Friday, May 1, 2009

PAHLAWAN MAT KILAU

Kisah Mat Kilau yang merupakan tokoh pahlawan Pahang menentang Inggeris sekitar tahun 1891 hingga 1895 sudah siap dijadikan novel. Tidak kisahlah apa anggapan orang terhadap tokoh pahlawan yang termasyhur dan berjasa ini. Apa yang penting kisah-kisah menarik, misteri dan kehebatan Mat Kilau perlu diketahui oleh generasi kita.


Lukisan Pahlawan Mat Kilau. Sumber Internet.

Semasa memulakan penulisan novel ini, ketika itu baru siap bab pertama, tiba-tiba hati saya tergerak untuk pergi ke Kampung Pulau Tawar untuk melihat tempat Mat Kilau dilahir dan dibesarkan. Pergi ke Gua Gelangi tempat dia mendalami ilmu persilatannya dan menziarahi makamnya di Pulau Tawar.

Pulang dari Pulau Tawar saya demam menyebabkan penulisan novel ini tertangguh selama dua minggu. Apabila sudah sihat saya menyambung semula penulisannya sehingga siap.

Antara masalah yang saya hadapi ketika menulis kisah Mat Kilau adalah sukar mendapat maklumat yang tepat. Ia bermula dari tarikh kelahiran Mat Kilau. Ada yang mencatatkan tarikh 1847 dan ada pula 1867.

Saya yakin tarikh lahirnya 1847 berdasarkan pengakuannya berumur 122 tahun ketika membuat pengistiharan pada Disember 1969. Dengan ini Mat Kilau terlibat dalam perang saudara yang berlaku di Pahang sebelum campur tangan Inggeris.

Antara buku rujukan saya menulis novel ini ialah Jejak Pahlawan Mat Kilau yang diselenggarakan oleh Dr Talib Samat. Buku itu banyak membantu saya.

S
ebagai seorang pahlawan banyak kisah misteri tentang Mat Kilau. Antaranya beliau dikurniakan buntat embun yang tumbuh di jari kakinya. Antara kelebihan buntat embun itu apabila dalam keadaan terdesak Mat Kilau boleh menjadikan dirinya seperti orang mati bagi mengelirukan musuhnya. Tetapi apabila embun turun atau buntat embun itu dibasahkan dengan air embun maka dia hidup semula. Kerana itu Mat Kilau diberitakan mati sebanyak tiga kali tetapi hidup semula dan mayatnya diganti dengan batang pisang. Kerana itu antara amalan pahlawan ini selain zikir beliau mandi air embun pada setiap pagi.

Selain pandai bersilat dan banyak ilmu kepahlawanan, Mat Kilau juga sejak kecil dididik dengan ilmu agama oleh ayahnya Imam Rasu. Kemudian berguru dengan Haji Osman yang dikenali juga sebagai Haji Muntuk, Mufti Negeri Pahang.

Orang yang sangat memusuhi Mat Kilau adalah Hugh Clifford penasihat Inggeris di Pahang. Dia seorang yang licik dan banyak tipu muslihatnya. Dalam usaha untuk memujuk dan mempengaruhi sultan supaya menerima penasihat dan menandatangani perjanjian dengan Inggeris, Hugh Clifford sanggup mengaku Imam Rasu (ayah Mat Kilau) orang yang paling rapat dengan sultan sebagai keluarga angkatnya. Beliau tinggal di rumah Imam Rasu. Menjadikannya ayah angkat dan Mat Kilau sebagai adik angkatnya. Kemudian dia memusuhinya sehingga Mat Kilau terpaksa bersembunyi selama 80 tahun. Selama dalam persembunyian Mat Kilau memakai beberapa nama antaranya Mat Dahan, Mat Siam dan Mat Din.

Pada 26 Disember 1969 baru rahsia terbongkar apabila membuat pengistiharan dirinya adalah Mat Kilau. Beliau meninggal dunia pada 16 Ogos 1970 dikebumikan di Pulau Tawar. Usianya ketika itu 123 tahun.


8 comments:

walid said...

Tahniah Pak Latip dengan novel baru siap. Saya akan beli buku Mat Kilau itu nanti dan saya promosikan kepada anak-anak murid.

Saya juga nak minta maaf sebab semalam emosi sangat. Saya nasihatkan Pak Latip jangan layan komen yang macam itu. Dia sengaja nak mencari kesilapan. Kalau Pak Latip jawab dan terbukti Pak Latip betul dia tidak akan mengalah dan cari isu lain. Dia cemburu dengan kejayaan Pak Latip. Bukan orang lain. Di kalangan penulis juga. Saya dah tahu siapa orangnya. Saya tetap sokong Pak Latip.

D'Rimba said...

Pahlawan tanah merdekaaaaaa...............rasuklah kembali jasad anak bangsa memartabatkan bahasa dan bangsanya sepenuh jiwa............

D'Rimba said...

Saya cadangkan canang dan gendang perlu dipalu rasmikan novel hebat ini secara simbolik dan bermakna. Mungkin saudara boleh melancarkan novel-novel pahlawan dengan menerapkan persembahan deklamasi sajak dari deklamator handalan bertemakan novel pahlawan saudara dlam masa yang sama boleh jual buku terus dan jemput ramai sasterawan dan karyawan negara juga penulis dan bakal penulis juga ahli akademik dan pelajar sekalian. Ayuh kita rancang agenda seru semangat pahlawan di jiwa bangsa. Saya bersedia memberi sumbangan ilham kurniaan Allah InsyaAllah. Kalau saudara ada lihat rancangan Hujung Minggu Malaysia 2 Mei jam 7 pagi saya ada bersajak dalam rancangan itu.....

ABDUL LATIP said...

walid
Terima kasih kerana memberi sokongan kepada saya. Tetapi jangan terlalu emosi. Gunakan kata-kata yang baik.



D'Rimba
Terima kasih atas cadangan untuk mempromosikan novel Pahlawan Mat Kilau.

arif fadilah said...

satu tinggalan sejarah yang semakin dilupakan. tahniah anda telah membuka mata para pembaca

ABDUL LATIP said...

Arif Fadilah

Terima kasih sudi berkunjung dan tinggalkan jejak. Terima kasih juga kerana memberi tazkirah :)

miashaf said...

Saya kira pahlawan Malaysia turut meperjuangkan Tanah Melayu lantaran kefahaman jihad sebenar tertanam dalam diri.

Kita sebenarnya mempunya contoh yang lagi depan mata di bumi Malaysia.

Moga usaha sebegini dipergiat lagi. Salam perjuangan.

ABDUL LATIP said...

Miasaf,
Pahlawan Melayu telah berjuang semenjak zaman Portugis melakluk Melaka. Ramai yang tidak diketahui di mana kuburnya. Cuma Mat Kilau dapat kita lihat wajahnya.