“Aku berlindung dengan nama Allah daripada syaitan dan  politik,” kata Badiuzzaman Said Nursi.
Kata-kata itu diucapkannya setelah Mustafa Kamal Ataturk mengasaskan Parti Republik Rakyat pada 23 Oktober  1923  dan pada  29 Oktober  1923  Turki  dengan rasminya telah   diisytiharkan  sebagai negara “Republik”. Dengan pengisytiharan itu, Turki telah bertukar wajah daripada  Negara Islam kepada  sebuah negara sekular.
Parti Republik Rakyat adalah  parti politik tunggal negara Turki ketika itu. Dasar-dasarnya berlandaskan fahaman sekular dan nasionalis (kebangsaan).
Sesuai  dengan dasar perjuangan   parti itu maka  sistem khalifah atau khalifah Utmahyiah dihapuskan,  dikuatkuasakan  penggunaan Kalendar Masihi bagi menggantikan kalender  Hijrah. Menutup sekolah-sekolah agama dan dimansuhkan Undang-undang Keluarga Islam diganti dengan undang-undang Barat.
Mustafa Kamal Ataturk semakin berani apabila mengarahkan  azan ditukar ke bahasa Turki, al Quran bahasa Arab diganti dengan al Quran terjemahan dan dilarang memakai tudung dan serban. Masjid  Aya Sofea ditukar menjadi  muzium dan  menukarkan Pejabat Agama Islam (al-Mashikhah al-Islamiyyah)  menjadi Maktab Wanita, tempat hiburan dan taman  permainan.
Pada mulanya Badiuzzaman Said Nursi mengasingkan diri ke Van. Beliau banyak menghabiskan masanya di sebuah tempat terpencil di atas Bukit  Arak untuk beribadah dan bertafakkur disamping ber’uzlah (mengasingkan diri), Badiuzzaman  Said Nursi juga menyampaikan kuliah-kuliah agama, khususnya yang berkaitan dengan tafsiran dan hakikat kebenaran al-Qur’an kepada orang-orang yang datang menemuinya.
Menurutnya, memperlihatkan keagungan dan kehebatan al-Qur’an merupakan jalan yang paling utuh untuk mempertahankan akidah dan keimanan umat Islam ketika itu. Tiada tugas yang paling utama ketika itu melainkan tugas menyelamatkan akidah umat Islam dari sebarang anasir yang menyesatkan. Begitulah aktiviti harian Nursi selama hampir tiga tahun berada di Van.
Pada  1925  berlaku pemberontakan  di Timur Turki yang dipinpin  Syeikh  Said Bayram.  Badiuzzaman Said Nursi  tidak  terlibat dalam  pemberontakan itu. Namun setelah  berjaya dipadamkan Badiuzzaman Said Nursi turut ditangkap.
Badiuzzaman Said Nursi dibawa dari  Vann ke Tarabzun (Trabzon) melalui Irdurum dan dari situ beliau kemudiannya dibawa ke Istanbul  melalui jalan laut.  Beliau ditahan  di Istanbul selama dua puluh hari. Walaupun beliau tidak terlibat dengan pemberontakan itu namun tetap dianggap penghalang Negara sekular.
Badiuzzaman Said Nursi dibawa  ke Antalya  dan kemudiannya ke Burdur . Ketika dalam buangan itu  Badiuzzaman Said  Nursi telah mengarang  al-Madkhal ila al-Nur.
Selepas tujuh bulan berada di Burdur, beliau kemudiannya dipindahkan ke Isbartah. Beliau berada di Isbartah selama dua puluh hari sebelum dibawa  ke Barla. Maka bermula penentangan  Beliau secara langsung terhadap Mustafa Kamal Ataturk.
Badiuzzaman Said Nursi  dalam beberapa  tulisannya menggelarkan Kamal Ataturk sebagai “Dajjal”. Kamal Ataturk menurutnya adalah seorang pemimpin yang tidak perlu dihormati kerana beliau adalah seorang diktaktor yang membuat sesuatu tindakan menurut hawa nafsu.
1 comment:
tidak sabar menantikan buku Badiuzzaman Said Nursi..Ceritanya mesti menarik..
Post a Comment