Penulis perlu menghormati pendapat pembaca. Itu saya akui. Tetapi apabila pembaca mengirim emel minta penjelasan maka saya perlu menjawabnya. Saya jawab di blog ini supaya dapat dikongsi bersama dengan pembaca yang lain.
Saya sudah membaca novel Umar al Khatab Refomis Dunia Islam. Di sini saya ingin membuat teguran mengenai kisah Umar al Khattab menanam anak perempuannya hidup-hidup seperti yang terdapat dalam novel itu. Kisah itu tidak pernah berlaku dan mustahil berlaku tetapi sengaja diada-adakan oleh musuh-musuh Islam dengan tujuan untuk mencemarkan nama baik sahabat nabi itu. Sepatutnya penulis merujuk dulu kepada ayat al Quran dan al Hadis.
Saya ingin bertanya pengarang, adakah kisah Umar al Khattab menanam anak perempuannya hidup-hidup itu terdapat dalam hadis?. Padahal Umar al Khattab hidup pada zaman nabi.
Hujah yang kedua. Kalau Umar al Khattab menanam anak perempuannya hidup-hidup, kenapa Hafsah dan beberapa orang lagi anak perempuannya yang dilahirkan semasa jahiliyah tidak ditanam hidup-hidup?. Tidakkah penulis terfikir perkara itu sengaja diada-adakan oleh mereka yang sengaja hendak memburukkan sahabat nabi itu?.
Sahabat nabi adalah mereka yang pernah hidup pada zaman Nabi Muhamad SAW. Mereka semua dinamakan sahabat nabi. Sahabat nabi tidak boleh dicela atau diburuk-burukan . Jika pun benar ada di antara mereka yang pernah melakukan kesilapan, itu antara mereka dengan Tuhan, kita tidak boleh menyebarkannya.
---------------------------------------------------------------
Jawapan saya.
Assalamualaikum Warahmatullahi wabarakatuh
Terlebih dulu saya mengucapkan syukur kepada Allah SWT, kerana dengan izin dan limpah kurniaNya dapat menulis kisah sejarah Islam dalam bentuk novel. Terima kasih kepada penerbit PTS yang menerbitkan novel tersebut. Dan terima kasih kepada pembaca yang membeli dan membacanya.
Saya selalu ditanya, apa tujuan saya menulis novel sejarah Islam?. Tujuannya tidak lain untuk menceritakan semula kisah-kisah sejarah itu dalam bentuk novel supaya mudah dibaca terutama oleh anak-anak muda. Tambahan pula novel sejarah Islam ini belum ramai yang menulisnya.
Menulis novel sejarah mestilah ada fakta-faktanya kerana tidak boleh direkacipta. Fakta-fakta itu terdapat dalam buku-buku sejarah.
Saya cuma menceritakan semula kisah sejarah itu berdasarkan fakta-fakta popular yang dikutip dari buku-buku sejarah. Saya tidak mampu untuk menulis semula sejarah dalam bentuk baru.
Sebagai contoh, kisah Umar al Khattab menanam anak perempuannya hidup-hidup. Itu adalah fakta popular yang terdapat dalam banyak buku sejarah. Kisah itu sudah diceritakan oleh penulis buku-buku sejarah Islam semenjak dahulu. Saya cuma menceritakannya semula kisah tersebut dalam bentuk novel.
Kerana itu pembaca perlu menilainya dari sudut ilmu sejarah bukan dari hukum ilmu tasawuf.
Dalam ilmu sejarah kebenaran itu dapat dibuktikan melalui catatan sejarah.
Menurut Prof Teeuw, dalam karya sejarah yang paling ilmiah sekalipun ada aspek yang subjektif yang tidak dapat dibuktikan kebenarannya. Hal ini disebabkan, Fakta sejarah tidak pernah disampaikan kepada kita dalam keadaan murni kerana sentiasa dihias melalui fikiran si pencatat.
Menurut Lamarque, sejarah dihasilkan dengan niat menggambarkan semula peristiwa masa lalu secara yang sebenar-benarnya. Penulisan novel sejarah berdasarkan ketepatan fakta, kebenaran dan ketetapannya.
Bagi umat Islam rujukan paling tepat adalah al Quran dan al Hadis. Tetapi kisah Umar al Khattab menanam anak perempuannya hidup-hidup memang tidak terdapat dalam hadis. Tetapi ada diceritakan dalam buku-buku sejarah. Itu fakta yang popular.
Menanam anak perempuan hidup-hidup memang berlaku pada zaman Arab Jahiliyah. Tetapi tidak semua anak perempuan ditanam. Kerana itu turun wahyu melarang membunuh anak perempuan.
“Dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana takut kemiskinan. Kami yang memberi rezeki kepada mereka dan juga kamu. Sesungguhnya membunuh mereka adalah satu dosa yang besar.” (Al Isra’ ayat 31)
“Apabila bayi-bayi perempuan dikuburkan hidup-hidup akan ditanya apakah dosa mereka dibunuh?” (at Takwir ayat 9)
Kisah Umar al Khattab menanam anak perempuannya hidup-hidup berlaku ketika dia masih jahiliyah. Jika perkara itu memang benar berlaku tidak menjatuhkan maruahnya kerana ketika itu dia belum memeluk Islam.
2 comments:
Hasnah,
Terima kasih di atas pejelasan tuan. Saya terima. Kisah Umar al Khattab menanam anak perempuannya hidup2 sengaja diperbesar-besarkan oleh musuh Islam.
--------------------------------
Puan Hasnah,
Terima kasih kerana menerima penjelasan saya.
Memang benar ada yang cuba menjejaskan nama baik Saifina Umar al Khattab dengan mereka-reka cerita yang tidak menasabah.
Sebagai contoh, dalam kitab al Jawahir al Mauhub ada diceritakan kisah semasa Saidina Umar al Khattab menjadi khalifah pernah menjatuhkan hukuman rotan terhadap seorang anaknya yang bernama Abu Syahmah kerana dituduh meminum arak dan melakukan zina.
Kitab itu selalu dibaca oleh Tok Imam di masjid malah ada penceramah yang menceritakannya dalam satu forum perdana.
Tujuannya memang baik iaitu untuk menunjukkan betapa Saidina Umar al Khattab itu seorang yang tegas sanggup menjatuhkan hukuman hudud ke atas anaknya sendiri.
Tetapi kisah tersebut tidak benar. Ia sengaja direka untuk mengaibkan Saidina Umar Al Khattab yang paling cemerlang pemerintahannya. Cerita itu seolah mengayakan Umar al Khattab sendiri tidak mampu mendidik anaknya.
Tidak ada seorang pun anak Saidina Umar al Khattab bernama Abu Syahmah. Walaupun ada yang mengatakan Abu Syahmah itu gelaran anak khalifah yang bernama Ubaidillah. Itupun tidak boleh diterima kerana Ubaidillah seorang lelaki yang warak.
Menurut ceritanya Abu Syahmah yang dihukum rotan 100 kali itu meninggal dunia. Sedangkan Ubaidillah masih hidup sehingga ayahnya meninggal dunia. Kerana itu kisah tersebut saya tidak masukkan.
adakah novel yg berikut:::("Askar Melayu menunjukkan keberanian dan semangat keperwiraan yang hebat di mana seramai 152 anggota Askar Melayu, termasuk 7 pegawai Melayu dan 6 orang pegawai British yang dipinjamkan ke Rejimen Askar Melayu terkorban. Antara pegawai Askar Melayu yang terkorban itu adalah Leftenan Adnan bin Saidi.")
FAKTA diatas yg takperlu di bukukan kerana : Askar melayu bersama askar British, ia tidak mencerminkan penulis Islam yg syumul ....dan fakta itu salah dan telah dibuktikan......
Post a Comment