Thursday, October 16, 2008

BERARAKLAH AWAN PILU



Seorang pelajar bernama Norul Faqiehah membuat kajian mengenai novel ini. Beliau telah menghantar 16 soalan bertulis untuk saya jawab. Soalan pertamanya ialah:

1- Apakah objektif sebenar pengarang menulis novel “Beraraklah Awan Pilu”?

Judul asalnya “Mencari Ayah”. Tujuan saya menulisnya untuk berkongsi pengalaman dengan pembaca mengenai pengalaman sendiri mencari ayah. Sejak dilahirkan saya tidak pernah melihat ayah. Membesar tanpa kasih sayang seorang ayah kerana ayah menghilang diri ketika saya masih dalam kandungan ibu.

Setelah saya dewasa dan berumah tangga, anak-anak saya selalu bertanya, siapakah datuk mereka?. Di mana dia berada sekarang?. Persoalan itu juga yang menghantui saya sejak kecil. Dan saya tidak malu mengaku pernah dihantar ke rumah anak yatim Ulu Gadong.

Pada tahun 1989 saya nekad untuk mencari ayah saya. Ibu saya sendiri tidak tahu di mana ayah saya berada. Entah masih hidup atau telah meninggal dunia. Gambarnya pun tidak ada. Cuma kata ibu saya, ayah orang Pulau Pinang. Alamat lengkapnya tidak ada. Namun saya nekad juga hendak mencarinya walaupun terpaksa menjelajah ke seluruh Pulau Pinang. Dipendekkan cerita, akhirnya saya dapat menemui ayah saya tapi di Singapura bukan di Pulau Pinang. Pengalaman mencari ayah itulah saya rakamkan dalam novel ini.

Namun banyak juga yang saya tokok tambah bagi menyedapkan cerita. Contohnya, watak utama bernama Syafiq bukan aku. Novel ini berlatar belakangkan negara Brunei bukan Pulau Pinang dan Singapura. Kenapa saya memilih negara Brunei?.

Pada tahun 2004, saya pernah melawat Brunei. Lalu saya rakamkan pejalanan ke Brunei itu dalam novel ini.

Setelah novel ini siap ditulis, saya menghantarnya untuk hadiah sastera utusan 2005. Nasib baik menang. Kerana judul Mencari Ayah kurang menarik maka Editor Kanan Utusan (Puan Nor Azah) mencadangkan supaya ditukar kepada Beraraklah Awan Pilu. Saya bersetuju kerana judul itu lebih menarik dan sesuai dengan tema novel ini.

Kini telah "Beraraklah Awan Pilu" itu.


No comments: