Sunday, March 9, 2008

PERTANYAAN PEMBACA

24hb Mac 2008





Pak Latip,

Setahu saya Si Bongkok mati kerana membunuh diri. Tetapi kenapa dalam novel Si Bongkok Tanjung Puteri Si Bongkok mati tidak membunuh diri?. Harap Pak Latip dapat memberi penjelasan.

Peminat novel sejarah
Kuala Lumpur.

-------------------------------------------------

Saya bukanlah orang pertama yang menulis kisah Si Bongkok Tanjung Puteri kerana sebelum ini En. Shaharom Husain pernah menulisnya dalam bentuk teater atau drama pentas.

Menurut En Shaharom Husain dalam bukunya Memoir Selingkar Kenangan Abadi Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia 1996,

“Drama Si Bongkok Tanjung Puteri yang diterbitkan pada tahun 1961 adalah hasil penyelidikan saya terhadap orangt tua dan tokoh tempatan, tempat berlakunya cerita itu. Di samping itu saya melihat sendiri kesan yang masih wujud serta menimba fakta sejarahnya daripada hikayat Abdullah dan Hikayat Pelayaran Munsyi Abdullah ke Pantai Timur.” (rujukan m.s 298)

Tetapi novel Si Bongkok Tanjung Puteri itu bukan adaptasi daripada teater Si Bongkok Tanjung Puteri. Nama-nama watak memang wujud persamaan tetapi dialog dan jalan ceritanya jauh berbeza.

Sebelum menulis novel itu saya juga membuat kajian sendiri daripada buku-buku dan orang perseorangan yang masih hidup. Kebetulan pula saya mempunyai beberapa orang saudara sebelah ayah di Johor Bahru. Dari cerita lisan yang dikumpulkan itu, memang benar ada yang mengatakan Si Bongkok Tanjung Puteri mati membunuh diri kerana sebab-sebab berikut:

1. Si Bongkok tidak sampai hati membunuh adik kandungnya sendiri iaitu Panglima Putih.

2. Si Bongkok berasa amat kecewa apabila Sultan Ali, putera Sultan Husain Muhamad Syah berjaya dipujuk oleh British supaya berbaik dengan Temenggung.

Namun ada juga cerita lisan yang mengatakan Si Bongkok Tanjung Puteri tidak mati membunuh diri. Tetapi ditikam oleh adiknya Panglima Putih.

Dan cerita yang ketiga mengatakan Si Bongkok tertikam oleh senjatanya sendiri.

Dalam teater Si Bongkok Tanjung Puteri karya En Shaharom Husain, semasa bertarung dengan adiknya Panglima Putih Si Bongkok tergelincir jatuh lalu keris di tangannya tertikam dadanya sendiri.

Dalam novel pula Si Bongkok ditikam oleh adiknya Panglima Putih.

Saya lebih meyakini Si Bongkok ditikam oleh adiknya sendiri. Mustahil seorang panglima yang hebat boleh tertikam senjatanya sendiri. Dan lebih tidak menasabah dia membunuh diri.

Antara salah satu sebab mengapa pahlawan Melayu Johor itu dipandang serong sehingga kuburnya terletak jauh dalam hutan dan terbiar tidak dipedulikan kerana menganggap dia membunuh diri. Dalam Islam orang yang membunuh diri tidak diampunkan dosanya.

Tetapi benarkah Si Bongkok membunuh diri?. Mungkinkah cerita itu sengaja direka-reka oleh mereka yang membenci perjuangan pahlawan itu?.

Bagaimana pula dengan cerita lisan yang mengatakan Si Bongkok bukan mati bunuh diri?.

3 comments:

Umi Kalthum Ngah said...

Assalamualaikum warahmatullah,

Encik Abdul Latip Talib,

Saya tertanya-tanya mengapa blog yang satu lagi tidak dikemaskini.

Rupa-rupanya ada satu lagi di sini..

Terima kasih di atas ucapan...

Wasalam.

zino said...

rasanya macam pernah baca hikayat si bingkok ni dulu..

zaidee said...

salam...
dalam novel yang tuan tuliskan...si bongkok berada didalam zaman pemerintahan temenggung abd rahman yang berebutkan pemerintahan dengan tengku ali...tetapi didalam sejarah mengatakan temenggung daeng ibrahim yang berebutkan kuasa dengan tengku ali...temenggung abd rahman ketika itu sudah mangkat...