Saturday, September 20, 2008

PENYELEWENGAN FAKTA SEJARAH

Pak Latip, apa pandangan pak Latip mengenai persoalan ini.

1. Benarkah Nabi Muhamad SAW bersafsu kepada wanita tua dan budak kecil?. Contohnya berkahwin dengan janda tua Khadijah berumur 45 tahun dan berkahwin dengan Aisyah berumur 9 tahun.


2. Benarkah Nabi Muhamad SAW menikahkah anaknya Fatimah dengan Ali bin Abu Talib maharnya Cuma bacaan Qulhuwallah 3 kali?. Begitu murahnya mahar puteri Rasulullah SAW?.


HAMBA ALLAH
--------------------------------------------------------
Saya bersyukur kerana dengan izin-Nya dapat menulis beberapa buah novel sejarah Islam. Sekiranya terdapat kesilapan fakta atau sebagainya dengan rendah hati saya memohon maaf dan berazam akan lebih berhati-hati dalam penulisan yang akan datang.

Setakat ini alhamdulillah, maklum balas daripada pembaca adalah baik dan ramai yang mengatakan berpuas hati serta memberi kata-kata pujian atas usaha ini. Insya-Allah saya akan terus menulisnya.

Mengenai pertanyaan di atas maka inilah jawapan saya.

Negara Arab (Islam) pernah dijajah oleh bangsa asing (bukan Islam). Ketika Mongol menakluk Baghdad banyak kitab yang dibakar dan dibuang ke dalam sungai sehingga airnya hitam. Antara kitab yang musnah itu termasuk buku-buku sejarah Islam yang ditulis oleh sejarawan Islam.

Kemudiannya sebelum negara Arab dijajah oleh bangsa Eropah, mereka pernah datang ke negera Arab mempelajari tamadun Islam. Mereka menyalin kitab-kitab itu ke dalam bahasa mereka. Kemudian dibawa pulang ke Negara mereka. Malah buku-buku sejarah Melayu juga banyak yang dibawa pulang ke Negara mereka (penjajah).

Setelah mereka menjajah Negara Arab termasuk juga Negara kita, mereka menulis semula sejarah Negara-negara yang mereka jajah. Sekiranya ada pun anak tempatan yang menulisnya terpaksa mengikut kehendak penjajah. Munsyi Abdullah contohnya menulis atas arahan Stamford Refles.

Kerana itu dalam proses penulisan sejarah itu tidak mustahil ada fakta yang diselewengkan. Mereka yang menentang penjajah dituduh pengganas atau penderhaka. Tidak mustahil juga dalam penulisan sejarah Islam terdapat penyelewengan fakta sejarah.

Mengenai pernikahan Nabi Muhamad SAW dengan Khadijah dan Aisyah, dikatakan ketika itu Muhamad berumur 25 tahun dan Khadijah berumur 40 tahun atau 45 tahun. Aisyah pula berumur 9 tahun tetapi ada pula mengatakan Aisyah ketika itu berumur 19 tahun.

Sumber rujukan kita yang paling tepat ialah al Quran dan hadis. Selain itu kitab-kitab yang muktabar atau diakui kesahihannya. Tetapi tidak terdapat dalam al Quran atau hadis yang menjelaskan umur Khadijah dan Aisyah ketika berkahwin dengan Rasulullah SAW.

Walaupun saya telah menulis beberapa buah novel sejarah Islam tetapi saya merasakan pengetahuan mengenai sejarah Islam masih cetek. Kerana itu setiap kali menulis sesebuah buku saya terpaksa membaca dan membaca lagi buku-buku sejarah Islam.

Mengenai berapa umur Khadijah dan Aisyah itu boleh kita rujuk dalam kitab Ihya Ulumuddin tulisan Imam Ghazali dalam bab Nikah. Selain itu terdapat juga dalam kitab Fiqus Sirah oleh Muhamad al Ghazali.

Ada yang mengatakan Khadijah seorang janda yang telah dua kali diceraikan suaminya. Sekiranya Khadijah pernah berkahwin dua kali tentu ada anak dengan suami sebelumnya. Tetapi setahu saya, maaf kalau tersilap, Khadijah Cuma mempunyai anak setelah berkahwin dengan Nabi Muhamad SAW. Kerana itu ada ahli sejarah Islam yang membuat kajian umur Khadijah ketika itu 25 tahun bukan 40 tahun.

Ada juga logiknya kerana bagi masyarakat Arab termasuk masyarakat Melayu zaman dulu, usia 40 tahun bagi seorang wanita itu dianggap sudah terlalu tua untuk berkahwin. Di kalangan orang Melayu sendiri iaitu zaman nenek moyang kita dulu ada diantara mereka berkahwin ketika berumur 12 tahun.

Sebelum Khadijah dilamar oleh Nabi Muhamad SAW, dia pernah di lamar oleh Abu Lahab, Abu Sufian dan beberapa orang lagi pembesar Quraisy tetapi ditolak oleh Khadijah. Dengan arti kata lain ketika itu Khadijah menjadi rebutan ramai lelaki. Kalau dia seorang janda tua pasti tidak ramai yang melamarnya untuk dijadikan isteri.

Selama 25 tahun berkahwin dengan Muhamad, Khadijah melahirkan enam orang anak iaitu Al Qasim, Zainab, Ruqayyah, Ummi Kalsum, Fatimah dan Abdullah. Kedua anak lelaki itu meninggal dunia ketika masih kecil. Cuma Fatimah saja meninggal dunia setelah wafat Rasulullah saw.

Sekiranya umur Khadijah 40 tahun ketika mula berkahwin dengan Rasulullah SAW pasti dia wanita yang sudah kurang subur. Mana mungkin wanita yang berkahwin ketika umur 40 tahun mampu melahirkan sampai 6 orang anak.

Mengenai umur Aisyah, saya telah menulisnya dalam entri yang terdahulu. Hamba Allah boleh membacanya semula.

Mengenai Mahar perkahwinan Khadijah dan Fatimah. Ramai yang mengatakan Khadijah yang melamar Muhamad. Seolah perigi mencari timba. Aisyah pula dikatakan maharnya Cuma 3 kali bacaan Qulhuwallah.

Dalam kitab Fiqus Sirah ada menjelaskan bahawa Abu Talib dan Hamzah yang mewakili Muhamad datang ke rumah Amer bin Asad iaitu bapa saudara Khadijah untuk meminang Khadijah dengan maharnya 20 ekor unta. Ketika itu bapa Khadijah telah meninggal dunia. Keduanya dikahwinkan oleh Amer bin Asad.Dengan ini Muhamad yang meminang Khadijah dengan maharnya 20 ekor unta muda. Bukan Khadijah yang meminang Muhamad.

Mengenai Mahar Fatimah, Saidina Ali bin Abu Talib menjual baju besinya kepada Uthman bin Affan dengan harga 480 miskal perak. Kemudian Ali menyerahkan 400 miskal perak itu kepada Nabi Muhamad SAW sebagai mahar perkahwinannya dengan Fatimah.

Semoga jawapan ini memuaskan hati Hamba Allah.

Hanya Allah sahaja yang Maha Mengetahui.




4 comments:

zino said...

semuga penjelasan paklatip memuaskan hati yg bertanya..

salam ramadan dan selamat hari raya..dari kami sekeluarga..

ABDUL LATIP said...

Zino

Salam Ramadan dan selamat hari raya juga dari kami sekeluarga. Semoga kita mendapat rahmatNya.

walid said...

pak talib
salam ramadan dan selamat menyambut hari raya. kalau ada kelapangan sila ke blog aku.

ABDUL LATIP said...

Assalamualaikum Walid.

Selamat berpuasa dan selamat menyambut Hari Raya. Saya sudah berkunjung ke blog saudara. Terima kasih atas komen Setelah Roboh Kota Melaka.