Thursday, April 25, 2013







HADIAH UMRAH PELAJAR CEMERLANG
10 A SPM 2012 (SM AGAMA PERSEKUTUAN LABU N.SEMBILAN)
OLEH: NUR BALQIS BINTI MOHD BADAWI

Lafaz pertama dalam wahyu Al-Quran ialah iqra’ dan sudah tentu apabila lafaznya adalah daripada Allah, pasti roh mesej yang terkandung dalamnya amat hebat sekali. Allah menyeru sekalian umat untuk membaca, sebagai wahyu yang pertama dalam kitab Allah yang agung tiada tolok bandingnya. Saya memanjatkan rasa kesyukuran, alhamdulillah kerana dalam jutaan manusia yang gemar membaca, saya dalam golongan seperti mereka. Malah, saya lebih bersyukur, kerana dalam lautan manusia di dunia, saya dipilih oleh Allah untuk membaca bahan pengasah minda yang bermanfaat untuk jiwa, minda dan rohani saya. Antara bahan yang Allah jodohkan kepada saya untuk menghayatinya ialah karya tuan Abdul Latip Talib, seorang hamba Allah yang diberi ilham menghasilkan novel-novel pencetus idea ummah pada zaman millennium ini. Justeru, izinkan saya untuk mencoret beberapa impak yang terkesan ke atas diri saya setelah membaca novel-novel Islam, bahan bermaklumat penuh manfaat rakyat budiman hari ini. Namun, karangan saya agak panjang kerana saya berharap ini merupakan satu perkongsian buat sesiapa yang membaca. Dalam masa yang sama, saya juga berharap bait perkataan saya menjadi suatu sumbangan dakwah buat Islam, satu-satunya agama yang diredai Allah.

Sebelum saya mengulas impak-impak membaca novel Islam pada diri saya dengan lebih lanjut, sudilah kiranya saya kongsikan rentetan kisah saya terlebih dahulu. Semenjak usia saya menginjak 6 tahun, minat membaca mula mendapat tempat untuk mengisi kekosongan masa saya di alam kanak-kanak. Pada mulanya, komik-komik seperti Doraemon, Shin Chan, Dorabase, Anak Satria, Yugi-Oh, Yaiba dan komik kegemaran saya, Conan berjaya merebut perhatian saya. Lebih-lebih lagi, pada awal usia kanak-kanak, saya lebih suka akan hiburan santai yang menyeronokkan dalam bentuk kartun. Minat dan perbuatan saya ini disedari oleh ibu kesayangan saya. Malah, setiap kali beliau melihat saya yang begitu leka membaca komik, beliau akan bertanya, “Balqis, bila Balqis nak ‘graduate’ daripada membaca komik ni?”. Saya pasti akan tersenyum setiap kali mendengar soalan itu diutarakan dan meneruskan bacaan saya walaupun boleh dikatakan setiap komik yang saya dan adik-beradik saya beli pasti dibaca berulang-kali sehingga buku tersebut lunyai.

Setelah keputusan UPSR keluar, ibu bapa saya bersungguh-sungguh memujuk saya untuk masuk ke sekolah berasrama penuh apabila surat tawaran ke SBP datang pada penghujung bulan Disember 2007. Saya agak keberatan memandangkan banyak perkara yang berlegar-legar dalam kotak pemikiran saya. Rindu pada ibu bapa, adik-beradik, kawan-kawan dan banyak lagi yang bercampur-aduk dalam benak hati saya di awal usia remaja. “Tak dapat lagi baca komik,” rintih saya dalam hati. Namun, terngiang-ngiang pada pendengaran saya pesan seorang murobbi yang saya hormati, “Bersyukurlah kerana masih mempunyai ibu bapa. Lihat sahaja sirah Nabi Muhammad SAW, semenjak kecil kehilangan kedua-dua orang tua. Berbaktilah kepada mereka selagi mereka bernafas.” Langkah diayunkan dan semangat dihidupkan. Pada Allah sahaja yang tahu apa yang tersimpul di dalam atma kecil ini.

“Banyak udang banyak garam, banyak orang banyak ragam”. Pantun dua kerat ini sering saya ingatkan pada diri saya apabila melihat banyak kerenah rakan-rakan dan senior di asrama dan sekolah. Namun, satu perkara yang saya suka akan sekolah saya ialah budaya yang mereka semarakkan tanpa mereka sedari, iaitu budaya membaca yang menebal dalam kalangan pelajar mahupun guru termasuklah staf sokongan yang bekerja di pejabat mahupun makmal. Lima tahun saya hidup dalam budaya itu, dari seorang junior yang suka menangis hinggalah kelak membesar menjadi senior yang memikul banyak tanggungjawab. Apabila saya berada di tingkatan 5, saya diamanahkan pula menggalas tanggungjawab sebagai pengerusi pusat sumber meskipun saya seorang perempuan. Saya berazam untuk sama-sama membawa perubahan dari tahap yang baik kepada yang lebih baik dengan bantuan dan sokongan guru pusat sumber saya, dua orang staf sokongan tulang belakang perpustakaan dan pengawas-pengawas pusat sumber berdedikasi yang lain. Bukankah bangsa berjaya ialah bangsa yang membaca?

Titik tolak saya mula berkenalan dengan novel-novel Islam ialah apabila seorang pelajar junior datang bertanya kepada saya, “Kak, di perpustakaan ni tak ada ke buku Abu Bakar Sahabat Sejati?”. Pada ketika itu, saya menyoal kembali pada diri saya, buku apa yang dimaksudkan pelajar tersebut. Lalu, saya mencarinya melalui sistem carian buku dalam komputer. Gelengan kepala saya mengecewakan adik tersebut. Saat itu, sebagai pengerusi pusat sumber, satu kegagalan mula mencalar amanah yang saya pikul. Saya berazam mencari buku tersebut. Setiap tahun, pada kelazimannya, ibu kesayangan saya akan membelanjakan apa-apa sahaja buku pada bulan Julai dan Disember, sebagai satu galakan untuk saya dan adik-beradik yang lain ‘graduate’ daripada membaca komik-komik. Lalu, kesempatan itu saya ambil untuk mencari buku yang dimaksudkan pelajar tersebut. Natijahnya, banyak pula buku novel Islam yang saya temui. Saya pun membeli buku-buku tersebut dan membacanya terlebih dahulu sebelum diletakkan di perpustakaan. Ya, seharusnya di mana-mana perpustakaan baik di sekolah mahupun di bandar dan di desa memiliki koleksi novel-novel Islam mahupun novel fiksyen Islam supaya masyarakat segera celik dengan kehebatan generasi 1400 tahun yang lalu. Sebagai mantan pengerusi pusat sumber sekolah, saya berani menjamin buku ini pasti mendapat antara sambutan buku yang popular dipinjam kerana masyarakat hari ini terutamanya sasarannya kepada kumpulan pelajar dahagakan ilmu dan kisah tokoh-tokoh pejuang Islam.

Sesungguhnya, Allah itu Maha Mengetahui dan Maha Hebat. Sebuah buku berjaya mengubah tahap pemikiran saya dan pandangan saya terhadap banyak aspek kehidupan dalam erti kata kesan-kesannya yang amat banyak. Impak-impak untuk diambil ibrah oleh mereka yang melihatnya dengan mata hati yang hidup. Alhamdulillah, Allah memilih saya dalam kalangan hamba-hambaNya untuk mengutip mutiara hikmah yang tersembunyi dalam buku-buku yang diilhamkan kepada para penulis.

Kesan perdana setelah saya membaca novel Islam ialah saya dapat mengenal pencipta saya yang Maha Agung iaitu Allah, dengan lebih dekat. Dalam status bergelar ‘pelajar lepasan SPM’ ini, nikmat yang sering manusia lupakan iaitu nikmat masa cuba saya penuhi dengan membaca. Guru mata pelajaran bahasa Melayu saya pernah berpesan, “Membaca dapat meluaskan horizon pemikiran, mengasah minda, dan mempertajam idea. Membacalah kerana ada ilmu dalamnya. Dan ilmu yang sahih ialah ilmu yang mendekatkan kita kepada Allah, mengenal Allah iaitu makrifatullah”. Guru kelahiran Kemboja ini juga merupakan guru debat sekolah saya. Beliau juga seorang guru yang berjiwa Islam pada pandangan saya sebagai anak muridnya. Dalam saya membaca novel-novel Islam ini, saya amat tertarik dengan kisah tokoh-tokoh Islam yang sibuk dengan urusan dakwah, namun masih bertenaga dan berupaya menghidupkan sepertiga malamnya kepada Allah. Walaupun dijamin oleh kekasih Allah bahawa mereka mendapat tiket ke syurga, mereka masih kuat dalam beribadah seharian.

Justeru, saya agak tersentap apabila ada bisikan dalam sanubari saya bertanya, “Kau ni banyak membaca. Ini dan itu. Memang bagus baca novel-novel Islam ni. Ambil ibrah. Tapi khatam Al-Quran dah berapa kali? Al-Quran itu ‘suara’ Allah tahu?”. Allahu Rabbi. Bisikan yang menjalar ketika saya sedang ralit menghabiskan bacaan novel Islam, Saad bin Abu Waqas. Kesan membaca kisah tokoh-tokoh Islam yang hebat ini mengingatkan saya bahawa membaca itu bagus, namun membaca Al-Quran perlu lebih diutamakan sebagaimana yang dikisahkan dalam novel-novel Islam. Sebagai contoh mudah, berapa kali Imam As-Shafie khatam sepanjang hayatnya? Alhamdulillah, setelah kesedaran itu datang, saya mula berjinak-jinak dengan Al-Quran semula setelah Allah mengurniakan hidayah tersebut. Alhamdulillah sebagai satu lafaz syukur yang sangat mulia kerana dalam masa lebih kurang dua bulan saya berjaya mengkhatamkan bacaan Al-Quran sebanyak 30 juzuk. Masa terluang saya banyak sama seperti rakan-rakan saya. Oleh itu, saya juga ingin menyeru sahabat-sahabat lepasan SPM di luar sana, sebelum kita kembali sibuk dengan mengejar cita-cita dan bercinta dengan buku pelajaran, ayuh kita tanamkan cinta pada Al-Quran, supaya kelak rindu pada ‘suara-suara’ Allah itu sering bertamu dalam taman hati yang punyai iman. Semoga kita istiqamah dalam beribadah kepada Allah dan lebih taqarrub kepada Al-Khaliq kita. Jika saya yang biasa-biasa dapat melakukan, apatah lagi sahabat-sahabat yang jauh lebih hebat di luar sana.

Selain itu, implikasi hebat ke atas diri saya setelah membaca novel-novel Islam ialah saya dapat memantapkan cara pemikiran saya. Kalau dahulu, saya lebih cenderung untuk menggunakan kaedah barat dalam memberi pendapat kepada orang lain. Sebagai tamsilan, “Sekiranya ingin dihormati, hormatilah orang lain”. Namun, apabila saya membaca kisah panglima tentera yang masyhur dalam Islam, iaitu Tariq bin Ziyad, saya dapati, “Sekiranya ingin dihormati, hormatilah Allah terlebih dahulu.” Hal ini boleh dirujuk dalam buku tokoh tersebut nukilan tuan Abdul Latip Talib, apabila dikisahkan seorang wanita dihantar oleh pihak musuh untuk menjatuhkan maruah Tariq bin Ziyad yang berada di dalam khemah bersama sahabat-sahabat beliau. Wanita tersebut mengajak beliau berjumpa secara berdua-duaan. Namun, Tariq patuh pada perintah Allah dan menghormati Allah SWT sebagai yang utama. Justeru, rancangan pihak musuh gagal malah peristiwa ini menyumbang kepada kemenangan Islam apabila wanita tersebut memberikan maklumat tentang musuh Islam pada waktu itu. Semua ini kerana hamba Allah yang menghormati Allah, akan dihormati manusia sebagaimana Tariq menghormati Allah, maka wanita tersebut menghormati pendirian beliau yang kuat berpegang pada pucuk akar agama Islam. Sesungguhnya, terdapat banyak lagi kisah yang tidak dapat saya tuliskan kesannya di ruang kecil ini setelah membaca novel-novel Islam ini. Bahan bacaan ini wajar kita renungi dan hayati dengan mata hati, dan bukan sekadar membaca bagi mengisi masa lapang.

Di samping itu, impak ke atas diri saya setelah membaca novel-novel Islam ialah saya dapat mengasah dan memantapkan daya kepimpinan saya. Ketika saya berada di bangku sekolah menengah, tanggungjawab sudah amat sinonim bagi setiap senior di tingkatan 5. Mustahil sekali sesiapa yang berada di tahun akhir sekolah tidak diberi tanggungjawab dalam kepimpinan. Justeru, ketika saya bertungkus-lumus mempersiap diri menelaah mata pelajaran bagi menghadapi peperiksaan SPM, saya juga giat mencari kisah-kisah mahupun kata-kata tokoh yang memberi inspirasi dan dorongan dalam kepimpinan yang diamanahkan pada saya iaitu sebagai ketua ‘batch’ puteri tingkatan 5. Sebagai contoh, apabila Saad bin Abu Waqas dituduh oleh pihak musyrikin di Kufah iaitu Usamah bin Qatadah bahawa beliau hidup kaya-raya hasil cukai yang dikutip. Lantas, Khalifah Umar bin Al-Khattab menyiasat laporan tersebut dan mendapati itu semuanya hanyalah fitnah yang dilemparkan oleh mereka yang mempunyai penyakit hati yang tiada akhirnya.

Lantas, Saad bin Abu Waqas akhirnya ditawarkan untuk menjadi ahli majlis syura di Madinah dan menyerahkan amanahnya kepada Abdullah bin Utbah, iaitu orang yang dipercayai boleh menjadi gabenor Kufah yang baik. Sungguhpun Saad bin Abu Waqas diturunkan daripada menjadi gabenor, itu tidak menjadi masalah baginya kerana niatnya berkhidmat kepada khalifah adalah kerana Allah semata-mata. Di situ, saya dapat mencontohi 3 aspek kepimpinan dalam diri para pemimpin yang berjiwa sahabat iaitu kematangan dalam memikul amanah, teliti dan ikhlas. Yang pertama, sebagai pemimpin, apabila ada dalam kalangan sahabat yang dituduh melakukan kesalahan, kita hendaklah bersikap rasional dalam menangani situasi tersebut. Sikap berbaik sangka juga harus dimasukkan bersama. Namun, pemimpin sendiri hendaklah menjalan siasatan dengan terperinci supaya neraca keadilan itu saksama. Dalam pada masa yang sama, sikap Saad bin Abu Waqas yang tidak terkesan apabila jawatannya beralih tangan jelas membuktikan keikhlasan beliau sebagai pemimpin yang juga merupakan hamba Allah serta kepatuhan pada khalifah yang berkuasa pada waktu itu. Justeru, saya amat terkesan apabila membaca novel Islam yang memerihalkan tokoh-tokoh Islam yang amat hebat dan wajar dikagumi. Dalam kalangan sahabat-handai, kami dapat aplikasikan sifat-sifat mahmudah ini dalam kalangan rakan sebaya mahupun adik-adik di bawah kami. Kata-kata mereka kami gunakan ketika berucap dan memberi semangat antara satu sama lain. Kami pasti berasa lebih tenang kerana pelaksanaan yang dilakukan mengikut kaedah Rasulullah SAW dan para sahabat terdahulu berpandu ilmu wahyu dari Allah SWT. Bukannya taklid tanpa ilmu. Jauh di dasar hati saya, jika para sahabat sudah sehebat begini, banyak lagi yang perlu saya baca dan kaji tentang ketokohan Rasulullah SAW kerana baginda ialah insan kamil yang selayaknya dijadikan idola segenap lapisan masyarakat hari ini. Satu persoalan yang cukup mudah, wujudkah insan kamil selepas Rasulullah SAW?

Ibarat sambil menyelam minum air, sambil membaca novel-novel Islam yang amat mudah difahami, pada masa yang sama menyemarakkan rasa cinta yang sebenar dan suci kepada junjungan besar serta para sahabat. Justeru, sedikit demi sedikit kita dapat merasai kemanisan iman kerana hadis daripada Anas riwayat Imam Bukhari ada menyebut, “Tiga perkara yang sesiapa memilikinya, dia akan mendapat kemanisan iman. Hendaklah Allah dan rasulNya lebih dicintai mengatasi selain kedua-duanya. Hendaklah dia mencintai seseorang kerana Allah. Hendaklah dia benci untuk kembali kepada kekufuran sepertimana dia benci untuk dicampakkan ke dalam neraka”. Satu persoalan yang acap kali berlegar-legar di ruang minda saya iaitu bagaimana hendak saya tanamkan rasa cinta terhadap Rasulullah SAW jika saya tidak pernah sekalipun bermimpi tentang baginda jauh sekali hendak bersua muka dengan wajah agung itu. Rasa cinta itu mula dibajai apabila menyingkap satu persatu kisah baginda bersama para sahabat. Sikap baginda bersama ibu-ibu orang mukmin. Sikap baginda terhadap musuh. Sesiapa yang membaca kisah-kisah ini pasti bersetuju bersama saya bahawa benarlah apa yang diriwayatkan oleh Saiditina Aisyah bahawa sesungguhnya akhlak baginda seperti Al-Quran. Melalui pembacaan dalam novel-novel Islam, saya dapat lihat bagaimana yang dikatakan hebatnya cinta para sahabat kepada Rasulullah SAW. Lelaki mulia yang digelar Al-Faruq telah menginfakkan separuh daripada hartanya dan meninggalkan yang separuh lagi buat keluarganya yang tercinta. Sumbangan beliau pada Islam amat dahsyat kerana cintanya tiada tara pada Allah dan rasulNya. Saidina Abu Bakar pula telah menginfakkan segalanya dan menggetarkan atma kecil sesiapa yang membaca kata-kata beliau yang penuh ikhlas dan mulia. Terasa menusuk kalbu dan menggoncang iman dalam dada.

"Aku tinggalkan Allah dan RasulNya buat mereka (keluarga beliau)". Kata-kata seorang lelaki luar biasa imannya. Berat imannya tidak dapat ditandingi sekalian umat sekalipun ditambahkan kesemua sekali. Allahu Rabbi. Di samping itu, menjelangnya hari kewafatan insan mulia itu, cinta itu dizahirkan apabila Amirul Mukminin meraung tidak dapat menerima hakikat kewafatan baginda, apabila Bilal bin Rabah terkelu lidah dan ada kalanya pengsan ketika hendak melaungkan azan pada lafaz “Aku naik saksi bahawa Muhammad itu pesuruh Allah”, dan ketika rindu Fatimah anakanda Rasulullah yang begitu menyentuh sehingga beliau dijemput menghadap Illahi beberapa bulan selepas kewafatan insan agung yang dikasihi seluruh penduduk langit dan bumi. Maka, benarlah juga kajian yang dilakukan oleh seorang tokoh barat iaitu Michael H. Hart dalam bukunya berjudul 100 Manusia Yang Paling Berpengaruh di Dalam Sejarah, iaitu Nabi Muhammad SAW merupakan tokoh yang paling berpengaruh di atas muka bumi ini dan tiada tolok bandingnya.

Akhir sekali, impak besar apabila saya membaca novel-novel Islam ialah saya dapat menguatkan semangat juang untuk menyebarkan ilmu, risalah serta sirah Rasulullah dan kisah para sahabat kepada orang ramai. Saya ingin kongsikan apa yang saya rasa, apa yang saya dapat, apa yang menyentuh hati kecil ini dan macam-macam lagi perasaan yang bercampur apabila membaca novel-novel Islam yang dinukilkan. Alhamdulillah, Allah berikan satu medan untuk saya sebarkan ilmu mulia ini kepada anak-anak generasi harapan masa depan apabila saya lulus dalam temu duga untuk menjadi guru sementara di KAFA tempat saya menuntut ilmu selama lima tahun sebelum ini iaitu tempat saya membina serta mengukuhkan pemahaman asas-asas fardhu ain sebagai seorang muslim. Di sini, saya diberi kelas tahap dua iaitu tahun 4,5 dan 6 untuk mengajar subjek Sirah dan Feqah. Saya agak buntu apabila mengajar namun saya yakin apabila kita membaca dan memahaminya kita mudah pula untuk menyebarkannya. Saya harus akui walaupun hanya 5 tahun saya meninggalkan sekolah tersebut namun generasinya sudah berubah gaya dan pemikiran. Pada hemat saya, mungkin kesan lambakan teknologi dan kemudahan yang mereka dapati sangat hampir dengan mereka. Teknologi yang diibaratkan seperti pisau. Jika baik cara penggunaannya maka bolehlah digunakan untuk memotong sayur-sayuran dan bahan masakan. Namun sekiranya tidak, pisau yang tajam itu akan menumpahkan darah manusia yang tidak berdosa di muka bumi ini. Berbalik pada murid-murid perintis revolusi masa depan ini, ada kalanya mereka hanya memandang sepi subjek yang diajar terutamanya Sirah. Namun, apabila saya menceritakan kisah-kisah baru para sahabat yang tidak pernah kedengaran pada sepasang cuping telinga mereka, mereka pasti bersemangat malah sanggup duduk di atas lantai di hadapan saya untuk mendengar cerita yang ingin disampaikan. Perasaan teruja bercampur gembira bersinar pada anak mata para intelek penyambung visi kudsi Wawasan 2020 ini, menunjukkan semangat roh mereka yang hidup dan ruang dan peluang yang besar untuk dididik dan ditarbiyyah. Ilmu itu bukan diguna untuk mempertajam minda sahaja malah amat bermanfaat untuk membentuk akhlak dan sahsiah yang terpuji seperti orang-orang terdahulu yang Allah muliakan. Peluang keemasan ini tidak saya siakan memandangkan bahan bacaan iaitu novel-novel Islam semakin saya teliti hari demi hari agar anak-anak murid yang dikasihi berasa puas dan ingin mendengar lagi pada kelas akan datang. Teringat kisah apabila saya menceritakan bagaimana Ubay bin Khalaf dibunuh oleh Rasulullah SAW dalam perang Uhud di dalam kelas. Saya mengambil sebatang pembaris sebagai contoh Rasulullah SAW hendak membaling tombak pada tangannya, lantas ada murid lelaki menjerit, “Ustazah, demolah. Kami nak tengok macam mana gaya Rasulullah SAW bunuh lelaki tu”. Suasana kelas menjadi gamat kerana terhibur. Alhamdulillah, kelas yang seramai 30 pelajar itu dapat dikawal kerana masing-masing begitu tekun mendengar kisah yang disampaikan. Ada juga murid yang datang bertanya kepada saya dan sendiri menjawab soalannya berkaitan Sirah, tentang “Ikramah bin Abu Jahal” serta penentangan mereka pada zaman jahiliyyah. Jawapan dan penerangan pelajar tu mempesonakan saya. Setelah saya bertanya kembali, saya amat berbangga kerana pada awal usia mudanya, dia telah pun menghabiskan bacaan Ikramah Abu Jahal , karya tuan Abdul Latip Talib. Alhamdulillah, Allah memilih pelajar tersebut membaca kisah-kisah sebegitu pada usia 10 tahun berbanding saya yang baru mula bertatih membacanya pada usia 17 tahun. Pasti dalam usia 7 tahun perbezaan itu, dia akan mendapat kesan-kesan yang jauh lebih banyak dan hebat berbanding saya yang sudah lewat berbanding usia anak harapan ummah itu. Masa depan mereka cerah. Sesungguhnya, benarlah kata pepatah, melentur buluh biarlah dari rebungnya.

Secara total, sememangnya banyak kesan ke atas diri saya sebagai pembaca setelah menelaah novel-novel Islam. Novel-novel yang ditulis sarat dengan fakta namun disampaikan secara santai dan berjaya menggabungjalinkan elemen ilmu dan cinta. Ilmu tentang kisah-kisah yang pelbagai dan penuh informasi serta rasa cinta pada Allah dan rasulNya. Tidak lupa juga cinta kepada mereka yang berjuang memartabatkan kalimah agung di muka bumi ini seperti para sahabat, para tabi’ dan tabi’ tabi’in yang dirahmati Allah. Novel-novel Islam ini menjadi motivasi dan pendorong yang kuat kepada saya bukan sahaja kerana isi kandungan novelnya yang amat baik malah penulisnya berjaya menzahirkan sikap gigih dan bersungguh-sungguh dalam mengarang. Saya sempat bersua dengan tuan Ikram Wazir, pengurus besar penerbitan PTS, dalam satu seminar penulisan di UIA Gombak baru-baru ini. Beliau ada menceritakan bagaimana hebatnya usaha tuan Abdul Latip Talib menulis novel-novel Islam sebegini kerana kajiannya perlu teliti dan mendalam. Kadang-kala ada sahaja yang memberi komentar, kritikan dan pandangan tentang karya penulis. Dari sudut ketepatan fakta, sumber, teknik penceritaan dan pengolahan serta pelbagai aspek lagi perlu diberi perhatian khususnya apabila melibatkan junjungan agung yang ingin kita dapatkan syafaat baginda di akhirat kelak. Sumber yang sahih perlu dirujuk seperti hadis yang diambil kisah dalamnya dan buku-buku yang dijadikan sumber penulisan. Pada pandangan saya., begitulah asam garam kehidupan seorang penulis. Pihak yang meberikan kritikan mahupun pandangan pastinya menginginkan yang terbaik buat penulis dan karyanya, tidak lupa juga pembaca yang terdiri daripada lapisan umur, bukan di bumi Malaysia malah di seantero dunia. Rupa-rupanya bukan mudah menjadi penulis namun melihat kejayaan tuan Abdul Latip hari ini sememangnya menyuntik semangat saya untuk meneruskan cita-cita saya untuk menjadi seorang penulis. Hal ini demikian kerana kita pasti berasa amat seronok sekali apabila ada yang bahagia membaca hasil karya kita. Seperti yang tuan Abdul Latip pernah sebutkan dahulu di laman sosial Facebook pada 3 Januari 2013 yang lalu, “Rasa bahagia seorang penulis novel sejarah apabila ada pelajar yang mengatakan buku itu membantu mereka memahami sirah atau sejarah Islam sehingga dapat menjawab soalan peperiksaan dengan mudah. Rasa bahagia apabila ada pembaca mengatakan setelah membaca novel sejarah Islam bertambah rasa cinta terhadap Islam serta menghargai tokoh-tokoh Islam yang terbilang. Sehingga mereka mengatakan apabila menjadi pemimpin nanti mahu mencontohi khalifah Umar Abdul Aziz dan jika menjadi tentera mahu mencontohi Khalid al Walid. Rasa bahagia apabila ada ibu menghantar surat mengatakan anaknya menjadi anak yang baik, rajin sembahyang dan rajin membaca buku setelah membaca novel sejarah Islam. Rasa bahagia apabila dapat membantu pelajar universiti yang membuat tesis mengenai penulisan novel sejarah Islam sehingga beroleh kejayaan. Dan banyak lagi rasa bahagia yang dikurniakan Tuhan. Semoga rasa bahagia ini berterusan di dunia dan akhirat”. Saya terinspirasi dengan kata tuan Abdul Latip dan juga kata-kata seorang sahabat dan menantu kesayangan Rasulullah SAW, khalifah keempat dalam Islam dan kanak-kanak pertama yang menyatakan keislamannya iaitu Saidina Ali. Kata beliau, “Semua penulis akan mati. Hanya karyanya yang akan terus abadi. Maka, tulislah sesuatu yang dapat membahagiakan dirimu di akhirat nanti”. Justeru, ayuh, berbahagialah menjadi penulis! Saya juga memohon pembaca budiman yang sudi membaca karangan saya ini agar sama-sama mendoakan buat semua bakal penulis, penulis dan termasuk diri saya agar diberikan kesihatan, hidayah dan ilham yang baik lagi sahih serta bermanfaat untuk menghasilkan karya-karya yang dapat memberi sumbangan kepada masyarakat Islam terutamanya. Penulis bukan setakat pengarang namun mereka jugalah pendakwah dalam diam yang tidak ramai menyedarinya. Ayuhlah, kita cemerlang untuk ummah! Pada kesempatan ini, sekiranya ibu kesayangan saya membaca karangan saya ini, ingin sekali saya beritahu ibu saya yang tercinta, “Mama, alhamdulillah, Balqis dah ‘graduate’ daripada baca komik-komik kerana Balqis dah jumpa bahan-bahan bacaan yang lebih bermanfaat seperti novel-novel Islam”. Semoga Allah reda akan karangan ini.

No comments: