Thursday, March 12, 2009

DEMAM DARI GUA KOTA GELANGGI

Kota Gelanggi merupakan kompleks yang mengandungi lebih 100 buah gua setiap gua disebut “kota” kerana bentuknya bagaikan sebuah kota. Cuma kira-kira 30 buah gua saja yang dibuka kepada orang ramai kerana faktor keselamatan antaranya Kota Tongkat, Kota Kepayang, Kota Bukit, Kota Rebut, Kota Gelap, Kota Angin, Kota Balai, Kota Papan, Kota Jin dan Kota Lena. Semua gua-gua tersebut dikenali dengan nama Kota Gelanggi.

Sesiapa yang hendak memasuki gua-gua tersebut dinasihatkan membawa pemandu pelancong atau penduduk tempatan yang arif mengenai selok belok gua tersebut. Mereka juga dinasihatkan membawa lampu gasolin atau lampu limpah bukan lampu suluh biasa kerana keadaan di dalam gua itu PH kegelapannya terlalu pekat. Penduduk tempatan ramai yang percaya Kota Gelanggi dijaga oleh makhluk bunian dan Sang Kelembai. (Jin).


Ramai yang percaya, Suatu ketika dahulu Kota Gelanggi merupakan sebuah kerajaan yang besar bertukar menjadi batu akibat disumpah oleh Sang Kelembai. Dalam gua-gua tersebut terdapat banyak batu berbentuk manusia, binatang, perabut termasuk kolam mandi dan sebagainya.

Ahli sejarah W.Cameron mengatakan Kota Gelanggi merupakan peninggalan sejarah yang telah bertukar menjadi batu. Tun Seri Lanang penulis Sejarah Melayu pula mengatakan Kota Gelanggi berasal dari sebuah kerajaan yang telah wujud sebelum Temasik (Singapura) dan Melaka. Nama kerajaan itu ialah Ganggayu dan pernah diperintah oleh Raja Chulan. Kerajaan ini dikalahkan oleh Raja Suran. Peperangan antara angkatan Raja Suran dengan angkatan Raja Chulan ini ada diceritakan dalam Sejarah Melayu. Pahang juga dikenali dengan nama Inderapura.


Semasa menjejak Pahlawan Mat Kilau di Pulau Tawar, Kota Gelanggi adalah tempat yang terakhir saya lawati setelah menziarahi kubur Mat Kilau dan tempat-tempat bersejarah yang lain.

Ketika sampai di Kota Gelanggi hari sudah petang. Waktu melawat Cuma dibenarkan sehingga jam 6 petang. Tetapi kerana saya datang dari jauh dan setelah membuat rayuan kepada petugas yang menjaga kawasan tersebut akhirnya dibenarkan juga melawat gua-gua itu dalam masa yang singkat.


Sempat jugalah saya merakamkan gambar gua-gua tersebut. Kemudian saya memasuki Gua Balai. Menurut ceritanya Gua itu dijadikan tempat bertapa serta tempat berkumpul Pahlawan Mat Kilau dengan rakan-rakan seperjuangannya. Keadaan dalam gua itu terlalu gelap pekat. Tambahan pula ketika itu hampir senja. Setelah bergambar di pintu gua itu saya beranikan diri melangkah masuk. Tetapi baru saja beberapa langkah masuk ke dalam tiba-tiba badan berasa seram sejuk dan bulu roma tiba-tiba naik meremang. Saya mengucapkan “Assalamualaikum” lalu terus keluar dari gua itu.

Mungkin secara kebetulan, sebab sekarang musim orang ramai demam, balik dari melawat Gua Kota Gelanggi saya kena demam yang agak teruk.

Setelah berubat di hospital kerajaan dan kemudiannya klinik swasta dan setelah mengamalkan membaca surah al Mulk, ayat Kursyi dan akhir surah al Hasr selepas sembahyang, akhirnya demam itu sembuh dengan izin Allah. Alhamdulillah.

Terima kasih juga diucapkan kepada sahabat-sahabat yang turut mendoakan kesihatan saya. Doa dari sahabat kepada sahabatnya dimakbulkan Tuhan.

“Ya Allah, diberikan hambamu ini, Pak Latip kesihatan yang baik dan kekuatan untuk berkarya. Moga dia dilindungi dari niat jahat manusia, gangguan jin dan syaitan. Amin.” - SMS dari Puan Asma Fadila (PTS Litera)

"Ya Allah ya Tuhan yang Maha Pembuka Jalan, berilah kekuatan kepada sahabat hamba ini untuk beliau terus menulis demi memandaikan bangsa & mendaulatkan Islam di persada dunia. Amin ya Allah." –Web Sutera (dalam blognya)

“Semoga bang Latip di beri kesehatan sehingga bisa terus berkarya dan memberikan pencerahan" - Rie-Rie dari Hongkong.

"Berjaga-jagalah dan semoga sihat selalu selepas kejadian ini"- JahRera (Halela Okinawa).

Dan juga sahabat-sahabat lain yang tidak disebutkan namanya. Syukur dan terima kasih.






6 comments:

JahRera said...

Berjaga-jagalah dan semoga sihat selalu selepas kejadian ini.

ABDUL LATIP said...

JahRera
Terima kasih atas ingatan dan doa. Bila nak pulang ke Malaysia :)

zino said...

bila agaknya sejarah mat kilau akan terbit..

ABDUL LATIP said...

Zino,
Novel kisah Mat Kilau terbit tahun ini. InsyaAllah.

ainon mohd said...

Hmm... menariknya cerita gua ini.

ABDUL LATIP said...

Puan Sifu Ainon Mohd
Memang menarik cerita gua Kota Gelami. Saya cadangkan Tuan Muhamad Kholid tulis novel berlatar belakangkan tempat ini. Saya sedang menulis kisah Pahlawan Mat Kilau :)