Monday, November 17, 2008

PERTANYAAN PEMBACA

Saudara Penulis,

Saya sudah membeli dan membaca beberapa buah novel sejarah pahlawan Islam hasil tulisan saudara Abdul Latip Talib.

Saya harap saudara penulis sudi menjawab persoalan ini.

Dalam novel sejarah Islam digambarkan pahlawan Islam tidak membunuh tawanan perang, melindungi wanita dan kanak-kanak. Satu contoh yang terpuji.

Tetapi saya pernah terbaca Muhamad pernah menjatuhkan hukuman bunuh kepada tawanan perang Badar. Tidak semua dibunuh. Tetapi ada yang dihukum bunuh.

Kemudian menjatuhkan hukuman bunuh ke atas SEMUA lelaki orang Yahudi Bani Quraidhah setelah mereka menyerah. Saya jelaskan sekali lagi. SEMUA LELAKI.

Bagaimana saudara penulis menjelaskannya perkara ini?.

Ho Kam Yin

------------------------------------------------

Saudara Ho Kam yin

Nama saudara mengingatkan saya kepada seorang penulis yang pernah beberapa kali memenangi hadiah cerpen Malayan Banking- DBP. Apakah memang saudara orangnya atau kebetulan namanya sama?.

Mengenai pertanyaan saudara itu maka inilah jawapan saya.

Dalam Perang Badar pada tahun ke 2 hijrah, orang-orang Islam berjaya mengalahkan orang-orang Quraisy Mekah. 70 orang dapat ditawan dan 70 orang lagi terbunuh.

Nabi Muhamad SAW berkata kepada pengikutnya, “Aku wasiatkan kepada kamu, lakukanlah sebaik mungkin terhadap orang tawanan.”

Maka orang tawanan itu dilayan dengan baik, diberi makanan dan minuman. Mereka yang sakit diberi rawatan.

Pada masa itu, di kalangan bangsa Arab, Yahudi, Rom atau Parsi, tawanan perang dihukum bunuh. Tetapi Nabi Muhamad SAW menyuruh dilayan dengan baik sebab pada masa itu belum ada ketentuan Allah mengenai hukuman terhadap tawanan perang.

Kemudian Nabi Muhamad SAW meminta pendapat para sahabatnya apakah hukuman yang patut dijatuhkan terhadap tawanan perang itu. Umar al Khattab mencadangkan supaya dijatuhkan hukuman bunuh, setimpal dengan kejahatan yang telah mereka lakukan terhadap orang Islam. Tetapi Abu Bakar As Siddiq berbeza pendapat dengan Umar al Khattab. Dia mencadangkan supaya tawanan itu dibebaskan dengan membayar tebusan atau mengajar ilmu mereka kepada orang Islam.

Nabi Muhamad SAW bersetuju dengan cadangan Abu Bakar As Siddiq. Namun ada riwayat mengatakan terdapat dua orang yang dihukum pancung kerana keduanya sangat jahat terhadap orang Islam sehingga kejahatan yang dilakukannya tidak boleh dimaafkan.

Mengenai kaum Yahudi Bani Quraizah pula, mereka diperangi kerana melanggar perjanjian yang telah mereka tandatangani dengan Nabi Muhamad SAW. Pada masa berlakunya perang Ahzab atau Perang Qandak orang-orang Yahudi Bani Quraizah telah membantu tentera bersekutu dari Mekah menyerang Madinah.

Setelah Nabi Muhamad SAW mendengar berita itu beliau menghantar Saad bin Muaz pemimpin kaum Aus di Madinah yang mempunyai hubungan baik dengan Bani Quraizah. Tetapi Kaab bin Asad, ketua Yahudi Bani Quraizah berkata, “Aku tidak kenal siapa Muhamad dan tidak pernah mengikat apa-apa perjanjian dengannya.”

Selesai Perang Ahzab maka Nabi Muhamad SAW memimpin pasukan tentera Islam mengepung perkampungan Bani Quraizah. Pada mulanya mereka tidak mahu menyerah. Tetapi setelah dikepung selama 25 hari baru mereka menyerah dengan syarat Saad bin Muaz yang menentukan hukuman ke atas mereka.

Rasulullah SAW bersetuju dengan permintaan kaum Yahudi Bani Quraizah supaya Saad bin Muaz diberi kuasa bagi menjatuhkan hukuman ke atas mereka. Mereka iaitu orang-orang Yahudi Bani Quraizah menyangka tentulah Saad akan membebaskan mereka kerana mempunyai hubungan yang baik. Tetapi Saad bin Muaz menjatuhkan hukuman bunuh ke atas semua lelaki Bani Quraizah. Wanita dan kanak-kanak dijadikan orang suruhan. (hamba)

Yang menjatuhkan hukuman bunuh itu ialah Saad bin Muaz, bukan Nabi Muhamad SAW.

Saad bin Muaz asalnya orang Yahudi dari puak Aus Madinah. Dia menjatuhkan hukuman bunuh itu sesuai dengan apa yang terkandung dalam kitab Taurat Bani Israil. Lalu Saad membacakan kandungan kitab itu.

“Jika kamu telah dekat dengan suatu kota yang hendak kamu serang ajaklah mereka untuk berdamai. Jika mereka tidak mahu berdamai maka kepunglah kota itu. Jika tuhan memberi kemenangan kepada kamu maka bunuhlah semua kaum lelakinya dengan pedang. Kaum wanita anak kecil dan binatang ternakan jadikan sebagai rampasan perang…” (kitab taurat)

Berhubung dengan peristiwa ini, R.V.C Bodley menulis dalam bukunya “The Mesanger- The Life of Mohamad” antara lain menyatakan;

“Jika Muhamad pada waktu itu tidak mengambil tindakan yang tegas terhadap penghianatan Yahudi Bani Quraizah, pasti Islam tidak akan tegak di negara Arab. Sebenarnya pembunuhan terhadap Yahudi Bani Quraizah itu merupakan sesuatu hukuman yang keras. Namun kejadian seperti itu bukanlah kejadian yang pertama dalam sejarah agama-agama….”

Semuga penjelasan yang ringkas ini memuaskan hati saudara Ho Kim Yin dan pembaca sekelian.




6 comments:

Nissa' Yusof said...

terima kasih, Pak Latip. penjelasan yang bagi saya sangat penting bukan saja bagi orang yang bertanya taetapi juga umat Islam seluruhnya

Zamri Mohamad said...

Pak Latip, apakah respon beliau selepas maklumat ini?

ABDUL LATIP said...

Nissa' Yusof

Semoga sama2 mendapat manfaatnya. Kebetulan saya sedang menulis kisah tersebut. Dengan itu cepat saya dapat menjelaskannya.

ABDUL LATIP said...

Tuan Zamri,

Saya masih menunggu respon beliau tapi sehingga kini senyap saja. Mungkin telah berpuas hati atau tidak puas hati. Sesunguhnya hidayah itu daripada Allah.

ATikah Mustapa said...

assalamualaikum Pak Latif...jika tidak keberatan boleh Pak Latif terangkan serba sedikit mengenai Novel Mat Kilau.saya sangat berminat dengan novel yang berunsur sejarah dan sekarang saya sedang mengikuti salah satu kursus yang berkaitan dengan Sejarah tanah air kita.

Unknown said...

Penjelasan yg bgus. Bkn shja untk yg brtanyakan masalah ini malah untk smua yg brkunjung ke blog ini. Krana di internet trdpt bnyk blog paderi yang menghina islam melalui kisah prg bni quraiza. Mohon smua org islam sekelian jgn trpdaya dgn kandungan2 blog paderi trsebut