Monday, March 16, 2009

PERTANYAAN PEMBACA

Salam Pak Latip,

Saya sudah mempunyai dan membaca 9 buah buku(buku sejarah Islam,hanya Saidina Ali sahaja yang belum dimilikki).Tetapi saya ingin bertanyakan satu soalan.Soalanya:Mengapakah panglima Khalid al Walid di lucutkan jawatan oleh khalifah Umar al Khattab dan di gantikan dengan Abu Ubaidah sedangkan Kalid mendapat gelaran Pedang Allah daripada Nabi Muhammad?

Syalini Ashley binti Ridzuan (13 tahun)
Sek. Men. Keb. Puchong Perdana
Puchong, Selangor.



Terima kasih diucapkan kepada adik Syalini yang baru berusia 13 tahun begitu berminat membaca novel sejarah Islam. Tahniah juga diucapkan kerana dalam peperiksaan UPSR yang lalu Syalini antara pelajar yang mendapat keputusan cemerlang. Semoga kejayaan Nik Nur Madihah Nik Mohd. Kamal, 18, (dalam gambar di atas) yang mencatat keputusan cemerlang 19 A1 dan satu A2 dalam peperiksaan SPM yang lalu menjadi peransang kepada Syalini dan pelajar yang lain.


Mengenai pertanyaan Syalini, kenapa Khalifah Umar al Khattab melucutkan jawatan Khalid al Walid?. Adakah kerana dendam atau marah?. Adakah kerana Khalid al Walid ada melakukan kesalahan?.

Semua pertanyaan itu ada diterangkan dalam novel Umar al Khattab Refomis Dunia Islam. Menurut Umar al Khattab, kerana Khalid tidak pernah kalah dalam setiap peperangan yang disertainya menjadikan orang ramai percaya kejayaan tentera Islam itu kerana adanya Khalid al Walid. Sehingga apabila diseru berjihad, ada yang berkata tidak perlu kita pergi berperang kerana Khalid al Walid sudah ada. Malah ada yang terlalu taksub kepada Khalid al Walid.

Apabila diganti oleh Abu Ubaidah al Jarrah, Umar al Khattab ingin membuktikan kejayaan tentera Islam bukan kerana Khalid al Walid tetapi adalah kurniaan Allah. Tambahan pula tentera yang diketuai orang lain seperti Amru al Ash, Saad bin Abi Waqas dan lain-lain juga mendapat kejayaan walau Khalid al Walid tidak ada dalam pasukan itu.




Memang benar semasa Khalifah Abu Bakar as Siddiq menjadi Khalifah Umar al Khattab pernah mencadangkan supaya Khalid al Walid dilucutkan jawatannya disebabkan telah melakukan beberapa kesilapan. Tetapi Abu Bakar as Siddiq telah memaafkannya.

Dan memang benar juga semasa remaja Umar al Khattab pernah dikalahkan oleh Khalid al walid dalam perlawanan gusti. Tetapi bukan kerana dendam tersebut. Ini kerana Saidina Umar al Khattab salah seorang sahabat Rasulullah SAW yang mendapat tarbiyah secara langsung daripada Rasulullah SAW. Beliau antara 10 sahabat yang dijamin masuk syurga. Kerana itu sikapnya adalah sikap ahli syurga. Semasa dia menjadi khalifah, sebelum sesuatu keputusan diambil dia berbincang dulu dengan sahabat yang lain seperti Saidina Ali, Saidina Uthman, Abdul Rahman bin Auf, Bilal bin Rabah dan lain-lain.

Kata Saidina Umar al Khattab , dia tidak marah atau berdendam kepada Khalid al Walid. Cuma dia berpendapat Khalid terlalu keras terhadap musuh. Dia juga terlalu sayangkan pasukan tenteranya, sehingga apabila mendapat harta rampasan perang, tidak menunggu persetujuan daripada khalifah terus membahagikan harta rampasan perang itu kepada anggota pasukannya.

Pada ketika yang lain dia memuji Khalid al Walid dengan mengatakan tidak ada wanita yang mampu melahirkan anak seperti Khalid al Walid.

Setelah mendapat berita Khalid al Walid meninggal dunia maka Umar al Khattab berasa sedih lalu berkata. “Khalid al Walid itu telah menjadi raja di hati umat Islam. Tuhan memberi rahmat kepada Abu Bakar sehingga dia lebih tahu mengenai lelaki itu daripada aku.”

Sebelum Khalid al Walid meninggal dunia Saidina Umar al Khattab ingin melantiknya semula menjadi ketua panglima tentera Islam tetapi sebelum perlantikan itu dibuat beliau meninggal dunia.

Gambar Syalini Ashley bersama kakaknya Syamimi Azmira. Disalin dari blog Syamimi http://cetusankasih.blogspot.com/



7 comments:

zino said...

nampak nya ada beberapa lagi buku pak latip belum menjadi koleksi kami .. nak kena cari nanti tu hehe

walid said...

Pak Latip
Saya sudah baca kisah Umar memang menarik. Sekarang sedang cari Ali bin Abu Talib. Selepas ini kisah apa pula yang terbit?. Tahniah kerana pandai mengarang novel sejarah. Pelajar di sekolah saya juga tertarik membacanya.

mxypltk said...

Saya fikir Khalifah Saidina Usman paling kontrversial. Saya tak pasti adakah pembunuh-pembunuhnya dipanggil ke muka pengadilan dunia ketika itu?

Tentu menarik bagaimana Pak Latib akan menulis kembali sejarah Saidina Usman ini.

ABDUL LATIP said...

Zino,
Alhamdulillah dan terima kasih.

Walid,
Ali bin Abi Talib Mutiara Ilmu Islam sudah terbit. Selepas itu akan terbit pula kisah Uthman Affan diikuti kisah Bilal bin Rabah. Terima kasih kepada walid yang minat membaca novel sejarah Islam.

ABDUL LATIP said...

mxypltk

Novel Saidina Uthman bin Affan akan terbit tidak lama lagi. Dia memerintah selama 12 tahun. 6 tahun memerintah dengan cemerlang sehingga berjaya melumpuhkan armada Rom dan berjaya menakluk hingga ke negara Eropah. tetapi 6 tahun kemudiannya timbul kacau bilau sehingga beliau dibunuh oleh mereka yang menentangnya.

Ketika itu Saidina Uthman Affan sudah terlalu tua untuk memikul tanggung jawab sebagai khalifah. Ramai yang mengambil kesempatan antaranya Abdullah bin Sabak yang berjaya menimbulkan rasa benci orang ramai terhadap khalifah.

Tetapi saya berpendapat yang paling kontraversi semasa pemerintahan Saidina Ali bin Abi Talib sehingga berlaku peperangan sesama Islam. Pasukan tentera Saidina Ali berperang dengan pasukan tentera Aisyah. Kemudian berperang pula dengan pasukan tentera Muawiyah bin Abu Sufian. Umat Islam ketika itu berpecah belah sehingga muncul golongan Khawarij, Syiah dan Ahli Sunnah.

Mengenai pembunuh Saidina Uthman Affan tidak dapat dihukum tetapi terbunuh dalam peperangan.

Sy@M!M! ^ AzM!r@ said...

Salam,

wah, bukan main seronok lagi adik saya bila baca posting pak latip ni. Memang dari dulu lagi dia (syalini ashley) minat membaca sejarah Islam tetapi agak sukar untuk mendapatkan karya-karya yang berbentuk Sejarah di luar sana. Terutama apabila gaya penceritaan tersebut dapat menarik minat remaja belasan tahun.

Saya pun sudah tertarik dengan karya pak latip apabila melihat si adik begitu beria meminatinya sehinggakan sanggup mencari di pelbagai kedai buku jika terdapat keluaran yang terbaru.

Tahniah Pak Latip! Teruskan usaha dalam memartabatkan dunia penulisan yang berunsur Islamik :)

ABDUL LATIP said...

Syamimi Azmira kakak kepada Syalini Ashley?. Terima kasih kerana sudi berkunjung dan meninggalkan jejak di blog saya.

Syalini Ashley seorang pelajar yang bijak dia mengirim emel kepada saya untuk bertanyakan mengenai novel sejarah Islam yang dibacanya.

Dia juga menceritakan kejayaannya dalam peperiksaan UPSR yang lalu. Semoga dalam peperiksaan yang seterusnya dia sentiasa mendapat keputusan yang cemerlang.

Saya berasa amat bangga apabila pelajar bijak seperti Syalini Ashley minat membaca novel sejarah Islam.