Sunday, September 14, 2008

GELARAN ABU BAKAR


Salam romadon buat pak latip.

Semoga selalu dalam lindungan rohmat dan kaseh sayang-NYA.

Saya ada satu kemusykilan berkenaan buku 'ABU BAKAR SAHABAT SEJATI', sy ingin tahu, dr sumber mana ya pak latip jumpa yg menyatakan bahwa Abu Bakr mendapat gelaran 'abu bakr' yg bermaksud ayah unta muda krn pada masa mudanya suka memelihara anak2 unta? sbb stahu sy, beliau mendapat gelaran 'abu bakr' yg bermaksud bapa anak dara kerna beliau mempunyai 2 anak dara iaitu 'aisyah dan asma'. sekadar nak merungkai kemusykilan.

terima kaseh

pondokbuku

--------------------------------------------


Terima kasih kepada Pondokbuku kerana bertanyakan soalan tersebut.

Nama sebenar Abu Bakar ialah Abdul Kaabah. Selain Abu Bakar dia juga digelar al Atiq dan As Siddiq. Kesemua gelaran tersebut mempunyai lebih dari satu versi.

Dalam buku Abu Bakar as Siddiq oleh Hj Abdul Rani Mustafa terbitan K Publishing dan Kisah Abu Bakar as Siddiq oleh Muhamad Ridha terbitan Jasmin Enterpres dan 10 Sahabat di Jamin Syurga oleh Muhamad Ali al Quthub ada diceritakan dengan jelas tentang gelaran Abu Bakar tersebut.

Dalam buku 10 sahabat dijamin syurga pada muka surat 11 ada dinyatakan bahawa ibu Abu Bakar iaitu Salma memberi nama gelaran Abu Bakar kerana dia satu-satunya putera yang hidup dari putera-puteranya yang terdahulu. Maknanya dari kecil lagi dia sudah diberi nama Abu Bakar oleh ibunya.

Semasa remaja dia suka memelihara anak-anak unta lalu di gelar juga Abu Bakr.
Setelah memeluk Islam dia panggil Abu Bakar kerana mempunyai dua orang anak dara.

Jadi gelaran Abu Bakar itu mempunyai beberapa versi dan saya rasakan semuanya benar. Begitu juga dengan gelaran al Atiq dan As Siddiq mempunyai dua versi juga.

Ramai yang menyangka gelaran as Siddiq hanya diterima oleh Abu Bakar daripada Rasulullah saw selepas peristiwa Israk dan Mikrak.

Sebenarnya gelaran As Siddiq itu juga pernah diberikan kepada Abu Bakar oleh orang-orang Quraisy semasa jahiliyah. Ini kerana Abu Bakar diberi tanggung jawab menguruskan bayaran diet iaitu satu hukuman berbentuk ganti rugi harta yang dikenakan terhadap pembunuh. Kerana Abu Bakar seorang yang jujur maka masyarakat Quraisy jahiliyah menggelarnya Abu Bakar As Siddiq.

Kerana itu jangan terperanjat kalau ada yang mengatakan gelaran Abu Bakar As Siddiq itu pernah diterimanya sebelum Islam.

Hanya Allah sahaja yang Maha Mengetahui.

Terima kasih.



No comments: