Thursday, October 30, 2008

DAPAT HADIAH NOVEL IMAM

Seorang pembaca blog ini Tuan Fazli Hashim mengirim emel menceritakan beliau sudah puas mencari novel IMAM karya SN Datuk Abdullah Hussain tetapi masih belum dapat.

“Saya sanggup membayar 200% harga asal novel itu termasuk belanja pos sekiranya saudara dapat mencarikannya untuk saya,” beritahu Fazli dalam emelnya.

Saya menghubungi ujanailmu.com bertanyakan novel tersebut. Masih ada dalam stok. Lalu saya memaklumkan kepada Fazli supaya berhubung terus dengan ujanailmu.com.

“Saudara tak perlu membayar lebih kerana harganya Cuma RM29.90 dan belanja pos RM3.00. Sekiranya saudara ada duit lebih boleh beli 2 buah hadiahkan sebuah kepada saya,” kata saya pula sekadar bergurau.

Semalam saya mendapat kiriman novel tersebut. Rupanya Fazli telah membelinya melalui ujanailmu.com lalu menghadiahkannya kepada saya. Terima kasih Fazli kerana menghadiahkan novel tersebut
.



Kebetulan saya memang ingin memiliki novel IMAM. Dulu saya pernah membelinya. Semasa berpindah ke Sarawak saya membawanya. Tetapi belum sempat membacanya Anuar Yusof Rawa (anak yusof Rawa) yang tinggal berjiran dengan saya meminjam novel tersebut. Kebetulan pula dia sedang mencari novel itu tetapi belum dapat.

Novel IMAM memenangi tempat pertama Hadiah Novel Nasional 1992/1994. Setelah novel itu diumumkan sebagai pemenang dan sebelum novel itu diterbitkan, saya sempat berbual dengan Pak Lah, ketika itu beliau masih belum bergelar SN dan Datuk. Kebetulan kami duduk satu bangku dalam bas semasa mengikuti rombongan GAPENA melawat Sumatera Barat.




Menurut Pak Lah beliau bimbang sekiranya novel tersebut menimbulkan kontroversi kerana ada beberapa perkara sensitif yang terkandung dalam novel tersebut.

Setelah pulang dari lawatan tersebut saya menulis sebuah rencana mengenai temubual itu dan tersiar dalam Utusan Zaman. Mujurlah sebelum menghantar tulisan itu kepada surat khabar saya menghubungi Pak Lah serta menghantar salinannya. Beliau telah membuang beberapa perenggan yang dianggapnya terlalu peribadi. Kerana itu apabila rencana itu tersiar Pak Lah mengucapkan terima kasih. Alhamdulillah, apa yang dibimbangkan itu tidak berlaku kerana masyarakat pembaca dapat menerimanya. Malah novel tersebut antara novel yang paling laris.


Menurut Pak Lah, judul asal novel itu IMAM MIHAD. Beliau mengambil masa lebih 3 tahun untuk menyiapkan novel setebal 900 halaman itu.




Daripada SN Datuk Abdullah Hussain juga saya mendapat beberapa petua menulis. Beliau menyatakan kebiasaannya sebelum memulakan kerja menulis akan memeram dulu bahan-bahan penulisannya dalam kepala kemudian barulah dicurahkan di atas kertas.


Beliau mengambil contoh bagaimana kelahiran seorang bayi yang mana melalui beberapa tahap sebelum dilahirkan dan jika belum cukup bulan bayi dilahirkan maka bayi tersebut dianggap premature.

Mengenai petua supaya rajin menulis, beliau mengatakan mesti menulis setiap hari paling kurang lima muka surat.




Bergambar dengan SN Datuk Abdullah Hussain semasa melawat Sumatera Barat (Minangkabau) pada tahun 1994.

2 comments:

zino said...

semuga paklatip terus aktif menulis..

ABDUL LATIP said...

Zino,

Saya akan terus menulis. InsyaAllah. Ucapan tahniah kepada Zino yang baru dapat cucu dah bergelar datok :)