Wednesday, September 17, 2008

ABU UBAIDAH AL JARRAH

Gambar hiasan diambil dari internet.


Abu Ubaidah al Jarrah antara 10 sahabat Rasulullah saw yang dijamin masuk Syurga. Nama sebenarnya Amir bin Abdullah bin Al Jarrah bin Hilal Al Fihri Al Quraisy. Beliau terkenal dengan nama Abu Ubaidah al Jarrah.

Beliau memeluk Islam selepas Abu Bakar as Siddiq dan amat disayangi Rasulullah saw sehingga digelar pemegang amanah. Baginda bersabda yang maksudnya, “Tiap-tiap umat ada pemegang amanah, pemegang amanah umat ini ialah Abu Ubaidah al Jarrah.”

Abu Ubaidah al Jarrah antara sahabat Rasulullah saw yang banyak menanggung penderitaan akibat penganiayaan orang-orang Quraisy termasuk ayahnya sendiri Abdullah. Dalam perang Badar Abdullah memburu anaknya dengan niat hendak membunuhnya. Akhirnya berlaku pertarungan antara ayah dengan anak yang berkesudahan Abdullah terbunuh. Abu Ubaidah al Jarrah berasa amat sedih sehingga turun ayat al Quran yang membenarkan tindakannya demi untuk mempertahankan aqidah Islam.

Setelah Rasulullah saw wafat Abu Ubaidah al Jarrah antara nama yang dicalunkan menjadi khalifah tetapi beliau menolaknya lalu menyokong perlantikan Abu Bakar as Siddiq. Beliau dilantik menjadi penjaga Baitulmal atau perbendaharaan. Kemudian Abu Ubaidah al Jarrah memohon untuk menyertai pasukan tentera Islam ke medan perang.

Abu Ubaidah al Jarrah antara nama yang dicalunkan untuk memimpin pasukan tentera Islam ke Yarmuk tetapi akhirnya Khalifah Abu Bakar as Siddiq memilih Khalid al Walid. Sehubungan dengan itu Khalid al Walid berkata, “Wahai Abu Ubaidah al Jarrah, kamu yang lebih layak memimpin pasukan ini, tetapi saya patuh dengan arahan khalifah.”

Ketika berlakunya Perang Yarmuk, Khalifah Abu Bakar as Siddiq meninggal dunia lalu digantikan dengan Umar al Khattab. Beliau telah melucutkan jawatan Khalid al Walid dengan melantik Abu Ubaidah al Jarrah menjadi ketua. Khalid al Walid menerima keputusan itu dengan rela hati. Begitu juga dengan Abu Ubaidah al Jarrah yang menerima jawatan itu. Keduanya terus berkerjasama sehingga tentera Islam mencapai kemenangan.

Semasa pemerintahan Khalifah Umar al Khattab, Abu Ubaidah al Jarrah terus diberi tanggung jawab memimpin tentera Islam menakluk Parsi. Setelah berlaku pertempuran demi pertempuran akhirnya kerajaan Parsi dapat ditumbangkan.

Kemudian beliau menghadapi tentera Rom sehingga berjaya menakluk Baitul Muqaddis.

Ketika berada di Syam berlaku serangan wabak taun menyebabkan ramai yang menjadi mangsa termasuk Abu Ubaidah al Jarrah.

Sebelum itu Khalifah Umar al Khattab memerintahkan Abu Ubaidah al Jarrah meninggalkan Syam tetapi beliau enggan kerana tidak sanggup meninggalkan tenteranya dan penduduk Syam yang sedang menghadapi wabak taun.

Beliau meninggal dunia pada tahun 640 masihi lalu dikebumikan di Syam (Jordan). Ketika itu beliau berumur 58 tahun.

Kisah Abu Ubaidah al Jarrah ini telah dijadikan novel dan akan diterbitkan oleh PTS Fortuna tidak lama lagi.



4 comments:

nurazzah8 said...

Salam, teringat semasa saya melawat makam beliau di Jordan. Sangat wangi, katanya wangian dari syurga...

ABDUL LATIP said...

norazzah8

Oh tuhan meremang bulu roma saya. Semoga satu hari nanti saya dapat menziarahi makamnya.

Pendekar said...

Saya amat meminati penulisan saudara, walaupun bayak fakta yang diutarakan tetapi plot dan gaya penceritaan amat menarik minat saya. Saya amat meminati sejarah islam tentang sahabt-sahabat nabi, khalifahurrasyidin, pahlawan-pahlawan islam, saintis islam dan para nabi. Saya amat mengharap saudara dapat menulis tentang pokoh islam yang terkenal ataupun tidak. Saya amat kagum dengan penulisan saudara. Sekian..

ABDUL LATIP said...

pendekar

Terima kasih dengan pujian.

Saya telah melawat blog sdr. Terima kasih sekali lagi kerana menulis entri khas untuk saya.

Izinkan menyalinnya kerana tulisan itu memberi semangat kepada saya.