahiran saya yang ke 57,

Alhamdulillah kerana masih dipanjangkan umur, dikurniakan kesihatan dan pelbagai nikmat.

Terima kasih kepada semua yang mendoakan. Semoga doa-doa yang baik itu memberi manfaat kepada kita bersama.

Amin.



Friday, December 31, 2010

AZAM TAHUN BARU 2011


Malam ini penutup tirai 2010...saya meraikan malam tahun baru 2011 ini dengan menyiapkan bab terakhir kisah PERANG KHANDAQ.

Pengajaran dari kisah perang Khandaq, Allah boleh memilih sesiapa saja termasuk angin ribut bagi membantu menegakkan Islam...

Allah juga pernah memilih labah-labah dan burung merpati bagi melindungi... Nabi Muhamad dan Saidina Abu Bakar As Siddiq dalam Gua Thur...dan Allah pernah memilih seekor anjing bagi menemani pemuda yang bersembunyi dalam gua kahfi...Allahu Akbar...

Azam tahun 2011 menulis 12 buah novel...Insya-Allah...

Tuesday, November 2, 2010

SURAT MOHON MAAF




Assalamualaikum tuan.

Saya (nama dirahsiakan) mohon maaf kepada tuan kerana telah menulis kritikan secara melulu kepada tuan dalam facebook tempoh hari. saya menulis kritikan yang menganggap kerosakan sejarah boleh berlaku dalam novel tuan. Sejujurnya tindakan saya menulis seperti itu kerana saya teringat kata-kata ustaz saya memberitahu perkara sedemikian selepas saya membaca dan memberitahu kepadanya mengenai novel tuan(Sultan Muhammad Al Fateh).

Sejujurnya juga saya telah memiliki beberapa novel tuan termasuklah Umar Al Khattab, Hulagu Khan dan saya akui ianya medium dakwah yang terbaik…saya harap tuan faham usia saya yang muda dan bertindak secara mululu dan spontan terhadap tuan dalam ruang maya ini.saya memohon maaf.

Allah telah mencampakkan rasa bersalah saya kepada tuan kerana banyaknya sumbangan tuan kepada Islam .Jua saya peminat novel tuan,tetapi menulis sesuatu yang melulu terhadap tuan. Sedar tuan banyak memberikan sumbangan kepada Islam dalam menceritakan sejarah jihad pejuang pejuang Islam. Dan saya jua sedar dan tahu tuan sebagai penulis semestinya telah membuat rujukan yang sahih sebelum menulis dan diterbitkan kepada umum.

Saya mohon keampunan daripada tuan atas teguran saya.saya tidak mahu dilebel Allah orang yang menentang dan mempertikai usaha dakwah sesama muslim diakhirat kelak.

Moga tuan terus berkarya dalam mengembangkan dakwah di seluruh tanah air. Akhir kata maafkan atas tindakan saya tempoh hari.

Sekian.

(Nama dirahsiakan)
---------------------------------------------------------------------
Waalaikumsalam warahmatullahi wabarakatuh

Saya mengucapkan syukur kepada Allah swt kerana dapat bersabar apabila menerima kritikan lalu berlapang dada menerimanya. Dan saya lebih bersyukur apabila tuan yakin bahawa Allah telah mecampakkan rasa bersalah terhadap tuan disebabkan kritikan tersebut. Saya menerimanya juga dengan berlapang dada semoga dijauhi dari rasa riak dan takbur...

Memang benar saya menulis novel sejarah itu berdasarkan buku rujukan yang sohih. Walau pun begitu mungkin masih ada kekurangan yang boleh diperbaiki. Dan saya sedia menerima teguran daripada mana-mana pihak.

Terima kasih.


Friday, September 10, 2010

JEMPUT DATANG


Tarikh: 18 September 2010
Tempat: Rumah saya di Kampung Kerangai
Acara: majlis perkahwinan anak.
Semua dijemput hadir.




Thursday, September 9, 2010

Friday, September 25, 2009

INILAH RUMAHKU

Inilah rumahku. Rumah kampung yang sederhana saja. Di kelilingi pohon buah-buahan. Ada durian, langsat, rambutan dan manggis.

Inilah bilik tempat aku menulis.


Belakang rumah. Di sini tempat aku berehat sambil menikmati pemandangan.

Thursday, September 24, 2009

SELAMAT HARI RAYA AIDIL FITRI


Puan Asma Fadila, Pengurus PTS Litera Utama Sdn Bhd, penerbit sastera perempuan dan sastera sejarah (novel sejarah Islam) telah datang berhari raya ke rumah saya. Terima kasih puan Asma yang sudi datang berkunjung walaupun terpaksa berpening-pening lalat menempuh bukit tangga dan jalan yang berliku-liku di Jelebu.



Monday, June 1, 2009

55 TAHUN

Hari ini 2hb June 2009
genap 55 tahun usiaku
Syukur kerana masih diberi kesempatan
Menikmati kurniaan Ilahi di dunia ini






Tuesday, March 31, 2009

ULANGTAHUN KE 30

Alhamdulillah
syukur kepada Allah
yang telah mempertemukan jodoh kami


Hari ini
1 April 2009
genap 30 tahun
usia pernikahan kami
dikurniakan tiga cahaya mata
yang soleh dan solehah.


Keluarga kami terus bertambah
dengan kehadiran menantu dan cucu
mereka bersamaku ketika susah dan senang
memberi semangat dan sokongan.





Wednesday, March 11, 2009

MAKLUMAN

Untuk makluman saya telah menarik diri dari menjadi pembimbing Bengkel Penulisan Kreatif ini atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan.

Saya memohon banyak kemaafan di atas perkara ini.




Tuesday, January 13, 2009

BICARA KARYA & TOKOH PEN 2009

Sempena Ulang Tahun PEN ke-40 dan Mesyuarat Agung PEN ke 32, akan diadakan majlis Bicara Karya & Tokoh PEN 2009.

)i) Agus Salim oleh Dr. Ani Omar
ii) A.Latip Talib oleh Encik Amiza Khusyri Mohd. Yusof

Pada jam 8.30 pagi
18 Januari 2009 (Ahad)
di Balai Ilmu,
Institut Perguruan Raja Melewar,
Jalan Sikamat,
Seremban, Negeri Sembilan

Semua peminat dan pemerhati sastera dipersilakan hadir.

Tuesday, January 6, 2009

MOHD GHAZALI TOCHEH PULANG KE RAHMATULLAH

Mohd Ghazali Tocheh antara penulis kelahiran Negeri Sembilan yang rajin menulis. Walaupun beliau pengarang OKU tetapi tidak menghalangnya untuk berkarya.

Berkat ketekunannya menulis beliau menerima Anugerah Penulis Remaja Negeri Sembilan 2004 dan Anugerah kategori Tokoh Karya Kanak-Kanak / Remaja, Anugerah Sastera Negeri Sembilan 2005. Allahyarham meninggal dunia di kediamannya di Taman Melati, hari ini (Selasa 6hb)

Baru-baru ini beliau menefon saya menceritakan mengenai kegiatannya di bidang penulisan. Saya mencadangkan beliau menghantar karyanya kepada PTS. Khabarnya beliau sudah pun berjumpa dengan Editor PTS.

Saya terkejut apabila dimaklumkan mengenai pemergiannya.

Al Fatihah.

Wednesday, December 31, 2008

SELAMAT MENYAMBUT TAHUN BARU

Selamat menyambut tahun baru 1430 hijrah bersamaan tahun 2009.

Seperti biasa apabila menjelang tahun baru maka ramai yang membuat azam baru atau memperbaharui azam.

Di bidang penulisan, saya berazam tahun 2009 menulis lebih banyak novel sejarah. Semoga tercapai.

InsyaAllah.


Saturday, December 27, 2008

Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan mangkat

Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tunku Jaafar Tuanku Abdul Rahman mangkat di Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ) pada kira-kira pukul 11.45 pagi ini. Baginda berusia 86 tahun.

Jenazah Almarhum baginda akan dibawa pulang ke Istana Besar Seri Menanti, Kuala Pilah petang ini untuk majlis penghormatan terakhir serta menunggu kepulangan anakanda baginda yang masih berada di luar negara. Istiadat pengebumian jenazah Almarhum baginda akan diadakan pada hari Isnin selepas solat asar.


Tuesday, December 2, 2008

LAMBAIAN KAABAH




Selamat mengerjakan ibadat haji kepada para tetamu Allah. Semoga mendapat haji yang Mabror.