Tuesday, February 10, 2009

TERBUANG TAPI TERBILANG


Pada 26 Disember 1969 bertempat di Masjid Pulau Tawar, Jerantut Pahang, seorang lelaki tua yang dikenali sebagai Mat Siam atau Muhamad bin Ibrahim telah mengistiharkan dirinya sebagai Mat Kilau, pahlawan Melayu yang berjuang menentang campur tangan Inggeris di negeri Pahang sekitar tahun 1891 hingga 1895.

Pelbagai andaian dibuat orang ramai ada yang percaya tetapi ada pula yang ragu-ragu. Tambahan pula Pemangku Residen Pahang D.H. Wise di dalam kenyataannya pada tahun 1895 menyatakan, di dalam bulan November 1895 maklumat telah diterima bahawa enam ketua penderhaka Bahaman (Bekas Orang kaya Semantan) Awang Nong, Yusof, Teh Ibrahim, Haji Mat Wahid, dan Mat Lela telah ditangkap dengan perantaraan pemerintah Siam dan dibawa ke Siam. Kebenaran berita itu telah pun disahkan oleh utusan-utusan dari Pahang. Imam Rasu ( Tok Gajah) dan Mat Kilau dilaporkan telah mati.

W.Linehan M.A M.C.S pula di dalam tulisannya “A History of Pahang “ menulis “Di dalam bulan November 1895 enam daripada ketua-ketua penderhaka Bahaman dan Mat Kilau dilaporkan telah mati di Terengganu.”

Haji Muhamad bin Haji Abdullah cucu saudara Tok Gajah juga mendakwa Mat kilau sudah meninggal dunia.

Ekoran dari itu Kerajaan Negeri Pahang telah menubuhkan Jawatankuasa Menyiasat munculnya Mat Kilau pada 8 Januari 1970 mereka terdiri daripada:

1. Y.B Dato’ Haji Abdul Aziz bin Ahmad- Pengerusi
2. Y.B Encik Ibrahim bin Arshad
3. Encik Abdul Razak bin Hitam
4, kapt Haji Mohd Ali bin Muhammad
5. Encik Zakaria bin Hitam
6. Encik As’ari bin Haji Yaacob - setiausaha

Setelah membuat siasatan yang terperinci akhirnya mereka membuat kenyataan, “Muhamad bin Ibrahim, yang lebih dikenali sebagai Mat siam itu dipercayai Mat Kilau bin Imam Rasu.”

Sebelum itu beberapa orang telah ditemuramah bagi membuktikan bahawa Mat Siam itu adalah Mat Kilau. Setelah disahkan maka pada pukul 10.30 pagi hari Khamis, 6 Ogos 1970
, Mat Siam diisytiharkan sebagai Mat Kilau oleh Menteri Besar Pahang YAB Tan Sri Haji Yahaya Mohd Seth.

Mat Kilau atau nama sebenarnya Muhamad, lahir pada tahun 1847/1848 tetapi ada pula yang mengatakan beliau lahir pada tahun 1866. Sehubungan dengan itu saya yakin beliau lahir pada tahun 1847 berdasarkan kenyataan Jawatankuasa Penyiasat Kemunculan Mat Kilau yang ditubuhkan kerajaan Negeri Pahang mengatakan ketika meninggal dunia pada 1970, usianya ketika itu dipercayai 122 tahun.

Sejarah pergolakan di Pahang bermula pada tahun 1857 setelah Bendahara Ali meninggal dunia maka anak-anaknya berperang kerana berebut kuasa. Akhirnya Bendahara Ahmad dapat mengalahkan abangnya Bendahara Mutahir. Tetapi anak-anak Bendahara Mutahir meneruskan perjuangan ayahnya merebut Pahang dari bapa saudaranya Bendahara Ahmad.

Pada tahun 1888 Bendahara Ahmad yang bergelar Sultan Ahmad mengutus surat kepada Gabenor Inggeris di Singapura meminta campur tangan di Pahang. Inggeris telah melantik J.P Rodger jadi Residen di Negeri Pahang.

Ekoran campur tangan Inggeris itu menimbulkan pemberontakan di kalangan rakyat negeri Pahang diketuai oleh Orang Kaya Semantan Abdul Rahman yang bergelar “Datuk Bahaman”.

Pada tahun 1892 J.P Rodger dan Sultan Ahmad mengetuai beribu-ribu tentera Inggeris dan Pahang menyerang pasukan Datuk Bahaman di Semantan. Akibatnya Datuk Bahaman dan pengikutnya terpaksa berundur ke dalam hutan lalu meneruskan perjuangan secara gerila. Ekoran dari itu kerajaan Pahang mengeluarkan tawaran hadiah sebanyak seribu ringgit kepada sesiapa saja yang dapat menangkap Datuk Bahaman hidup atau mati.

Kemudian Sultan Ahmad memerintahkan Imam Rasu atau Tok Gajah dan anaknya Mat Kilau menentang Datuk Bahaman tetapi kedua beranak itu mengambil keputusan menyebelahi pasukan penentang.

Pada tahun 1892 Tok Gajah dan Mat Kilau menyerang tentera Inggeris di Sepanjang Sungai Pahang dan Kuala Lipis. Kemudian berlaku pula pertempuran besar-besaran di Raub. Pihak Inggeris mengalami banyak kerugian nyawa dan harta.

Tentera Inggeris yang dibantu askar-askar Pahang menyerang serta memusnahkan Kampung Budu yang menjadi tempat tinggal Mat Kilau apabila dia enggan menyerah kalah. Mat Kilau terpaksa melarikan diri ke Ulu Cheka lalu bergabung dengan pasukan Datuk Bahaman.

Atas desakan Inggeris Sultan Ahmad cuba memujuk Tok Gajah supaya kembali ke Pulau Tawar. Dia juga ditawarkan pergi ke Mekah mengerjakan ibadat haji. Kemudian Tok Gajah diperintahkan menangkap anaknya Mat Kilau yang bergabung dengan Datuk Bahaman menentang Inggeris. Tetapi Tok Gajah mengambil keputusan bergabung semula dengan anaknya lalu terus menentang Inggeris di Tembeling. Kemudian berlaku lagi pertempuran di Kuala Atok.

Serangan demi serangan dilancarkan terhadap askar-askar Inggeris sehingga mendatangkan kerugian yang banyak. Akhirnya atas nasihat Inggeris Sultan Ahmad cuba mencari jalan perdamaian dengan mengistiharkan pengampunan kepada Datuk Bahaman dan Tok Gajah serta memujuk mereka kembali ke Pahang. Tetapi anihnya Mat Kilau tidak mendapat pengampunan dan terus diburu.

Datuk Bahaman dan Tok Gajah menolak tawaran itu lalu meneruskan penentangan mereka bersama Mat Kilau. Inggeris terpaksa menghantar beribu askar ke Pahang bergabung dengan pasukan Pahang memerangi Mat Kilau dan kawan-kawannya. Akhirnya mereka terpaksa melarikan diri ke Kelantan dan Terengganu.

Akhirnya Inggeris memujuk Siam menangkap Datuk Bahaman dan akhirnya menyerah kepada kerajaan Siam. Tok Gajah pula meninggal dunia di Terengganu. Tetapi Mat Kilau pula terus menghilangkan diri.

Dia terpaksa menyamar diri dengan memakai beberapa nama seperti Mat Dadu, Mat Dahan, Mat Din dan Muhamad bin Ibrahim atau Mat Siam.

Setelah berpuluh tahun menyembunyikan diri akhirnya salah seorang cucunya Cikgu Abu Bakar Hasan berjaya memujuk serta meyakinkan bahawa Negara kita sudah merdeka dan keselamatannya terjamin lalu bersetuju mengistiharkan dirinya adalah Mat Kilau, Pahlawan Melayu yang terbilang.

17 comments:

zino said...

akan terbit ka novel mak kilau satu hari nanti?

ABDUL LATIP said...

Zino,
Doakan novel Mat Kilau terbit tidak lama lagi :)

en_me said...

mat kilau pejuang bangsa, tapi buku teks dulu dulu bilang - penderhaka.. kaannns

ABDUL LATIP said...

En_me

Mat Kilau antara Pahlawan Melayu yang menentang Inggeris. Dulu mereka dituduh penderhaka tetapi sekarang mereka pahlawan kita. Banyak kisah menarik mengenai perjuangannya yang akan diceritakan dalam novel itu nanti.

Hasnahmk said...

Salam Pak Latip,

Saya dapati nama-nama daerah yang ada kaitan dengan sejarah Mat Kilau amat dekat dengan kampung saya di Raub, Pahang. Saya benar-benar tidak sangka. Terima kasih di atas pencerahan yang amat menakjubkan ini! Saya doakan agar novel ini segera siap dan diterbitkan, amin...

ABDUL LATIP said...

Salam Hasnah,

Dalam sejarah perjuangan Mat Kilau ada tersebut nama beberapa tempat di Raub seperti Mukim Gali, Dong, Saga, Kuala Pak dan kampung Sempalit. Masihkah wujud tempat itu sekarang?.

zino said...

inshaAllah...bila dah terbit war war kan segera..

walid said...

Pak Latip

Ada beberapa pertanyaan harap Pak Latip sudi menjawabnya.

Ada yang mengatakan Mat Kilau, Datok Bahaman dan pahlawan2 yang lain menentang Inggeris bukan kerana semangat kebangsaan tetapi kerana mempertahankan golongan elit pada masa itu.

Kenapa perlunya Mat Kilau menyembunyikan diri dengan nama-nama samaran?. Pahlawan sejati tidak takut mati.

Mat Kilau sudah bersumpah tidak membuka rahsia dirinya. Tetapi kenapa dia melanggar sumpah?.

mohamad kholid said...

baca teks sejarah pahang - sejelas-jelasnya menyatakan mat kilau penderhaka.

Hasnahmk said...

Alaikumsalam Pak Latip,

Memang kawasan-kawasan yang disebutkan itu masih wujud. Gali terbahagi kepada 3 iaitu Hulu Gali, Gali Tengah dan Gali Hilir, Ulu Dong dan Dong, Sega, Kuala Atok (kurang pasti dengan Kuala Pak), Sempalit. Hampir kesemua kawasan ini terletak mengarah ke Kuala Lipis.

Ibnu Ahmad al-Kurauwi said...

Assalamualaikum Pak Latip,

Saya mengkagumi dan mencemburui kegigihan Pak Talib menulis. Berkongsilah dengan kami, di mana kekuatan Pak talib menulis.

al-Kurauwi
http://ibnuahmadalkurauwi.wordpress.com

ABDUL LATIP said...

Saudara Walid,
Pertanyaan itu akan terjawab dalam novel Pahlawan Mat Kilau yang bakal terbit.

Saudara Mohamadkholid,
Setelah lebih 50 tahun kita merdeka adakah kita masih bersetuju dengan tuduhan bahawa Mat Kilau itu penderhaka?. Saya tetap mengatakan dia seorang pahlawan.

Puan Hasnah,
Saya baru saja menziarahi pusara pahlawan Mat Kilau di Jerantut. Tetapi tidak sempat ke Raub.

Saudara Ibnu Ahmad al Kurauwi,
Saya sekarang penulis sepenuh masa. Hari-hari menulis. Sebab itu dapat banyak menulis :)

mohamad kholid said...

Pak Latip,
kita mesti akui beliau pahlawan. ketika saya membuat penyelidikan di sini, saya menemui teks Sejarah Pahang dalam bahasa melayu lama. Teks itu menyatakan Mat Kilau penderhaka. Dari situ saya dapat memahami kenapa beliau menyembunyikan diri, enggan mengistiharkan diri di khalayak. Pejuang tidak akan menerima walau sekelumit peranan Inggeris, tidak mengiktiraf orang yang menerima Inggeris sebagai penasihat.

ABDUL LATIP said...

Saudara Mohamadkholid
Agaknya teks sejarah Pahang itu ditulis sebelum merdeka. Kerana itu ikut pandangan penjajah.

Kalau kita baca Sejarah Alam Melayu (Buyung Adil) juga mengatakan mereka penderhaka. ia ditulis pada tahun 1939.

Ejack Ada Ayrissa said...

Salam

Setahu saya,mereka dianggap penderhaka kerana ketika itu inggeris menguasai Sultan.Sultan ketika itu terikat dengan ugutan pihak inggeris.Datuk Bahaman adalah org yg beretanggung jawab menaikkan bendahara Ahmad(Sultan Ahmab)menentang Bendara Mutahir.Mereka menentang inggeris dan bukannya sultan.
Cuba kamu cari dan baca buku "perginya Datuk Bahaman Ku."dlm buku tu banyak menceritakan kisah yang sebenar.
insyaallah kamu akan faham.

Ejackotw..

Firdaus83 said...

Hanya orang yang pendek akalnya dan tidak matang pemikirannya sahaja seperti Mohamad Khalid yang mengatakan Mat Kilau Penderhaka, di mana saya boleh cari buku berjudul "perginya Datuk Bahaman Ku" ???

Penting, ini sejarah Para Ulama menentang Penjajah Kafir Laknatullah !!

Kalau ada, sila email saya segera firdaus6873@gmail.com

Firdaus83 said...

Oleh sebab ada orang yang kontot pemikiran, buta Sejarah, buta ILMU ISLAM, buta ILMU AGAMA, bagus baca sinopsis ini ;

http://mindabung.blogspot.my/2011/10/ulasan-buku-perginya-datuk-bahamanku.html