Sunday, April 6, 2008
PESTA BUKU ANTARABANGSA 2008
Pesta Buku Antarabangsa 2008 bermula 4hb hingga 13hb. Seperti tahun-tahun yang lalu, ramai yang datang terutama pada hari Sabtu dan Ahad sehingga terpaksa bersesak-sesak. Bagaimana agaknya Kalau booth PTS terletak berhampiran dengan pintu masuk utama?. Tentulah lebih sesak kerana walau terletak agak jauh di seberang sungai tetap dikunjungi ramai.
Puan Ainon kelihatan ceria dan senyum lebar kerana banyak buku-buku PTS yang laku keras. Menurut beliau hampir 200 penulis menerbitkan karya dengan PTS. Banyak judul buku yang habis dijual pada hari pertama pestabuku. Alhamdulillah.
Sesuai dengan namanya pesta buku maka inilah peluang untuk membeli buku, bertemu rakan-rakan penulis, mempromosikan novel serta berjumpa dengan pembaca.
Giliran saya berada di booth PTS pada 5hb (Sabtu) dari jam 3 hingga 4 petang. Turut berada di sana beberapa orang penulus PTS antaranya Prof. Muhamad Kamal Ibrahim penulis Travelog Haji,Imran Yusuf Tip-Tip Poligami dan Meredah Samudera, Firdaus Arif Sayap Adinila, Zaid Akhtar Salju Sakinah dan Zamri Mohamad Rahsia Bisnes Mamak yang mana kesemua karya mereka sedang laris di pasaran.
Sempat juga berjumpa seorang penulis dari Indonesia Asma Nadia. Dia juga mewakili penerbit Mizan di Jakarta yang banyak melesen novel-novel PTS. Sambil membelek-belek novel sejarah Islam dia berkata alangkah baiknya kalau novel itu dilesen oleh Mizan tetapi saya katakan telah dilamar oleh penerbit Salamadani.
Alhamdulillah, pestabuku 2008 ini masih ramai yang membeli novel sejarah Islam.
Seorang lelaki yang datang dari Singapura mengatakan novel sejarah Islam termasuk Si Bongkok Tanjung Puteri dan Setelah Roboh Kota Melaka ada dijual di kota singa itu.
“Saya dah baca novel-novel sejarah Islam dan gembira dapat bertemu dengan penulisnya,”kata lelaki itu.
Seorang guru wanita dari Johor pula membeli kesemua novel-novel saya termasuk Hikayat Amir Hamzah jilid satu dua dan tiga. Setelah membayar secara tunai dia meminta PTS mengirimkan kepadanya melalui pos kerana sudah banyak buku-buku yang dibelinya sehingga tidak larat hendak membawanya.
Beberapa orang pelajar yang sudah membaca novel-novel sejarah Islam datang bertanya bagaimana cara menulisnya.
Kerana seronok berbual, bergambar dan menandatangani novel-novel yang dibeli tidak sedar jam sudah pukul 5 petang. Terus ke majlis pelancaran MBOOK.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment