Thursday, May 29, 2008

ABU BAKAR AS SIDDIQ WIRA ISLAM

Setelah menulis empat buah novel sejarah Islam iaitu Khalid Memburu Syahid, Salahudin Penakluk Jerusalem, Ikramah Penentang jadi Pembela dan Tariq Menang atau Syahid, dan setelah novel-novel itu diterbitkan oleh PTS Fortuna sehingga dapat dibaca oleh pelbagai golongan masyarakat termasuk pensyarah, guru-guru, pelajar, suri rumah dan anak-anak muda, memberi kekuatan serta semangat kepada saya untuk meneruskannya.

Ramai yang mencadangkan supaya kisah khalifah al Rasyidin iaitu Abu Bakar As Siddiq, Umar al Khattab, Uthman Affan dan Ali bin Abi Talib dijadikan novel kerana mereka boleh dijadikan idola terbaik. Saya menyambut cadangan itu dengan menulis kisah Abu Bakar As Siddiq.

Abu Bakar As Siddiq merupakan antara sahabat yang paling akrab dengan Rasulullah saw sehingga banyak amalan dan cara hidup Rasulullah saw yang dijadikan panduan dalam kehidupannya.

Beliau seorang yang lemah lembut, tidak tamak kepada kekuasaan dan kekayaan walaupun ketika berkuasa tentera Islam berjaya mengalahkan Parsi dan Rom.

Abu Bakar As Siddiq khalifah pertama selepas wafat Rasulullah saw dan beliau diiktiraf sebagai orang yang paling utama selepas Nabi Muhamad saw. Sehubungan ini Rasulullah saw bersabda;

“Sekiranya ditimbang iman seluruh kaum muslimin maka lebih berat lagi timbangan iman Abu Bakar seorang.”

Walaupun Abu Bakar As Siddiq memerintah selama dua tahun tiga bulan sahaja namun beliau telah berjaya menyatukan umat Islam yang berpecah selepas wafatnya Rasulullah saw. Beliau bukan sahaja berjaya menundukkan golongan pemberontak, mereka yang murtad, nabi palsu dan mereka yang enggan membayar zakat malah berjaya mengalahkan Rom dan Parsi.

Kerana itu memang wajarlah Abu Bakar As Siddiq digelar Wira Islam.

Alhamdulillah, penulisannya telah selesai dan dijangka akan diterbitkan oleh PTS Fortuna Jun 2008 ini.

EN. KAMARUL ZAMAN MOHD

Kepada Encik Kamarul Zakam Muhamad atau Kamarul Zaman Mohd yang pernah mengikuti bengkel penulisan di Jelebu adalah dimaklumkan saudara diminta menghubungi Cik Norashikin Wahid, Editor PTS Fortuna dengan segera.

Ini ada kaitan dengan novel saudara yang akan diterbitkan oleh PTS Fortuna.

Saya dimaklumkan oleh Cik Ashikin sekiranya saudara tidak dapat dihubungi maka novel saudara terpaksa ditangguhkan penerbitannya.

Sekiranya saudara atau sesiapa yang mengenali saudara membaca entri ini diharap dapat memaklumkannya dengan segera.

Melalui entri ini juga saya mengingatkan rakan-rakan penulis supaya menghubungi editor atau penerbit sekiranya telah bertukar alamat supaya mudah dihubungi.

Terima kasih.

Sunday, May 25, 2008

PULAU BATU PUTEH

Pulau Batu Puteh kini sah milik Singapura.


Di Pulau Pisang ini juga telah didirikan rumah api oleh Singapura sejak lama dahulu.

Dalam novel Si Bongkok Tanjung Puteri ada disebutkan beberapa buah pulau yang menjadi “sarang” atau tempat persembunyian pahlawan Johor itu antaranya Pulau Penyengat, pulau pisang, pulau sedenak dan beberapa buah pulau lagi.

Setelah 22 tahun pulau Batu Puteh itu dipertikaikan akhirnya Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) Jumaat lalu memutuskan ia kepunyaan Singapura.

Seorang kawan dengan nada berseloroh berkata.

“Macam cerita berhakim kepada beruk…”

Pasti ramai yang terkilan dengan keputusan itu tetapi kenalah akur kerana Malaysia telah menyerahkan perkara itu kepada ICJ untuk memutuskannya.

Tuesday, May 20, 2008

BENARKAH LT. ADNAN KETURUNAN DATUK SIAMANG GAGAP?



Lakaran wajah Datuk Siamang Gagap pahlawan Negeri Sembilan.

D
atuk Siamang Gagap atau Pendekar Siamang Gagap merupakan pahlawan Melayu yang menentang Inggeris di Negeri Sembilan. Beliau yang memimpin angkatan perang Seri Menanti menentang askar British dalam perang Bukit Putus pada 25 November 1875.

Nama sebenar beliau Kahar bin Haji Mukmin, lahir di Kampung Repah kemudian berpindah ke Seri Menanti. Mungkin ramai yang tidak tahu bagaimana beliau mendapat gelaran Datuk Siamang Gagap.

Menurut ceritanya, suatu ketika dulu memang wujud seekor Siamang yang gagap bila berbunyi. Penduduk kampung di Seri Menanti menganggap Siamang itu "keramat" kerana menjadi pelindung kepada penduduk kampung tersebut. Apabila ada musuh datang menyerang maka Siamang Gagap itu akan berbunyi sebagai tanda amaran supaya mereka bersiap sedia. Dengan itu penduduk kampung terselamat dari serangan musuh.

Setelah Siamang Gagap itu mati maka penduduk kampung seperti kehilangan pelindung dan mereka tidak lupa jasa seekor haiwan bernama Siamang Gagap. Dan menurut sejarahnya ada seorang lelaki mendapat gelaran Siamang Gagap daripada Yamtuan Seri Menanti kerana jasanya menyelamatkan Seri Menanti dari serangan orang-orang Rawa. Lelaki itu bernama KAHAR BIN HAJI MUKMIN. Dan sejak itu beliau di kenali dengan nama "PENDEKAR SIAMANG GAGAP'.

Kahar atau Datuk Siamang Gagap lahir pada tahun 1817 di kampung Repah tidak jauh dari pekan Tampin. Sejak kecil dia seorang anak yang lincah dan cerdik cuma satu kekurangannya iaitu gagap bila bercakap. Tetapi apabila besar dia berjaya mengatasi masalah gagapnya.
Pada mulanya Kahar berguru kepada TOK KALI SINGA seorang alim dalam ilmu agama. Kemudian dia ke Patani mendalami ilmu agama dan mempelajari ilmu persilatan. Dan seterusnya Kahar merantau ke tanah Minangkabau untuk mendalami ilmu persilatannya. Dan setelah penuh ilmu di dada barulah dia kembali ke kampung halamannya.

Kahar tidak kedekut dengan ilmu yang ada. Dia mengajar ilmu agama dan ilmu persilatan kepada anak-anak muda di kampngnya. Dia juga bercita-cita menjadi pembesar istana. Dan untuk mencapai cita-citanya Kahar mengajak ayah dan ibunya berpindah ke Kampung Sungai Layang yang letaknya tidak jauh dari istana Yamtuan Seri Menanti.

Sikap Kahar yang peramah amat disenangi oleh orang-orang kampung dan ilmunya yang tinggi menjadikan dia dihormati. Dan ketika itu Seri Menanti terkenal kerana pengeluaran hasil padi yang banyak serta rakyatnya yang hidup aman damai.

Orang-orang Rawa yang berasal dari Indonesia merasa iri hati dengan kemakmuran Seri Menanti dan mereka cuba menaklukinya. Setiap malam orang-orang Rawa menyerang penduduk kampung serta merampas padi serta harta benda yang berharga. Mereka yang cuba melawan akan dibunuh atau dicederakan. Dan ini menimbulkan ketakutan dikalangan penduduk kampung tersebut.


Mereka cuba mengadu kepada pihak istana tetapi Yamtuan tidak dapat berbuat apa-apa kerana bilangan orang-orang Rawa yang ramai tambahan pula baginda kuatir ramai yang akan menjadi mangsa jika berlaku peperangan dengan orang-orang Rawa.

Akhirnya Kahar memberanikan diri mengadap Yamtuan menyatakan kesanggupannya menghadapi orang-orang Rawa seorang diri. Pada mulanya Yamtuan tidak yakin dengan kebolehannya tetapi bila Kahar bersungguh-sungguh menyatakan kesanggupannya akhirnya baginda bersetuju dengan harapan tidak berlaku peperangan.

Kahar menggunakan tipu helahnya untuk memperdayakan orang-orang Rawa. Dia mengadap ketua orang-orang Rawa lalu mengaku datang dari Minangkabau bersama ramai pahlawan terbilang bertujuan membantu Yamtuan untuk memerangi orang-orang Rawa. Kahar juga mengajak mengadu kekuatan seorang lawan seorang untuk menguji kehebatan pahlawan dari Minangkabau.

Akhirnya berlakulah pertandingan pencak silat antara kahar dengan pahlawan Rawa yang terbilang dan dalam pertandingan itu Kahar berjaya mengalahkan lawannya. Kemudian Kahar mengatakan dia cuma orang suruhan sahaja berbanding pahlawan Minangkabau lain yang semuanya lebih handal darinya. Akhirnya orang-orang Rawa merasa takut lalu meninggalkan Seri Menanti.

Sebagai menghargai jasanya berjaya menghalau orang-orang Rawa maka Yamtuan Radin menganugerahkan gelaran DATUK SIAMANG GAGAP kepada Kahar dan beliau juga dilantik menjadi pembesar istana.

Sejak memegang tugas sebagai pembesar istana Datuk Siamang Gagap berjaya menjalin hubungan yang baik dengan pembesar negeri Pahang, Selangor, Johor dan Perak. Dengan adanya hubungan baik ini maka tidak berlaku peperangan antara mereka. Tetapi kedatangan Inggeris ke tanah Melayu telah merubah segalanya. Tambahan pula Inggeris mengamalkan "Pecah dan perintah" dalam usahanya menjajah negeri-negeri di tanah melayu.


Datuk Siamang Gagap yang tahu niat busuk Inggeris berjaya mempengaruhi Yamtuan supaya tidak menerima campur tangan Inggeris di Seri Menanti. Dan beliau juga berjaya menghalang Inggeris hendak mengenakan cukai di Sungai Linggi. Namun Inggeris tidak putus asa dan mereka berjaya menimbulkan perselisihan antara Dato' Klana Sungai Ujung dengan Yamtuan Seri Menanti.

Dengan bantuan Datuk Klana Sungai Ujung maka Inggeris menyerang Teraci yang terletak di bawah jajahan Yamtuan Seri Menanti. Datuk Siamang Gagap amat marah lalu meminta izin Yamtuan mempersiapkan sebuah angkatan perang untuk menentang orang-orang Inggeris.


Maka pada tahun 1875 berlakulah perang Bukit Putus antara Inggeris yang dibantu oleh Datuk Klana Sungai Ujung dengan angkatan perang Seri Menanti yang dipimpin oleh Datuk Siamang Gagap. Kerana bilangan musuh lebih ramai ditambah pula dengan senjata meriam akhirnya angkatan perang Seri Menanti kalah.

Kekalahan itu menyebabkan Inggeris berjaya campur tangan di Seri Menanti namun Datuk Siamang Gagap tidak mahu tunduk kepada Inggeris. Beliau akhirnya meninggalkan Seri Menanti untuk meneruskan perjuangan menentang Inggeris.

Ada yang mengatakan Datuk Siamang Gagap pergi ke Pahang lalu bergabung dengan Datuk Bahaman dan Mat Kilau menentang Inggeris. Tetapi ada pula mengatakan beliau pergi menunaikan haji ke Mekah dan meninggal disana.

Namun ada mengatakan beliau bersembunyi di sebuah kampong bernama Juaseh yang terletak tidak jauh dari pekan Bahau. Menurut ceritanya Datuk Siamang Gagap meninggal di sana dan ada sebuah kubur lama yang dipercayai kubur Datuk Siamang Gagap.

Setelah Datuk Siamang Gagap meninggal dunia, anak-anaknya merantau membawa diri mencari rezeki. Salah seorang anaknya mudek ke Sungai Beranang lalu menetap di kampong Sungai Ramal, Kajang.

Semasa menjejaki waris Allahyarham Leftenan Adnan, ada yang berkata Leftenan Adnan itu orang Minangkabau keturunan Datuk Siamang Gagap.

Benarkah atau Cuma andaian sahaja?.

Tuesday, May 13, 2008

KOMEN DARIPADA TUNKU IBRAHIM


Saya merupakan peminat buku-buku siri panglima-panglima perang Islam. Setelah saya membaca buku Khalid memburu syahid ada beberapa soalan saya nak Tanya:

1. Siapa Yazid kawan Khalid al Walid?
2. Abu Lahab sudah mati ketika Khalid memeluk Islam.
3. Tarikh lahir Khalid sepatutnya 584 Masihi bukan 584 Hijrah.
4. Kisah perbualan dan penerimaan Nabi terhadap Khalid tidak detail.
5. Khalid tidak ada dalam perang Khandak. Kemana Khalid ketika itu?

Ini sekadar komen dan respon saya terhadap buku saudara.
Ada ramai tokoh Islam tersohor di zaman nabi dan khalifah seterusnya yang boleh ditulis. Saya sedia menunggu kemunculannya.

Saya bukanlah pakar sangat tapi minat membaca buku aliran perang. Contohnya perang Salib, Riwayat hidup Imam Ali bin Ali Talib, Khalifah ar Rasyidin, dan beberapa lagi, seperti bagaimana Musa bin Nuasir dan Tariq bin Ziyad membuka utara Afrika dan menakluk al Andalus.

Tuan juga seorang yang merendah diri dan saya menghormati tuan. Pandangan saya fakta sejarah itu sendiri perlu tepat kesilapan fakta boleh memberi kesan kepada emosi pembaca. Selebihnya buku ini sangat menarik. Ini sekadar respon saya sahaja.
Sekian.


Tunku Ibrahim bin Tunku Abu Samah
Kuala Pilah,
Negeri Sembilan.

SURAT DARIPADA CUCU LEFTENAN ADNAN

Alhamdulillah.. itu ada lah usaha murni yang saudara sedang lakukan ... menulis mengenai sejarah hidup Leftenan Adnan.

Tak banyak yang saya ketahui mengenai leftenan adnan selain yang saya tahu daripada sejarah.

Pak long (Mokhtar) dan ayah saya kedua-duanya telah meninggal dunia. Ayah saya Zainuddin, meninggal dunia pada 15th Aug 2001 dan Pak Long meninggal pada December 2002.

Adik perempuan mereka (nama tidak saya ketahui) telah menyusul Leftenan Adnan tak lama selepas Leftenan Adnan meninggal dunia. Khabarnya terkejut kerana panahan pentir semasa hujan lebat. Ketika Leftenan Adnan meninggal dunia, ayah saya Zainuddin berumur lebih kurang 2 tahun setengah dan pak Long dalam lingkungan 3 tahun setengah.

Arwah Safiah Pakeh Sutan (isteri Leftenan Adnan) telah berkahwin dengan orang Melaka (khabarnya seorang ustaz) tetapi meninggal dunia ketika ayah saya berusia 6 tahun. Menurut ayah dia meninggal kerana sakit leukemia ketika sedang mengandung. Saya pernah pergi ke kuburnya di Melaka semasa ayah saya masih hidup dan ketika itu saya berumur belasan tahun. Tapi tak ingat di mana. Cuma yang pasti kuburnya di sebuah kampung tepi pantai di Melaka. Cantik sekali perkampungan itu. Kuburnya di tanah pasir laut di bawah pohon kelapa.

Ayah pernah mencari kubur leftenan adnan di Singapura tapi tidak berjumpa.

Ayah pernah menyimpan gambar-gambar Leftenan Adnan semasa dia ke UK menerima pingat penghargaan. Kalau tak silap masa itu dia baru dilantik menjadi leftenan muda. Malangnya ketika ayah berusia belasan tahun 17 tahun, dia telah menyerahkan kesemua gambar tersebut ke Show Brothers yang ketika itu ingin membuat filem Leftenan Adnan. Tetapi malang sekali tidak lama selepas itu Show Brothers jatuh bankrup dan gambar2 itu semuanya lesap.

Info di dalam blog saudara yang mengatakan ayah saya masuk askar itu salah sama sekali. Ayah saya pencen semasa dia berkhidmat di dalam Lembaga Nenas Johor. Pak Long sememangnya membawa teksi dan keluarganya masih menetap di Seremban.

Ayah saya Zainuddin mempunyai dua anak, seorang lelaki dan saya. Pak Long saya Mokhtar mempunyai dua anak lelaki dan seorang perempuan.

Sekian.

Wan Shireen Sofia binti Zainudin.

Friday, May 9, 2008

WAJAH BAHARU



Novel sejarah Melayu Si Bongkok Tanjung Puteri dan Setelah Roboh Kota Melaka telah diulangcetak dengan wajah baharu yang lebih menarik.

Kerana novel sejarah Melayu juga ada peminatnya maka ianya memberi semangat kepada saya untuk terus menghasilkannya. Selepas ini Leftenan Adnan diikuti dengan Dol Said Pahlawan Naning. Sinopsisnya telah dihantar kepada PTS Fortuna.

Menulis novel sejarah memang sukar kerana terikat dengan fakta sejarah tetapi saya minat menulisnya. Tambahan pula ramai yang suka membacanya.

Walaupun ada pembaca yang memberi kata-kata pujian dan ada pula yang "kurang suka" tetapi itulah yang memberi semangat kepada saya untuk terus menulisnya. Sebagai penulis saya tidak boleh lupa diri dengan pujian dan tidak boleh pula patah semangat dengan kritikan.

Novel terbaru yang telah siap saya tulis dan akan terbit tidak lama lagi ialah Abu Bakar As Siddiq Wira Islam diikuti dengan Sultan Muhamad al Fateh dan Hulagu Khan Runtuhnya Kota Baghdad yang diterbitkan oleh PTS Fortuna.

Tuesday, May 6, 2008

MENJEJAK WARIS LEFTENAN ADNAN

Di sinilah tapak rumah Leftenan Adnan.

Tuan Imam Fakrul Razi.

Leftenan Adnan bin Saidi di dilahirkan di Kampung Sungai Ramal, kajang Selangor pada tahun 1915. Dia merupakan anak sulung dalam keluarganya yang seramai lima orang iaitu Adnan, Ahmad, Hasyim, Amirullah dan Alimin. Leftenan Adnan dan adiknya Ahmad terkorban semasa perang dunia kedua. Kini kesemua adik beradiknya telah meninggal dunia. Yang bongsu Tuan Haji Alimin yang menetap di Sungai Ramal Baru, baharu sahaja meninggal dunia.

Leftenan Adnan meninggalkan seorang balu bernama Sufiah atau Shopia Pakih Muda dan mendapat tiga orang anak, dua lelaki, Mokhtar dan Zainuddin dan seorang perempuan, meninggal dunia semasa pendudukan Jepun di Tanah Melayu.

Pencarian saya bermula di Kampung Sungai Ramal, Kajang. Perkampungan Melayu di Kajang Cuma dua sahaja iaitu Kampung Sungai Merap dan Kampung Sungai Ramal. Adapun Sungai Ramal pula terbahagi tiga iaitu Sungai Ramal Dalam, Sungai Ramal Luar dan Sungai Ramal Baru.

Saya ke Sungai Ramal Kajang. Tempat persinggahan pertama ialah di Sekolah Kebangsaan Leftenan Adnan. Tidak sukar mencarinya kerana sekolah itu letaknya di tepi jalan. Menurut salah seorang petugas di sekolah tersebut, Leftenan Adnan lahir di Kampung Sungai Ramal Dalam. Tetapi ternyata maklumat itu salah kerana setelah sampai ke Kampung Sungai Ramal Dalam, salah seorang penduduk kampong tersebut mengatakan Leftenan Adnan lahir di Kampung Sungai Ramal Luar.

Tempat persinggahan kedua saya ialah di Masjid Haji Mat Saman, Sungai Ramal Luar. Juga terletak di tepi jalanraya. Menurut Tuan Imam masjid itu Haji Fakrul Razi, memang benar Leftenan Adnan dilahirkan di Sungai Ramal Luar. Rumahnya terletak tidak jauh dari masjid. Tetapi, rumah bersejarah itu telah dirobohkan disebakan pembinaan jalan raya.

“Rumah bersejarah itu sepatutnya jangan dirobohkan tetapi dipindahkan sahaja ke tempat lain,” kata saya dengan rasa kesal kerana rumah itu telah dimusnahkan.

“Rumah itu didirikan di atas tanah tol atau tanah tak bergeran,” kata Tok Imam.

“Bukan rumanhnya saja yang telah lenyap, tetapi keluarganya juga turut lenyap,” sampuk salah seorang penduduk kampong yang turut menyertai perbualan kami.

“Penduduk Sungai Ramal sepatutnya berasa bangga kerana di sini lahirnya Leftenan Adnan bin Saidi, seorang Wira Bangsa” kata saya pula.

“Apa yang boleh kami banggakan?” Tanya yang lain.

“Di sini ada sekolah yang dinamakan Sekolah Kebangsaan Leftenan Adnan,” jawab saya.

Mereka Cuma tersenyum.

Jantan bin Abdul Rahman atau Lebai Jantan, satu-satunya penduduk Kampung Sungai Ramal Luar yang paling tua dan pernah hidup pada zaman itu dan beliau masih boleh mengingati cerita Leftenan Adnan.

“Adnan keluar dari kampong ini ketika berumur 18 tahun. Setelah menjadi askar Melayu, beliau jarang pulang ke kampong. Sebelum askar Jepun menyerang Tanah Melayu, beliau menghantar pulang isteri dan anak-anaknya,” kata Pak Cik Jantan.

Sempat juga dia berceria mengenai kesukaran hidup pada zaman pemerintahan Jepun di Tanah Melayu.

“Di mana isteri dan anak-anak Leftenan Adnan sekarang?” Tanya saya.

“Keduanya keluar dari Kampung Sungai Ramal pergi merantau mencari rezeki. Pada masa itu kehidupan sangat susah. Bagi menyara hidup pelbagai kerja terpaksa dilakukan. Akhirnya Zainudin memasuki tentera mengikut jejak langkah ayahnya. Abangnya Mokhtar pula berada di Seremban. Khabarnya dia membawa teksi,” jawab Pak Cik Jantan.

Friday, May 2, 2008

KISAH SEDIH SEORANG PAHLAWAN



Jantan Abdul Rahman atau Jantan Lebai 80 tahun penduduk Kampung Sungai Ramal yang menceritakan kisah sedih keluarga Leftenan Adnan.



Rumah Leftenan Adnan terletak di hadapan masjid ini tetapi sekarang telah dirobohkan kerana pembinaan lebuhraya. Rumah itu didirikan di atas tanah tol.



Cukupkah sekadar namanya diabadikan pada sekolah ini?.

Bagaimanakah cara kita menghargai pengorbanan pahlawan kita?. Apakah cukup sekadar mengingati nama dan sejarah perjuangannya sahaja?. Atau mengabadikan nama mereka pada jalan atau sekolah?. Sesungguhnya Leftenan Adnan adalah antara pahlawan Melayu yang berkubur tanpa nisan yang jasa dan pengorbanannya tidak mendapat penghargaan yang sewajarnya.

Saya katakan begitu kerana tidak ada usaha untuk menjejaki di mana Leftenan Adnan dikuburkan. Memang benar dia terkorban di Permatang Pasir Singapura semasa bertempur dengan tentera Jepun dalam perang dunia kedua. Tetapi, mustahil mayatnya terbiar begitu sahaja tidak dikuburkan. Malah menurut ceritanya, selepas berlaku pertempuran paling sengit antara askar Melayu di bawah pimpinan Leftenan Adnan dengan askar Jepun maka beberapa orang penduduk kampong tersebut telah pergi ke tempat itu dan menjumpai mayat askar Melayu yang terkorban termasuk mayat seorang pegawai yang tubuhnya dipenuhi bekas tikaman. Saya yakin penduduk kampong telah menguburkan mayat-mayat tersebut.

Tetapi sayangnya sehingga sekarang belum ada pihak yang berusaha mengesan di mana Leftenan Adnan dikuburkan. Lebih menyayat hati keluarga leftenan Adnan juga tidak dipedulikan.

Sufiah, balu allahyarham Leftenan Adnan telah meninggalkan Sungai Ramal membawa dua anaknya Mokhtar dan Zainuddin. Ada yang mengatakan mereka berada di Negeri Sembilan, tetapi ada pula yang mengatakan mereka berada di Melaka. Malah ada yang mengatakan berada di Johor. Saya masih tertanya-tanya, benarkah Sufiah tidak mendapat apa-apa penghargaan hasil dari pengorbanan suaminya itu?.

Yang pasti isteri dan anak-anak Leftenan Adnan tidak ada lagi di Sungai Ramal. Rumah kediaman mereka telah dirobohkan akibat pembinaan jalan raya. Lebih memilukan rumah kediaman mereka didirikan di atas tanah tol atau tanah tidak bergeran. Apabila projek lebuhraya itu dijalankan maka rumah mereka dirobohkan tanpa dibayar apa-apa pampasan. Benarkah begitu?.

Bagaimana pula dengan nasib Mokhtar dan Zainuddin?. Zainuddin memasuki tentera mengikut jejak langkah ayahnya. Kini beliau telah bersara. Mokhtar pula dikatakan menjadi pemandu teksi di Seremban. Ada pula mengatakan di Melaka. Malah ada mengatakan di Johor.

Bersambung…..

Thursday, May 1, 2008

MENJEJAKI WARIS LEFTENAN ADNAN



Leftenan Adnan bin Saidi gugur di Permatang Pasir Panjang Singapura, semasa mempertahankan Tanah Melayu dari serangan tentera Jepun dalam perang dunia kedua. Beliau telah menunjukkan keberanian yang luar biasa, tidak mahu menyerah kalah dan sanggup berjuang hingga ketitisan darah terakhir. Keperwiraannya bukan sahaja membanggakan orang Melayu malah mendapat pujian dari pihak Inggeris.

Menurut Lt General A.E Percival dalam perutusannya berkenaan Pemerintahan Operasi Malaya dari tarikh Disember 1941 sehingga 15 Februari 1942:

"Selepas dibedil dengan meriam dan motar, tentera Jepun menyerang Regimen Melayu yang mempertahankan Permatang Pasir Panjang. Regimen Melayu bertempur dengan gagah beraninya tetapi mengalami kehilangan jiwa yang teruk, dan menjelang petang musuh sampai ke Pasir Panjang. Di tapak bersejarah ini, pertempuran bagi pertahanan terakhir Singapura telah berlarutan selama 48 jam, berakhir dengan satu-satunya pertempuran jarak dekat tangan-ke-tangan dengan Tentera Jepun.”

Korporal Yaakob, yang mendapat pingat keberanian Medal of Gallant, merupakan salah seorang daripada mereka yang terselamat dalam pertempuran di Bukit Candu.

Menurut Korporal Yaakob, semasa pertempuran sedang berlaku, dia turut terkena tembakan musuh dan terjatuh di atas mayat mereka yang terkorban. Dia terselamat kerana berpura-pura mati dan melihat kematian mengerikan Leftenan Adnan.

Tentera Jepun yang marah kerana keberaniannya menentang musuh sehingga ramai yang terkorban telah berjaya menawan Leftenan Adnan lalu diserkup dengan guni. Tentera Jepun kemudiannya telah menggantungkan Leftenan Adnan yang cedera parah itu pada dahan pokok ceri.

Kerana meradang akibat kehilangan ramai rakan, tentera Jepun kemudiannya telah berbaris panjang kemudian mereka berjalan di bawah pokok ceri itu. Setiap orang yang lalu di bawah pokok ceri itu telah menikam tubuh Leftenan Adnan yang tergantung pada pokok tersebut dengan boyonet. Kejadian itu dilihat sendiri oleh Koperal Yaakob.

Kisah keberanian Leftenan Adnan ini telah difilemkan tetapi belum pernah dijadikan novel. Kerana itu saya ingin menovelkannya tetapi bukan adaptasi dari filem tersebut. Sesuai dengan teknik surah Yusuf, cerita bermula dari beliau lahir sehingga menghembuskan nafas terakhir.

Terima kasih kepada pihak PTS Fortuna yang telah meluluskan sinopsisnya. Dengan ini penulisannya sudah boleh dimulakan. Namun saya merasakan penulisan novel ini tidak lengkap sekiranya tidak dapat menjejaki waris Leftenan Adnan.

Semasa menulus novel Si Bongkok Tanjung Puteri, saya pergi hingga ke Belungkur Johor bagi menjejaki pusara Si Bongkok.

Untuk menghasilkan novel Leftenan Adnan ini pula, saya ingin menjejaki warisnya. Leftenan Adnan meninggalkan seorang balu dan tiga orang anak. Beliau juga mempunyai tiga adik beradik tetapi dua terkorban semasa menentang tentera Jepun.

Adakah isterinya masih hidup?. Kalau masih hidup umurnya mungkin sudah menjangkau 80an. Atau kalau bernasib baik dapat betemu dengan anak-anaknnya. Mungkin ada kisah menarik yang masih belum diketahui umum mengenai pahlawan kebanggaan orang Melayu itu.

Saya akan menjejaki waris Leftenan Adnan dalam masa terdekat. Semoga berjaya menemuinya. InsyaAllah.