Tuesday, May 6, 2008

MENJEJAK WARIS LEFTENAN ADNAN

Di sinilah tapak rumah Leftenan Adnan.

Tuan Imam Fakrul Razi.

Leftenan Adnan bin Saidi di dilahirkan di Kampung Sungai Ramal, kajang Selangor pada tahun 1915. Dia merupakan anak sulung dalam keluarganya yang seramai lima orang iaitu Adnan, Ahmad, Hasyim, Amirullah dan Alimin. Leftenan Adnan dan adiknya Ahmad terkorban semasa perang dunia kedua. Kini kesemua adik beradiknya telah meninggal dunia. Yang bongsu Tuan Haji Alimin yang menetap di Sungai Ramal Baru, baharu sahaja meninggal dunia.

Leftenan Adnan meninggalkan seorang balu bernama Sufiah atau Shopia Pakih Muda dan mendapat tiga orang anak, dua lelaki, Mokhtar dan Zainuddin dan seorang perempuan, meninggal dunia semasa pendudukan Jepun di Tanah Melayu.

Pencarian saya bermula di Kampung Sungai Ramal, Kajang. Perkampungan Melayu di Kajang Cuma dua sahaja iaitu Kampung Sungai Merap dan Kampung Sungai Ramal. Adapun Sungai Ramal pula terbahagi tiga iaitu Sungai Ramal Dalam, Sungai Ramal Luar dan Sungai Ramal Baru.

Saya ke Sungai Ramal Kajang. Tempat persinggahan pertama ialah di Sekolah Kebangsaan Leftenan Adnan. Tidak sukar mencarinya kerana sekolah itu letaknya di tepi jalan. Menurut salah seorang petugas di sekolah tersebut, Leftenan Adnan lahir di Kampung Sungai Ramal Dalam. Tetapi ternyata maklumat itu salah kerana setelah sampai ke Kampung Sungai Ramal Dalam, salah seorang penduduk kampong tersebut mengatakan Leftenan Adnan lahir di Kampung Sungai Ramal Luar.

Tempat persinggahan kedua saya ialah di Masjid Haji Mat Saman, Sungai Ramal Luar. Juga terletak di tepi jalanraya. Menurut Tuan Imam masjid itu Haji Fakrul Razi, memang benar Leftenan Adnan dilahirkan di Sungai Ramal Luar. Rumahnya terletak tidak jauh dari masjid. Tetapi, rumah bersejarah itu telah dirobohkan disebakan pembinaan jalan raya.

“Rumah bersejarah itu sepatutnya jangan dirobohkan tetapi dipindahkan sahaja ke tempat lain,” kata saya dengan rasa kesal kerana rumah itu telah dimusnahkan.

“Rumah itu didirikan di atas tanah tol atau tanah tak bergeran,” kata Tok Imam.

“Bukan rumanhnya saja yang telah lenyap, tetapi keluarganya juga turut lenyap,” sampuk salah seorang penduduk kampong yang turut menyertai perbualan kami.

“Penduduk Sungai Ramal sepatutnya berasa bangga kerana di sini lahirnya Leftenan Adnan bin Saidi, seorang Wira Bangsa” kata saya pula.

“Apa yang boleh kami banggakan?” Tanya yang lain.

“Di sini ada sekolah yang dinamakan Sekolah Kebangsaan Leftenan Adnan,” jawab saya.

Mereka Cuma tersenyum.

Jantan bin Abdul Rahman atau Lebai Jantan, satu-satunya penduduk Kampung Sungai Ramal Luar yang paling tua dan pernah hidup pada zaman itu dan beliau masih boleh mengingati cerita Leftenan Adnan.

“Adnan keluar dari kampong ini ketika berumur 18 tahun. Setelah menjadi askar Melayu, beliau jarang pulang ke kampong. Sebelum askar Jepun menyerang Tanah Melayu, beliau menghantar pulang isteri dan anak-anaknya,” kata Pak Cik Jantan.

Sempat juga dia berceria mengenai kesukaran hidup pada zaman pemerintahan Jepun di Tanah Melayu.

“Di mana isteri dan anak-anak Leftenan Adnan sekarang?” Tanya saya.

“Keduanya keluar dari Kampung Sungai Ramal pergi merantau mencari rezeki. Pada masa itu kehidupan sangat susah. Bagi menyara hidup pelbagai kerja terpaksa dilakukan. Akhirnya Zainudin memasuki tentera mengikut jejak langkah ayahnya. Abangnya Mokhtar pula berada di Seremban. Khabarnya dia membawa teksi,” jawab Pak Cik Jantan.

5 comments:

DeeN said...

Salam,
Wah, akhirnya dapat 'jumpa' pak latip kat sini. Apa khabar, sihat? Masih belum berkesempatan beli karya pak latip yg terbaru. Mungkin lepas nih beli kena guna online la kut.

Anyway, selamat terus menulis pak latip! :)

cikMilah said...

Saya doakan pencarian PakLatip beroleh kejayaan.

ABDUL LATIP said...

nur@ddeen,

Assalamualaikum, alhamdulillah saya sihat. Semoga saudara juga sihat. Boleh saja membeli buku-buku saya melalui online dengan ujanailmu atau dari PTS.

ABDUL LATIP said...

Cikmilah

Terima kasih atas doa itu. Semoga Cikmilah juga beroleh kejayaan dan kebahgiaan.

Web Sutera said...

Assalamualaikum Abang Latip,

Wah, makin kencang sekarang! Teruskan. Saya kalau ikut hati mahu beli semua buku2 Abg Latip, tetapi wang tidak berapa mengizinkan. Uwaaa......