Monday, October 24, 2011

GELARAN BADIUZZAMAN

Gelaran Badiuzzaman atau keajaiban zaman, pertama kali diberikan kepada Said Nursi ketika berumur 15 tahun. Ketika itu beliau sudah menghafal 80 buah kitab. Kelebihan beliau apabila membaca terus melekat dalam ingatannya. Dengan kelebihan itu beliau dapat menamatkan pengajiannya dalam masa tiga bulan sahaja sedangkan orang lain mengambil masa selama 15 tahun.

Beliau diuji oleh beberapa orang ulama yang terkenal pada masa itu antaranya Syeikh Muhamad Jelali, Syeikh Muhamad Amin Efendi, Syeikh Mehmed Abdullah dan ramai lagi. Kesemua mereka mengakui Said Nursi seorang ulama. Beliau disuruh memakai jubah (pakaian ulama pada masa itu) beliau menolak dengan mengatakan masih muda belum layak digelar ulama.

Ketika berada di Siirt, Molla Fetullah seorang ulama terkenal memberi gerlaran Badiuzzaman. Said Nursi menolak gelaran itu kerana merasakan dirinya masih terlalu muda belum layak mendapat gelaran Badiuzzaman.

Pada tahun 1897 (1314H), ketika berusia 20 tahun, Said Nursi pergi ke Van atas jemputan Hassan Basya, Gabenor Van. Jemputan itu diterimanya kerana di Van ketika itu belum ada lagi tokoh ulama.

Setelah Hassan Basya meninggal dunia diganti gabenor baru Tahir Basya seorang yang cintakan ilmu pengetahuan serta menghormati ulama. Beliau menjemput Said Nursi duduk di rumahnya. Jemputan itu diterima kerana di rumah Tahir Basya ada sebuah perpustakaan besar yang terdapat banyak buku termasuk kitab-kitab agama dan juga buku-buku sains moden seperti fizik, geologi, matematik dan sebagainya.

Akhirnya dengan usaha sendiri dalam masa yang singkat beliau telah dapat menguasai ilmu-ilmu moden seperti sejarah, geografi, matematik, fizik, kimia, astronomi, falsafah moden, kaji hayat dan kaji bumi. Kehebatannya diakui oleh para cerdik pandai pada zaman itu lalu diberi gelaran Badiuzzaman. Kali ini baru beliau menerima gelaran tersebut.

“Tidakkah gelaran itu menjadikan anda bangga diri?” tanya seorang kenalannya.

“Saya menerima gelaran itu bukan untuk bermegah tetapi untuk mengingatkan diri ini berbeza dari orang lain,” jawabnya.

Beliau juga pernah berkata gelaran itu bagi mensyukuri kurniaan Allah terhadapnya.

“Nama Badiuzzaman itu bukan milik saya tetapi nama pemilik Risalah Nur,” katanya.

Walaupun sudah mencapai taraf ulama dan mendapat gelaran "Orang istimewa dalam satu zaman" namun beliau masih berpakaian kaum Kurdis.

Tahir Basya menawarkan hadiah seribu lira, sebuah rumah dan anak gadisnya untuk dijadikan isteri jika Badiuzzaman Said Nursi mahu memakai pakaian ulama, namun dia menolaknya.


1 comment:

Macedonia said...

said nursi jadi ulama yang tidak berkahwin dan tidak menyimpan janggut.

Beliau sangat hebat, saya juga menangis bila baca kisah beliau. Harun Yahya pun banyak bercerita ttg bediuzzaman, dlm laman web harun yahya, saya dah download video tu.

Selamat menulis, semoga ALLAH akan melahirkan banyak lagi ulama seperti Bediuzzaman.

Harap Pak Cik Latip, doakan agar iman sya sentiasa ditetapkan.