Sunday, February 12, 2012

KALIMAH PERTAMA BISMILLAH


Kalimah Pertama daripada Badiuzzaman Said Nursi.

Lafaz bismillah (Dengan nama Allah) induk bagi segala kebaikan, permulaan bagi setiap urusan. Kita juga memulakan dengan bismillah. Wahai diri, ketahuilah sesungguhnya kalimah yang indah dan berkat ini, di samping menjadi syiar Islam, ia juga zikir seluruh makhluk yang ada mengikut bahasanya sendiri. Andainya engkau mahu mengetahui sejauhmana kandungan ucapan bismillah yang mempunyai kekuatan agung yang tidak pernah luput dan betapa luas keberkatannya yang tidak pernah berakhir, maka dengarlah wahai diri akan hikayat perumpamaan yang ringkas ini.

Sesungguhnya seorang badawi yang berkelana (bermusafir) di padang pasir, tentunya berlindung dengan ketua kabilah, bernaung di bawah naungannya agar terselamat dari segala kejahatan musuh, agar terlaksana segala tugasnya serta memperolehi segala keperluannya. Sekiranya tidak, maka ia akan kekal keseorangan, terpinga-pinga dan tercengang-cengang di hadapan musuh yang terlalu ramai dan keperluannya yang tidak terbatas.

Begini… kebetulan dua orang lelaki keluar berkelana. Salah seorang daripadanya bersifat tawadhu' dan seorang lagi pula terpedaya dengan diri sendiri. Maka yang tawadhu' itu bernaung kepada ketua, manakala yang terpedaya tadi menolak dari menerima sebarang naungan. Maka berkelanalah kedua-duanya itu di padang pasir.

Yang bernaung tadi setiap kali mendiami sebuah khemah ia menerima penghormatan dan penghargaan disebabkan kemuliaan nama ketua tersebut. Apabila ia berjumpa perompak, ia akan berkata; sesungguhnya aku berkelana di bawah naungan ketua itu, lalu si perompak tadi akan melepaskannya.

Yang terpedaya pula, ia bertembung dengan pelbagai musibah dan kecelakaan yang tidak mampu diungkapkan. Di sepanjang perjalanan ia sentiasa dalam keadaan cemas, takut dan terpinga-pinga. Lalu ia mengutuk dan mengeji dirinya sendiri.

Wahai diri yang tertipu, ketahuilah, engkaulah si badwi yang berkelana itu, dan dunia yang luas inilah padang pasirnya. Sesungguhnya kefakiran dan kedaifanmu tidak terbatas sebagaimana musuh dan kehendakmu juga tidak berkesudahan. Sekiranya demikian, maka bernaunglah dengan nama pemilik dan penguasa sebenar padang pasir tersebut, agar engkau terselamat daripada kelihatan terpinga-pinga di depan alam ini dan daripada kejinya perasaan takut bila berhadapan dengan musibah.

Ya! sesungguhnya kalimah suci bismillah umpama khazanah besar yang tidak akan pernah berkurangan isinya kerana dengan kalimah inilah kedaifanmu itu akan bergantung kepada rahmat yang maha luas bahkan terlebih luas daripada alam ini, dan dengannya juga, kefakiranmu akan bergantung kepada kuasa yang amat hebat yang mentadbir kewujudan ini bermula daripada atom sehinggalah kepada cakerawala. Sehingga akhirnya, kedaifan dan kefakiranmu itu akan menjadi syafaat di sisi yang Maha Berkuasa, Maha Penyayang, Pemilik bagi segala kemuliaan.

Sesungguhnya yang bergerak dan yang diam, yang berpagi dan berpetang, yang mengungkapkan kalimah bismillah adalah seumpama orang yang terlibat dalam ketenteraan. Ia berurusan atas nama negara dan tidak gentar kepada sesiapapun. Ia berucap atas nama undang-undang dan negara, maka terlaksanalah segala urusannya dan tetaplah pendiriannya dalam menghadapi semua perkara.

Kita telah menyebut di permulaan tadi bahawa semua makhluk ini berzikir dengan bahasanya yang tersendiri iaitu dengan menyebut kalimah bismillah… adakah ini benar?

Ya! sebagaimana engkau melihat seorang lelaki yang mengepalai orang ramai dalam satu perbarisan dan memerintahkan mereka supaya melakukan pelbagai jenis urusan, maka sesungguhnya engkau pasti bahawa lelaki ini bukan mewakili dirinya sendiri dan tidak pula mengepalai orang ramai atas nama dan kekuatan dirinya sendiri, tetapi ia sebenarnya adalah seorang askar yang bertindak atas nama negara dan berdasarkan kuasa pemerintah.

Seluruh makhluk ini juga menunaikan tanggungjawabnya dengan lafaz bismillah, maka benih-benih yang teramat kecil itu, dengan lafaz bismillah, ia menjunjung di atas kepalanya pohonan yang besar dan bebanan yang berat. Setiap pohonan ini pula berkata bismillah, lalu penuhlah dedahannya dengan buah-buahan daripada gedung rahmat Allah, lalu dipersembahkannya rahmat tersebut kepada kita. Setiap taman berkata bismillah, lalu ia seolah-olah menjadi sebuah dapur kepada kekuasaan Allah (S.W.T) yang tersedia di dalamnya makanan yang lazat… dan setiap haiwan yang mempunyai faedah dan manfaat seperti unta, kambing dan lembu pula berkata bismillah, lalu ia menjadi seolah-olah sebuah sumur yang memancutkan susu-susu yang teramat lazat, lalu dipersembahkannya kepada kita sebaik-baik dan sebersih-bersih bahan makanan di atas nama al-Razzaq. Dan akar-akar tumbuhan serta rumput-rampai mengucapkan bismillah, lalu memecahkan bebatu yang keras dengan bismillah dan menembuskannya dengan akar-akar yang menjalar lembut bagai sutera itu, lalu menundukkan setiap kesusahan dan setiap benda yang keras di hadapannya dengan bismillah dan dengan bismirrahman.

Ya! sesungguhnya menjalarnya dedahan pohon di udara, mengendong buah-buahan dan menjalarkan akar-akarnya ke batu yang keras dan ia menyimpan bahan makanan dalam kegelapan tanah… begitu juga dedaunan hijau dapat menanggung kepanansan serta bahangnya itu, lalu dapat terus kekal dalam keadaan segar. Itu semua dan yang lain daripada itu merupakan satu tamparan hebat terhadap mulut golongan materialistik yang menjadi penyembah kepada sebab dan ia juga seolah-olah suatu tempikan di hadapan muka mereka. Sesungguhnya bahan-bahan yang kamu banggakan disebabkan kekerasan dan kepanasannya juga tidak mampu memberi kesan dengan sendiri, bahkan kedua-duanya itu dapat menjalankan tugasnya atas arahan pemerintah yang satu, yang menjadikan akar-akar yang lembut dan halus ini seolah-olah tongkat nabi Musa (a.s) yang dapat memecahkan batu dan tunduk kepada perintah (Lalu Kami berfirman pukullah batu itu dengan tongkat mu), surah al-Baqarah :60 ; yang menjadikan dedaunan yang lembut dan segar seolah-olah anggota badan nabi Ibrahim (a.s) yang ketika menghadapi kepanasan membaca (… wahai api jadikanlah diri kamu sejuk dan selamat ke atas Ibrahim), surah al-Anbiya' :69.

Selagi setiap kewujudan di alam ini mengungkapkan dengan makna bismillah dan mengundang nikmat-nikmat Allah dengan bismillah, lalu dipersembahkannya kepada kita, maka wajarlah kita juga untuk mengungkapkan ucapan bismillah, apabila memberikan dan mengambil sesuatu dengan bismillah. Wajib juga bagi kita menolak pertolongan dari golongan yang lalai yang tidak memberikan sesuatu dengan bismillah.

Persoalan; kita menyatakan rasa hormat, rasa kagum kita kepada mereka yang menjadi sebab kepada nikmat yang kita perolehi. Dan apakah yang dipinta dari kita oleh Allah, Pemilik dan Penguasa semua nikmat itu?

Jawapannya; Sesungguhnya Pemberi nikmat yang hakiki meminta kita tiga perkara sebagai bayaran kepada nikmat-nikmatNya yang tidak ternilai itu iaitu zikir, syukur dan fikir.

Maka bismillah pada permulaan adalah zikir, alhamdulillah sebagai penyudah adalah syukur dan keadaan di antara keduanya (zikir dan syukur) adalah fikir iaitu dengan memerhatikan nikmat-nikmat yang indah tersebut serta menyedari bahawa ia merupakan mukjizat bagi kekuasaan Dia Yang Esa, yang menjadi tempat berserah dan juga menyedari itu semua adalah hadiah bagi sifat rahmatNya yang maha luas, maka pemerhatian inilah yang dipanggil fikir.

Tetapi…tidakkah mereka yang sanggup mencium kaki tentera yang menjadi khadam yang menyampaikan hadiah seorang penguasa, telah melakukan kebodohan yang amat dahsyat dan kedunguan yang amat keji. Oleh itu, bagaimana pula dengan mereka yang memuji sebab yang berbentuk kebendaan yang membawa kepada nikmat, lalu menyerahkan kepada sebab tersebut kasih sayang dan ketundukan tanpa mengkhususkan kedua-duanya kepada pemberi nikmat yang sebenar. Tidakkah mereka ini telah melakukan kebodohan seribu kali lebih teruk daripada contoh tadi. Wahai diri, andainya engkau tidak mahu dimasukkan ke dalam golongan yang bodoh lagi dungu tadi, maka berilah dengan bismillah, ambillah dengan bismillah, mulalah dengan bismillah dan bekerjalah dengan bismillah.

Kalimah Pertama

Oleh :

Badiuzzaman Said Nursi. Daripada Kitab al-Kalimah.

Terjemahan :

Ustaz Muhammad Zaidin Mat

Kolej Ugama Sultan Zainal Abidin, Terangganu Darul Iman, Malaysia.

Disemak :

Prof. Madya Dr. Abdol Rauh Yaccob

Jabatan Pengajian Arab dan Tamadun Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia, Selangor Darul Ihsan, Malaysia.

No comments: