Umar al Khattab tidak pernah mendapat pendidikan sekolah, apa lagi merantau ke pelosok negeri untuk menuntut ilmu. Tetapi dia berjaya memberi contoh kepada kaumnya dalam mengurus pemerintahan dan kekuasaan yang penuh dengan keadilan, kebijaksanaan, keutamaan dan berlandaskan Islam.
Sebelum memeluk Islam, Umar dikenali di kalangan kaumnya sebagai utusan yang mampu berdiskusi, berdialog dan menyelesaikan pelbagai urusan. Dia juga pedagang yang mahir dan tekun dalam perdagangannya. Umar dikenali sebagai orang yang mempunyai peribadi kasar, kukuh dalam memegang prinsip dan berkedudukan tinggi. Oleh kerana itulah dia digelar Al-Faruq.
Selepas memeluk Islam, Umar bertanya kepada Rasulullah SAW, "Ya, Rasulullah, mengapa kita bersembunyi dalam menyiarkan agama Islam?. Pada hal kita berada di atas kebenaran."
Rasulullah SAW menjawab, "Jumlah kita sedikit dan kamu dapat melihat sendiri apa yang selalu mereka lakukan terhadap kita."
Umar berkata lagi, "Demi yang mengutus engkau dengan hak, aku berjanji bahawa tiap-tiap tempat yang pernah aku sebarkan kekafiran, akan aku datangi untuk menyebarkan keimanan."
Pada suatu hari Rasulullah SAW bersama para sahabatnya menuju ke Kaabah dengan dua barisan. Barisan pertama dipimpin oleh Hamzah bin Abdul Mutalib dan kedua dipimpin oleh Umar al Khattab. Ketika melihat kedatangan mereka kaum Quraisy berasa marah tetapi tidak berani berbuat apa-apa kerana bimbang tindak balas daripada Hamzah dan Umar. Sejak itul Rasulullah SAW memberi gelaran Al-faruq bererti pembeza di antara hak dengan batil kepada Umar al Khattab.
Ketika kaum Muslimin hijrah ke Madinah, mereka meninggalkan kota Mekah secara bersembunyi kecuali Umar al Khattab. Dia berhijrah secara terang-terangan. Dia berkata kepada orang-orang Quraisy, "Aku akan meninggalkan Makkah berhijrah ke Madinah. Barang siapa yang ingin menjadikan ibunya kehilangan puteranya atau ingin anaknya menjadi yatim, silakan menghadang perjalanan aku!"
Tidak seorang pun yang berani menyahut cabaran Umar al Khattab. Itulah kekuatan dan keberanian yang dimiliki Umar al Khattab. Ketokohan Umar turut terserlah ketika peristiwa Siti Aisyah difitnah. Rasulullah SAW bertemu beberapa sahabat untuk meminta pandangan mereka. Umar berkata, "Ya, Rasulullah, siapakah yang mengahwinkan Rasulullah dengan Aisyah?"
Nabi SAW menjawab, "Allah."
Umar bertanya lagi, "Apakah Allah menipu engkau Wahai Rasulullah?"
Selepas itu turun wahyu Surah an-Nuur, ayat 16 yang menafikan berita tersebut kerana Fitnah.
Umar al Khattab yang terkenal dengan sifat bengis, keras dan ganas, berubah setelah memeluk Islam. Keperibadiannya lebih cemerlang selepas dilantik menjadi khalifah.
“Janganlah kamu menyangka sifat kerasku berkekalan. Sejak awal ketika aku bersama Rasulullah SAW, aku selalu menjadi penjaga keamanan dan ketenteraman. Aku orang yang paling lemah di hadapan yang hak,” kata Umar al Khattab ketika dilantik menjadi khalifah.
Pada suatu hari, seorang utusan Kaisar menemuinya. Ketika itu Umar sedang tidur berbantalkan batu. Melihat hal itu, utusan Kaisar berkata kepadanya: “Wahai Umar, sungguh anda berlaku adil. Oleh kerana itu anda dapat tidur dengan nyenyak dan aman.”
Abdullah Ibnu Mas’ud berkata: “KeIslaman Umar adalah perintis jalan. Hijrahnya adalah kemenangan, sedangkan kepemimpinannya adalah rahmat."
Setelah Palestin dikuasai kaum Muslimin, Umar al Khattab ke Baitulmaqdis untuk menerima kunci kota daripada penguasa. Pada waktu itu, Umar hanya mengenakan pakaian biasa dan berjalan kaki sambil menuntun sendiri kudanya.Penduduk Baitulmaqdis termasuk rahib dan pendeta berdiri berderet di sepanjang jalan untuk menyaksikan Khalifah Amirul Mukminin.Tetapi alangkah terkejut dan hairannya mereka menyaksikan Umar dalam keadaan amat bersahaja. Mereka sama sekali tidak menyangka orang yang sedang mereka lihat itu adalah Amirul Mukminin.
Rasulullah SAW bersabda, “Sesungguhnya aku mempunyai dua penasihat dari langit dan dua penasihat dari bumi. Dari langit ialah Jibril dan Mikail, dari bumi Abu Bakar dan Umar."
Dalam hadis lain Nabi bersabda: “Sesungguhnya syaitan lari apabila berjumpa dengan Umar.”
Pada suatu hari, Hafsah Ummul Mukminin berkata kepada Umar: “Apabila datang utusan dari negeri lain hendaknya engkau mengenakan pakaian yang elok dan suruhlah dibuatkan makanan yang lazat untuk dihidangkan kepada anda dan tetamu."
Umar menjawab: “Hai Hafsah, tidakkah kamu tahu yang paling mengetahui mengenai seseorang adalah isterinya?”
Hafsah menjawab: “Ya, benar.”
Umar berkata lagi: “Tahukah kamu sesudah Rasulullah SAW menjadi nabi beberapa tahun lamanya, Baginda dan keluarganya tidak pernah kenyang makan?. Baginda tidur beralaskan kain sahaja?. Tahukah kamu ketika Bilal azan untuk solat, Rasulullah SAW tidak segera keluar kerana menunggu pakaiannya yang dicuci belum kering? Aku akan bersabar meniru kehidupan Rasulullah."
Dia selalu berdoa: “Ya, Allah, seperti Engkau tahu, aku ini berwatak keras. Oleh kerana itu lunakkanlah aku. Aku ini lemah, ya Allah, maka kuatkanlah aku. Aku ini kikir, maka jadikanlah aku hamba-Mu yang pengasih, pemurah dan dermawan.”
Ketika berlaku kemarau panjang Umar berdoa: “Ya, Allah? janganlah Engkau jadikan kebinasaan umat Muhammad SAW di tanganku.”
Selepas usiaku makin tua, dia berdoa: “Ya Allah, usiaku makin tua, kekuatanku makin surut, rakyatku makin menyebar luas, maka wafatkanlah aku tanpa mensia-siakan dan melalaikan tanggungjawabku.”
Setelah memerintah selama 10 tahun 6 bulan 4 hari. Khalifah Umar al Khattab meninggal dunia setelah berjaya menundukkan kuasa Rom dan Parsi serta berjaya membuat pembaharuan terhadap pemerintahan Islam.
3 comments:
Umar al Khatab adalah seorang teladan... keberaniaannya membela agama ILLAHI dan RASUL-NYA adalah teldan bagi kita.
Bang Ciwir,
Terima kasih sudi berkunjung ke blog saya. Saya juga sudah berkunjung ke blog Bang Ciwir.
suke kisah ni
penulis ni diminati kawan kawan saya. baru sekarang sy baca buku penulis.. memang best.
Post a Comment