Thursday, May 1, 2008

MENJEJAKI WARIS LEFTENAN ADNAN



Leftenan Adnan bin Saidi gugur di Permatang Pasir Panjang Singapura, semasa mempertahankan Tanah Melayu dari serangan tentera Jepun dalam perang dunia kedua. Beliau telah menunjukkan keberanian yang luar biasa, tidak mahu menyerah kalah dan sanggup berjuang hingga ketitisan darah terakhir. Keperwiraannya bukan sahaja membanggakan orang Melayu malah mendapat pujian dari pihak Inggeris.

Menurut Lt General A.E Percival dalam perutusannya berkenaan Pemerintahan Operasi Malaya dari tarikh Disember 1941 sehingga 15 Februari 1942:

"Selepas dibedil dengan meriam dan motar, tentera Jepun menyerang Regimen Melayu yang mempertahankan Permatang Pasir Panjang. Regimen Melayu bertempur dengan gagah beraninya tetapi mengalami kehilangan jiwa yang teruk, dan menjelang petang musuh sampai ke Pasir Panjang. Di tapak bersejarah ini, pertempuran bagi pertahanan terakhir Singapura telah berlarutan selama 48 jam, berakhir dengan satu-satunya pertempuran jarak dekat tangan-ke-tangan dengan Tentera Jepun.”

Korporal Yaakob, yang mendapat pingat keberanian Medal of Gallant, merupakan salah seorang daripada mereka yang terselamat dalam pertempuran di Bukit Candu.

Menurut Korporal Yaakob, semasa pertempuran sedang berlaku, dia turut terkena tembakan musuh dan terjatuh di atas mayat mereka yang terkorban. Dia terselamat kerana berpura-pura mati dan melihat kematian mengerikan Leftenan Adnan.

Tentera Jepun yang marah kerana keberaniannya menentang musuh sehingga ramai yang terkorban telah berjaya menawan Leftenan Adnan lalu diserkup dengan guni. Tentera Jepun kemudiannya telah menggantungkan Leftenan Adnan yang cedera parah itu pada dahan pokok ceri.

Kerana meradang akibat kehilangan ramai rakan, tentera Jepun kemudiannya telah berbaris panjang kemudian mereka berjalan di bawah pokok ceri itu. Setiap orang yang lalu di bawah pokok ceri itu telah menikam tubuh Leftenan Adnan yang tergantung pada pokok tersebut dengan boyonet. Kejadian itu dilihat sendiri oleh Koperal Yaakob.

Kisah keberanian Leftenan Adnan ini telah difilemkan tetapi belum pernah dijadikan novel. Kerana itu saya ingin menovelkannya tetapi bukan adaptasi dari filem tersebut. Sesuai dengan teknik surah Yusuf, cerita bermula dari beliau lahir sehingga menghembuskan nafas terakhir.

Terima kasih kepada pihak PTS Fortuna yang telah meluluskan sinopsisnya. Dengan ini penulisannya sudah boleh dimulakan. Namun saya merasakan penulisan novel ini tidak lengkap sekiranya tidak dapat menjejaki waris Leftenan Adnan.

Semasa menulus novel Si Bongkok Tanjung Puteri, saya pergi hingga ke Belungkur Johor bagi menjejaki pusara Si Bongkok.

Untuk menghasilkan novel Leftenan Adnan ini pula, saya ingin menjejaki warisnya. Leftenan Adnan meninggalkan seorang balu dan tiga orang anak. Beliau juga mempunyai tiga adik beradik tetapi dua terkorban semasa menentang tentera Jepun.

Adakah isterinya masih hidup?. Kalau masih hidup umurnya mungkin sudah menjangkau 80an. Atau kalau bernasib baik dapat betemu dengan anak-anaknnya. Mungkin ada kisah menarik yang masih belum diketahui umum mengenai pahlawan kebanggaan orang Melayu itu.

Saya akan menjejaki waris Leftenan Adnan dalam masa terdekat. Semoga berjaya menemuinya. InsyaAllah.

1 comment:

Fakharoll Rodziee Don a.k.a AuraKaya said...

assalamualaikum en. Abdul Latip,
saya ada sedikit info berkenaan dengan waris Leftenan Adnan. Isteri saya adalah rakan kepada cucu Leftenan Adnan iaitu anak kepada En. Zainudin. Difahamkan bahawa En. Zainuddin telah meninggal dunia dan kini isteri En. Zainuddin tinggal bersama anak perempuannya itu di JB.

Jika En. Latib ingin kontek nombor cucu Leftenan Adnan ini bolehla hubungi saya menerusi email: aurakaya@gmail.com