Wednesday, December 30, 2009

PROSES KREATIF


Novel ini dipilih menjadi bacaan komsas pelajar tingkatan satu untuk sekolah-sekolah zon Sabah, Sarawak, Labuan dan Johor. Ada yang bertanya bagaimanakah proses kreatif penulisan novel ini?.

Semasa berumur 15 tahun atau ketika berada dalam tingkatan tiga Sekolah Agama Menengah Rendah Ulu Gadong, yang letaknya di kaki Gunung Datuk, kami pelajar sekolah yang ditemani guru-guru pernah mendaki gunung tersebut.

Pengalaman mendaki Gunung Datuk itu meninggalkan kenangan yang paling menarik dalam hidup saya sehingga lahir beberapa buah novel yang berlatar belakangkan Gunung Datuk, antaranya Lembah Hijau (DBP 1995) dan Sesat Di Puncak Gunung Datuk (DBP 1997).

Pada tahun 1998, Puan Nor Azah Aziz, Editor Utusan Publications & Distributors mengadakan pertemuan dengan beberapa orang penulis ahli Persatuan Penulis Negeri Sembilan (PEN) bagi perbincangan mengenai projek Balai Sejarah yang direka dan disusun khas untuk bacaan adik-adik di tingkatan peralihan hingga tingkatan tiga.

Seramai 6 orang ahli PEN termasuk saya telah menyertai projek tersebut dan saya menghasilkan dua buah novel iaitu Pendekar Siamang Gagap dan Istana Menanti. Sekali lagi saya gunakan Gunung Datuk sebagai latar belakang novel tersebut.

Kerana novel-novel tersebut adalah novel sejarah yang akan dibaca pelajar sekolah maka saya masukkan maklumat-maklumat penting mengenai sejarah tanah air termasuk sejarah Negeri Sembilan, Sejarah Melaka, penaklukan Jepun di Tanah Melayu, sejarah Komunis dan sejarah kemerdekaan. Kerana novel tersebut nipis maka maklumat mengenai sejarah ditulis secara ringkas sahaja dengan harapan guru-guru yang akan menerangkannya secara terperinci kepada pelajar.

Watak utama dalam novel tersebut sengaja dipilih tiga bangsa iaitu Melayu, Cina dan India bagi mengambarkan perpaduan rakyat Malaysia. Selain Gunung Datuk, nama-nama tempat seperti Kampung Ulu Seperi dan Jeram Petai yang terdapat dalam novel tersebut adalah benar-benar wujud.

Proses penulisan novel Istana Menanti selama 2 bulan, apabila sudah siap baru saya fikirkan judulnya. Mula-mula saya bercadang menamakannya “Gunung Datuk” tetapi kurang menarik pula pada hemat saya lalu ditukar kepada “Istana Menanti.”

Ada beberapa sebab kenapa dipilih judul itu. Antaranya memang wujud sebuah Istana lama di Seri Menanti di Kuala Pilah. Istana lama itu sama bentuknya dengan “Istana Pagar Ruyung” di Minangkabau Sumatera Barat yang pernah saya lawati pada tahun 1994. Istana lama di Seri Menanti itu masih kukuh dan menjadi lambang sejarah kedatangan orang-orang Minangkabau ke Negeri Sembilan. Kebetulan pula ketika itu ada sebuah lagu yang paling popular ketika itu berjudul “Istana Menanti” nyanyian Rahim Maarof.

Selain Istana Menanti ada sepuluh lagi judul yang diterbitkan di bawah projek Balai Sejarah yang dihasilkan oleh enam orang penulis majlis pelancaran buku-buku tersebut telah diadakan di Rumah GAPENA, turut dihadiri beberapa orang penulis terkenal antaranya SN Dato’ Abdullah Husain.


Tuesday, December 22, 2009

PERTANYAAN PEMBACA


Pertanyaan pertama:

Assalamualaikum. En Abdul Latip,

Dalam buku Sultan Muhammad al Fateh muka surat 12 pada baris ke tiga Tuan ada menulis perkataan bermujahadah kepada Tuhan, maaf, saya rasa perkataan "bermujahadah kepada Tuhan" itu tidak berapa sesuai digunakan sebab bermujahadah ertinya melawan perasaan atau lebih kepada melawan hawa nafsu/ berperang/ menekan hawa nafsu untuk membuat sesuatu kebaikan demi menundukkan kemahuan nafsu yang sememnagnya cenderung melakukan kejahatan atau bermalas-malasan dalam membuat kebaikan.

Apa yg saya rasa, (maaf sekali lagi) perkataan yang sesuai untuk dailog tersebut ialah "bermunajat kepada Tuhan" yang bererti memohon/berharap dengan penuh rela , berserah & ikhlas / merintih kepada Tuhan agar dimakbulkan permintaan hambaNya.

Jadi dalam konteks ini Sultan Murad bermunajat kepada Tuhan agar dikurniakan anak lelaki dengan melakukan amalan2 tertentu seperti membaca al Quran, berdoa dan seumpamanya terangkum dalam erti bermunajat kepada Tuhan. Munajat ertinya berharap. Maaf sekali lagi.

Mohd Salehan


Jawapan saya:

Assalamualaikum, Semoga tuan dan keluarga berada dalam keadaan sihat sejahtera. Ameen.

Terima kasih atas komen tuan mengenai perkataan Bermujahadah kepada tuhan seperti yang terdapat dalam novel Sultan Muhamad al Fateh.Pada pendapat saya perkataan bermujahadah kepada tuhan itu perlu sesuai digunakan pada masa suasana dan tempatnya. Ketika itu Sultan Murad berada dalam suasana yang cukup mendebarkan dalam hidupnya kerana menunggu kelahiran cahaya matanya yang pertama. Dia sedang melawan perasaan riang kerana bakal mendapat cahaya mata, cemas kerana menunggu isteri melahirkan dan boleh berlaku pelbagai kemungkinan.


Kerana itu perkataan yang paling sesuai baginya ketika itu ialah bermujahadah.Bermunajat biasanya dilakukan dalam suasana yang sunyi tenang dan berseorangan. Contohnya Nabi Musa bermunajat di Bukit Thursina.Kerana itu saya berpendapat perkataan bermujahadah itu yang lebih sesuai.

Terima kasih.

Abdul Latip bin Talib


----------------------------------------------

Pertanyaan kedua:

Assalamualaikum En Abd Latip,

Perkataan Tajalli pada muka surat 57 dalam Novel Sultan Muhammad Al fateh, perlukan penjelasan. Sebab rasanya yang banyak membaca buku ini para remaja ataupun berbagai golongan. Tetapi dalam glosari tidak ada penjelasannya. Ini adalah perkataan yang sedia maklum bagi golongan tarekat & sufi. Tapi mungkin sedikit asing pada kebanyakan orang awam. Tapi kalau dijelaskan dengan lebih sempurna dengan contoh2 akan lebih difahami oleh orang awam. sebab ia juga terkait dengan soal aqidah.

Mohd Salehan


Jawapan saya:

Perkataan Tajalli itu berasal dari bahasa Arab tetapi sudah diserapkan dalam bahasa Melayu. Malah dalam kamus Dewan edisi ketiga sudah dimasukkan perkataan Tajalli itu bermakna “kebenaran yang diperlihatkan Allah.” Kerana itu bagi pembaca terutama anak-anak muda sudah biasa mendengar perkataan tersebut.

Dalam novel Sultan Muhamad al Fateh memang ada disebut Tajalli beserta peristiwa-peristiwa yang berlaku. Antaranya dalam bab 7 bertajuk Hidayah yang mana seorang ulama dicabar untuk menghidupkan orang yang telah lama meninggal dunia. Tajalli juga berlaku dalam peristiwa Sultan Muhamad al fateh melayarkan kapal perang di atas daratan.

Tajalli atau kebenaran yang diperlihatkan Allah itu memang sukar diterima kebanyakan orang kecuali yang beriman kerana perkara itu termasuk rukun iman iaitu percaya kepada Allah dan kekuasaanNYA.

Terima kasih.

Abdul Latip bin Talib.


Sunday, December 20, 2009

NOVEL IMAM SYAFIE SUDAH TERBIT


Imam Ahmad bin Hanbal (Imam Hanbali) berkata Nabi Muhamad bersabda Allah menghantar kepada umat ini tiap-tiap seratus tahun seorang (Mujaddid) penguat atau pembaharu kepada agama.

Maka Allah telah menghantar khalifah Umar bin Abdul Aziz sebagai Mujaddid untuk seratus tahun yang pertama. Dan aku yakin Imam Syafie adalah Mujaddid untuk seratus tahun yang kedua.

Novel kisah Imam Syafie sudah terbit. Dan akan menyusul pula novel kisah Khalifah Umar bin Abdul Aziz tidak lama lagi.

Ramai yang kenal nama Imam Syafie tetapi mungkin ramai yang belum tahu sejarah perjuangan dan suka duka kehidupannya.

Novel ini menceritakannya....

Tuesday, December 15, 2009

DIULANG CETAK

Senarai buku-buku yang diulang cetak.

1. Travelog Haji: Mengubah Sempadan Iman - 1500
2. Yakjuj & Makjuj: Bencana Di Sebalik Gunung - 3000
4. Sultan Muhammad Al-Fateh - 3000
5. Tariq: Menang Atau Syahid - 2000
6. Wo Ai Ni Allah - 2000
7. Abu Ubaidah: Penakluk Parsi - 2000
8. Khalid: Memburu Syahid - 3000
9. Senangnya Memasak Kerabu & Salad - 8000
10. Magnet Rezeki Dengan Solat Duha - 3000
11. Senangnya Memasak Sambal & Sos - 8000
12. Senangnya Memasak Ayam - 8000
13. Aisyah: Keanggunan Sejati (ed. soft cover) - 2000
14. Senangnya Memasak Ikan - 8000
15. Senangnya Memasak Nasi - 8000
16. Teknik Memotivasikan Anak Cara Positif - 2000
17. Senangnya Memasak Sayur - 8000
18. Senangnya Memasak Daging - 8000
19. Minda Muslim Super - 2000
20. Quran Saintifik: Kecemerlangan Quran drpd Teropong Sains (ed. jimat) - 2000
21. Ajaibnya Sedekah - 3000
22. Solat Khusyuk Solat Smart - 2000
23. Perancangan Strategik Sekolah - 2000

Di salin dari blog Puan Ainon.

http://universitipts.com/index.php/site/comments/ulangcetak_mengejut_kerana_stok_dalam_gudang_pts_habis_licin/




Diulang cetak 2,000 naskhah.

Diulang cetak 2,000 naskhah

di ulang cetak 3,000 naskhah



Di ulang cetak 3,000 naskhah.


Thursday, December 3, 2009

AKAN TERBIT


Dengan izinNya, novel Imam Syafie ini adalah yang ke 8 terbit tahun 2009. Dengan harga RM 24.00 / RM 27.00 (Sabah & Sarawak).

Antara kelebihan pengasas mazhab Syafie ini dikurniakan daya ingatan yang kuat sehingga boleh menghafal al quran ketika berumur 9 tahun.

Antara bab yang menyentuh hati ketika menulisnya apabila ulama terbilang ini di bawa mengadap khalifah Harun al Rasyid dalam keadaan kaki dan tangannya diikat dengan rantai, beliau dipaksa jalan merangkak mengadap khalifah. Sebelum itu beliau dipenjara dan disebat angkara fitnah mereka yang benci terhadapnya.

Sebagai pengikut mazhab Imam Syafie memang elok kita mengetahui riwayat hidupnya, suka dan dukanya.



NAMA IBU IMAM HANAFI


Makam Imam Abu Hanifah atau Imam Hanafi.


Saya masih tercari-cari siapakah nama ibu imam Abu Hanifah atau Imam Hanafi. Rakan-rakan di facebook juga turut mencarinya namun masih belum terjumpa.

Kisah hidup imam besar pengasas mazhab Hanafi ini telah dijadikan novel. Watak ibunya penting kerana digunakan sejak awal cerita.

Untuk sementara waktu saya namakan Aisyah sempena nama isteri Rasulullah saw.

Mungkin ada yang tidak setuju namun apakah ada pilihan lain?.

Imam Abu Hanifah sendiri pun nama asalnya Nukman bin Tsabit. Di panggil Hanafi atau Abu Hanifah. Lalu apakah menjadi satu kesalahan sekiranya ibu beliau dinamakan Aisyah?.

Sunday, November 29, 2009

PERTANYAAN PEMBACA


Salam pak latip. Saya ada berbual dengan ayah saya tentang Hulagu Khan ini. Ayah saya kata akhirnya dia memeluk Islam. Tetapi saya baca novel yang pak latip tulis ini tidak menyatakannya.

Puan Aznen Mahmudin
Di salin dari facebook.



Jawapan saya,

Puan Aznen Mahmudin,

Tertima kasih dengan pertanyaan ini. Memang benar ada yang mengatakan Hulagu Khan akhirnya memeluk Islam kerana sebelum meninggal dunia beliau berguru dengan beberapa orang ulama terkenal pada masa itu. Sebelum meninggal dunia beliau berwasiat dikebumikan dalam sebuah tasik.

Tetapi ada pula yang mengatakan dia memeluk agama Kristian kerana masih kekal dengan isterinya yang menganut agama kristian.

Kerana itu saya tidak menyatakannya secara terus terang adakah dia memeluk agama Islam atau kristian. Terserah kepada kepada pembaca untuk menilainya.

Yang pasti Hulagu Khan tidak dikebumikan secara adat istiadat bangsa Monggol. Lebih mirip kepada pengkebumian secara Islam.


Hanya Allah yang Maha Mengetahui.


SURAT DARI PEMBACA


Tahniah kepada Pak Latip.

Saya memang sangat minat sejarah Islam lagi-lagi tokoh-tokohnya.Terima kasih kerana menghasilkannya.

Saya memang nak sangat tahu tentang Salahuddin ayubi ini. Saya belikan untuk pusat sumber sekolah saya.

Ddan kini suami saya pula terjangkit minat dengan saya malah, memborong kesemua tokoh-tokoh yang pak latip hasilkan.

Alhamdulillah. Salam Aidiladha.

Puan Aznen Mahmudin
Yang menulis dalam Facebook.


Thursday, November 26, 2009

Tuesday, November 24, 2009

KHALIFAH UMAR BIN ABDUL AZIZ


Ada yang ingin kembali ke cara pemerintahan khalifah. Namun sejarah silam membuktikan sistem itu juga ada keburukannya apabila khalifah yang dilantik tidak memiliki sifat seperti Abu Bakar as Siddiq dan Umar al Khattab.

Khalifah adalah jawatan seumur hidup. Kuasanya seperti maharaja. Bayangkan jika yang dilantik menjadi khalifah itu wataknya tidak seperti khalifah Umar bin Abdul Aziz.

Menurut Cik Ashikin Wahid editing novel khalifah Umar bin Abdul Aziz sudah selesai.

Tunggu kelahiran novel itu tidak lama lagi.


Sunday, November 15, 2009

DR ABDULLAH AZZAM


Dr Abdullah Azzam berjaya meniupkan semangat jihad di kalangan umat Islam ketika Rusia menakluk Afghanistan. Sekiranya beliau masih hidup apakah perkara yang sama akan diulanginya apabila Amerika dan Nato menakluk Afghanistan?. Namun yang pasti setelah Rusia berundur dari Afghanistan beliau telah terbunuh dalam satu letupan bom yang memang ditujukan terhadapnya.

Dr Abdullah Azzam lahir di Palestin, beliau pada mulanya adalah pejuang Palestin. Apabila PLO atau Fatah berdamai dengan Israil maka beliau berpindah ke Pakistan lalu menyertai jihad menentang Rusia di Afghanistan.

Dalam buku Jihad Jalan Tunggal Menuju Khalifah dan Jihad Afghanistan beliau menulis seperti berikut:

1. Jihad bila musuh (bukan Islam) menyerang Negara Islam.
2.Bila pemimpin Negara Islam meminta rakyat keluar berperang.

Menurut pendapat ulama Ahli Sunnah Wal Jamaah pula apabila musuh menyerang sebuah Negara Islam, contohnya Palestin maka hukum jihad itu menjadi fardu Ain bagi penduduk atau Negara yang berhampiran dengannya. Tetapi bagi penduduk yang jauh hukumnya fardu kifayah.

Kira-kira 50 tahun dahulu, apabila Israel menjajah Palestin maka semua Negara Arab bersatu bagi menentang Israel tetapi kalah dalam setiap kali peperangan kecuali Mesir yang hampir berjaya menewaskan Israel. Tetapi akhirnya dipaksa menandatangani perjanjian damai.

Semenjak tahun 1973, Negara-negara Arab dan Islam tidak lagi bersatu untuk menentang Israel malah ada yang telah menandatangani perjanjian damai. Maka perjuangan itu diteruskan secara bersendirian oleh beberapa pertubuhan Palestin.


Sekarang Palestin terbahagi kepada dua, wilayah Tebing Barat diperintah oleh Fatah dan di Gaza diperintah oleh Hamas. Sepatutnya dua kuasa itu bersatu bagi mewujudkan satu pemerintahan kemudian mereka ada dua pilihan, berjihad menentang Israel atau berdamai bagi mewujudkan sebuah Negara Palestin yang merdeka.



Saturday, November 14, 2009

PANGGILAN JIHAD

Panggilan jihad itu menjadi wajib apabila:

Pemerintah sesebuah negara Islam mengistiharkan jihad. Contohnya ketika Sultan Salahudin al Ayubi menjadi pemerintah Mesir beliau mengistiharkan jihad menentang tentera Salib.

Contoh kedua apabila Sultan Muhamad al Fateh memerintah Turki lalu memgistiharkan jihad bagi menakluk Kota Konstantinopel.

Semasa Muawiyah menjadi khalifah (ada juga yang mengatakan beliau pemerintah yang zalim) apabila beliau mengistiharkan jihad bagi menentang kerajaan Rom Timur maka ramai sahabat Nabi yang masih hidup pada masa itu antaranya Abu Ayyub al Ansari menyahut panggilan jihad itu.

Dalam keadaan negara aman seperti sekarang maka jihad melawan nafsu itu yang menjadi keutamaan.

HADIS DHAIF

Menurut Imam Ghazali, Imam Abu Hanifah dan beberapa orang lagi ulama Ahli Sunnah Wal Jamaah, semua hadis yang tidak bertentangan dengan al Quran adalah hadis sohih. Sekiranya ada hadis yang ditolak bukan menolak hadis tersebut tetapi periwayatnya diragui.

Contoh hadis yang dikatakan dhaif.

Rasulullah saw bersabda, “Sesungguhnya Allah berbangga kepada malaikatNya dengan seorang pemuda yang banyak beribadah dengan firmannya “Wahai pemuda yang meninggalkan hawa nafsunya kerana Aku, menyerahkan kemudaannya disebabkan aku, engkau pada sisiku adalah seperti para malaikatku.”

Hadis dari Abdullah bin Masud ini yang dikatakan hadis dhaif.

Selain itu ada sebuah lagi hadis popular dikatakan hadis dhaif iaitu “Sabar itu separuh dari Iman.”

Hadis daif ini bukan hadis palsu. Tidak salah kalau umat Islam mengamalkannya kerana tidak bertentangan dengan al Quran.

Begitu pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah.



Thursday, November 12, 2009

TERIMA KASIH BERITA HARIAN


Abdul Latip hasil novel berlandaskan sejarah Islam

Oleh Muhd Yusuf Abu Bakar
muhdyusuf@bharian.com.my

Papar ketokohan pejuang silam dalam 16 karya untuk berdakwah kepada orang ramai

KESANGGUPANNYA untuk bersara awal bagi memberi tumpuan kepada penulisan fiksyen akhirnya membawa hasil, apabila berjaya mengangkat bahan sejarah Islam ke bentuk novel sejarah. Novelis, Abdul Latip Talib kini mengukir nama sebagai penulis novel sejarah Islam berjaya selepas menghasilkan 16 novel Islam berasaskan kisah sejarah pahlawan Islam, sahabat Nabi SAW dan Khulafah Arrasiddin dalam tempoh empat tahun.
Kalau sebelum ini, Abdul Latip yang pernah memenangi beberapa anugerah sastera hanya menghasilkan novel kanak-kanak dan novel sejarah Melayu, namun mulai 2005, bekas Penyelia Kanan Felcra itu mengorak langkah menghasilkan novel sejarah Islam selepas menemui penerbit PTS Litera Utama, Ainon Mohd yang mencadangkannya supaya menghasilkan novel sejarah berasaskan sejarah Islam.

Bertitik tolak saranan itu, beliau berusaha mengangkat kisah penakluk Sepanyol, Tariq bin Ziyad ke bentuk novel sejarah Islam yang kemudian ternyata sambutannya menakjubkan. "Selepas itu saya menghasilkan novel Salahuddin Ayubi, Khalid Walid, Ikramah Abu Jahal dan Abu Ubaidah yang menyaksikan beberapa kali cetakan semula berikutan sambutan hangat daripada pembaca. Sebagai contoh, novel pejuang Islam terkemuka, Khalid Walid sehingga kini memasuki cetakan kelima sejak diterbitkan 2005," katanya ketika ditemui di Berita Harian, baru-baru ini.

Bagi menghasilkan novel yang menarik, Abdul Latip berkata, dia menjadikan menulis novel ini sebagai kerjaya sepenuh masa, sama seperti pekerja awam dan swasta. "Saya berkerja selama lapan jam sehari untuk menghasilkan novel. Saya membaca, menghayati dan membuat penyelidikan terperinci sebelum menghasilkan novel sejarah. Ini penting bagi memastikan kandungannya berdasarkan fakta yang benar dan jelas dengan olahan berbentuk fiksyen.

"Hasilnya, ia memberi kepuasan kepada saya sebagai penulis dan pembaca yang menikmati cerita berkenaan apabila diolah kepada bentuk novel. Cukup menyeronokkan apabila pembaca memberi maklum balas memberangsangkan mengenai novel yang dihasilkan," katanya.

Anak kelahiran Rembau, Negeri Sembilan dan kini menetap di Jelebu, Latip turut menghasilkan novel Khalifah Arrashiddin, iaitu Abu Bakar Assidiq, Umar Alkhatab, Usman Affan dan Ali Abi Talib.

"Saya dalam proses untuk menghasilkan novel mengenai kehidupan empat imam besar Ahli Sunnah Wal Jamaah iaitu Shafie, Hanafi, Hambali dan Maliki yang terpaksa berdepan dengan pelbagai rintangan ketika menuntut ilmu dan menyebarkannya sehingga menjadi ikutan sebahagian besar masyarakat Islam di dunia," katanya yang turut menghasilkan novel Bilal Rabah, Sultan Muhammad Al Fateh dan Hulagu Khan.

Ternyata usaha Abdul Latip dalam mengembangkan dakwah melalui penulisan berhasil, kalau dulu, kita hanya mendengar kisah sejarah disampaikan penceramah atau ustaz, namun kini melalui novel Islam yang digarap dengan berkesan dan menyentuh hati, minat masyarakat khususnya generasi muda terhadap Islam akan meningkat.

Boleh ikuti tulisan ini di sini.



Tuesday, November 3, 2009

TULISAN DR TALIB DALAM MINGGUAN MALAYSIA

Novel sejarah Abdul Latip

Oleh DR.TALIB SAMAT
(
dr.talibsamat@yahoo.com)

KEUNGGULAN Abdul Latip Talib dalam penulisan novel sejarah Islam mahupun novel sejarah tokoh tanah air memang tidak boleh dinafikan begitu sahaja. Ini disebabkan kemunculan dan keunggulannya sebagai novelis sejarah Islam telah memberi kesan yang tersendiri kepada perkembangan penulisan novel sejarah Islam yang selama ini lesu dan kurang diperhatikan oleh para penerbit.

Abdul Latip Talib menerusi penerbitan PTS Publications and Distributors Sdn.Bhd. akan menghasilkan setiap dua bulan sekurang-kurangnya sebuah novel sejarah Islam mahupun sejarah tokoh tanah air di pasaran buku negara ini. Abdul Latip Talib sebenarnya sangat beruntung, bertuah dan serius dalam penulisan novel sejarah Islam kerana ketiadaan saingan dan penerbit menaruh kepercayaan kepadanya untuk menghasilkan novel sejarah Islam sekali gus menguntungkan penerbit itu sendiri dan penulisnya juga.


Hal ini diperkukuhkan lagi oleh pasaran buku dalam bahasa Melayu yang semakin berkembang berbanding buku bahasa Inggeris yang perlahan. Kini kedai- kedai buku terbesar tanah air seperti MPH, Popular, Kunikuniya dan sebagainya meletakkan buku-buku Melayu di ruang dan rak-rak depan kedai buku tersebut agar mudah dilihat.

Novel-novel sejarah Islam tulisan Abdul Latip Talib seperti novel Salahudin Penakluk Jerusalem, Sultan Muhammad Al-Fateh Penakluk Konstantinopel dan sebagainya tergolong sebagai novel best seller dan dicetak ulang beberapa kali dalam masa setahun untuk memenuhi pasaran dan permintaan pembaca yang terus bertambah.

Disiplin

Keunggulan Abdul Latip Talib dalam penulisan novel sejarah Islam terletak kepada disiplin kuat dan staminanya yang mantap menulis sekurang-kurangnya sepuluh halaman pada setiap hari secara konsisten dan serius. Keseriusannya berkarya ini dipermudahkan lagi dengan perjuangannya menjadikan bidang penulisan sepenuh masa sebagai kerjaya hidupnya sesudah bersara dari Felcra.

Kekreatifan dan kelajuannya berkarya dalam menghasilkan novel sejarah Islam ada kaitannya dengan penggunaan teknik penulisan Surah Yusuf yang terdapat dalam al-Quran dan teknik penulisan tulang ikan yang dipraktikkan oleh penulis-penulis PTS.

Menulis novel sejarah Islam bukanlah suatu kerja mudah kerana memerlukan pembacaan buku-buku sejarah Islam daripada pelbagai sumber timur dan barat, sebelum ia diproses menjadi sebuah novel sejarah yang berbeza daripada buku sejarah yang mementingkan fakta. Manakala novel sejarah Islam menggabungkan unsur- unsur fakta, fiksyen dan nilai-nilai murni Islam itu sendiri untuk diteladani oleh pembaca yang mendambakan kelainan daripada novel yang terdapat di pasaran.

Novel-novel sejarah Islam yang memfokuskan tokoh-tokoh besar dalam sejarah Islam yang ditulis dengan gaya bahasa yang mudah, berseni dan komunikatif tetapi tetap ada unsur-unsur sasteranya memudahkan pembaca masa kini memahaminya dan mengenalinya menerusi karya sastera yang lebih hidup, berkesan, menusuk ke dalam jiwa dan hati pembaca. Hal ini tentunya amat berbeza sekiranya kita membaca buku- buku sejarah yang kaku dan beku yang kurang memanusiakan jiwa manusia. Di sinilah terletaknya kepentingan dan keperluan novel- novel sejarah Islam dan novel- novel sejarah tanah air yang digarap dengan tekun, serius dan perkasa oleh Abdul Latip Talib, sasterawan dari Jelebu, Negeri Sembilan yang kini berusia 55 tahun.

Sehingga kini Abdul Latip Talib telah menghasilkan berpuluh novel-novel sejarah Islam yang berkait dengan pahlawan Islam seperti Salahudin Penakluk Jerusalem, Sultan Muhammad Al-Fateh Penakluk Konstantinopel, Khalid Walid, Ikramah Abu Jahal, Tariq Ziad, Abu Bakar As-Siddiq, Umar al-Khattab, Usman Affan, Ali Abi Talib, Bilal bin Rabah, Hulagu Khan, Amir Hamzah dan sebagainya.

Di samping itu, beliau juga menghasilkan novel- novel sejarah yang memfokuskan tokoh pahlawan dan sejarah tanah air seperti Si Bongkok Tanjung Puteri, Leftenan Adnan Saidi, Mat Kilau, Dol Said, Tok Janggut, Datuk Onn Jaafar, dan sebagainya yang penting dibaca oleh masyarakat pembaca untuk menyelami perjuangan hebat pahlawan tanah air yang berkorban apa sahaja untuk kesenangan dan kemerdekaan generasi hari ini.

Abdul Latip Talib juga menghasilkan novel-novel remaja dan masyarakat seperti Istana Menanti, Randau Ruai, Beraraklah Awan Kelabu, Siamang Gagap, Merentas Ranjau, Lembing Awang Pulang Ke Dayang, Perang Jementah, Moyang Salleh dan sebagainya yang memperlihatkan keseriusan beliau dalam berkarya.

Malah tuahnya menyebelahinya kali ini bila novelnya Istana Menanti terbitan Utusan Publications and Distributors Sdn. Bhd. digunakan sebagai teks sastera Komsas Tingkatan Satu mulai tahun depan yang tentunya memperluaskan lagi khalayak pembaca karya-karya Abdul Latip Talib.


Sehingga kini beliau telah menghasilkan 21 buah novel sejarah, lapan buah novel remaja, enam buah novel kanak-kanak, satu buah novel dewasa, 100 buah cerpen dan 20 buah sajak. Beliau juga sering memenangi pelbagai sayembara sastera di negara ini dan merupakan sasterawan dari Negeri Sembilan yang paling produktif masa kini yang hidup sepenuh masa dengan menulis.

Atau boleh juga dibaca di sini

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1101&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sastera&pg=sa_02.htm


Thursday, October 29, 2009

LEMBING AWANG PULANG KE DAYANG

Menurut Allahyarham Shaharom Husain dalam bukunya Memoir Shaharom Husain Selingkar kenangan Abadi, beliau menulis novel sejarah antaranya Lembing Awang Pulang ke Dayang itu berdasarkan penyelidikan yang dibuatnya sendiri dari kisah yang benar-benar pernah berlaku di Johor.

Cerita itu pada mulanya diceritakan secara lisan dari satu generasi ke satu generasi dengan judul yang sama iaitu Lembing Awang Pulang Ke Dayang. Selain itu ada beberapa buah cerita lagi yang juga diceritakan secara lisan seperti Si Bongkok Tanjung Puteri, Sultan Mahmud Mangkat di Julang, Batu Belah Batu Bertangkup, Si Tenggang Anak Derhaka dan lain-lain lagi. Semua itu adalah cerita lisan yang tajuknya telah dipopularkan sejak dahulu. Dan Shaharom Husain telah mengekalkan judul tersebut dalam karyanya. Kerana itu tidak salah apabila saya juga mengekalkan judul yang sama. Cuma pengolahan ceritanya atau jalan ceritanya berlainan.


Walau bagaimanapun kredit tetap diberikan kepada Allahyarham Shaharom Husain kerana beliau yang mempopularkan dahulu cerita tersebut. Dalam novel Lembing Awang Pulang ke Dayang yang saya tulis juga dicatatkan di muka belakang nama dan buku beliau.





Monday, October 26, 2009

KHALIFAH UMAR ABDUL AZIZ

Mustahil macam tidak percaya namun itulah kenyataannya. Novel Khalifah Umar bin Abdul Aziz dapat disiapkan dalam masa 15 hari. Sudah dilakukan yang terbaik semoga kualitinya mencapai piawaian yang ditetapkan PTS untuk diluluskan penerbitannya. Berkat menulis kisah pemimpin yang dikasihi Allah swt maka proses penulisannya berjalan lancar. Idea bagaikan arus sungai yang terus menerus mengalir. Terlalu banyak kisah yang hendak diceritakan dalam buku setebal lebih 200 halaman itu. Semoga novel itu dapat menemui pembaca penghujung tahun ini. InsyaAlalh.


Wednesday, October 21, 2009

KHALIFAH UMAR ABDUL AZIZ


Setelah selesai menulis kisah Imam Syafie, sekarang sedang menyiapkan novel Khalifah Umar Abdul Aziz. Saya begitu teruja menulisnya sehingga saya berfikir masihkah wujud pemimpin seperti ini?.

Pemerintahan Khalifah Umar Abdul Aziz cuma 2 tahun 5 bulan tetapi beliau berjaya membuat perubahan yang besar dalam dunia Islam yang ketika itu dipenuhi dengan kezaliman.

Khalifah Bani Umaiyah dibantu panglima dan angkatan tentera yang kejam bagi mengukuhkan kekuasaan mereka. Panglima Muslim menyerang Madinah dan bermaharaja lela selama tiga hari tiga malam. Al Hajaj Yusof At Thaqafi menyerang Mekah hingga kaabah runtuh.

Ketika itu muncul Khalifah Umar Abdul Aziz yang sangat adil memerintah sehingga negara menjadi aman sejahtera. Rakyat kaya raya sehingga tidak ada lagi peminta sedekah dan tidak ada yang mahu menerima zakat. Kaum wanita boleh berjalan sendirian dengan selamat.

Mungkinkah muncul semula pemimpin seperti Umar Abdul Aziz pada abad ini?.




Tuesday, October 13, 2009

LEMBING AWANG PULANG KE DAYANG



Tragedi berdarah yang mengorbankan 99 orang ini berlaku di Parit Raja Laut Muar Johor pada tahun 1776. Ketika itu ia terletak di bawah jajahan Padang (antara Bandar Maharani dengan Parit Jawa). Dinamakan Padang kerana kawasan tersebut pernah terbakar sehingga menjadi padang jarak padang tekukur. Ketika itu daerah ini diperintah oleh Orang Kaya Aris zuriat daripada Daing Seriuk.

Awang dan Dayang berpangkat sepupu mengikut nisab sebelah ibu. Ibu Dayang adalah kakak kepada ibu Awang. Mereka jatuh cinta lalu ditunangkan. Tetapi keluarga Dayang meminta wang belanja berjumlah $370.07 (tiga ratus tujuh puluh ringgit dan tujuh duit) dan sehelai kain mastuli tenunan Bugis sebagai hantarannya. Mereka mengikat janji selama tiga tahun untuk memberi peluang kepada Awang mencari wang dan membeli kain mastuli di Makasar.

Awang belayar ke Siak, lalu ke Makasar dan bekerja di sana. Kebetulan pula Raja Bugis mengadakan perlawanan catur diraja dengan hadiah sepasang lembing sakti, sebilah jantan dan sebilah betina. Awang memasuki pertandingan itu dan memenanginya. Setelah berhasil mengumpul wang untuk belanja perkahwinannya serta kain mastuli tenunan Bugis, maka Awang pun pulang. Tetapi kepulangannya tertangguh selama lima bulan.

Kerana tempoh pertunangan selama tiga tahun sudah tamat dan Awang masih belum pulang, dan tersebar pula berita mengatakan Awang terbunuh dalam satu pertempuran di laut, maka pertunangannya dengan Dayang diputuskan. Kemudian Dayang dilamar oleh Bachok, anak Orang Kaya tetapi angkuh dan sombong. Tambahan pula dia anak murid Panglima Hitam, bekas ketua lanun di Tanjung Tohor.

Ketika Awang sampai di kampungnya, didapati orang ramai sedang meraikan majlis pernikahan Dayang dengan Bachok. Awang berasa malu dan marah kerana keluarga Dayang mungkir janji. Tambahan pula apabila mendapat tahu Bachok yang menyebarkan berita bohong kononnya Awang sudah meninggal dunia supaya dapat mengahwini Dayang.

Awang membawa sebilah lembing lalu pergi ke rumah Dayang. Ketika itu kedua-dua pengantin sedang bersanding. Awang tidak dapat menahan marah apabila melihat tunangnya bersanding dengan orang lain lalu menikam Bachok.

Kawan-kawan Bachok mencabut lembing itu lalu melontarnya kepada Awang tetapi tidak mengenai sasaran, sebaliknya mengenai orang yang berhampiran dengan Awang. Lembing itu terus memakan korban seorang demi seorang sehingga jumlahnya 99 orang. Kesemua mangsa dikebumikan dalam sebuah kubur yang panjang di Dusun Tua yang terletak di antara Parit Besar dengan Parit Raja Laut.

Novel Lembing Awang Pulang Ke Dayang ini akan terbit penghujung bulan ini serentak dengan tayangan filemnya di pawagam.




Friday, October 2, 2009

SUDAH DIULANGCETAK SEPTEMBER 2009

PTS Litera Sdn Bhd
http://www.pts.com.my
RM24 / RM RM27 (Sabah & Sarawak)
Tarikh Terbit: 25 July 2009
256 muka surat




PTS Litera Sdn Bhd
RM RM26.00 / RM RM29.0 (Sabah & Sarawak)
Tarikh Terbit: 20 July 2009
274 muka surat

Dua novel sejarah Islam ini terbit pada bulan July 2009. Sudah diulang cetak pada bulan September 2009.

Alhamdulillah....


Tuesday, September 29, 2009

DIULANGCETAK 4 KALI

Abu Bakar Sahabat Sejati
Harga RM 26.90 / RM 29.90 (Sabah & Sarawak)
Tarikh Terbit: 31 July 2008




Novel ini terbit pada 31 Julay 2008.
Alhamdulillah sudah diulang cetak sebanyak 4 kali.
Terima kasih kepada pembaca yang terus memberikan sokongan
.



Saturday, September 26, 2009

Testimonial Pembaca Face Book Tentang Novel-novel Sejarah Islam


Seorang rakan FB saya yang menggunakan nama Ani-za menulis komen begini:

Tahniah, En. Latip. Baru tadi, anak-anak saudara saya membeli 5 buah buku En. Latip di MPH Ipoh. Sengaja saya membawa mereka berjalan-jalan ke MPH.

Saya tidak sangka novel En. Latip terkenal dalam kalangan kawan-kawan mereka. Along (bersekolah di asrama Tahfiz di KL) mengatakan kawan-kawannya ada koleksi novel En. Latip.

Kakaknya (yang bersekolah di Maktab Rendah Sains MARA), berkata ustazahnya dan kawan-kawannya pun sibuk bercerita tentang novel En. Latip tersebut.

Selepas ke MPH, kami ke pusat boling pula, sambil berjalan, anak-anak saudara saya membaca novel itu.

Di pusat boling, ketiga-tiga anak saudara saya itu asyik baca novel En Latip. Dahsyat juga tarikan novel En. Latip.

Saya pula, sudah booking hendak meminjam novel-novel tersebut. Insyaallah, saya akan rekomen kepada library di sekolah saya supaya membeli set novel En. Latip.

Seorang lagi rakan FB yang bernama Suzianee Omar Ramih pula menulis komen:

Tadi saya pergi mencari novel ini di Borders Tropicana City Mall. Saya mahu membelinya, hendak baca dan simpan sebagai koleksi tetapi tidak ada di sana. Sudah habis stok.
Saya suka novel keluaran Abdul Latip Talib ni... Best!

Semoga lebih banyak dan berjaya hasilkan buku-buku macam ini.

Nota: Tn. Abdul Latip Talib menuliskan novel-novel beliau menggunakan Teknik Surah Yusuf.

Stori ini boleh juga dibaca di blog ini:


http://universitipts.com/index.php/site/comments/testimonial_pembaca_face_book_tentang_novel_sejarah_abdul_latip_talib/


Friday, September 25, 2009

INILAH RUMAHKU

Inilah rumahku. Rumah kampung yang sederhana saja. Di kelilingi pohon buah-buahan. Ada durian, langsat, rambutan dan manggis.

Inilah bilik tempat aku menulis.


Belakang rumah. Di sini tempat aku berehat sambil menikmati pemandangan.

Thursday, September 24, 2009

SELAMAT HARI RAYA AIDIL FITRI


Puan Asma Fadila, Pengurus PTS Litera Utama Sdn Bhd, penerbit sastera perempuan dan sastera sejarah (novel sejarah Islam) telah datang berhari raya ke rumah saya. Terima kasih puan Asma yang sudi datang berkunjung walaupun terpaksa berpening-pening lalat menempuh bukit tangga dan jalan yang berliku-liku di Jelebu.



Wednesday, September 16, 2009

IMAM SYAFIE

Beberapa bulan setelah Imam Syafie meninggal dunia pemerintah Baghdad menghantar sepasukan tentera bagi memindahkan kubur ulama terbilang itu ke Iraq. Sedang kerja penggalian dijalankan tiba-tiba mereka tercium haruman yang sangat wangi keluar dari liang lahat kubur itu. Mereka terpaksa membatalkannya apabila dibantah oleh penduduk Mesir kerana mereka tidak rela kubur itu dipindahkan.

Ketika saya menulis bab ini, ada haruman yang semerbak menerpa saya tetapi datangnya tidak lama. Kemudian haruman itu datang lagi. Subhanallah….



Wajah Imam Syafie dari kacamata seorang pelukis.




Makam Imam Syafie di Mesir sentiasa dikunjungi orang ramai.






Kitab al Um yang menjadi rujukan umat Islam hingga sekarang.


Sunday, September 13, 2009

BILAL DI UTUSAN MALAYSIA HARI INI


Bilal bin Rabah Pengumandang Seruan Langit dilatih membunuh Nabi Muhamad. Ikuti Ulasannya dalam Utusan Malaysia hari ini. Terima kasih.






Friday, September 11, 2009

HULAGU KHAN


Dalam Berita Harian hari ini. Penilaian Dunia Buku. Laris di pasaran. Popular Book.com (M) 4 September 2009

Yakjuj & Makjuj: Sebalik Gunung.
Hulagu Khan: Khabar Hitam
Benarkah Iskandar Bukan Zulqarnain.
Rahsia Minda Hebat
Aisyah Ummul Mukminin

Wednesday, September 2, 2009

SUDAH DIULANGCETAK 8 KALI

Novel Salahudin Ayubi Penakluk Jerusalem ini sudah diulangcetak sebanyak 8 kali. Gambar kulit depannya telah ditukar 3 kali dengan cover yang semakin menarik.

Nama Salahudin al Ayubi memang sudah terkenal. Kerana itu barangkali ramai yang suka membacanya. Banyak pula pihak yang mahu mengadakan majlis “Bedah Novel Salahudin Ayubi Penakluk Jerusalem”. Selain UPSI ada dua buah universiti lagi yang sedang merancang hendak mengadakan majlis yang sama.

Novel ini juga sudah dilesen serta diterbitkan di Indonesia.




Cover yang mula-mula.


Cover yang kedua.



Cover yang ketiga.


Edisi Indonesia.



SUDAH TERBIT


Novel sejarah pahlawan Melayu ini sudah terbit.

Mengisahkan perjuangan Dol Said dan penduduk Naning menentang askar Inggeris dalam perang Naning pertama 1831dan perang Naning kedua 1832.

Inggeris, kuasa besar dunia itu pernah dikalahkan oleh pahlawan Melayu yang Cuma bersenjatakan senjata tradisional. Pertempuran yang dijangka Inggeris cuma sehari bagi menakluk Naning itu berlarutan selama 18 hari dan akhirnya askar Inggeris mengalami kekalahan.

Tetapi dalam perang Naning kedua, Inggeris menang setelah berlaku pertempuran selama hampir dua bulan, beratus askarnya terkorban dan cedera dan begitu banyak wang yang digunakan untuk menakluk sebuah perkampungan kecil.

Dol Said dan pahlawan Naning kalah kerana dikhianati oleh bangsanya sendiri.

Kisah keberanian pahlawan Melayu, apakah tektik yang digunakan mereka, bagaimana Inggeris berjaya memecahkan perpaduan orang-orang Melayu ketika itu, apakah yang terjadi kepada Dol Said selepas itu?.

Jawapannya terdapat dalam novel ini.
Selama Membaca.

PTS Litera Sdn Bhd
RM RM21.00 / RM RM24.00 (Sabah & Sarawak)
Tarikh Terbit: 4 September 2009.


Friday, August 28, 2009

BUKU YANG KE 20 DENGAN PTS



Alhamdulillah, sejak bertemu "jodoh" dengan PTS pada tahun 2007 hingga kini telah lahir 20 buah novel sejarah.






Dol Said Pahlawan Naning merupakan novel saya yang ke 20 dengan PTS. Semoga pada tahun-tahun berikutnya bertambah lagi karya saya. InsyaAllah.



Monday, August 24, 2009

EXPLORASI NOVEL SALAHUDIN AYUBI PENAKLUK JERUSALEM

Terima kasih diucapkan kepada Biro Akademik & Kerjaya MPP Sesi 08/09 Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang menganjurkan Explorasi buku Salahudin Ayubi Penakluk Jerusalem.

Antara perkara yang diperkatakan ahli panel, apakah perkara pokok yang ingin disampaikan penulis melalui novel Salahudin Ayubi Penakluk Jerusalem?. Bagaimana fakta-fakta sejarah hidup Salahudin Ayubi diolah dalam bentuk genre novel Islam dan apakah pendekatan dalam memastikan keaslian fakta tersebut?.


Tuan Mohamad Kamal bin Kamarudin, mencadangkan supaya judul “Penakluk” itu ditukar kepada perkataan yang lebih sesuai. “Jerusalem” pula ditukar kepada “Baitul Muqaddis.” Satu cadangan yang baik.

Beliau yang juga pensyarah sejarah di UPSI menggalakan Mahasiswa dan Mahasiswi membaca novel tersebut agar nilai-nilai murni dan semangat pahlawan terbilang itu dapat dijadikan tauladan untuk menjadi lebih baik pada masa akan datang.


Kebanyakan yang hadir sudah membaca novel Salahudin Ayubi Penakluk Jerusalem menjadikan Explorasi buku itu mendapat maklum balas yang baik daripada peserta.

Sebagai penulis buku ini saya merasakan Explorasi novel Salahudin Ayubi ini merupakan satu penghargaan yang pastinya memberi motivasi kepada diri ini.




Ahli panel. Abdul Latip, Tuan Mohamad Kamal bin Kamarudin (tengah) dan Tuan Mohd Nawwar bin Abu Mukhtar (moderator)


Sempena majlis ini diadakan jualan novel sejarah Islam dan buku-buku lain yang diterbitkan PTS. Ramai juga yang membelinya. Alhamdulillah.


Bergambar sambil tanda tangan pada buku-buku yang dibeli Mahasiswa dan Mahasiswi UPSI. Semoga mereka cemerlang di dunia dan bahagia di akhirat. Amin.




Mereka adalah bakal pendidik dan pemimpin.





Terima kasih diucapkan kepada Nur Aqilah Hanis Mohd Yusof dan barisan Ahli Jawatankuasa Pelaksana kerana menjayakan majlis ini.


















Gambar-gambar adalah ihsan daripada Cik Nazalia binti Lokman dan Nur Afiti binti Mohd Basri.