Wednesday, November 26, 2008

SUDAH DIULANGCETAK


Khabar gembira daripada pihak PTS novel Leftenan Adnan yang terbit sempena bulan kemerdekaan Ogos 2008 sudah diulangcetak.

Syukur.

Monday, November 17, 2008

PERTANYAAN PEMBACA

Saudara Penulis,

Saya sudah membeli dan membaca beberapa buah novel sejarah pahlawan Islam hasil tulisan saudara Abdul Latip Talib.

Saya harap saudara penulis sudi menjawab persoalan ini.

Dalam novel sejarah Islam digambarkan pahlawan Islam tidak membunuh tawanan perang, melindungi wanita dan kanak-kanak. Satu contoh yang terpuji.

Tetapi saya pernah terbaca Muhamad pernah menjatuhkan hukuman bunuh kepada tawanan perang Badar. Tidak semua dibunuh. Tetapi ada yang dihukum bunuh.

Kemudian menjatuhkan hukuman bunuh ke atas SEMUA lelaki orang Yahudi Bani Quraidhah setelah mereka menyerah. Saya jelaskan sekali lagi. SEMUA LELAKI.

Bagaimana saudara penulis menjelaskannya perkara ini?.

Ho Kam Yin

------------------------------------------------

Saudara Ho Kam yin

Nama saudara mengingatkan saya kepada seorang penulis yang pernah beberapa kali memenangi hadiah cerpen Malayan Banking- DBP. Apakah memang saudara orangnya atau kebetulan namanya sama?.

Mengenai pertanyaan saudara itu maka inilah jawapan saya.

Dalam Perang Badar pada tahun ke 2 hijrah, orang-orang Islam berjaya mengalahkan orang-orang Quraisy Mekah. 70 orang dapat ditawan dan 70 orang lagi terbunuh.

Nabi Muhamad SAW berkata kepada pengikutnya, “Aku wasiatkan kepada kamu, lakukanlah sebaik mungkin terhadap orang tawanan.”

Maka orang tawanan itu dilayan dengan baik, diberi makanan dan minuman. Mereka yang sakit diberi rawatan.

Pada masa itu, di kalangan bangsa Arab, Yahudi, Rom atau Parsi, tawanan perang dihukum bunuh. Tetapi Nabi Muhamad SAW menyuruh dilayan dengan baik sebab pada masa itu belum ada ketentuan Allah mengenai hukuman terhadap tawanan perang.

Kemudian Nabi Muhamad SAW meminta pendapat para sahabatnya apakah hukuman yang patut dijatuhkan terhadap tawanan perang itu. Umar al Khattab mencadangkan supaya dijatuhkan hukuman bunuh, setimpal dengan kejahatan yang telah mereka lakukan terhadap orang Islam. Tetapi Abu Bakar As Siddiq berbeza pendapat dengan Umar al Khattab. Dia mencadangkan supaya tawanan itu dibebaskan dengan membayar tebusan atau mengajar ilmu mereka kepada orang Islam.

Nabi Muhamad SAW bersetuju dengan cadangan Abu Bakar As Siddiq. Namun ada riwayat mengatakan terdapat dua orang yang dihukum pancung kerana keduanya sangat jahat terhadap orang Islam sehingga kejahatan yang dilakukannya tidak boleh dimaafkan.

Mengenai kaum Yahudi Bani Quraizah pula, mereka diperangi kerana melanggar perjanjian yang telah mereka tandatangani dengan Nabi Muhamad SAW. Pada masa berlakunya perang Ahzab atau Perang Qandak orang-orang Yahudi Bani Quraizah telah membantu tentera bersekutu dari Mekah menyerang Madinah.

Setelah Nabi Muhamad SAW mendengar berita itu beliau menghantar Saad bin Muaz pemimpin kaum Aus di Madinah yang mempunyai hubungan baik dengan Bani Quraizah. Tetapi Kaab bin Asad, ketua Yahudi Bani Quraizah berkata, “Aku tidak kenal siapa Muhamad dan tidak pernah mengikat apa-apa perjanjian dengannya.”

Selesai Perang Ahzab maka Nabi Muhamad SAW memimpin pasukan tentera Islam mengepung perkampungan Bani Quraizah. Pada mulanya mereka tidak mahu menyerah. Tetapi setelah dikepung selama 25 hari baru mereka menyerah dengan syarat Saad bin Muaz yang menentukan hukuman ke atas mereka.

Rasulullah SAW bersetuju dengan permintaan kaum Yahudi Bani Quraizah supaya Saad bin Muaz diberi kuasa bagi menjatuhkan hukuman ke atas mereka. Mereka iaitu orang-orang Yahudi Bani Quraizah menyangka tentulah Saad akan membebaskan mereka kerana mempunyai hubungan yang baik. Tetapi Saad bin Muaz menjatuhkan hukuman bunuh ke atas semua lelaki Bani Quraizah. Wanita dan kanak-kanak dijadikan orang suruhan. (hamba)

Yang menjatuhkan hukuman bunuh itu ialah Saad bin Muaz, bukan Nabi Muhamad SAW.

Saad bin Muaz asalnya orang Yahudi dari puak Aus Madinah. Dia menjatuhkan hukuman bunuh itu sesuai dengan apa yang terkandung dalam kitab Taurat Bani Israil. Lalu Saad membacakan kandungan kitab itu.

“Jika kamu telah dekat dengan suatu kota yang hendak kamu serang ajaklah mereka untuk berdamai. Jika mereka tidak mahu berdamai maka kepunglah kota itu. Jika tuhan memberi kemenangan kepada kamu maka bunuhlah semua kaum lelakinya dengan pedang. Kaum wanita anak kecil dan binatang ternakan jadikan sebagai rampasan perang…” (kitab taurat)

Berhubung dengan peristiwa ini, R.V.C Bodley menulis dalam bukunya “The Mesanger- The Life of Mohamad” antara lain menyatakan;

“Jika Muhamad pada waktu itu tidak mengambil tindakan yang tegas terhadap penghianatan Yahudi Bani Quraizah, pasti Islam tidak akan tegak di negara Arab. Sebenarnya pembunuhan terhadap Yahudi Bani Quraizah itu merupakan sesuatu hukuman yang keras. Namun kejadian seperti itu bukanlah kejadian yang pertama dalam sejarah agama-agama….”

Semuga penjelasan yang ringkas ini memuaskan hati saudara Ho Kim Yin dan pembaca sekelian.




Sunday, November 16, 2008

ALI BIN ABU TALIB


Setelah selesai menulis kisah Abu Bakar As Siddiq dan Umar al khattab, kini saya sedang menulis kisah Sayidina Ali bin Abu Talib.

Menulis kisah Saidina Ali lebih sukar berbanding Abu Bakar dan Umar kerana terdapat banyak perbezaan fakta. Contohnya, ada yang mengatakan Ali dilahirkan dalam Kaabah. Tetapi ada pula yang menafikannya.

Ada yang mengatakan Ali mula memeluk Islam ketika berumur 10 tahun tetapi ada pula mengatakan 13 tahun. Begitu juga ketika berkahwin dengan Fatimah. Ada mengatakan umur Ali ketika itu 21 tahun dan Fatimah 15 tahun. Tetapi ada pula mengatakan umur Ali 24 atau 26 tahun. Umur Fatimah 18 tahun.

Penulisan ini menjadi lebih rumit apabila sampai kepada zaman pemerintahan Sayidina Ali. Beliau seorang pemimpin yang kontroversi. Sebelum beliau belum ada seorang pemimpin yang paling dimusuhi dan dikasihi oleh orang ramai.

Mereka yang membenci Ali memuduhnya dengan pelbagai tuduhan sehingga sanggup membunuh beliau dan anggota keluarganya. Mereka yang menyayanginya pula mengagungkannya secara berlebih-lebihan. Sehubungan ini
Sayidina Ali sendiri pernah berkata.

“Ada dua pihak yang celaka kerana berlebih-lebihan menilai sesuatu yang sebenarnya tidak kumiliki. Sedangkan pihak yang lain demikian bencinya terhadap aku sehingga mereka sanggup melontarkan segala kebohongan terhadap diriku.”

Sayidina Ali juga memberi amaran, “Ada orang yang mencintai diriku sehingga mereka bersedia masuk neraka. Dan ada pula orang yang membenci diriku sehingga mereka bersedia masuk neraka.”

Thursday, November 13, 2008

RANDAU RUAI

Seorang pelajar IPTA mengirim emel mengatakan sedang membuat kajian mengenai novel Randau Ruai.

Terima kasih kerana sudi memilihnya. Dan saya akan memberikan kerjasama. InsyaAllah.

Ada yang bertanya apa makna Randau Ruai?. Bagaimana Pak Latip mendapat idea menulisnya?. Apakah watak-watak dalam novel itu memang benar wujud?.

Randau Ruai itu bahasa Iban membawa maksud duduk berbual-bual di beranda rumah panjang. Idea menulis novel ini berdasarkan pengalaman ketika berkerja di Sarawak. Nama watak dan nama tempat dalam novel itu cuma rekaan sahaja.

Ada pula yang bertanya kenapa novel ini sukar untuk dibeli?. Malah di kedai buku DBP pun tak ada dijual?.

Yang ini kena tanya DBP.


Ini adalah cover Randau Ruai yang mula-mula dicadangkan. Setelah berbincang dengan Editor novel ini Puan Hajijah, saya mencadangkan dibuat sedikit perubahan.

Cover Randau Ruai setelah diterbitkan.

Monday, November 10, 2008

TERIMA KASIH

Terima kasih kepada adik Kausar Azman yang menulis komen ini dalam blognya

http://titisanpena.blogspot.com/



Hasil Tulisan Abdul Latip Talib


Walaupun saya tidak membeli buku hasil karya Abdul Latip Talib, tetapi saya meminjam dari rakan saya. Antara yang saya pernah membacanya ialah Tariq, Ikrimah dan Solahuddin. Bagi yang tidak meminati sejarah tokoh-tokoh islam, berasa bosan untuk membacanya. Bagi saya, ianya amat menarik sehinggakan saya dapat menghabiskan buku itu selama beberapa jam. Saya juga dapat menghayati tentang perjuangan tokoh-tokoh islam. Saya mat mengalu-alukan buku ini. Pada masa sekarang, majoriti yang terdapat di kedai buku ialah novel sci-fi dan kisah cinta. Bagi saya, hanya sebilangan buku sejarah ini ditulis. Saya amat menghargai pengorbanan penulis ini untuk menulis tentang tokoh islam walaupun penulis boleh berkarya bergenre sci-fi, cinta dan realiti kehidupan. Teruskan usaha anda.

Thursday, November 6, 2008

TANJUNG PUTERI


Tajuk Johor Tanjung Puteri
Selat Teberau airnya biru
Di Pantai Lido tepian mandi
Sepanjang masa di hari minggu

Atas bukit Tanjung Puteri
Taman hiburan indah berseri
Pemandangan menawan hati
Jalan tambak hubungan negeri

( korus )

Tanjung Sekijang nun di kuala
Tempat nelayan mengail gelama
Istana Hinggap di Kuala Danga
Pantai berkelah keluarga diRaja

Dari Tebrau orang berakit
Singgah Setulang membeli kopi
Pusara Si Bongkok di lereng bukit
Di tepi pantai Tanjung Puteri



Wednesday, November 5, 2008

UMAR AL KHATTAB


Umar al Khattab tidak pernah mendapat pendidikan sekolah, apa lagi merantau ke pelosok negeri untuk menuntut ilmu. Tetapi dia berjaya memberi contoh kepada kaumnya dalam mengurus pemerintahan dan kekuasaan yang penuh dengan keadilan, kebijaksanaan, keutamaan dan berlandaskan Islam.

Sebelum memeluk Islam, Umar dikenali di kalangan kaumnya sebagai utusan yang mampu berdiskusi, berdialog dan menyelesaikan pelbagai urusan. Dia juga pedagang yang mahir dan tekun dalam perdagangannya. Umar dikenali sebagai orang yang mempunyai peribadi kasar, kukuh dalam memegang prinsip dan berkedudukan tinggi. Oleh kerana itulah dia digelar Al-Faruq.

Selepas memeluk Islam, Umar bertanya kepada Rasulullah SAW, "Ya, Rasulullah, mengapa kita bersembunyi dalam menyiarkan agama Islam?. Pada hal kita berada di atas kebenaran."

Rasulullah SAW menjawab, "Jumlah kita sedikit dan kamu dapat melihat sendiri apa yang selalu mereka lakukan terhadap kita."

Umar berkata lagi, "Demi yang mengutus engkau dengan hak, aku berjanji bahawa tiap-tiap tempat yang pernah aku sebarkan kekafiran, akan aku datangi untuk menyebarkan keimanan."

Pada suatu hari Rasulullah SAW bersama para sahabatnya menuju ke Kaabah dengan dua barisan. Barisan pertama dipimpin oleh Hamzah bin Abdul Mutalib dan kedua dipimpin oleh Umar al Khattab. Ketika melihat kedatangan mereka kaum Quraisy berasa marah tetapi tidak berani berbuat apa-apa kerana bimbang tindak balas daripada Hamzah dan Umar. Sejak itul Rasulullah SAW memberi gelaran Al-faruq bererti pembeza di antara hak dengan batil kepada Umar al Khattab.

Ketika kaum Muslimin hijrah ke Madinah, mereka meninggalkan kota Mekah secara bersembunyi kecuali Umar al Khattab. Dia berhijrah secara terang-terangan. Dia berkata kepada orang-orang Quraisy, "Aku akan meninggalkan Makkah berhijrah ke Madinah. Barang siapa yang ingin menjadikan ibunya kehilangan puteranya atau ingin anaknya menjadi yatim, silakan menghadang perjalanan aku!"

Tidak seorang pun yang berani menyahut cabaran Umar al Khattab. Itulah kekuatan dan keberanian yang dimiliki Umar al Khattab. Ketokohan Umar turut terserlah ketika peristiwa Siti Aisyah difitnah. Rasulullah SAW bertemu beberapa sahabat untuk meminta pandangan mereka. Umar berkata, "Ya, Rasulullah, siapakah yang mengahwinkan Rasulullah dengan Aisyah?"

Nabi SAW menjawab, "Allah."

Umar bertanya lagi, "Apakah Allah menipu engkau Wahai Rasulullah?"

Selepas itu turun wahyu Surah an-Nuur, ayat 16 yang menafikan berita tersebut kerana Fitnah.

Umar al Khattab yang terkenal dengan sifat bengis, keras dan ganas, berubah setelah memeluk Islam. Keperibadiannya lebih cemerlang selepas dilantik menjadi khalifah.

“Janganlah kamu menyangka sifat kerasku berkekalan. Sejak awal ketika aku bersama Rasulullah SAW, aku selalu menjadi penjaga keamanan dan ketenteraman. Aku orang yang paling lemah di hadapan yang hak,” kata Umar al Khattab ketika dilantik menjadi khalifah.

Pada suatu hari, seorang utusan Kaisar menemuinya. Ketika itu Umar sedang tidur berbantalkan batu. Melihat hal itu, utusan Kaisar berkata kepadanya: “Wahai Umar, sungguh anda berlaku adil. Oleh kerana itu anda dapat tidur dengan nyenyak dan aman.”

Abdullah Ibnu Mas’ud berkata: “KeIslaman Umar adalah perintis jalan. Hijrahnya adalah kemenangan, sedangkan kepemimpinannya adalah rahmat."

S
etelah Palestin dikuasai kaum Muslimin, Umar al Khattab ke Baitulmaqdis untuk menerima kunci kota daripada penguasa. Pada waktu itu, Umar hanya mengenakan pakaian biasa dan berjalan kaki sambil menuntun sendiri kudanya.Penduduk Baitulmaqdis termasuk rahib dan pendeta berdiri berderet di sepanjang jalan untuk menyaksikan Khalifah Amirul Mukminin.Tetapi alangkah terkejut dan hairannya mereka menyaksikan Umar dalam keadaan amat bersahaja. Mereka sama sekali tidak menyangka orang yang sedang mereka lihat itu adalah Amirul Mukminin.

Rasulullah SAW bersabda, “Sesungguhnya aku mempunyai dua penasihat dari langit dan dua penasihat dari bumi. Dari langit ialah Jibril dan Mikail, dari bumi Abu Bakar dan Umar."

Dalam hadis lain Nabi bersabda: “Sesungguhnya syaitan lari apabila berjumpa dengan Umar.”

Pada suatu hari, Hafsah Ummul Mukminin berkata kepada Umar: “Apabila datang utusan dari negeri lain hendaknya engkau mengenakan pakaian yang elok dan suruhlah dibuatkan makanan yang lazat untuk dihidangkan kepada anda dan tetamu."

Umar menjawab: “Hai Hafsah, tidakkah kamu tahu yang paling mengetahui mengenai seseorang adalah isterinya?”

Hafsah menjawab: “Ya, benar.”

Umar berkata lagi: “Tahukah kamu sesudah Rasulullah SAW menjadi nabi beberapa tahun lamanya, Baginda dan keluarganya tidak pernah kenyang makan?. Baginda tidur bera
laskan kain sahaja?. Tahukah kamu ketika Bilal azan untuk solat, Rasulullah SAW tidak segera keluar kerana menunggu pakaiannya yang dicuci belum kering? Aku akan bersabar meniru kehidupan Rasulullah."

Dia selalu berdoa: “Ya, Allah, seperti Engkau tahu, aku ini berwatak keras. Oleh kerana itu lunakkanlah aku. Aku ini lemah, ya Allah, maka kuatkanlah aku. Aku ini kikir, maka jadikanlah aku hamba-Mu yang pengasih, pemurah dan dermawan.”

Ketika berlaku kemarau panjang Umar berdoa: “Ya, Allah? janganlah Engkau jadikan kebinasaan umat Muhammad SAW di tanganku.”

Selepas usiaku makin tua, dia berdoa: “Ya Allah, usiaku makin tua, kekuatanku makin surut, rakyatku makin menyebar luas, maka wafatkanlah aku tanpa mensia-siakan dan melalaikan tanggungjawabku.”

Setelah
memerintah selama 10 tahun 6 bulan 4 hari. Khalifah Umar al Khattab meninggal dunia setelah berjaya menundukkan kuasa Rom dan Parsi serta berjaya membuat pembaharuan terhadap pemerintahan Islam.