Thursday, April 25, 2013







PEMENANG UTAMA HADIAH UMRAH

PERKONGSIAN PENGALAMAN DENGAN SEORANG PENSYARAH...

Assalammualaikum warahmatullah hiwabarokatuh

Allahuakbar! Allahuakbar! Allahuakbar!

Alhamdulillah terima kasih pada Allah di atas kehendakNya melahirkan seorang penulis yang hebat masa kini. Hebatnya Pak Latip kerana menulis dengan penuh kejiwaan hingga setiap penulisan beliau masuk ke dalam jiwa sesiapa yang membaca.

Membaca novel Pak Latip membuatkan diri saya berasa turut berada di zaman Rasululullah dan para sahabat. Rasanya sangat jelas dan nyata sehingga ia memberikan semangat yang membara dalam meneruskan dakwah Islam ini agar diri sendiri dan sahabat yang lain tidak sekadar menjadi umat Islam tetapi menjadi umat Islam yang Mukmin. Yang setiap saat menyedari Allah. Yang redha pada Allah dan Allah redha pada kita semua.

Saya sangat mudah mengingati nama Pak Latip, penulis novel Islam terbaik abad ini kerana nama beliau sama dengan nama ayah saya Abdul Latip. Ketika nama Abdul Latip sering diguna orang dengan akhiran 'F' tetapi nama Pak Latip dan arwah ayah saya menggunakan akhiran 'P'. Kerana itu nama ini sentiasa terpahat di ingatan saya.

Novel-novel Pak Latip sangat memberi kesan kepada diri saya. Ketika kita disarankan agar menyayangi Rasulullah dan sahabat serta alim ulamak, saya tercari-cari cara yang terbaik untuk memiliki rasa cinta dan sayang ini.

Cinta dan sayang kepada Rasululullah dan yang lain bukanlah sesuatu yang boleh direka-reka. Ketika kita mereka-reka, cinta dan sayang itu adalah palsu. Lalu setiap hari saya cuba mendapatkan cara terbaik untuk memiliki rasa cinta, kasih dan sayang pada Rasulullah, sahabat dan alim ulama. Sentiasa memohon kepada Allah tanpa putus.

Ketika PTS menerbitkan novel Pak Latip tentang Khulafa al-Rasyidin, saya sangka ia sama seperti novel-novel biasa. Sekadar fakta dan penjelasan. Namun ketika sekilas membaca di kedai buku, ia sangat berbeza dan menarik hati saya lalu saya membelinya.

Membaca novel yang digarap baik oleh Pak Latip, diri seakan-akan turut bersama di dalam perjuangan Islam. Terasa semangat diri ini berkobar-kobar. Segala rasa yang ada pada para sahabat turut terasa sama dengan sangat jelas pada saya.

Saya yakin penulis (Pak Latip) juga berasa sedemikian ketika menulis. Kerana itu hasil penulisan Pak Latip sangat baik disamping semangat yang lahir itu terus mengalir untuk menyiapkan novel demi novel sebagai wadah terbaik berdakwah dari Pak Latip untuk umat hari ini.

Ketika para Rasulullah dan para sahabat berada di medan perang, saya sangat jelas terasa debarannya. Diri berasa berada di medan peperangan itu. Malah saya sendiri berpeluh-peluh ketika membaca novel karya Pak Latip. Tidak pernah berlaku seumur hidup saya membaca novel hingga jadi seperti ini. Saya juga turut berasa bersama-sama Rasulullah dan para sahabat dalam petempuran peperangan itu untuk memperjuangkan Islam.

Diri berasa juga dengan jelas berserahnya pada Allah ketika di dalam peperangan. Allahurabbi. Novel karya Pak Latip benar-benar membuatkan saya menyelami setiap peristiwa yang berlaku di zaman Rasulullah dan para sahabat. Hati bagaikan merasai apa yang Rasulullah dan para sahabat rasa. Ia sangat menusuk jiwa.

Kekadang bahagia. Kekadang sedih. Kekadang berdebar. Kekadang sangat bersemangat. Kekadang rindu. Kekadang cinta. Kekadang kasih.

Di saat Rasulullah dan sahabat bahagia, bahagia itu sangat terasa. Di saat Rasulullah dan sahabat bersedih, diri saya juga sangat sedih hingga menangis. Banyak kali isteri menegur ketika saya menangis membaca novel Pak Latip. Isteri berasa hairan mengapa hingga menangis membaca novel Islam ini. Hinggalah beliau membaca sendiri novel-novel Pak Latip dan juga menangis, barulah beliau memahami mengapa saya menangis. Allahuakbar.

Ketika diri berasa bersama dalam setiap peristiwa yang dilalui oleh Rasulullah, sahabat dan alim ulamak yang lain yang diceritakan dengan baik dalam bentuk realiti berdialog, saya sangat rasakan kecintaan, kerinduan dan kasih pada Rasulullah, sahabat dan alim ulama. Hinggakan saya selalu berfikir, "Andai aku turut sama dalam perjuangan ini... Allahuakbar, indahnya".

Namun hari ini juga saya tetap ada peluang untuk berjuang. Kerana itu semangat yang ada dalam novel-novel Pak Latip sentiasa mengalir dalam diri ini untuk terus memperjuangkan Islam dengan berdakwah lebih giat lagi. Yang termampu hari ini sekadar menulis di blog dan facebook. Belum sehebat Pak Latip malah sangat jauh dan jauh berbanding beliau.

Dengan membaca novel-novel Pak Latip, ia memberikan saya satu cara yang terbaik untuk saya memiliki rasa cinta, rindu dan kasih pada Rasulullah, sahabat dan alim ulamak yang lain. Rasa cinta, kasih dan rindu itu bukan rekaan di fikiran. Ia benar-benar muncul dari dalam hati. Dari dalam pelusuk jiwa ini yang diilhamkan Allah SWT.

Lalu saya sampaikan kepada sahabat-sahabat yang lain cara terbaik dan sangat praktikal malah mudah untuk dilakukan untuk memiliki rasa cinta, kasih dan rindu pada Rasulullah, sahabat dan alim ulamak. Iaitu dengan membaca novel hasil karya Abdul Latip Talib atau Pak Latip.

Inilah kesan terbesar buat diri saya hasil membaca novel-novel Pak Latip. Ketika cinta, rindu dan kasih pada Rasulullah, sahabat dan alim ulama berkurang atau bersedih ketika berdakwah, novel-novel Pak Latip menjadi tatapan. Walaupun dibaca berulang kali namun ia tetap terus mampu memberikan semangat yang baru malah semangat yang lebih dari sebelumnya. Rasa-rasa ini datang serta merta sebaik sahaja membaca novel-novel tersebut.

Saya ucapkan jutaan pada Pak Latip. Ilham yang dianugerahkan oleh Allah kepada Pak Latip tidak disia-siakan. Semoga perjuangan murni ini mendapat anugerah terbesar dan anugerah terbesar adalah datangnya dari Allah SWT.

[note]: saya memberikan nama ada kedua saya Muhammad Nuqman Afeef. Nama Nuqman adalah nama pahlawan Islam zaman Umar Al-khattab. Saya mendapat nama tersebut hasil membaca novel Umar Al-Khattab karya Pak Latip.

MOHD FUAD BIN ABDUL LATIP (Fuad Latip)

No comments: