Sunday, August 23, 2009

SURAT DARI PEMBACA


Marniyati Mohd. Nor pada 24hb Ogos pukul 12.19 pagi

Assalamualaikum Tuan Abdul Latip.
Semoga tuan berada dalam kesejahteraan dan sentiasa berada dalam lindungan Allah sentiasa.Mohon maaf andai email ini mengganggu urusan hidup tuan. Saya doakan semoga apa juga urusan itu dipermudahkan Allah hendaknya, Insyaallah.

Saya baru sahaja mengulang bacaan novel sejarah "Ali bin Abu Talib" buat kali kedua. Bacaan kali ini saya sertakan dengan 'ulasan selari' kepada anak sulung saya, Farhan (7 tahun) yang sangat gemarkan kisah pejuang Islam.

Secara tiba-tiba anak saya menegur, "Mama, kenapa guna nama 'beliau' untuk nabi? Kan kita kena guna nama 'baginda'?"

Terkedu saya dibuatnya apabila anak kecil itu menegur. Teringat pula saya pernah menerangkan kepadanya mengapa kita harus mengunakan kata ganti nama diri ketiga 'baginda' apabila merujuk kepada Baginda Rasulullah s.a.w.

Justeru, suka saya menyatakan bahawa dalam buku tuan, memang tuan menggunakan kata ganti nama diri ketiga 'beliau' bagi merujuk kepada Rasulullah s.a.w dan saya berpendapat bahawa kata ganti nama diri ketiga 'baginda' lebih sesuai dengan darjah kehormatan junjungan kita itu.

Jutaan kemaafan saya pohon andai kenyataan saya ini menyinggung perasaan tuan yang pasti lebih maklum dengan karya tuan itu.Apa pun, saya mengucapkan jutaan terima kasih juga kerana tuan sudi berkarya dan berkongsi kisah pejuang Islam melalui karya tuan.

Semoga Allah memberikan rahmat dan keberkatan kepada tuan di dunia dan di akhirat. Segala yang baik itu datangnya daripada Allah dan segala yang tidak baik itu juga adalah ketentuan dari Nya.

Mohon maaf sekali lagi. Harap tuan tidak berkecil hati.

Terima kasih.


1 comment:

cia said...

" Sekiranya engkau meletakkan matahari ditangan kananku dan bulan ditangan kiriku sekalipun, aku tetap menolak tawaran itu. Aku pasti terus menjalankan tugas ini walaupun aku mati kerananya!"....-Nabi Muhammad SAW.