Friday, May 2, 2008

KISAH SEDIH SEORANG PAHLAWAN



Jantan Abdul Rahman atau Jantan Lebai 80 tahun penduduk Kampung Sungai Ramal yang menceritakan kisah sedih keluarga Leftenan Adnan.



Rumah Leftenan Adnan terletak di hadapan masjid ini tetapi sekarang telah dirobohkan kerana pembinaan lebuhraya. Rumah itu didirikan di atas tanah tol.



Cukupkah sekadar namanya diabadikan pada sekolah ini?.

Bagaimanakah cara kita menghargai pengorbanan pahlawan kita?. Apakah cukup sekadar mengingati nama dan sejarah perjuangannya sahaja?. Atau mengabadikan nama mereka pada jalan atau sekolah?. Sesungguhnya Leftenan Adnan adalah antara pahlawan Melayu yang berkubur tanpa nisan yang jasa dan pengorbanannya tidak mendapat penghargaan yang sewajarnya.

Saya katakan begitu kerana tidak ada usaha untuk menjejaki di mana Leftenan Adnan dikuburkan. Memang benar dia terkorban di Permatang Pasir Singapura semasa bertempur dengan tentera Jepun dalam perang dunia kedua. Tetapi, mustahil mayatnya terbiar begitu sahaja tidak dikuburkan. Malah menurut ceritanya, selepas berlaku pertempuran paling sengit antara askar Melayu di bawah pimpinan Leftenan Adnan dengan askar Jepun maka beberapa orang penduduk kampong tersebut telah pergi ke tempat itu dan menjumpai mayat askar Melayu yang terkorban termasuk mayat seorang pegawai yang tubuhnya dipenuhi bekas tikaman. Saya yakin penduduk kampong telah menguburkan mayat-mayat tersebut.

Tetapi sayangnya sehingga sekarang belum ada pihak yang berusaha mengesan di mana Leftenan Adnan dikuburkan. Lebih menyayat hati keluarga leftenan Adnan juga tidak dipedulikan.

Sufiah, balu allahyarham Leftenan Adnan telah meninggalkan Sungai Ramal membawa dua anaknya Mokhtar dan Zainuddin. Ada yang mengatakan mereka berada di Negeri Sembilan, tetapi ada pula yang mengatakan mereka berada di Melaka. Malah ada yang mengatakan berada di Johor. Saya masih tertanya-tanya, benarkah Sufiah tidak mendapat apa-apa penghargaan hasil dari pengorbanan suaminya itu?.

Yang pasti isteri dan anak-anak Leftenan Adnan tidak ada lagi di Sungai Ramal. Rumah kediaman mereka telah dirobohkan akibat pembinaan jalan raya. Lebih memilukan rumah kediaman mereka didirikan di atas tanah tol atau tanah tidak bergeran. Apabila projek lebuhraya itu dijalankan maka rumah mereka dirobohkan tanpa dibayar apa-apa pampasan. Benarkah begitu?.

Bagaimana pula dengan nasib Mokhtar dan Zainuddin?. Zainuddin memasuki tentera mengikut jejak langkah ayahnya. Kini beliau telah bersara. Mokhtar pula dikatakan menjadi pemandu teksi di Seremban. Ada pula mengatakan di Melaka. Malah ada mengatakan di Johor.

Bersambung…..

10 comments:

Umi Kalthum Ngah said...

Assalamualaikum warahmatullah,

Saya doakan semoga Allah permudahkan segala urusan.

Moga misi mulia Encik Latip ini akan berjaya...Amin, Ya Rabbul Alamin..

Wasalam..

ABDUL LATIP said...

Umi Kalthum Ngah,

Waalaikumsalam warahmatullahi wabarakatuh.

Doakan semoga usaha menjejaki waris Allahyarham Leftenan Adnan berjaya.

Semoga novel Leftenan Adnan, Gugurnya Bunga Bangsa juga berjaya diterbitkan.

InsyaAllah.

Iskandar Syah Ismail aka DR Bubbles said...

Salam Pak Latip,

Saya berdoa agar mereka dapat ditemui segera.Membaca

Entri Pak Latip mengenai Leftenan Adnan Saidi ini mengingatkan saya kepada seorang lagi wira Rejimen Askar Melayu di Pasir Panjang iaitu Lt. Yazid (dari SITC) yang mati sebagai buruh paksa Jalan Keretapi Maut Thailand - Burma.

Semasa melawat Kanchanaburi baru-baru ini, saya benar-benar terharu apabila ternampak artifak lambang Rejimen Askar Melayu dipamerkan di dalam Muzium Thailand-Burma Railway. Ia yang dijumpai semasa penggalian di kem-kem buruh paksa di sepanjang Jalan Keretapi Maut Thailand- Burma.

ABDUL LATIP said...
This comment has been removed by the author.
ABDUL LATIP said...

drbubbles

Assalamualaikum. Terima kasih atas makluman.

Itulah nasib perwira kita. Ada yang berkubur di negara orang. Ada yang namanya sudah dilupakan. Itu antara sebab saya nak jadikan novel kisah Leftenan Adnan. Doakan berjaya.

Abang Long said...

Salam hormat wahai kekanda Abdul Latip.

InsyaAllah, adinda akan membantu dalam urusan ini. Kita usahakan bersama dan memohon petunjuk dan keredhaanNya.

ABDUL LATIP said...

Assalamualaikum adinda Feroz,

Sekiranya ada maklumat mengenai waris Leftenan Adnan beritahu kekanda.

silversarina said...

salam,

Saya pernah bersekolah di Sek Keb. Panglima Adnan, Port Dickson tapi memang saya tak tahu mengenai asal usul Leftenan Adnan , mungkin ada sejarah beliau di sekolah itu.

Saya masih mengumpul kawan2 bagi mendapatkan novel Paklatip , lambat sikit sebab terlalu banyak urusan pulak di akhir2 semester persekolahan.

Semoga Paklatip sihat selalu.

Fakharoll Rodziee Don a.k.a AuraKaya said...

assalamualaikum en. Abdul Latip,

saya ada sedikit info berkenaan dengan waris Leftenan Adnan. Isteri saya adalah rakan kepada cucu Leftenan Adnan iaitu anak kepada En. Zainudin. Difahamkan bahawa En. Zainuddin telah meninggal dunia dan kini isteri En. Zainuddin tinggal bersama anak perempuannya itu di JB.

Jika En. Latib ingin kontek nombor cucu Leftenan Adnan ini bolehla hubungi saya menerusi email aurakaya@gmail.com

ABDUL LATIP said...

Aurakaya

Terima kasih dengan info yang amat berguna ini. Saya akan menghubungi saudara bagi menjejaki waris Leftenan Adnan.