Tuesday, November 3, 2009

TULISAN DR TALIB DALAM MINGGUAN MALAYSIA

Novel sejarah Abdul Latip

Oleh DR.TALIB SAMAT
(
dr.talibsamat@yahoo.com)

KEUNGGULAN Abdul Latip Talib dalam penulisan novel sejarah Islam mahupun novel sejarah tokoh tanah air memang tidak boleh dinafikan begitu sahaja. Ini disebabkan kemunculan dan keunggulannya sebagai novelis sejarah Islam telah memberi kesan yang tersendiri kepada perkembangan penulisan novel sejarah Islam yang selama ini lesu dan kurang diperhatikan oleh para penerbit.

Abdul Latip Talib menerusi penerbitan PTS Publications and Distributors Sdn.Bhd. akan menghasilkan setiap dua bulan sekurang-kurangnya sebuah novel sejarah Islam mahupun sejarah tokoh tanah air di pasaran buku negara ini. Abdul Latip Talib sebenarnya sangat beruntung, bertuah dan serius dalam penulisan novel sejarah Islam kerana ketiadaan saingan dan penerbit menaruh kepercayaan kepadanya untuk menghasilkan novel sejarah Islam sekali gus menguntungkan penerbit itu sendiri dan penulisnya juga.


Hal ini diperkukuhkan lagi oleh pasaran buku dalam bahasa Melayu yang semakin berkembang berbanding buku bahasa Inggeris yang perlahan. Kini kedai- kedai buku terbesar tanah air seperti MPH, Popular, Kunikuniya dan sebagainya meletakkan buku-buku Melayu di ruang dan rak-rak depan kedai buku tersebut agar mudah dilihat.

Novel-novel sejarah Islam tulisan Abdul Latip Talib seperti novel Salahudin Penakluk Jerusalem, Sultan Muhammad Al-Fateh Penakluk Konstantinopel dan sebagainya tergolong sebagai novel best seller dan dicetak ulang beberapa kali dalam masa setahun untuk memenuhi pasaran dan permintaan pembaca yang terus bertambah.

Disiplin

Keunggulan Abdul Latip Talib dalam penulisan novel sejarah Islam terletak kepada disiplin kuat dan staminanya yang mantap menulis sekurang-kurangnya sepuluh halaman pada setiap hari secara konsisten dan serius. Keseriusannya berkarya ini dipermudahkan lagi dengan perjuangannya menjadikan bidang penulisan sepenuh masa sebagai kerjaya hidupnya sesudah bersara dari Felcra.

Kekreatifan dan kelajuannya berkarya dalam menghasilkan novel sejarah Islam ada kaitannya dengan penggunaan teknik penulisan Surah Yusuf yang terdapat dalam al-Quran dan teknik penulisan tulang ikan yang dipraktikkan oleh penulis-penulis PTS.

Menulis novel sejarah Islam bukanlah suatu kerja mudah kerana memerlukan pembacaan buku-buku sejarah Islam daripada pelbagai sumber timur dan barat, sebelum ia diproses menjadi sebuah novel sejarah yang berbeza daripada buku sejarah yang mementingkan fakta. Manakala novel sejarah Islam menggabungkan unsur- unsur fakta, fiksyen dan nilai-nilai murni Islam itu sendiri untuk diteladani oleh pembaca yang mendambakan kelainan daripada novel yang terdapat di pasaran.

Novel-novel sejarah Islam yang memfokuskan tokoh-tokoh besar dalam sejarah Islam yang ditulis dengan gaya bahasa yang mudah, berseni dan komunikatif tetapi tetap ada unsur-unsur sasteranya memudahkan pembaca masa kini memahaminya dan mengenalinya menerusi karya sastera yang lebih hidup, berkesan, menusuk ke dalam jiwa dan hati pembaca. Hal ini tentunya amat berbeza sekiranya kita membaca buku- buku sejarah yang kaku dan beku yang kurang memanusiakan jiwa manusia. Di sinilah terletaknya kepentingan dan keperluan novel- novel sejarah Islam dan novel- novel sejarah tanah air yang digarap dengan tekun, serius dan perkasa oleh Abdul Latip Talib, sasterawan dari Jelebu, Negeri Sembilan yang kini berusia 55 tahun.

Sehingga kini Abdul Latip Talib telah menghasilkan berpuluh novel-novel sejarah Islam yang berkait dengan pahlawan Islam seperti Salahudin Penakluk Jerusalem, Sultan Muhammad Al-Fateh Penakluk Konstantinopel, Khalid Walid, Ikramah Abu Jahal, Tariq Ziad, Abu Bakar As-Siddiq, Umar al-Khattab, Usman Affan, Ali Abi Talib, Bilal bin Rabah, Hulagu Khan, Amir Hamzah dan sebagainya.

Di samping itu, beliau juga menghasilkan novel- novel sejarah yang memfokuskan tokoh pahlawan dan sejarah tanah air seperti Si Bongkok Tanjung Puteri, Leftenan Adnan Saidi, Mat Kilau, Dol Said, Tok Janggut, Datuk Onn Jaafar, dan sebagainya yang penting dibaca oleh masyarakat pembaca untuk menyelami perjuangan hebat pahlawan tanah air yang berkorban apa sahaja untuk kesenangan dan kemerdekaan generasi hari ini.

Abdul Latip Talib juga menghasilkan novel-novel remaja dan masyarakat seperti Istana Menanti, Randau Ruai, Beraraklah Awan Kelabu, Siamang Gagap, Merentas Ranjau, Lembing Awang Pulang Ke Dayang, Perang Jementah, Moyang Salleh dan sebagainya yang memperlihatkan keseriusan beliau dalam berkarya.

Malah tuahnya menyebelahinya kali ini bila novelnya Istana Menanti terbitan Utusan Publications and Distributors Sdn. Bhd. digunakan sebagai teks sastera Komsas Tingkatan Satu mulai tahun depan yang tentunya memperluaskan lagi khalayak pembaca karya-karya Abdul Latip Talib.


Sehingga kini beliau telah menghasilkan 21 buah novel sejarah, lapan buah novel remaja, enam buah novel kanak-kanak, satu buah novel dewasa, 100 buah cerpen dan 20 buah sajak. Beliau juga sering memenangi pelbagai sayembara sastera di negara ini dan merupakan sasterawan dari Negeri Sembilan yang paling produktif masa kini yang hidup sepenuh masa dengan menulis.

Atau boleh juga dibaca di sini

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1101&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sastera&pg=sa_02.htm


Thursday, October 29, 2009

LEMBING AWANG PULANG KE DAYANG

Menurut Allahyarham Shaharom Husain dalam bukunya Memoir Shaharom Husain Selingkar kenangan Abadi, beliau menulis novel sejarah antaranya Lembing Awang Pulang ke Dayang itu berdasarkan penyelidikan yang dibuatnya sendiri dari kisah yang benar-benar pernah berlaku di Johor.

Cerita itu pada mulanya diceritakan secara lisan dari satu generasi ke satu generasi dengan judul yang sama iaitu Lembing Awang Pulang Ke Dayang. Selain itu ada beberapa buah cerita lagi yang juga diceritakan secara lisan seperti Si Bongkok Tanjung Puteri, Sultan Mahmud Mangkat di Julang, Batu Belah Batu Bertangkup, Si Tenggang Anak Derhaka dan lain-lain lagi. Semua itu adalah cerita lisan yang tajuknya telah dipopularkan sejak dahulu. Dan Shaharom Husain telah mengekalkan judul tersebut dalam karyanya. Kerana itu tidak salah apabila saya juga mengekalkan judul yang sama. Cuma pengolahan ceritanya atau jalan ceritanya berlainan.


Walau bagaimanapun kredit tetap diberikan kepada Allahyarham Shaharom Husain kerana beliau yang mempopularkan dahulu cerita tersebut. Dalam novel Lembing Awang Pulang ke Dayang yang saya tulis juga dicatatkan di muka belakang nama dan buku beliau.





Monday, October 26, 2009

KHALIFAH UMAR ABDUL AZIZ

Mustahil macam tidak percaya namun itulah kenyataannya. Novel Khalifah Umar bin Abdul Aziz dapat disiapkan dalam masa 15 hari. Sudah dilakukan yang terbaik semoga kualitinya mencapai piawaian yang ditetapkan PTS untuk diluluskan penerbitannya. Berkat menulis kisah pemimpin yang dikasihi Allah swt maka proses penulisannya berjalan lancar. Idea bagaikan arus sungai yang terus menerus mengalir. Terlalu banyak kisah yang hendak diceritakan dalam buku setebal lebih 200 halaman itu. Semoga novel itu dapat menemui pembaca penghujung tahun ini. InsyaAlalh.


Wednesday, October 21, 2009

KHALIFAH UMAR ABDUL AZIZ


Setelah selesai menulis kisah Imam Syafie, sekarang sedang menyiapkan novel Khalifah Umar Abdul Aziz. Saya begitu teruja menulisnya sehingga saya berfikir masihkah wujud pemimpin seperti ini?.

Pemerintahan Khalifah Umar Abdul Aziz cuma 2 tahun 5 bulan tetapi beliau berjaya membuat perubahan yang besar dalam dunia Islam yang ketika itu dipenuhi dengan kezaliman.

Khalifah Bani Umaiyah dibantu panglima dan angkatan tentera yang kejam bagi mengukuhkan kekuasaan mereka. Panglima Muslim menyerang Madinah dan bermaharaja lela selama tiga hari tiga malam. Al Hajaj Yusof At Thaqafi menyerang Mekah hingga kaabah runtuh.

Ketika itu muncul Khalifah Umar Abdul Aziz yang sangat adil memerintah sehingga negara menjadi aman sejahtera. Rakyat kaya raya sehingga tidak ada lagi peminta sedekah dan tidak ada yang mahu menerima zakat. Kaum wanita boleh berjalan sendirian dengan selamat.

Mungkinkah muncul semula pemimpin seperti Umar Abdul Aziz pada abad ini?.




Tuesday, October 13, 2009

LEMBING AWANG PULANG KE DAYANG



Tragedi berdarah yang mengorbankan 99 orang ini berlaku di Parit Raja Laut Muar Johor pada tahun 1776. Ketika itu ia terletak di bawah jajahan Padang (antara Bandar Maharani dengan Parit Jawa). Dinamakan Padang kerana kawasan tersebut pernah terbakar sehingga menjadi padang jarak padang tekukur. Ketika itu daerah ini diperintah oleh Orang Kaya Aris zuriat daripada Daing Seriuk.

Awang dan Dayang berpangkat sepupu mengikut nisab sebelah ibu. Ibu Dayang adalah kakak kepada ibu Awang. Mereka jatuh cinta lalu ditunangkan. Tetapi keluarga Dayang meminta wang belanja berjumlah $370.07 (tiga ratus tujuh puluh ringgit dan tujuh duit) dan sehelai kain mastuli tenunan Bugis sebagai hantarannya. Mereka mengikat janji selama tiga tahun untuk memberi peluang kepada Awang mencari wang dan membeli kain mastuli di Makasar.

Awang belayar ke Siak, lalu ke Makasar dan bekerja di sana. Kebetulan pula Raja Bugis mengadakan perlawanan catur diraja dengan hadiah sepasang lembing sakti, sebilah jantan dan sebilah betina. Awang memasuki pertandingan itu dan memenanginya. Setelah berhasil mengumpul wang untuk belanja perkahwinannya serta kain mastuli tenunan Bugis, maka Awang pun pulang. Tetapi kepulangannya tertangguh selama lima bulan.

Kerana tempoh pertunangan selama tiga tahun sudah tamat dan Awang masih belum pulang, dan tersebar pula berita mengatakan Awang terbunuh dalam satu pertempuran di laut, maka pertunangannya dengan Dayang diputuskan. Kemudian Dayang dilamar oleh Bachok, anak Orang Kaya tetapi angkuh dan sombong. Tambahan pula dia anak murid Panglima Hitam, bekas ketua lanun di Tanjung Tohor.

Ketika Awang sampai di kampungnya, didapati orang ramai sedang meraikan majlis pernikahan Dayang dengan Bachok. Awang berasa malu dan marah kerana keluarga Dayang mungkir janji. Tambahan pula apabila mendapat tahu Bachok yang menyebarkan berita bohong kononnya Awang sudah meninggal dunia supaya dapat mengahwini Dayang.

Awang membawa sebilah lembing lalu pergi ke rumah Dayang. Ketika itu kedua-dua pengantin sedang bersanding. Awang tidak dapat menahan marah apabila melihat tunangnya bersanding dengan orang lain lalu menikam Bachok.

Kawan-kawan Bachok mencabut lembing itu lalu melontarnya kepada Awang tetapi tidak mengenai sasaran, sebaliknya mengenai orang yang berhampiran dengan Awang. Lembing itu terus memakan korban seorang demi seorang sehingga jumlahnya 99 orang. Kesemua mangsa dikebumikan dalam sebuah kubur yang panjang di Dusun Tua yang terletak di antara Parit Besar dengan Parit Raja Laut.

Novel Lembing Awang Pulang Ke Dayang ini akan terbit penghujung bulan ini serentak dengan tayangan filemnya di pawagam.




Friday, October 2, 2009

SUDAH DIULANGCETAK SEPTEMBER 2009

PTS Litera Sdn Bhd
http://www.pts.com.my
RM24 / RM RM27 (Sabah & Sarawak)
Tarikh Terbit: 25 July 2009
256 muka surat




PTS Litera Sdn Bhd
RM RM26.00 / RM RM29.0 (Sabah & Sarawak)
Tarikh Terbit: 20 July 2009
274 muka surat

Dua novel sejarah Islam ini terbit pada bulan July 2009. Sudah diulang cetak pada bulan September 2009.

Alhamdulillah....


Tuesday, September 29, 2009

DIULANGCETAK 4 KALI

Abu Bakar Sahabat Sejati
Harga RM 26.90 / RM 29.90 (Sabah & Sarawak)
Tarikh Terbit: 31 July 2008




Novel ini terbit pada 31 Julay 2008.
Alhamdulillah sudah diulang cetak sebanyak 4 kali.
Terima kasih kepada pembaca yang terus memberikan sokongan
.