Friday, August 28, 2009

BUKU YANG KE 20 DENGAN PTS



Alhamdulillah, sejak bertemu "jodoh" dengan PTS pada tahun 2007 hingga kini telah lahir 20 buah novel sejarah.






Dol Said Pahlawan Naning merupakan novel saya yang ke 20 dengan PTS. Semoga pada tahun-tahun berikutnya bertambah lagi karya saya. InsyaAllah.



Monday, August 24, 2009

EXPLORASI NOVEL SALAHUDIN AYUBI PENAKLUK JERUSALEM

Terima kasih diucapkan kepada Biro Akademik & Kerjaya MPP Sesi 08/09 Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang menganjurkan Explorasi buku Salahudin Ayubi Penakluk Jerusalem.

Antara perkara yang diperkatakan ahli panel, apakah perkara pokok yang ingin disampaikan penulis melalui novel Salahudin Ayubi Penakluk Jerusalem?. Bagaimana fakta-fakta sejarah hidup Salahudin Ayubi diolah dalam bentuk genre novel Islam dan apakah pendekatan dalam memastikan keaslian fakta tersebut?.


Tuan Mohamad Kamal bin Kamarudin, mencadangkan supaya judul “Penakluk” itu ditukar kepada perkataan yang lebih sesuai. “Jerusalem” pula ditukar kepada “Baitul Muqaddis.” Satu cadangan yang baik.

Beliau yang juga pensyarah sejarah di UPSI menggalakan Mahasiswa dan Mahasiswi membaca novel tersebut agar nilai-nilai murni dan semangat pahlawan terbilang itu dapat dijadikan tauladan untuk menjadi lebih baik pada masa akan datang.


Kebanyakan yang hadir sudah membaca novel Salahudin Ayubi Penakluk Jerusalem menjadikan Explorasi buku itu mendapat maklum balas yang baik daripada peserta.

Sebagai penulis buku ini saya merasakan Explorasi novel Salahudin Ayubi ini merupakan satu penghargaan yang pastinya memberi motivasi kepada diri ini.




Ahli panel. Abdul Latip, Tuan Mohamad Kamal bin Kamarudin (tengah) dan Tuan Mohd Nawwar bin Abu Mukhtar (moderator)


Sempena majlis ini diadakan jualan novel sejarah Islam dan buku-buku lain yang diterbitkan PTS. Ramai juga yang membelinya. Alhamdulillah.


Bergambar sambil tanda tangan pada buku-buku yang dibeli Mahasiswa dan Mahasiswi UPSI. Semoga mereka cemerlang di dunia dan bahagia di akhirat. Amin.




Mereka adalah bakal pendidik dan pemimpin.





Terima kasih diucapkan kepada Nur Aqilah Hanis Mohd Yusof dan barisan Ahli Jawatankuasa Pelaksana kerana menjayakan majlis ini.


















Gambar-gambar adalah ihsan daripada Cik Nazalia binti Lokman dan Nur Afiti binti Mohd Basri.


Sunday, August 23, 2009

SURAT DARI PEMBACA


Marniyati Mohd. Nor pada 24hb Ogos pukul 12.19 pagi

Assalamualaikum Tuan Abdul Latip.
Semoga tuan berada dalam kesejahteraan dan sentiasa berada dalam lindungan Allah sentiasa.Mohon maaf andai email ini mengganggu urusan hidup tuan. Saya doakan semoga apa juga urusan itu dipermudahkan Allah hendaknya, Insyaallah.

Saya baru sahaja mengulang bacaan novel sejarah "Ali bin Abu Talib" buat kali kedua. Bacaan kali ini saya sertakan dengan 'ulasan selari' kepada anak sulung saya, Farhan (7 tahun) yang sangat gemarkan kisah pejuang Islam.

Secara tiba-tiba anak saya menegur, "Mama, kenapa guna nama 'beliau' untuk nabi? Kan kita kena guna nama 'baginda'?"

Terkedu saya dibuatnya apabila anak kecil itu menegur. Teringat pula saya pernah menerangkan kepadanya mengapa kita harus mengunakan kata ganti nama diri ketiga 'baginda' apabila merujuk kepada Baginda Rasulullah s.a.w.

Justeru, suka saya menyatakan bahawa dalam buku tuan, memang tuan menggunakan kata ganti nama diri ketiga 'beliau' bagi merujuk kepada Rasulullah s.a.w dan saya berpendapat bahawa kata ganti nama diri ketiga 'baginda' lebih sesuai dengan darjah kehormatan junjungan kita itu.

Jutaan kemaafan saya pohon andai kenyataan saya ini menyinggung perasaan tuan yang pasti lebih maklum dengan karya tuan itu.Apa pun, saya mengucapkan jutaan terima kasih juga kerana tuan sudi berkarya dan berkongsi kisah pejuang Islam melalui karya tuan.

Semoga Allah memberikan rahmat dan keberkatan kepada tuan di dunia dan di akhirat. Segala yang baik itu datangnya daripada Allah dan segala yang tidak baik itu juga adalah ketentuan dari Nya.

Mohon maaf sekali lagi. Harap tuan tidak berkecil hati.

Terima kasih.


Sunday, August 16, 2009

SUDAH TERBIT


Novel "Mat Kilau Pahlawan Pahang" mengisahkan sejarah dan kepahlawanan Mat Kilau, Datuk Bahaman, Imam Perang Rasu dan lain-lain ketika menentang campur Inggeris di Pahang. Kisah diceritakan sejak dalam kandungan hingga pahlawan Mat Kilau meninggal dunia.

Benarkah lelaki tua yang dikenali dengan nama Mat Siam itu adalah Mat Kilau?. Apakah bukti-buktinya?. Siapakah yang mengesahkan beliau adalah pahlawan Mat Kilau?. Kenapa beliau menentang Inggeris?. Kenapa Mat Kilau menyembunyikan diri dan sering menukar namanya?.

Semua persoalan
itu terjawab setelah membaca novel sejarah ini.




PTS Litera Sdn Bhd
RM RM21 / RM RM24 (Sabah & Sarawak),
978-983-3892-42-6;
Tarikh Terbit: 15 August 2009 ;
Jumlah Muka Surat : 384 halaman


Boleh dibeli di rangkaian kedai buku MPH, Popular, Kinokuniya, Mari Baca Bookstore dan lain-lain atau pesan melalui online www.bookcafe.com.my


Wednesday, August 12, 2009

SIDANG MEDIA MARHABAN YA RAMADAN

12 ogos , jam 2.00 hingga 5.00 petang, bertempat di bilik Seri Nilam, Istana Budaya, Jabatan Marketing PTS mengadakan majlis sidang akhbar sempena melancarkan kempen membaca sepanjang bulan Ramadhan dengan tema "Marhaban Ya Ramadhan".

Sebanyak 27 buah buku telah dipromosikan, 12 antaranya novel sejarah Islam.

Walapun majlis tidak ramai tetapi cukup berarti untuk satu permulaan memupuk minat membaca pada bulan Ramadan. Khabarnya di Indonesia budaya seperti itu sudah lama diamalkan. PTS berusaha memulakannya di Negara kita.

Semoga usaha memupuk minat membaca pada bulan Ramadan ini turut mendapat kerjasama semua pihak termasuk para ulama, tok imam dan guru-guru sekolah.

Pada majlis itu juga sempat bertemu dan berbual dengan bos-bos PTS antaranya Puan Ainon, Prof Abdullah Hasan, Tuan Arief Hakim Sani, Tuan Fauzul Naim dan lain-lain. Alangkah baiknya pertemuan seperti ini kerana dapat menyemarakkan lagi semangat untuk berkarya.


Sidang Media dan mempromosikan novel-novel sejarah Islam.


Bergambar dengan pengerusi PTS Puan Ainon Mohd.


Penasihat PTS Prof Abdullah Hasan memberi kata-kata semangat kepada saya.


Bergambar dengan bos PTS Litera Utama dan Editor novel sejarah Islam.


Bergambar dengan tuan Zamri Mohamad penulis ngetop PTS.







Sunday, August 9, 2009

BERBEKAM

Petang semalam saya sempat berbekam. Memang bagus perubatan tradisional yang sudah lama diamalkan oleh sebahagian orang ini.

Berbekam ialah mengeluarkan darah kotor daripada badan seseorang. Sekarang dilakukan dengan peralatan yang lebih moden dan selamat.

GAMBAR HIASAN


Perubatan ini adalah disunatkan dalam Islam malahan ia merupakan di antara sebaik-baik cara perubatan. Sebagaimana yang disebutkan di dalam beberapa buah hadis di antaranya:

"Sebaik-baik perubatan bagi kamu ialah berbekam"

Mengikut mazhab As-Syafie, berbekam itu tidak membatalkan wuduk. Berbekam juga boleh dilakukan pada siang bulan Ramadhan kerana tidak membatalkan puasa.



Wednesday, August 5, 2009

SIAPA TAIMUR LANK

Menurut catatan sejarah, Taimur Lank atau Timurline adalah pahlawan Monggol yang beragama Islam menganut fahaman Syiah. Dia lahir di Samarkhan pada tahun 1336 atau kira-kira 100 tahun selepas Hulagu Khan meninggal dunia.

Taimur Lank artinya Taimur kaki pincang namun cita-cita tinggi melangit seperti Genghiz Khan dan Hulagu Khan yang berpendapat Tuhan itu satu maka raja di dunia ini juga mestilah satu. Kerana itu dia berusaha untuk menjadi raja yang satu itu.

Selepas mengumpulkan bala tenteranya seramai 400 ribu orang, dia menakluk Afghanistan, Iran dan Kurdistan. Kemudian dia menakluk Kota Baghdad. Ketika sampai di Tikrit dia mengumpulkan para tawanan perang lalu memenggal leher kemudian dikumpulkan sehingga menjadi seperti piramid.

Kemudian dia menyerang Turki yang ketika itu diperintah oleh Sultan Bayazid. Selepas menakluk Turki dia terus ke Syria dan Mesir. Namun dia masih belum berpuas hati dengan kejayaannya itu selagi seluruh dunia belum berada di bawah pemerintahannya.

Dia membawa bala tenteranya menakluk Rusia. Kemudian meneruskan kemaraannya ke India. Satu demi satu negeri India ditakluknya. Di India mereka membunuh kira-kira 100 ribu orang tawanan perang.

Selepas berjaya menakluk India, Taimur Lank membuat persiapan untuk menakluk negeri Cina. Tetapi semasa dalam perjalanan dia meninggal dunia.