Thursday, April 25, 2013






PEMENANG UTAMA HADIAH UMRAH
MINAT MEMBACA NOVEL SEJARAH ISLAM SEJAK BERUMUR 7 TAHUN

Selawat dan salam ke atas junjungan,

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang saya mulakan.

Nama diberi, Muhamad Firdaus bin Ali,
Diberi oleh, ayah bonda yang sentiasa dihati,
Ingin kusembah, kesan positif novel Islami,
Moga menjadi manfaat, duniawi dan ukhrawi.


Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh,

Pertama kalinya saya membaca novel sejarah Islam adalah pada tahun 2008. Ketika itu, saya berumur tujuh tahun. Novel pertama yang saya miliki ialah “Sultan Muhammad Al-Fateh | Penakluk Konstantinopel”.

Novel tersebut telah membuatkan mula berjinak-jinak dengan banyak lagi novel sejarah Islam lain di pasaran. Saya merasakan ia sangat penting untuk dipelajari kerana ianya memberi gambaran pada pemikiran tentang kaedah dan strategi pemerintahan Islam semasa zaman Nabi Muhammad SAW, khulafa’ ar-Rasyidin, khalifah Bani Umaiyah, dan zaman kegemilangan Islam yang lainnya.

Selain itu, ia turut memberi gambaran kepada saya bagaimana insan-insan hebat ini menghadapi dan menangani setiap cabaran kehidupan dengan tenang, sabar, mujahadah, tawaddu’, serta tawakkal yang boleh saya jadikan teladan. Dunia yang semakin mencabar ini, benar-benar memerlukan saya untuk membina kekuatan dalaman yang mantap seperti mereka agar tidak mudah putus asa dalam ujian kehidupan, dengan izin Allah.

Berulangkali saya membaca novel Sultan Muhammad Al-Fateh, salah seorang figura mukmin yang membuatkan jiwa saya amat terkesan. Beliau sememangnya seorang tokoh yang sepatutnya dicontohi. Kekuatan imannya, ketinggian ibadahnya, keperibadian dan akhlaknya dalam menyantuni rakyat, dan juga keberaniannya menentang orang-orang kafir sangat saya cemburui.

Alhamdulillah, syukur ke hadrat Ilahi, sejak mula membaca novel tersebut, saya tidak lagi meninggalkan solat fardu sehari semalam, azam saya kuat, tekad saya bulat. Selain itu, saya dapat melawan keinginan nafsu yang malas contohnya; melewat-lewatkan solat, berat tulang dalam bekerjasama dengan ahli keluarga, dan lain-lain. Ibu dan ayah saya juga komited dalam memastikan kami solat berjemaah di awal waktu, berpuasa sunat setiap bulan, terutama sekali pada bulan Muharam, Rejab, Syaaban, Syawal, dan Zulhijjah. Walau bagaimanapun, masih banyak lagi ilmu yang perlu saya dalami, agar ibadah yang dilakukan dapat saya hayati kemanisannya. Keberanian dan ketaqwaan Al-Fateh juga mendorong saya untuk memantapkan kemahiran berenang dan mula menyertai sukan memanah. Apa yang saya rasai adalah, semangat dan keberanian beliau walaupun secara jujurnya sebelum ini bersukan itu adalah hobi yang tidak menarik minat saya. Kini, saya telah berubah! Menurut hadis Rasulullah SAW, “Mukmin yang kuat itu lebih dicintai dan disukai Allah melebihi mukmin yang lemah”. [Hadis Riwayat Muslim | No. 4816]

Selepas membaca novel-novel sejarah Islam, saya mula melihat sesuatu perkara mahu pun senario, secara holistik dan kreatif serta kritis. Saya sering membayangkan, jika Rasulullah SAW masih berada di sisi, apa tindakan yang akan baginda ambil dalam mendepani sesuatu perkara.Saya juga menjadikan Nabi Muhammad SAW dan sahabat-sahabat serta cendekiawan-cendekiawan Islam lain sebagai qudwah hasanah, iaitu contoh teladan yang baik dalam mendalami ilmu dunia dan akhirat serta bersungguh-sungguh melakukan ibadah secara konsisten, InsyaAllah.

Kisah berkenaan ketabahan dan kecekalan Bilal bin Rabah, turut mendorong saya untuk sering melaungkan azan di masjid, ianya seolah-olah satu tiupan semangat yang masih hangat, seperti dapat dirasai auranya dari insan mulia pilihan Nabi SAW bagi mengalunkan azan pertama di kala itu. Ketika melaungkan azan, bagaikan terngiang-ngiang suara Bilal bin Rabah r.a yang mengasyikkan, walaupun tidak pernah mendengarnya. Biarpun wajahnya tidak dipandang oleh makhluk di bumi, tetapi kedudukan beliau amat tinggi,di langit.

Wahai Bilal,
Suaramu bagaikan emas,
Keikhlasanmu bagaikan bulan purnama.
Laungan azanmu di dengari penghuni langit,
Menghiba penghuni bumi.
Malaikat mendengar azanmu,
Menjawab azanmu,
Dan merindui azanmu.

Ya Allah, betapa bertuahnya hamba-Mu ini, kerana dapat hidup di dalam negara yang aman dan merdeka. Bebas daripada perhambaan. Hamba-Mu ini bebas mengamalkan ajaran Islam. Dahulu kala, muazin Rasulullah ini diseksa, kerana mengucap lafaz yang suci, lailaahaillallah. Diseksa, ianya merupakan suatu ujian keimanan yang dahsyat untuknya. Namun, bibirnya tetap basah melafazkan nama-Mu, Allahu Ahad, Allahu Ahad, Allahu Ahad. Aku bersyukur ke hadrat-Mu ya Allah, aku dapat beribadah bila-bila masa, di mana jua, tanpa ancaman dan ugutan. Harapanku, janganlah ketenteraman dan ketenangan ini, alpa dan leka dalam mengukir syukurku kepada-Mu. Usahlah jua ia mengurangkan sujudku kepada-Mu. Dan mudah-mudahan, aku dijauhkan dari keinginan duniawi yang berlebihan.

Novel Hijrah pula membuatkan saya yang dahulunya tidak begitu mendalami sejarah kehidupan Rasulullah SAW, tiba-tiba datang satu perasaan ingin tahu di dalam hati saya untuk lebih memantapkan ilmu sirah, lebih daripada apa yang ada di dada. Benarlah baginda merupakan rahmat untuk sekalian alam. Seringkali perasaan sayu datang tatkala mengenangkan pengorbanan Rasulullah SAW. Kisah yang dibaca berulangkali oleh kami adik beradik ini, meresap dalam diri, menguatkan semangat kami untuk menghidupkan sunnah baginda SAW dalam kehidupan seharian kami sekeluarga.”Ya Allah, berilah kami kekuatan dalam meneruskan hidup di dunia dan mendapatkan kebahagiaan di akhirat”

Selain memantapkan penguasaan saya terhadap ilmu sirah dan juga aqidah, penghayatan serta kemanisan dalam beribadah, terutama sekali perlaksanaan dalam solat, puasa, dan menuntut ilmu cuba saya rasai satu persatu. Hati saya sering tertanya-tanya bagaimanalah tingginya ketenangan jiwa yang dirasai oleh insan-insan pilihan Allah ini, atas segala pengorbanan dan ibadah yang mereka lakukan. Masya Allah, rupa-rupanya ibadah yang Allah tentukan untuk kita ini, tidak lain hanyalah untuk membentuk ketenangan jiwa kita sebagai hamba-Nya.

Mengenali as-Syeikh Badiuzzaman Said an-Nursi menyedarkan saya akan betapa mudahnya saya menimba ilmu setiap hari. Pengorbanan beliau yang sanggup berjalan jauh di usia muda untuk menuntut ilmu amat sukar ditandingi. Berbanding saya yang dihantar setiap hari ke sekolah, saya perlu lebih bersungguh-sungguh dalam menuntut ilmu, agar menjadi seorang ilmuwan islam suatu hari nanti, dengan izin Allah. Masya Allah, kekuatan cinta kepada Ilahi membuatkan beliau mengenepikan segala rintangan dan halangan bagi meraih syurga Allah yang abadi, serta sanggup meninggalkan dunia yang bersifat fatamorgana, dan penuh dengan fitnah ini.
Firman Allah SWT di dalam al-Quran al-Karim
”Dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan yang memperdaya." (Surah Ali 'Imran, ayat 185).”

Kesan positif yang paling utama dirasai adalah, sejak memiliki novel sejarah Islam yang pertama, ianya bagaikan satu fenomena untuk kami sekeluarga untuk terus membeli dan menghayati sejarah Islam. Adik-adik yang pada ketika itu masing-masing baru berusia lima dan enam tahun turut mula membaca satu demi satu novel sejarah Islam biarpun tidak disuruh. Ini mungkin disebabkan oleh semangat ingin tahu yang membuak-buak tentang kenapa saya sering membaca buku-buku tersebut secara berulang-ulang. Hubungan antara kami sangat rapat kerana minat dan hobi yang sama. Perasaan hormat dan kasih sayang yang tinggi terhadap ibu dan ayah juga sangat saya rasai. Pertama kerana ia merupakan perintah Allah SWT, keduanya kerana mencontohi kisah-kisah dalam novel sejarah Islam yang dibaca.

Alhamdulillah, kini selain membaca novel-novel tersebut berkali-kali, kami tiga beradik akan terus menambah koleksi novel sejarah Islam kami, insyaAllah.

Begitu juga terhadap adik-beradik, saya kini lebih merasai tanggungjawab dalam mengawasi, mewujudkan sifat toleransi antara kami, bekerjasama, dan memimpin, serta memberi contoh teladan yang baik (qudwah hasanah), alhamdulillah.

Di kalangan kawan-kawan juga, saya terdorong untuk membina semangat ukhwah yang rapat. Selepas membaca novel sejarah Islam yang bertajuk “Uthman Affan Pengumpul Al-Quran”, saya dapat merasakan hubungan saya dan rakan-rakan semakin rapat. Cara pergaulan bersama mereka juga semakin baik. Kini, saya dapat mempelajari cara berdakwah kepada rakan-rakan dengan kaedah yang positif. Saya mula menceritakan serba sedikit contoh dan teladan kisah sejarah Islam kepada rakan-rakan, mengajak melakukan kebaikan bersama-sama, dan membangkitkan semangat berani menghadapi ujian dalam diri kami semua. Ukhwah kami semakin rapat. Kekurangan antara kami, cuba kami lengkapi di antara satu sama lain.

Benarlah firman Allah SWT di dalam Al-Quran :
“Sesungguhnya setiap mukmin itu adalah bersaudara” – Al Hujurat:10

Hubungan saya bersama guru-guru juga kini lebih bermakna. Rasa hormat saya terhadap guru-guru semakin tinggi. Pada dahulunya, saya agak malu untuk menanyakan soalan tentang pelajaran pada guru. Kini, saya semakin bersikap positif, dan sangat aktif bertanya soalan di dalam kelas. Saya juga sering ke hadapan setiap kali guru memerlukan bantuan.

“Ya Allah, rahmatilah guruku, atas penat lelah mereka mendidik kami. Kurniakanlah nikmat syurga Firdaus-Mu ya Dzul Jalali Wal Ikram”.

Kesimpulannya, dengan memahami tujuan sebenar kita dihidupkan di dunia dan pergantungan diri kepada Ilahi secara mutlak adalah dasar kejayaan hidup di dunia dan akhirat. Mencari keredhaan Allah dalam setiap perbuatan dan tindakan kita, secara automatik mengemudi kehidupan kita untuk bersungguh-sungguh dalam melakukan ibadah. Mendalami setiap ibadah wajib dan sunat yang dituntut oleh Allah SWT secara terperinci serta berusaha untuk menyempurnakannya, mudah-mudahan didorongkan ke jalan yang terbaik di sisi Allah Rabbul Jalil. Ketenangan jiwa tidak boleh dipperolehi dengan wang ringgit, ia adalah hubungan istimewa di antara pencipta dan hamba-Nya.

Jika Allah memilih saya untuk menunaikan umrah dan menziarahi rumahnya di Tanah Suci Makkah Al-Mukarramah dan diberi peluang oleh Allah untuk menziarahi makam rasul-Nya yang tercinta di Madinah Al-Munawwarah, saya berasa hati ini tidak putus-putus memanjatkan rasa kesyukuran ke hadrat Ilahi kerana memberi peluang kepada hamba-Nya yang kerdil ini untuk menziarahi rumah-Nya di Masjidilharam dan juga menziarahi makam rasul-Nya, Muhammad Al-Amin di Masjid An-Nabawi. Hanya hamba-Nya yang terpilih sahaja yang layak menjejakkan kaki di bumi anbiya’ yang penuh dengan rahmat dan berkat oleh pemiliknya, Allah al-Malik. Moga Allah mengizinkan daku menunaikan solat di Masjidil Haram, yang mana akan dikurniakan 100,000 kali ganda pahala, manakala di Masjid an-Nabawi pula pahalanya 1000 kali ganda daripada solat di tempat lain. Hanya jiwa yang ikhlas sahaja yang dapat merasakan kesayuan, kecintaan, keajaiban pada rumah Allah tersebut. Ya Allah, izinkan daku menziarahi rumah-Mu, menunaikan umrah di rumah-Mu, berdoa di hadapan rumah-Mu, menunaikan solat di hadapan rumah-Mu, menziarahi makam rasul-Mu Rasulullah SAW, dan beribadah di Raudhah; salah satu daripada taman-taman syurga. Ya Allah, terimalah doa hamba-Mu yang kerdil ini.

Sekian, ini sahaja yang dapat saya kongsikan kepada saudara/saudari. Mohon maaf jika terdapat salah dan silap, kurang dan lebih, dan lain-lain kecacatan yang terdapat di dalam karangan ini. Wabillahi taufiq wal hidayah, wassalamu’alaikum warahmatullahi taala wabarakatuh.

Nabi dan Rasul menjadi ikutan,
Barakah bersinar hingga akhir zaman,

Yang benar,

Muhamad Firdaus bin Ali

1 comment:

Unknown said...

Moga kita semua di anugerahkan rasa takutkan Allah Rindu Nabi...