Monday, March 23, 2009

KOMEN DARIPADA PEMBACA

Alhamdulillah, novel sejarah Islam Ali Bin Abi Talib sudah berada di pasaran. Berikut adalah komen-komen yang diterima daripada pembaca.



Email 1

Penulis mencela Muawiyah bin Abu Sufian.
Walaupun Muawiyah bukan sahabat yang dijanjikan syurga, ia tetap termasuk dalam sahabat yang tidak boleh dicela sebagaimana yang tercatat dalam hadis sebelum ini.

Muawiyah tidak menolak baiah Ali. Kalau ada Muawiyah tolak Ali nescaya beliau tolak dari mula Ali dibaiat. Beliau cuma minta pembunuh-pembunuh Uthman dibicarakan dan melaksanakan hukuman qisas (bunuh balas) ke atas mereka.

Jawapan saya.

Tidak dapat dinafikan Muawiyah bin Abu Sufian pernah menjadi penulis wahyu dan surat-surat Rasulullah. Baginda juga pernah mendoakan yang baik-baik untuk Muawiyah. Selain itu Muawiyah juga pernah mendapat kepercayaan daripada Khalifah Abu Bakar, Umar dan Uthman sehingga dilantik menjadi panglima tentera dan gabenor. Semasa memerintah banyak jasa yang disumbangkannya terhadap dunia Islam. Kita tidak menafikan jasa-jasanya itu.

Tetapi Muawiyah juga manusia biasa yang pernah melakukan kesilapan. Kerana itu ada celaan-celaan terhadapnya. Ini bukan bermakna kita melupakan jasa dan pengorbanannya.

Benarkah Muawiyah tidak boleh dicela?

Saidina Ali bukan saja mencela Muawiyah tetapi juga memeranginya.

Bagaimana pula dengan Muawiyah?. Adakah dia tidak pernah mencela Saidina Ali dan keluarganya?.

Apakah kita juga menolak buku yang menceritakan perkara itu?.

Jika terdapat celaan-celaan terhadap Muawiyah dalam novel Ali bin Abi Talib, itu bukan buku yang pertama mencelanya. Boleh dikatakan semua buku-buku sejarah menyatakan begitu.

Cuba tunjukkan buku yang mengatakan Muawiyah tidak berperang dengan Saidina Ali?. Adakah tidak benar Muawiyah memungkiri janjinya dengan cucu-cucu nabi Hasan dan Husin mengenai jawatan khalifah?. Adakah tidak benar Muawiyah mencerca Ali bin Abi Talib di atas mimbar masjid?.

Muawiyah memang menolak perlantikan Ali bin Abi Talib sebagai khalifah. Bukan Muawiyah saja yang menolak tetapi juga Saad bin Abu Waqas, Talhah Ubaidillah dan Zubair bin Awam. Dalam perang Jamal tiga sahabat itu berada di pihak yang menentang Saidina Ali.

Haji Abdul Rani bin Mustafa, dalam bukunya Ali bin Abi Talib, Sahabat dan Pejuang mengatakan.

“Kebanyakan yang datang membaiat Sayidina Ali ialah orang kebanyakan, sebaliknya tidak kelihatan orang-orang besar yang berpengaruh lalu Ali berkata, “Mana Talhah, mana Az Zubair dan mana Saad?” (m.s 103)

“Muawiyah bin Abu Sfyan memberi syarat kepada Khalifah Ali untuk membaiat beliau, iaitu Khalifah Ali perlu menegakkan hukuman terhadap para pembunuh Khalifah Uthman terlebih dahulu. Selagi hukuman itu tidak dilaksanakan beliau tidak akan membaiat Ali.” (ms 108)

Ini jelas menunjukkan Muawiyah memang tidak membaiat Ali sejak dari mula.

“Dengan alasan membela kemangkatan Khalifah Uthman itu dan dengan alasan Khalifah Ali tidak mampu menegakkan hukuman mengikut Syariat Islam, Muawiyah bergerak menyusun satu pasukan besar untuk menuntut bela atas kematian Khalifah Uthman. Sejarawan Islam berpendapat gerakan bersenjata itu hanya untuk mengabui mata rakyat. Tujuannya yang sebenar untuk merebut dan merampas jawatan khalifah atau lebih tegas dikatakan untuk merampas kuasa.” (ms 109)

Buku ini diterbitkan pada tahun 2003 dan tidak ada pula yang mempertikaikannya.

Semasa terjadinya perang Shiffin antara pengikut Khalifah Ali dengan Muawiyah, Ali memanggil kawan-kawannya lalu berlaka, “Datangilah Muawiyah dan ajaklah dia untuk taat dan bersatu dengan umat Islam…”

Apabila Muawiyah tetap mahu berperang maka Khalifah Ali tidak ada pilihan selain memerangi Muawiyah.

Dalam buku Kisah-Kisah Para Sahabat Yang Tidak Boleh Dijadikan Hujah oleh Dr Basri Ibrahim pula, tidak terdapat pendapat yang mengatakan celaan terhadap Muawiyah itu adalah tidak boleh.

Saya tercari-cari juga buku sejarah yang menceritakan kebaikan Muawiyah. Akhirnya terjumpa buku Rahsia Para Sahabat Di jamin Masuk Syurga. Salah seorang sahabat yang diceritakan dalam buku itu ialah Muawiyah bin Abu Sufian.

Di situ ada dicatatkan mengenai kelebihan Muawiyah sebagai penulis wahyu dan jasa-jasanya terhadap Islam.

Ibnu Khaldun seorang ahli sejarah Islam yang terkenal berkata.

“Terbukanya pintu fitnah di kalangan para sahabat setelah terbunuhnya khalifah Uthman Affan. Apa yang terjadi di kalangan sahabat-sahabat Nabi dapat dimaafkan, sebab mereka mempunyai perasaan yang sama. Iaitu hendak menegakkan agama. Kemudian mereka menghadapi situasi tersebut dengan ijtihad masing-masing. Kita harus bersangka baik terhadap mereka sebab hanya Allah yang mengetahui hakikat hambanya yang sebenar. Andainya Ali berada di pihak yang benar, maka tidaklah tindakan Muawiyah itu berniat jahat. Sebenarnya tindakan Muawiyah itu bertujuan baik, Cuma salah dalam tindakannya.”

Apakah kata-kata Ibnu Khaldun itu bukan celaan terhadap Muawiyah?.


EMAIL 2

Penulis mencerca Amru al Ash salah seorang sahabat yang disayangi Nabi Muhamad SAW.

Jawapan saya

Selain merujuk buku yang ditulis oleh Haji Abdul Rani Mustafa, saya juga merujuk buku Sejarah hidup Imam Ali bin Abi Talib oleh H.M.H Al Hamid Al Husaini. Buku ini diterbitkan oleh Lembaga Penyelidikan Islam Indonesia. Untuk menulis buku ini penulisnya merujuk kepada 38 buah kitab sejarah. Apakah buku seperti ini juga tidak boleh dijadikan rujukan?.

“Siapa sebenarnya Amru al Ash?. Zamakhsyariy dalam bukunya “Rabiul Abrar” memberikan keterangan terperinci seperti berikut.

“Ibu Amru bernama Nabigah asalnya seorang hamba milik seorang dari qabilah Anazah. Dalam satu peperangan perempuan itu ditawan lalu jual. Kemudian dibeli oleh Abdullah bin Judan di Makkah. Akhirnya Nabigah dimerdekakan oleh tuannya. Setelah merdeka dia menjalin hubungan sulit dengan Abu Lahab, Umaiyah bin Khalaf, Hisyam bin Mughirah, Abu Sufyan bin Harb dan Ash bin Wail. Lama-lama ia hamil dan melahirkan Amru ” (ms 222).

Sekali lagi saya katakan, buku ini diterbitkan oleh Lembaga Penyelidikan Islam Indonesia. Apakah buku ini juga tidak boleh dijadikan rujukan?.



Email 3

Ali bin Abi Talib dilahirkan dalam Kaabah. Tetapi dalam buku ini lahir di rumah. Bercanggah faktanya.

Jawapan saya

Dalam buku Kehidupan Nabi Muhamad SAW dan Amirul Mukminin Ali bin Abi Talib oleh Yunus Ali Al Muhdhor. 1992, ada dinyatakan perkara berikut.

“Banyak kaum Syiah yang berkeyakinan bahawa Ali bin Abi Talib dilahirkan dalam kaabah. Akan tetapi para ahli hadis menentang keyakinan itu dan mereka berkeyakinan bahawa yang dilahirkan di dalam kaabah itu adalah Hakim bin Hizam.” (ms 484)

Sekiranya dalam novel itu dikatakan Ali bin Abi Talib lahir dalam kaabah pasti ada juga yang tidak setuju.





6 comments:

Javad said...

Di dalam sahih muslim, dari riwayat Amir bin Saad bin Abi Waqqas daripada bapanya ia berkata: “Muawwiyah bin Abi Sufyan menyuruh Saad dengan berkata: Apakah yang menghalangmu dari mencaci Abu Turab (Imam Ali a.s.)?. Ia ( Saad ) menjawab: Ada pun telah diperingatkan kepadaku tiga kali di mana Rasulullah s.a.w.a. telah berkata ketiga-tiganya maka aku tidak akan mencacinya, kerana sesungguhnya ia adalah bagiku satu-satu yang paling aku kasihi dari seluruhnya. Aku telah mendengar Rasulullah s.a.w.a. bersabda mengenainya di waktu baginda meninggalkan Ali r.a. di dalam beberapa peperangan, maka Ali r.a. telah berkata kepada baginda: “Wahai Rasulullah!, engkau tinggalkan aku (tidak ikut serta di dalam peperangan) bersama perempuan-perempuan dan kanak-kanak.” Rasulullah s.a.w.a. menjawab: “Tidakkah engkau redha bahawa engkau menjadi di sisiku kedudukannya sama dengan kedudukan Harun di sisi Musa kecuali sesungguhnya tidak ada lagi seorang Nabi sesudahku. Aku juga telah mendengar baginda bersabda di hari (perang) Khaibar: “Aku akan berikan besok panji-panji kepada seorang lelaki yang cintakan Allah dan Rasul menyintainya.” Ia berkata: Kami telah membentang kepadanya (panji-panji). Maka baginda bersabda: “Panggillah Ali untukku.” Kemudian Ali telah datang dengan mata yang sedang sakit, maka baginda telah meludah ke dalam kedua belah matanya dan menyerahkan panji-panji kepadanya dan Allah s.w.t. telah memberikan kemenangan di dalam tangannya. Sewaktu turun ayat ini: “Katakanlah kepada mereka, marilah kita mengajak anak-anak kami dan anak-anak kamu, perempuan-perempuan kami dan perempuan-perempuan kamu, diri-diri kami dan diri-diri kamu kemudian kita bermubahalah. Rasulullah s.a.w.a. telah memanggil Ali, Fatimah, Hassan dan Hussain dan berdoa: Ya Allah tuhan kami, mereka itulah Ahlul Baitku”[1].
Sumber : http://www.angelfire.com

Javad said...

“ya Ali tidak akan mencintaimu kecuali mu`min dan tidak akan membencimu kecuali munafik” (HR Muslim)
Karena Muawiyah membenci Ali jadi menurut hadist di atas Muawiyah munafik!

muzzss said...

saya nak tanya...adakah abu ubaid r.a dalam buku saad abu waqas r.a ialah abu ubaidah...kalau benar mengapa abu ubaid r.a mati dipijak gajah dlam buku saad abu waqas r.a halaman 218 perenggan pertama baris ke7 dan 8..manakala dalam buku abu ubaidah r.a beliau mati akibat penyakit taun dan selepas menewaskan parsi sassanid..minta penjelasan..

DuniaKini said...

Para Ulama' Mutaqaddimin dan Mutaakhirin telah berpesan kepada kita agar berhati hati dalam bercerita mengenai Para Sahabat..Tidak kiralah siapa sahabat itu samaada Muawiyah atau sesiapa...

Anda boleh bercerita mengenai Muawiyah Bin Abu Sufyan Tetapi ulasan atau cerita itu biarlah tersimpul dalam keaadaan baik.. yakni tidak meburukkan mana2 sahabat nabi saw....

Al Hafidz Ibnu Asakir meriwayatkan dalam kitabnya Tarikh Damsyiq tentang Muawiyah, bahwa ada seorang laki laki berkata kpd Abu Zarrah Ar Razi."Aku membenci Muawiyah." Abu Zarrah bertanya "Kenapa?" lelaki itu menjawab kerana dia memerangi Ali". Kata Abu Zarrah .."Celaka kamu! sesungguhnya permusuhan antara ali dan muawiyah adalah permusuhan yang mulia apa urusanmu untuk ikut campur urusan keduanya???"

Jadi disini jelas kita tiada hak untuk masuk campur tetapi untuk menceritakan tidak menjadi salah cuma cerita itu haruslah adil dan tidak sampai kita menhina Ali atau Muawiyah Radiallahu anhuma...

Siapa kita dan siapa Muawiyah? itu kita perlu berfikir..

1)Muawiyah Pembantu dan penulis Nabi saw

2)Muawiyah telah diberikan gambaran akan mendapat balasan syurga ...

Sabda Nabi Saw"“Pasukan pertama daripada kalangan umatku yang berperang di laut, telah dipastikan bagi mereka (tempat di syurga).”[Al Bukhari no 2924]

Fakta sejarah menunjukkan Muawiyahlah yg memimpin perang dilaut pertama zaman khalifah Usman r.a..Silakan Rujuk Al Bidyah Wan Nihayah karya Ibnu Kathir

3) Muawiyah pernah didoakan Nabi saw...

Sabda Nabi saw "Dari Irbadh bin Sariyah berkata, “Saya mendengar Rasulullah bersabda, ”Ya Allah, ajarkanlah Muawiyah ilmu tulis dan hitung dan lindungilah dia dari siksa.” (Hasan Lighairihi Diriwayatkan oleh Ibnu Khuzaimah 1938, Ibnu Hibban 2278, Ahmad 4/127, dan Fadhail Ash-Shahihah 1748, Al-Bazzar 2723, Al Fai dalam Tarikh 2/345, Att-Thabrani dalam Al Mu’jam 18/252/62]

4) Pernah mendapat pujian Para Sahabat dan Para Ulama'..

Umar bin Khattab berkata tatkala mengangkatnya sebagai Gubernur Syam, ”Janganlah kalian menyebut Muawiyah kecuali dengan kebaikan” (Al-Bidayah 8/125)

Ibnu Abbas berkata”Saya tidak melihat seorang yang lebih arif tentang kenegaraan daripada Muawiyah” (Al-Bidayah 8/13 Beliau juga mensifati Muawiyah dengan “faqih” (Shahih Bukhari 3765)

Imam Mujahid berkata, ” Seandainya kalian melihat Muawiyah, niscaya kalian akan mengatakan: Inilah Al Mahdi.” Ucapan senada juga dikatakan Qatadah (As-Sunnah I/438 Al-Khallal)

Imam Ahmad Bin Hanbal pernah ditanya tentang seseorang yang mencela Muawiyah dan Amr bin al-Ash, “Apakah dia Rafidhah?” Katanya, ”Tak seorang pun berani mencela keduanya kecuali mempunyai tujuan jelek.” (Tarikh Dimasyq 59/210)

Ibnu Qudamah Al-Maqdisi berkata, ”Muawaiyah adalah bapa saudara kaum mukminin, penulis wahyu Allah, salah seorang khalifah muslimin- semoga Allah meridhai dia.” (Lum’atul I’tiqad hal 33)

Imam Abdullah Bin Al Mubarak,seorang tabi’in terkenal pernah ditanya : “Apa pendapat anda tentang Mua’awiyah dan Umar bin Abdul Aziz, siapakah di antara mereka yang lebih utama?”. Mendengar pertanyaan itu Abdullah Ibnu al-Mubarak naik marah lalu berkata: “Kamu bertanya tentang perbandingan keutamaan antara mereka berdua. Demi Allah! Debu yang masuk ke dalam lubang hidung Mu’awiyah karena berjihad bersama-sama Rasulullah itu saja lebih baik dari Umar bin Abdul Aziz” (Al-Bidayah Wa an-Nihayah jilid 8 m.s. 139)



Jadi disini saya ingin menasihatkan tuan agar tidak keterlaluan menceritakan buruk Sahabat Nabi saw.. Kita boleh mengkritik tapi pastikan kritikan kita tidak memburukkan mana2 sahabat nabi..Atau selepas anda kritik pastikan ulasan itu berakhir dgn cerita yg baik mengenai mana2 sahabat nabi... wallahu taala a'alam :)

DuniaKini said...

Sebagai tambahan supaya tidak terperangkap oleh kaum Rafidah yakni pencela keseluruhan Para Sahabat Radiyallahu anhum Ajmain....

Bagaimana sikap para ulama' mewaspadai diri dari pencela mana2 sahabat nabi saw


Imam Abdullah Ibnu Mubarak..

"Mu'aawiyah di sisi kami adalah ujian, barang siapa yang kami melihatnya mencela Mu'aawiyah maka kami akan menuduhnya mencela kaum tersebut, maksudku yaitu mencela para sahabat Muhammad shallallahu 'alaihi wa sallam" (Taariikh Dimasyq 59/209)



Abu Ali Al-Hasan bin Abi Hilaal berkata :

"Abu Abdirrahman An-Nasaai ditanya tentang Mu'aawiyah bin Abi Sufyan sahabat Nabi shallallahu 'alaihi wa sallam, maka ia berkata : Sesungguhnya Islam itu seperti sebuah rumah yang memiliki pintu, maka pintu Islam adalah para sahabat. Barang siapa yang mengganggu para sahabat sesungguhnya maksudnya adalah mengganggu Islam, sebagaimana seseorang yang melobangi pintu, tujuannya adalah untuk memasuki rumah". Ia berkata, "Maka barang siapa yang ingin (mengganggu) Mu'aawiyah maka sesungguhnya ia ingin (mengganggu) para sahabat" (Tahdziibul Kamaal, Al-Mizzi 1/339-340)


Imam Ahmad juga berkata :


"Barangsiapa yang merendahkan seorangpun dari para sahabat Rasulullah atau membencinya karena kesalahan yang pernah dilakukannya atau menyebutkan keburukannya maka ia adalah mubtadi' hingga ia mendoakan rahmat bagi seluruh sahabat, dan hatinya selamat terhadap mereka" (Manaaqib Al-Imaam Ahmad, Ibnul jauzi hal 217)

Azlan said...

Saya berpendapat kekeliruan timbul kerana penulisan novel dengan secara tidak sengaja membuat rujukan terhad. Secara ringkas rujukan tidak mencukupi dan tiada penyelidikan mendalam.

Terlalu banyak kisah yang kontras mengenai Muawiya r.a. dan perlu diakui bahawa Muawiya disamping beberapa sahabat lain termasuk Abu Bakar r.a, Umar r.a., Uthman r.a menjadi serangan pihak tertentu. Peribadi Muawiyalah yang banyak diserang. Muawiya adalah sahabat mendapat didikan secara terus dari Rasullulah, penulis wahyu (ada riwayat menyatakan bahawa penulis wahyu kedua terbanyak).


Tidak mudah untuk mengetahui dengan terperinci apa yang sebenarnya berlakunya semasa zaman fitnah. Terbaik ikutlah panduan dalam Al Quran & hadis Nabi dalam membezakan yang hak dan yang benar.

Perselisihan pendapat yang berlaku hanyalah mengenai darah Usman r.a sahaja. Lebih elakkan dari mempunyai kesimpulan politik , peribadi sahabat etc.

Saya telah baca berberapa novel islam yang mengambarkan sahabat tidak sesuai dengan martabat mereka. Ada yang menggambarkan pemusuhan antara Ali r.a dan Muawiya r.a.

Saya kesal dan menangis dengan rujukan dan kesimpulan berkenaan sedang penafian sendiri telah dibuat oleh Muawiya r.a - tuan punya badan sendiri. Siapa kita nak buat telahan apa yang ada dalam hati dan fikiran orang lain. Ingatkan para sahabat adalah "the best of thr creatures".

Jika tak cukup rujukan saya boleh bantu untuk dapat banyak rujukan.