Thursday, April 25, 2013






PEMENANG UTAMA HADIAH UMRAH

Assalamualaikum wbt...

Pada tanggal 28 Ogos tahun 2000, saya dilahirkan. Ayah menamakan saya dengan nama yang cukup indah. A’ina Salsabiila. Kalimah Salsabiila tercatit dalam lembaran al-Quran pada ayat 18 surah al-Insaan. Sewaktu umur masih setahun jagung, ayat tersebut selalu diulang-ulang setiap hari oleh ‘walid’ kesayangan. Dalam solat. Ketika di rumah. Sewaktu memandu. Setiap kali ayat tersebut dialunkan, hati saya berbunga-bunga. Perasaan gembira yang saya rasakan sukar untuk saya gambarkan dengan kata-kata. Di situlah saya merasakan keistimewaan nama Salsabiila.

Kini, umur saya telahpun mencecah 13 tahun. Berbekalkan tarbiyyah yang diberikan, saya disekolahkan oleh kedua ibu bapa saya yang tercinta di sebuah sekolah kampung berhampiran dengan kediaman kami. Saya hanya pelajar biasa. Saya belajar di sebuah sekolah biasa. Karakter saya juga biasa-biasa sahaja. Biarpun begitu, saya mempunyai cita-cita yang tinggi walaupun jika hendak dibandingkan dengan teman-teman yang lain, saya tidak mempunyai bakat yang begitu istimewa untuk ditonjolkan. Sejak awallagi, saya mempunyai minat membaca yang sangat mendalam. Seolah-olah buku dan saya sukar untuk dipisahkan.

Saya mengambil pelbagai jenis bahan bacaan untuk mengisi masa yang terluang. Namun, cerita saya bermula sejak usia saya mencecah 9 tahun apabila abang sulung saya membawa pulang sebuah novel karya Abdul Latip Talib yang berjudul ‘Abu Bakar Sahabat Sejati’. Indah sekali peribadi manusia bernama Abu Bakar As-Siddiq. Siapalah saya jika hendak dibandingkan dengan tokoh hebat ini. Saya begitu teruja dengan kezuhudan lelaki yang bukan sahaja merupakan sahabat nabi, tetapi juga merangkap ayah mertua Rasulullah SAW sendiri. Bermula dari sebuah buku, timbul minat yang cukup mendalam dalam diri saya untuk menyelami kisah tokoh-tokoh Islam yang lain. Pasti tidak kurang hebatnya! Lalu saya meminta dan memujuk ‘walid’ dan ‘ummi’ saya untuk membelikan novel siri tersebut satu demi satu. Terima kasih, ‘walid’ dan ‘ummi’! Kini, saya berjaya menghabiskan hampir 20 buah novel sejarah Islam. Alhamdulillah!

Ternyata, tindakan mereka membelikan novel-novel tersebut bukanlah satu usaha yang sia-sia. Setelah membaca kisah keempat-empat orang khulafa’ ar-Rasyidin, keempat-empat imam mazhab yang terkenal, kisah peperangan, penghijrahan dan kisah-kisah sahabat nabi yang lain serta tokoh Islam yang terkemudian, saya dapat merasakan kesan yang cukup berbeza dalam diri saya. Air mata yang dulunya cukup ego, kini terasa begitu mudah mengalir terutama sekali semasa saya membaca kisah tokoh-tokoh tersebut, sedangkan sebelum ini, saya bukanlah seorang yang sebegitu. Mungkin kerana isi bacaan saya tidak sama dengan yang dulu lagi. Apa yang cukup terkesan dalam diri saya adalah ketabahan tiap-tiap seorang tokoh ini untuk menegakkan syiar Islam di bumi masing-masing serta kesungguhan mereka menyambung tugas nabi iaitu menyebarkan keindahan Islam ke seluruh pelusuk dunia.

Sebagai seorang pelajar biasa, saya juga tidak pernah berjaya mendapatkan markah melebihi 80 peratus dalam subjek Sirah. Tetapi, alangkah gembira dan sukanya saya apabila suatu hari, saya mendapati markah saya bahkan melebihi angka 90! Ketika itu, saya sedar bahawa inilah hikmahnya saya banyak membaca kisah tokoh-tokoh hebat Islam. Tanpa saya sedari, pengetahuan sirah sayajuga semakin bertambah. Apa yang saya pelajari di bilik darjah, diulas dengan cukup menarik dengan gaya tersendiri dalam novel-novel sejarah Islam yang saya baca sebelum ini, bahkan lebih mendalam lagi. Masya-Allah!

Untuk menambahkan kebolehan saya dalam bersosial serta meningkatkan keyakinan dalam diri saya sebagai seorang pelajar, saya telah dihantar oleh kedua ibu bapa saya untuk menyertai sebuah perkhemahanyang dijalankan di Hulu Langat bersama kakak tercinta. Saya masih ingat lagi saat di mana terdapat seorang motivator, beliau telah menceritakan kepada kami kisah para sahabat lalu pada hujung slotnya, beliau menguji kami dengan satu soalan. Siapakah sahabat yang telah membeli perigi daripada seorang Yahudi di Madinah? Untuk menjawab soalannya, tiada seorang pun yang tampil. Lalu, saya memberanikan diri untuk menjawabnya setelah tiada siapa bangun mahupun mengangkat tangan beberapa lama selepas soalan diutarakan. Lelaki itu ialah Saidina Uthman bin Affan!Jawab saya penuh yakin.

Saya sangat gembira kerana jawapan saya tepat sekali. Motivator tersebut memuji dan menghadiahisaya RM 10.00 kerana berjaya memberikan jawapan yang tepat kepada soalan beliau. Terima kasih kepada Abdul Latip Talib kerana telah memberitahu saya tentang kemurahan hati Uthman yang merupakan salah seorang sahabat yang cukup kaya pada zaman itu, melalui karya beliau, ‘Uthman Affan Pengumpul al-Quran’.

Saya teringat pada suatu hari di mana ketika itu saya telahpun menamatkan bacaan novel ‘Imam Hanafi Pendebat Kebenaran’. Saya bergaduh dengan adik lelaki saya yang pada akhirnya, dia telah memburuk-burukkan saya akibat terlalu marah. Sejujurnya, saya juga sangat marah apabila dihina oleh adik saya sendiri. Namun, kisah seorang imam besar, Imam Abu Hanifah yang menghulurkan 1000 dirham kepada Jabar yang telah mengumpatnya bermain di ingatan saya selepas itu. Jadi, saya juga ingin meniru perbuatan beliau yang bagi saya cukup berhikmah serta meyakinkan. Saya yakin bahawa balasan pahala akan disediakan jika saya diumpat, kemudian sabar. Jadi, untuk apa saya marah sedangkan hati saya cukup yakin dengan ganjaran yang cukup besar itu. Ya! Saya pun menghulurkan RM 1 kepada adik saya tadi. Walaupun terpinga-pinga, dia terus mengambilnya. Itulah kelainan antara manusia biasa dengan mereka yang yakin dengan janji Allah SWT. Di saat orang lain membalas umpatan dengan kata-kata hinaan, Imam Abu Hanifah membalasnya dengan huluran wang. Begitulah antara kesan yang cukup mendalam yang dapat saya rasakan mengenai beliau. Sedikit sebanyak, saya cuba untuk menghayati dan meneladani sikap mulia beliau, walaupun ia bukanlah suatu yang mudah untuk dipraktikkan pada hakikatnya.

Jika di rumah saya banyak menghabiskan masa untuk membaca hasil-hasil karya Abdul Latip Talib, di laman facebook pula saya banyak mengikuti perkembangan penulis berbakat yang cukup saya hormati ini sehinggakan beliau menerima saya sebagai rakan di laman sosial itu. Saya gembira kerana bukan sahaja saya dapat membaca hasil tulisan beliau, malah saya juga dapat berhubung dengan beliau sebagaimana peminat-peminat beliau yang lain. Saya sedar bahawa inilah hikmah besar di sebalik sebuah buku yang dibawa pulang oleh abang saya ke rumah. Kini, Allah memperkenalkan saya dengan penulis yang telah banyak memikat hati anak bangsa dengan kisah tokoh-tokoh pejuang Islam melalui karya-karya beliau. Itulah dakwah beliau! Saya pula bagaimana?Esok, saya bakal melangkah ke dunia ‘sekolah menengah’ saya.

Jika mahu dibandingkan dengan sekolah saya ‘semalam’, tentusekali di tempat baru ini suasananya lebih meriah dengan hati-hati yang terisi dengan hafalan ayat-ayat suci al-Quran. Tetapi, mengenangkan peribadi sahabat-sahabat Rasulullah SAW, imam-imam besar dan penakluk-penakluk kota yang begitu teguh iman di hati mereka, saya sedar akan sesuatu. Apalah ertinya hafalan tanpa penghayatan. Ayat-ayat Allah yang bakal saya hafali, mesti dihayati sepenuh hati. Sempurna di mata manusia, tak semestinya cantik pada pandangan Tuhan.

Kini, saya tahu apa yang saya perlu lakukan demi kebaikan diri saya dan insan-insan di sekeliling saya. Bermula sejak setahun yang lalu, saya mula memperkenalkan novel-novel ini kepada sahabat-sahabat dan ahli keluarga saya yang cukup saya sayangi. Tidak lama kemudian, saya seronok melihat mereka yang mula menunjukkan minat untuk mengenali tokoh-tokoh Islam yang lain secara lebih mendalam melalui novel-novel karya Abdul Latip Talib.Itulah dakwah seusia 12 tahun yang mampu saya lakukan, setakat ini. Saya berharap agar di dunia ‘sekolah menengah’ esok, saya mampu melakukan lebih lagi. Itu semua demi menyebarkan keindahan cerita tiap-tiap manusia yang berpegang teguh dengan janji-janji Allah. Ketika itu saya terfikir. Mungkinkah mereka juga bakal jatuh cinta dengan karya-karyaAbdul Latip Talib sebagaimana saya pada tiga tahun yang lalu? Ameen ya Rabb!

A’INA SALSABIILA BINTI DZULKEFLI

No comments: