Monday, December 22, 2008

PERTENTANGAN ALI DENGAN MUAWIYAH

Majoriti buku-buku sejarah Islam mengatakan memang berlaku pertentangan antara Ali bin Abu Talib dengan Muawiyah bin Abu Sufian sehingga berlaku Perang Shiffin. Dalam peperangan tersebut pasukan tentera yang dipimpin oleh Ali bin Abu Talib bertempur dengan pasukan tentera yang dipimpin oleh Muawiyah.

Namun ada pula pendapat yang mengatakan tidak berlaku pertentangan antara kedua tokoh itu. Mereka menjadi mangsa keadaan akibat permainan politik pengikut masing-masing.

Majoriti buku-buku sejarah Islam juga menggambarkan Muawiyah bin Abu Sufian itu seorang ahli politik yang licik, pemimpin yang kejam sehingga sanggup menzalimi keluarga Bani Hasyim. (Keluarga Rasulullah SAW).

Kebaikan Muawiyah termasuk jasa-jasanya sebagai panglima perang dan pemimpin yang berjaya meluaskan pemerintahan Islam jarang diperkatakan.

Menulis Kisah hidup Sayidina Ali bin Abu Talib, Sayidina Uthman bin Affan dan Muawiyah bin Abu Sufian memang banyak menimbulkan kontroversi. Pembaca boleh menyokong atau menentangnya. Tetapi saya lebih yakin dengan buku-buku sejarah seperti As Sirah An Nabawiyyah dan Fiqus Sirah kerana pengarang kitab ini merujuk kepada kitab-kitab muktabar.

Mereka merujuk kepada kitab-kitab yang ditulis oleh Bukhari dan Muslim, Ibnul Atsir, Ibnu Hajar, Ibnu Qubaibah, As Sayuti, at Tabrani, Al Masudiy, Ibnu Saad, Ibnu jarir dan lain-lain lagi.

Mengenai pertentangan antara Ali bin Abu Talib dengan Muawiyah bin Abu Sufian bermula pada awal tahun ke 36 hijrah setelah Ali dilantik menjadi khalifah. Pada masa itu Muawiyah bin Abu Sufian menjadi Gabenor di Syam. Muawiyah tidak mengiktiraf perlantikan Ali sebagai khalifah malah menuntut Ali menghukum mereka yang membunuh Khalifah Uthman bin Affan.

Khalifah Ali bin Abu Talib telah menghantar Sahal bin Hunaif ke Syam bagi menggantikan Muawiyah. Tetapi tidak diterima dan Sahal kembali semula ke Madinah. Muawiyah bin Abu Sufian telah berjaya mempengaruhi penduduk Syam supaya menentang Khalifah Ali bin Abu Talib dengan alasan beliau tidak mahu menghukum pembunuh Khalifah Uthman Affan. Muawiyah menggantung jubah khalifah Uthman Affan yang berlumuran dengan darah dalam masjid supaya orang ramai menjadui marah. Akibatnya penduduk Syam memberontak. Akibat dari itu membawa kepada peperangan Shiffin.

Akibat dari peperangan itu membawa kepada persidangan Majlis Tahkim yang membawa kepada pemecatan Ali bin Abu Talib sebagai khalifah.

Kisah ini turut diceritakan dalam buku berjudul Sejarah Hidup Ali bin Abi Thalib yang diterbitkan Lembaga Penyelidikan Islam, Islamic Resaurch Institute, Indonesia.

1 comment:

Fahrur Mu'is said...

subhanallah, anda produktif sekali. semoga karya-karyanya bermanfaat.