Thursday, November 3, 2011

KARYA AGUNG BADIUZZAMAN SAID NURSI

Sudah ramai yang bertanya, benarkan Risalah an Nur akan diterjemahkan ke Bahasa Melayu dan diterbitkan di Malaysia?. Penerbit manakah yang memegang hakciptanya?.

Pemergian kami ke Turki baru-baru ini memang berbaloi kerana selain mendapat maklumat yang diperlukan bagi penulisan Novel Badiuzzaman Said Nursi kami juga mendapat kebenaran daripada pemegang wasiat untuk menerbitkan Risalah an Nur di Malaysia.

Delegasi kami yang terdiri daripada enam orang iaitu Puan Ainon Mohd (Pengerusi PTS) Prof Abdullah Hassan (Penasihat PTS) Tuan Khairul Nayan (Pengerusi Persatuan Kebudayaan Malaysia – Turki) Puan Shahrina dan Puan Noor Ezlin, dipertemukan dengan anak-anak murid Badiuzzaman Said Nursi yang masih hidup antaranya Abdullah Yegin, Mehmet Firinci, Said Ozdemir, Salih Ozcan dan Abdulkadir Badili.

Kami juga dipertemukan dengan jemaah an Nur di Istanbul, Ankara, Isbarta, Konya, Barla, Bursa, Yozgat dan Sanliurfa. Kesemua mereka menyatakan rasa gembira apabila dimaklumkan kami mahu menulis novel Badiuzzaman Said Nursi dan selepas itu menerbitkan Risalah an Nur di Malaysia.

Pertemuan yang paling bermakna apabila kami dipertemukan dengan Said Ozdemir . Beliau telah diberi surat wasiat oleh Badiuzzaman Said Nursi untuk menerbitkan Risalah An Nur di Turki. Surat wasiat tersebut masih ada dalam simpanannya hingga sekarang.

Semasa kami mengunjunginya, beliau telah memberikan salinan surat wasiat Badiuzzaman Said Nursi itu kepada saya serta memberi kebenaran untuk menerbitkan Risalah An Nur.

Katanya lagi, sebelum ini beliau tidak pernah memberi salinan surat wasiat itu kepada sesiapa.

Jika tiada apa-apa halangan karya agung Badiuzzaman Said Nursi Risale-i Nur atau Risalah an Nur akan diterbitkan oleh PTS Darul Furqan (Anak syarikat PTS).

Menurut Puan Ainon, usaha sedang dilakukan bagi menterjemahkan karya besar tersebut ke Bahasa Melayu untuk diterbitkan di Malaysia.

Sama-sama kita berdoa semoga usaha ini berjalan lancar...






















4 comments:

aiyrie said...

Assalamu'alaikum,

Kehadapan Pak Latip yang dihormati dan dimuliakan.

Didoakan semoga Pak Latip dan keluarga sentiasa di dalam rahmat dan redha Allah.

Khabar yang tuan bawa ini adalah satu khabar yang amat menggembirakan, sehinggakan saya kehilangan kata-kata untuk ditulis.

Saya doakan agar proses penerbitan karya agung ini nanti berjalan dengan lancar. Begitu juga dengan penulisan tuan tentang Badiuzzaman Said Nursi, semoga ia dapat disempurnakan dengan baik dan mengesankan hati pembaca.

Semoga usaha tuan dan pihak PTS ini mendapat ganjaran yang besar di sisi Allah.

MHA said...

assalammualaikum pakcik latip. saya meminati karya pakcik hampir semua koleksi novel sejarah karya pakcik saya beli. permintaan saya boleh tak pakcik menerbitkan karya terjemahan semua risalah an-nur karya badiuzzaman syed nursi mengikut susunan pakcik sendiri. hal ini kerana saya sudah membaca novel sejarah mengenai syed nursi dan saya dapati isi kandungan risalah an-nur penuh dengan pedoman. harap pakcik usahakan penerbitanya. terima kasih pakcik. selamat berbuka puasa :)

MHA said...

maksud saya,mengetahui mengenai risalah an-nur menerusi hasil karya pakcik : novel sejarah badiuzzaman syed nursi. alangkah baiknya sekiranya pakcik menterjemahkan dan menerbitkan semua risalah an-nur mengikut susunan pakcik. terima kasih

Puan Puff said...

Assalam..

Ada perkembangan terbaharu tentang buku terjemahannya??