Tuesday, June 17, 2008

BUKIT CANDU WARISAN SEJARAH

Walaupun Singapura sedang pesat membangun namun masih menghargai serta memulihara warisan sejarah yang ada di negara mereka antaranya Bukit Candu tempat berlakunya pertempuran antara Askar Melayu yang diketuai Leftenan Adnan dengan tentera Jepun semasa Perang Dunia ke dua pada tahun 1942.

Dalam pertempuran selama 48 jam itu 42 Askar Melayu terkorban termasuk Leftenan Adnan. Mereka telah berjuang dengan penuh semangat serta keberanian dan tidak mahu menyerah kalah walau telah kehabisan peluru. Mereka bertempur mengggunakan tangan dan akhirnya semua mereka terkorban. Leftenan Adnan ditangkap lalu digantung ke dahan sebatang pokok sebelum dibunuh.

Bukit Candu tempat berlakunya peristiwa itu kini dijadikan warisan sejarah, kawasan hutannya dipulihara dan untuk kemudahan pengunjung disediakan tempat letak kenderaan, lorong berjalan kaki, tempat berehat dan sebagainya.

Bagi kemudahan pengunjung melihat kawasan sekitar disediakan sebuah jejantas kayu yang tinggi. Dari situ pengunjung dapat melihat kawasan sekitar Bukit Candu disamping menikmati kehijauan belantara dengan bunyi siulan burung dan pelbagai serangga.

Bukit Candu terletak di tempat strategik di tepi laut, dari situ boleh dijadikan laluan ke Pasir Panjang, Alexandra dan Bueno Vesta. Askar Melayu telah berjuang mempertahankan Bukit Candu sehingga mereka terkorban.

Keberanian mereka mendapat penghargaan daripada kerajaan British, nama Leftenan Adnan dan Askar Melayu juga terukir pada replika buku yang di jadikan mercu tanda Bukit Candu.

Keterangan Gambar.


Jalan menuju ke Bukit Candu. Kawasan hutannya masih dipulihara.

Pemandangan dari puncak Bukit Candu. Tentera Jepun mendarat dari laut.

Jejantas kayu dibina bagi melihat kawasan sekitar Bukit Candu.

Replika berbentuk buku terdapat di puncak Bukit Candu. Di sinilah berlakunya pertempuran antara Askar Melayu dengan tentera Jepun.

Sebuah kereta kebal lama dipamerkan di puncak Bukit Candu.

Pertemuan tidak dijangka antara Roslan dengan bekas gurunya En.Tan berusia lebih 80 tahun. Beliau menetap di Pasir Panjang. Sempat bercerita mengenai serangan tentera Jepun di Singapura.



No comments: