Thursday, June 4, 2009

IMAM ABU HANIFAH

MASJID NABI DI MADINAH

Imam Abu Hanifah atau Imam Hanafi meninggal dunia pada malam Imam Syafie dilahirkan iaitu pada 28 Rejab 150 hijrah bersamaan 767 masihi.

Imam Hanafi hidup dalam pemerintahan khalifah Bani Umaiyah selama 54 tahun dan dalam pemerintahan khalifah Bani Abbasiyah selama 18 tahun.

Beliau seorang ulama yang paling berpengaruh di Kota Baghdad. Dia berani mempertahankan kebenaran dan sanggup menghadapi dugaan dengan kesabaran yang luar biasa.

Pada suatu hari khalifah memanggil semua ulama datang ke istana. Mereka dikurniakan pangkat dan hadiah yang istimewa. Masing-masing menerimanya dengan rasa bangga. Tetapi bila tiba giliran Imam Hanafi dia enggan menerimanya.

Pada mulanya khalifah menyangka Imam Hanafi menolak kerana merasakan dirinya lebih hebat dari ulama lain. Lalu baginda mengurniakan jawatan ketua perbendaharaan negara. Tetapi dia enggan menerimanya.Khalifah cuba memujuknya tetapi tidak berjaya. Kemudian khalifah mengugutnya namun tidak berjaya juga. Akhirnya khalifah berkata, Imam Hanafi akan dihukum penjara jika menolak tawaran itu. Imam Hanafi tetap menolak dan akhirnya dihukum penjara selama dua minggu.

Tidak lama kemudian Imam Hanafi dilantik menjadi hakim di Bandar Kufah tetapi dia enggan menerimanya. Khalifah berasa marah lalu mengugutnya akan dihukum penjara dan sebat dengan rotan jika menolak tawaran itu. Imam Hanafi bertegas menolaknya. Akibatnya Imam Hanafi dihukum penjara dan disebat setiap hari.

Apabila keluar dari penjara seluruh badannya bengkak berdarah akibat pukulan rotan itu. Apabila ditanya adakah dia serik dengan hukuman itu?. Dengan tenang dia menjawab.

““Rotan yang aku terima di dunia ini lebih baik berbanding cemeti Allah di akhirat kelak. Aku lebih takut hukuman Allah berbanding hukuman khalifah,” katanya.

Apabila khalifah Bani Abbasiyah berkuasa Imam Abu Hanifah ditawarkan jawatan sebagai hakim tetapi tetap ditolaknya sehingga khalifah menjadi murka. Dia ditangkap semula lalu dipenjara serta disebat dengan rotan. Namun dia tidak berganjak dari pendiriannya enggan berkerjasama dengan pemerintah. Akhirnya khalifah menyuruh ibu Imam Hanafi memujuk anaknya.

“Wahai anak bonda yang kukasihi. Suatu ketika dulu bonda berasa amat bangga dan gembira kerana engkau menjadi orang yang banyak ilmu dan disanjung tinggi. Tetapi sekarang bonda berasa amat dukacita melihat keadaanmu. Kerana itu lebih elok engkau buang saja dan lemparkan jauh-jauh ilmu-ilmu yang engkau dapati kerana tidak ada manfaatnya. Apa yang engkau dapati sekarang ialah dikurung dalam penjara, dipukul dengan cemeti setiap hari dan dirantai kaki dan tangan kamu," kata ibunya sambil menangis.

Imam Hanafi menjawab pujukan ibu yang dikasihinya itu dengan lembut. “Wahai ibuku, anakanda bersyukur dengan apa yang tuhan kurniakan kepadaku. Jika anakanda hendakkan kemewahan dunia, tentu anakanda akan mendapatnya. Anakanda tidak akan dipukul dan dipenjara. Tetapi anakanda mengutamakan keredaan Allah serta memelihara ilmu pengetahuan yang telah anakanda dapati. Anakanda tidak akan membuang ilmu pengetahuan yang selama ini anakanda pelihara jika menuju kepada kemurkaan Allah.”

Kemarahan khalifah al Mansur terhadap Imam Hanafi tidak dapat ditahan lagi apabila semua usaha yang dilakukannya tidak berjaya. Akhirnya baginda mengambil keputusan membunuhnya. Baginda menyuruh pembantunya membubuh racun ke dalam air minuman. Kemudian Imam Hanafi disuruh datang mengadap dalam keadaan kaki dan tangannya diikat dengan rantai. Lalu diberikan air minuman.

Setelah meneguk minuman itu Imam Hanafi merasa panas seluruh tubuhnya. Dia dihantar semula ke penjara dan meninggal dunia tanpa siapa yang berada di sisinya.

Berita Imam Hanafi meninggal dunia dalam penjara mengejutkan orang ramai. Mereka keluar beramai-ramai menuju ke istana menuntut supaya jenazah Imam Hanafi diserahkan kepada keluarganya untuk dikebumikan. Setelah dimandi, dikafan dan disembahyangkan jenazah dibawa ke tanah perkuburan. Orang ramai mengiringi jenazah ulama terbilang itu hingga jumlah mereka lebih 50,000 orang.

3 comments:

Texas Roadrunners said...

beautiful picture.

Melihat Kesunyataan said...

Memanglah kebenaran adalah racun yang membunuh Abu Hanafiah.

cia said...

ke empat empat imam kita Imam Hambali, Imam Syafie, Imam Hanafi...
tak pergi kemedan jihad sbb masa mereka itu Jihad Fisabilillah adalah Fardu Kifayah, tapi skrg Jihad dah jadi Fardu Ain. mana ulamak2 kita skrg ni ye....