Tuesday, June 30, 2009

HULAGU KHAN

Nama Hulagu Khan menjadi terkenal serta diingati ramai kerana beliau berjaya menakluk serta memusnahkan Kota Baghdad pada zaman pemerintahan Bani Abbasiyah pada tahun 1258. Tentera Salib yang paling gembira dengan kehancuran kota Baghdad itu kerana sebelum itu mereka pernah dikalahkan oleh Sultan Salahuddin al Ayubi dalam perang salib. Malah ada yang mengatakan mereka turut membantu Hulagu Khan.

Nama Hulagu Khan tercatat dalam sejarah Islam sebagai pahlawan Monggol yang paling kejam kerana membunuh ramai umat Islam serta menghancurkan peradaban Islam di kota Baghdad.

Novel ini ditulis pada tahun 2007. Kerana beberapa sebab ia agak lambat diterbitkan.

Setelah selesai menulis kisah empat pahlawan Islam iaitu Khalid al Walid, Ikramah bin Abu Jahal, Salahuddin al Ayubi dan Tariq bin Ziyad, saya ingin merakamkan kisah kejatuhan kota Baghdad. Saya pilih Hulagu Khan kerana dia ada kaitan dengan peristiwa tersebut. Walaupun ramai yang beranggapan Hulagu Khan adalah musuh Islam dan bukan pahlawan Islam, tetapi kisahnya amat menarik serta ada kaitan dengan sejarah kejatuhan kota Baghdad.

Kenapa Hulagu Khan menakluk kota Baghdad?. Kenapa dia bersikap kejam terhadap umat Islam?. Kenapa kerajaan Bani Abbasiyah yang telah berkuasa selama lebih 500 tahun dengan mudah berjaya ditumbangkan oleh orang-orang Monggol?. Siapakah pahlawan Islam yang berjaya mengalahkan orang-orang Monggol?. Bagaimana mereka boleh dikalahkan?. Apa yang terjadi kepada Hulagu Khan setelah menakluk Kota Baghdad?. Semua persoalan itu akan terjawab setelah membaca novel ini.

Tunggu kemunculannya tidak lama lagi.



Monday, June 29, 2009

PERTANYAAN PEMBACA

Arrabe'

Salam.
Saya berminat nak tahu bagaimana pengkajian pak latip?
Adakah cara pengolahan cerita dari kisah sebenar atau gambaran penulis?
Sebab rujukan di setiap novel seolah2 terlalu sedikit berbanding penceritaan.

Mungkin boleh diemel pada saya.

aliflamrabayaain@gmail.com

p/s: ingin tahu. syukran
June 29, 2009 7:44 AM


------------------------------------------------------

Arrabe'

Saya pernah dinasihatkan supaya tidak menjawab soalan yang berbentuk kritikan atau celaan bagi mengelakkan terjadinya perdebatan yang tidak berkesudahan kerana masing-masing akan cuba menegakkan kebenaran.
Namun saya yakin pertanyaan saudara itu ikhlas kerana sekadar ingin tahu bagaimana saya menulis sebuah novel sejarah atau novel biografi.

Menulis sebuah buku ilmiah tidak sama caranya dengan menulis sebuah novel kerana menulis buku ilmiah memerlukan banyak buku rujukan. Tetapi menulis novel cukup kalau sekadar merujuk sebuah buku ilmiah sahaja. Namun biasanya saya merujuk lebih dari sebuah buku ilmiah kerana kadangkala ada fakta yang tidak terdapat dalam buku A tetapi ada dalam buku B.

Dari pengalaman saya menulis novel sejarah sekiranya terlalu banyak buku rujukan hanya akan memeningkan kepala. (itu pengalaman saya). Apa yang perlu dalam novel sejarah ialah faktanya betul dan wataknya benar-benar wujud. Selain itu gunakan daya kreatif sendiri supaya sesuai dengan bentuk sebuah novel.

Saya reka-reka cerita?. Atau cuma khayalan penulis?. Subhanallah...

Sesungguhnya fakta sejarah tidak boleh direka-reka. Tetapi dialog dan latar belakang tempat boleh mengikut gambaran penulis. Contohnya semasa menulis Tariq bin Ziyat, saya tidak pernah melihat Gibraltar atau negara Sepanyol. Semasa menulis Salahuddin al Ayubi saya tidak pernah pergi ke Palestin. Apa yang penting ialah faktanya....

Tambahan pula jika melibatkan tokoh-tokoh yang sudah terkenal seperti Abu Bakar As Siddiq, Ali bin Abi Talib dan sebagainya. Ramai yang sudah tahu kisah hidup mereka. Sekiranya saya mereka-reka faktanya dengan mudah pembaca akan mengetahuinya.

Saturday, June 27, 2009

SUDAH TERBIT

Khalifah Uthman Affan
Pengumpul al Quran

Penerbit: PTS Litera Sdn Bhd
Harga: RM24.00 / RM27.00 (Sabah & Sarawak)

Tarikh Terbit: 15 June 2009
Jumlah Muka Surat : 239 halaman


Novel sejarah Islam Uthman bin Affan sudah terbit. Dengan ini Empat Khalifah al Rasyidin iaitu Abu Bakar As Syiddiq, Umar al Khattab, Uthman Affan dan Ali bin Abi Talib sudah dijadikan novel.

InsyaAllah, selepas ini akan terbit pula Bilal bin Rabah, Hulagu Khan, Pahlawan Mat Kilau dan Dol Said Pahlawan Naning.

Monday, June 15, 2009

HULAGU KHAN

Ilustrasi oleh En. Ruslan A.Talib.

Sejarah kegemilangan umat Islam di Kota Baghdad akhirnya diruntuhkan oleh orang-orang Monggol di bawah pimpinan Hulagu Khan. Kerajaan bani Abbasiyah yang memerintah selama 500 tahun itu akhirnya tumbang pada tahun 1258. Tentera Monggol membunuh alim Ulama, memperkosa wanita dan membakar kitab-kitab lalu abunya dibuang ke dalam sungai dhajlah sehingga airnya berwarna hitam.

Hulagu Khan dikatakan telah membenarkan tenteranya berbuat apa sahaja terhadap penduduk Kota Baghdad. Mereka mengganas selama 40 hari 40 malam sehingga kota 1001 malam itu menjadi padang jarak padang tekukur.

Menurut Abdullah Wassaf, tokoh sejarah Islam, semasa tentera Monggol menakluk Baghdad mereka telah membunuh beratus ribu orang Islam. Ian Frazier seorang penulis barat dari majalah The New York Worker pula dalam satu rencananya mengatakan antara 200 ribu hingga 1 juta orang Islam telah menjadi mangsa keganasan tentera Monggol di bawah pimpinan Hulagu Khan.

Hulagu Khan ialah cucu kepada Genghis Khan. Ayahnya Tolui dan ibunya Sorghaghtani Beki. Dia dilahirkan pada 1217 dan meninggal dunia pada 8.2.1265. Adik beradik dengan Arik Boke, Mongke Khan dan Kublai Khan. Pada tahun 1255 Hulagu Khan dihantar oleh Mongke Khan (1251-1258) untuk menakluk wilayah yang pernah dikuasai oleh orang-orang Monggol di Timur Tengah.

Setelah berjaya menakluk wilayah Lurs, di Iran dan Hashasim, Hulagu Khan menumpukan usaha menakluk Kota Baghdad. Setelah berjaya menumbangkan Khalifah al Musta’sim Billah dan menakluk Kota Baghdad, Hulagu Khan menakluk Damsyik (Syria). Kemudian cuba menakluk Mesir tetapi tentera Monggol dikalahkan oleh tentera Mamalik Mesir di bawah pimpinan Saifuddin Qutuz di Ain Jalut.

Selepas itu kekalahan demi kekalahan dialami oleh tentera Monggol yang sebelum itu amat digeruni dan belum pernah dikalahkan. Akhirnya Hulagu Khan menetap di Azerbaijan sebagai destinasi terakhirnya lalu mendirikan sebuah kota yang indah. Di situlah dia berehat sambil mempelajari Islam dari ulama-ulama yang terkemuka pada masa itu.Hulagu Khan meninggal dunia pada 2.8. 1265. Sebelum meninggal dia sempat berwasiat supaya mayatnya dikebumikan di pulau Kaboudi, di pinggir tasik Urmia, Azerbaijan.

Sesuai dengan wasiatnya, mayat Hulagu Khan dimasukkan ke dalam peti besi lalu ditutup rapat. Kemudian peti mayat itu dibawa ke tengah tasik Urmia lalu diturunkan perlahan-lahan ke dalam tasik tersebut. Berakhirlah riwayat hidup seorang penakluk yang berjaya meruntuhkan Kota Baghdad.

Novel ini akan terbit tidak lama lagi. InsyaAllah.

Saturday, June 13, 2009

CATATAN HATI NIK NUR MADIHAH




Seorang anak saudara saya dengan wajah gembira bertanya, Pak Teh dah baca buku Catatan Hati Nik Nur Madihah?.

Belum, jawab saya.

Dalam buku itu pelajar cemerlang yang dapat 20A dalam peperiksaan SPM mengatakan dia minat membaca buku sejarah Islam tulisan Abdul Latip Talib. Kata anak saudara saya itu.

Saya pun mencari buku itu di kedai buku MPH Seremban. Mujur masih ada satu naskhah lalu saya terus membelinya.

Memang benarlah seperti kata anak saudara saya itu. Pada muka surat 50 ada tertulis begini.

Ketika bersekolah, aku tidak pernah membeli novel sebagaimana aku mengikat hatiku untuk memiliki jubah dan telefon bimbit. Perpustakaan telah menyediakan peluang ilmu yang begitu besar. Aku suka membaca novel-novel penyiasatan dan buku sejarah Islam. Aku menolak novel cinta yang tidak banyak mencucuh pemikiran. Antara novel yang mengeluti ruang remajaku (sebetulnya masa lapangku lebih banyak dengan buku-buku pelajaran) antaranya 1515 dan Advencer Si Peniup Ney karya Faisal Tehrani serta novel Tautan Hati karya Fatimah Syarha.

Karya-karya begini memantapkan jatidiri seorang remaja ketika mencari siapa dirinya. Novel Sejarah Islam karya Abdul Latip Talib tentang perjuangan Khalifah Khalid al Walid, Salahudin Al Ayubi dan Sultan Muhammad Al Fateh merangsangkan kobarku terhadap ilmu pengetahuan.

Pada muka surat 61 dia menulis lagi, Tamat peperiksaan SPM, mindaku sedikit lapang tetapi kebiasaan telah menyukarkan diriku berpisah dengan buku. Apa sahaja novel yang pernah aku baca, ku buka dan hadami lagi. Salah satunya novel sejarah Islam tentang perjuangan Khalifah Khalid al Walid karya A. Latip Talib.

Buku setebal 127 halaman dengan harga RM25.90 itu sudah saya khatamkan. Buku ini menarik kerana menceritakan susah payah seorang pelajar sebelum mendapat kejayaan yang gemilang.

Bagi mereka yang pernah merasai kesusahan hidup pasti mudah mengalirkan air mata apabila membaca Catatan Hati Nik Nur Madihah ini.

Tuesday, June 9, 2009

AKAN TERBIT


Kisah Khalifah Uthman Affan akan terbit tidak lama lagi. InsyaAllah.




Kisah Bilal bin Rabah juga akan terbit tidak lama lagi. InsyaAllah.



Terima kasih diucapkan kepada Nik Nur Madihah binti Nik Mohd Kamal yang mencatat keputusan cemerlang 20A dalam SPM, yang juga minat membaca novel-novel sejarah Islam.



Thursday, June 4, 2009

IMAM ABU HANIFAH

MASJID NABI DI MADINAH

Imam Abu Hanifah atau Imam Hanafi meninggal dunia pada malam Imam Syafie dilahirkan iaitu pada 28 Rejab 150 hijrah bersamaan 767 masihi.

Imam Hanafi hidup dalam pemerintahan khalifah Bani Umaiyah selama 54 tahun dan dalam pemerintahan khalifah Bani Abbasiyah selama 18 tahun.

Beliau seorang ulama yang paling berpengaruh di Kota Baghdad. Dia berani mempertahankan kebenaran dan sanggup menghadapi dugaan dengan kesabaran yang luar biasa.

Pada suatu hari khalifah memanggil semua ulama datang ke istana. Mereka dikurniakan pangkat dan hadiah yang istimewa. Masing-masing menerimanya dengan rasa bangga. Tetapi bila tiba giliran Imam Hanafi dia enggan menerimanya.

Pada mulanya khalifah menyangka Imam Hanafi menolak kerana merasakan dirinya lebih hebat dari ulama lain. Lalu baginda mengurniakan jawatan ketua perbendaharaan negara. Tetapi dia enggan menerimanya.Khalifah cuba memujuknya tetapi tidak berjaya. Kemudian khalifah mengugutnya namun tidak berjaya juga. Akhirnya khalifah berkata, Imam Hanafi akan dihukum penjara jika menolak tawaran itu. Imam Hanafi tetap menolak dan akhirnya dihukum penjara selama dua minggu.

Tidak lama kemudian Imam Hanafi dilantik menjadi hakim di Bandar Kufah tetapi dia enggan menerimanya. Khalifah berasa marah lalu mengugutnya akan dihukum penjara dan sebat dengan rotan jika menolak tawaran itu. Imam Hanafi bertegas menolaknya. Akibatnya Imam Hanafi dihukum penjara dan disebat setiap hari.

Apabila keluar dari penjara seluruh badannya bengkak berdarah akibat pukulan rotan itu. Apabila ditanya adakah dia serik dengan hukuman itu?. Dengan tenang dia menjawab.

““Rotan yang aku terima di dunia ini lebih baik berbanding cemeti Allah di akhirat kelak. Aku lebih takut hukuman Allah berbanding hukuman khalifah,” katanya.

Apabila khalifah Bani Abbasiyah berkuasa Imam Abu Hanifah ditawarkan jawatan sebagai hakim tetapi tetap ditolaknya sehingga khalifah menjadi murka. Dia ditangkap semula lalu dipenjara serta disebat dengan rotan. Namun dia tidak berganjak dari pendiriannya enggan berkerjasama dengan pemerintah. Akhirnya khalifah menyuruh ibu Imam Hanafi memujuk anaknya.

“Wahai anak bonda yang kukasihi. Suatu ketika dulu bonda berasa amat bangga dan gembira kerana engkau menjadi orang yang banyak ilmu dan disanjung tinggi. Tetapi sekarang bonda berasa amat dukacita melihat keadaanmu. Kerana itu lebih elok engkau buang saja dan lemparkan jauh-jauh ilmu-ilmu yang engkau dapati kerana tidak ada manfaatnya. Apa yang engkau dapati sekarang ialah dikurung dalam penjara, dipukul dengan cemeti setiap hari dan dirantai kaki dan tangan kamu," kata ibunya sambil menangis.

Imam Hanafi menjawab pujukan ibu yang dikasihinya itu dengan lembut. “Wahai ibuku, anakanda bersyukur dengan apa yang tuhan kurniakan kepadaku. Jika anakanda hendakkan kemewahan dunia, tentu anakanda akan mendapatnya. Anakanda tidak akan dipukul dan dipenjara. Tetapi anakanda mengutamakan keredaan Allah serta memelihara ilmu pengetahuan yang telah anakanda dapati. Anakanda tidak akan membuang ilmu pengetahuan yang selama ini anakanda pelihara jika menuju kepada kemurkaan Allah.”

Kemarahan khalifah al Mansur terhadap Imam Hanafi tidak dapat ditahan lagi apabila semua usaha yang dilakukannya tidak berjaya. Akhirnya baginda mengambil keputusan membunuhnya. Baginda menyuruh pembantunya membubuh racun ke dalam air minuman. Kemudian Imam Hanafi disuruh datang mengadap dalam keadaan kaki dan tangannya diikat dengan rantai. Lalu diberikan air minuman.

Setelah meneguk minuman itu Imam Hanafi merasa panas seluruh tubuhnya. Dia dihantar semula ke penjara dan meninggal dunia tanpa siapa yang berada di sisinya.

Berita Imam Hanafi meninggal dunia dalam penjara mengejutkan orang ramai. Mereka keluar beramai-ramai menuju ke istana menuntut supaya jenazah Imam Hanafi diserahkan kepada keluarganya untuk dikebumikan. Setelah dimandi, dikafan dan disembahyangkan jenazah dibawa ke tanah perkuburan. Orang ramai mengiringi jenazah ulama terbilang itu hingga jumlah mereka lebih 50,000 orang.

Tuesday, June 2, 2009

HADIAH HARI JADI

Saya pernah menulis drama pentas atau teater berjudul “Datuk Moyang Salleh” telah disiarkan dalam Dewan Sastera Disember 2007 ( siri pertama) Januari 2008 (siri kedua) dan Februari 2008 (bahagian akhir). Itu adalah Drama Pentas yang pertama kali saya hasilkan.

Pernah juga terlintas di hati, alangkah bagusnya jika ada pihak yang mahu mementaskan “Datuk Moyang Salleh” ini. Lebih bagus kalau dipentaskan di Istana Budaya. Atau di Dewan Bahasa dan Pustaka atau di mana-mana saja. Pokoknya ada pihak yang mahu mementaskannya. Tetapi Cuma tinggal angan-angan saja. Setelah lebih setahun berlalu saya hampir melupakan angan-angan itu.

Tiba-tiba petang tadi, saya dihubungi melalui telefon oleh seorang yang mengaku sebagai penggiat teater. Katanya dia telah datang ke Kampung Ulu Seperi Rembau tempat kelahiran saya untuk mencari saya. Alamat itu diambil dari biodata saya yang tertulis pada kulit novel Si Bongkok Tanjung Puteri.

Menurutnya, sampai di kampong Ulu Seperi mereka bertanya orang-orang kampung di mana rumah Abdul Latip bin Talib tetapi tidak siapa yang kenal. Kemudian bertanya pula kepada ketua kampung pun tidak kenal nama tersebut.

Sebenarnya nama popular saya di kampong ialah “Kudang”. Kalau tanya nama Kudang semua orang kenal. Tetapi kalau sebut Abdul Latip Talib Cuma saudara dekat saja yang tahu itu adalah nama sebenar Kudang.

Setelah puas bertanya akhirnya mereka sampai ke rumah kakak saya lalu mendapatkan nombor telefon saya. Petang tadi baru dia menelefon.

Katanya ingin mementaskan teater Datuk Moyang Saleh. Tetapi kami perlu bertemu dulu untuk membincangkan perkara tersebut. Jika usaha ini berjaya saya anggap sebagai hadiah hari jadi.

Mungkin selepas ini, akan ada lagi berita gembira sempena hari jadi saya yang ke 55 ini. Harap-harap begitulah.

InsyaAllah.


Monday, June 1, 2009

55 TAHUN

Hari ini 2hb June 2009
genap 55 tahun usiaku
Syukur kerana masih diberi kesempatan
Menikmati kurniaan Ilahi di dunia ini