Saturday, March 1, 2008

SI BONGKOK TANJUNG PUTERI

Saya baca tulisannya, Bismillah..Alhamdulillah, segala puji untuk Allah. Inilah kubur Si Bongkok Tanjung Puteri...banyak tulisan yang sudah kabur...

Nama Si Bongkok Tanjung Puteri selalu disebut apabila lagu Tanjung Puteri berkumandang. Dan nama itu masih diingat orang ramai sampai sekarang. Tetapi ramai yang tidak tahu di mana kuburnya. Malah penduduk Belungkur sendiri ada yang tidak pernah menjejakkan kaki ke tanah perkuburan pahlawan itu walaupun mereka percaya Si Bongkok Tanjung Puteri itu sememangnya wujud dan kuburnya ada di lereng bukit Tanjung Puteri.

Menurut salah seorang penduduk Belungkur Puan Asmah Ahmad 50 tahun, di situ terdapat dua tanjung iaitu Tanjung Belungkur Dan Tanjung Puteri. “Di bukit Tanjung Puteri ini ada gua tempat persembunyian Si Bongkok,” kata Encik Ramzdan Sakyun 47 tahun yang membawa saya ke pusara Si Bongkok Tanjung Puteri.Menurut Encik Ramzdan, Moyangnya yang bernama Uteh Jantan (Pak Teh Jantan) orang yang mula-mula menjumpai mayat Si Bongkok Tanjung Puteri di tepi pantai.

Kemudian mayat itu dikebumikan oleh penduduk kampung tersebut di lereng bukit Tanjung Puteri.Di Situ Cuma ada sebuah kubur sahaja dan untuk sampai ke sana bukannya mudah kerana terpaksa meredah semak samun dan denai. Kerana itu tidak hairanlah kubur itu terbiar ditumbuhi pokok-pokok kayu.

Menurut Encik Khalid Saidon 55 tahun, yang dilahirkan di Belungkur, ramai orang luar yang pulang hampa kerana tidak dapat mencari kubur Si Bongkok Tanjung Puteri. Mujur saya dapat memujuk Ramzdan supaya membawa saya ke tempat tersebut.“Biasanya saya dibayar antara RM 40 ke RM60 kerana susah hendak ke sana,” katanya berterus terang.Setelah berjalan kaki meredah belukar dan kawasan denai selama kira-kira setengah jam barulah kami sampai ke sebuah kubur lama.

Mujur masih ada penanda dua batang kayu yang sudah reput tinggal sejengkal. DI bahagian kepalanya ada tulisan yang mengatakan itulah pusara Si Bongkok Tanjung Puteri.Saya lihat pada tulisan itu ada tercatat tarikh 23.1.1981. Menurut Puan Asmah, ayah mertuanya arwah Pak Saidon Wahab pernah bermimpi Si Bongkok menyuruh dia menandakan kubur itu kerana sebelum itu tidak pernah bertanda. "Maka pak mertua saya pergilah menandakan kubur itu.

Ditanamnya dua batang kayu cengal pada bahagian kaki dan kepala kubur itu. Kemudian ditulisnya pada sekeping kayu sebagai batu nisannya. Itu adalah tarikh ditandakan kubur itu kerana dia pun tidak tahu bila Si Bongkok Tanjung Puteri meninggal dunia ,” katanya.Dari penemuan kubur tersebut dan dari cerita penduduk Belungkur memang sahlah Si Bongkok Tanjung Puteri sememangnya wujud.

Alangkah baiknya kalau kubur itu dipelihara sebagai peninggalan sejarah.

2 comments:

blacklatio said...

Saya pernah tinggal di Bandar Penawar selama 6 tahun..tak tau pulak ada kubur Si Bongkok di Belungkur.. tapi kisah kepahlawanan beliau sememangnya patut dibukukan dan diarkibkan..

Unknown said...

Selamat sejahtera Pak Latip,saya telah membaca novel Si Bongkok Tanjung Puteri yang ditilis oleh Pak Latip,dalam buku itu tidak menerangkan nama asal Si Bongkok... apa nama asal Si Bongkok??