Thursday, May 29, 2008

ABU BAKAR AS SIDDIQ WIRA ISLAM

Setelah menulis empat buah novel sejarah Islam iaitu Khalid Memburu Syahid, Salahudin Penakluk Jerusalem, Ikramah Penentang jadi Pembela dan Tariq Menang atau Syahid, dan setelah novel-novel itu diterbitkan oleh PTS Fortuna sehingga dapat dibaca oleh pelbagai golongan masyarakat termasuk pensyarah, guru-guru, pelajar, suri rumah dan anak-anak muda, memberi kekuatan serta semangat kepada saya untuk meneruskannya.

Ramai yang mencadangkan supaya kisah khalifah al Rasyidin iaitu Abu Bakar As Siddiq, Umar al Khattab, Uthman Affan dan Ali bin Abi Talib dijadikan novel kerana mereka boleh dijadikan idola terbaik. Saya menyambut cadangan itu dengan menulis kisah Abu Bakar As Siddiq.

Abu Bakar As Siddiq merupakan antara sahabat yang paling akrab dengan Rasulullah saw sehingga banyak amalan dan cara hidup Rasulullah saw yang dijadikan panduan dalam kehidupannya.

Beliau seorang yang lemah lembut, tidak tamak kepada kekuasaan dan kekayaan walaupun ketika berkuasa tentera Islam berjaya mengalahkan Parsi dan Rom.

Abu Bakar As Siddiq khalifah pertama selepas wafat Rasulullah saw dan beliau diiktiraf sebagai orang yang paling utama selepas Nabi Muhamad saw. Sehubungan ini Rasulullah saw bersabda;

“Sekiranya ditimbang iman seluruh kaum muslimin maka lebih berat lagi timbangan iman Abu Bakar seorang.”

Walaupun Abu Bakar As Siddiq memerintah selama dua tahun tiga bulan sahaja namun beliau telah berjaya menyatukan umat Islam yang berpecah selepas wafatnya Rasulullah saw. Beliau bukan sahaja berjaya menundukkan golongan pemberontak, mereka yang murtad, nabi palsu dan mereka yang enggan membayar zakat malah berjaya mengalahkan Rom dan Parsi.

Kerana itu memang wajarlah Abu Bakar As Siddiq digelar Wira Islam.

Alhamdulillah, penulisannya telah selesai dan dijangka akan diterbitkan oleh PTS Fortuna Jun 2008 ini.

2 comments:

azri said...

buku yg saudara karang sungguh bermanfaat buat sya dn kwn2..terima kasih

Unknown said...

saudara karang la buku uwaiss al-qarni ingin ana tahu tentang sejarahnya