Monday, June 16, 2008

KHABAR DARI SINGAPURA

Saya sekarang berada di Singapura. Semalam saya mencari Bukit Candu tempat berlakunya pertempuran terakhir antara Askar Melayu yang diketuai Leftenan Adnan dengan tentera Jepun yang berakhir dengan 42 Askar Melayu terkorban termasuk Leftenan Adnan.

Setelah dua jam mencarinya bersama adik saya Roslan (penduduk Singapura) akhirnya kami temui tempat bersejarah itu.

Singapura walau pesat membangun tetapi masih memelihara warisan sejarah antaranya Bukit Candu. Tempat tersebut telah dijadikan warisan sejarah meskipun kewujudannya tidak diketahui ramai rakyat Singapura.

Paling mengujakan semasa merayau-rayau di puncak Bukit Candu saya temui sebuah kubur lama yang masih ada batu nisan. Saya yakin disitulah Leftenan Adnan dan 42 Askar Melayu dikuburkan.

Menurut ceritanya setelah berakhir pertempuran di Bukit Candu penduduk kampung telah mendaki bukit tersebut lalu menemui 42 mayat Askar Melayu termasuk seorang pegawai berpangkat Leftenan.

Mereka telah menggali sebuah lubang besar lalu menguburkan mayat itu di situ. Adat kebiasaan orang Mekayu setiap kubur akan ditanda dengan batu nisan.

Gamabr-gambar akan menyusul kemudian.

4 comments:

cikMilah said...

Salam kembara.. semuga bertemu yang di cari dan mendapat kemudahan dalam segala hal.

ABDUL LATIP said...

Cikmilah

Saya sudah kembali ke Jelebu. Tujuan utama ke Singapura ada sedara kenduri kahwin. Lepas itu saya cari Bukit Candu kerana hendak melengkapkan maklumat mengenai novel Leftenan Adnan yang sedang saya tulis.

Doakan berjaya diterbitkan.

Iskandar Syah Ismail aka DR Bubbles said...

Salam Pak Latip,

Kalau benarlah itu kubur pahlawan askar melayu (The Malay Regiment),saya sedih sekali kerana jasad mereka tidak diberi penghormatan sepatutnya seperti mana askar-askar bersekutu yang lain yang disemadikan di tanah perkuburan khas di bawah Commonwealth War Graves Commission.

Walaupun nama-nama mereka tercatat di Memorial CWGC di Pasir Panjang, tetapi mereka hanya nama di dinding. Tiada batu nesan untuk kita melawat dan memperingati pengorbanan mereka.

Saya rasa kerajaan kita patut berusaha untuk menjalankan kerja ekskavasi dengan kerjasama kerajaan Singapura untuk meneliti sampel DNA tulang temulang di kubur berkenaan bagi mengenal pasti siapa kah mereka sebenarnya. Dan langkah seterusnya jika benar mereka adalah anggota rejimen askar melayu yang terkorban, seharusnya mereka disemadikan di tempat yang lebih mulia di tanahair.

Kalau di orang di Singapura menyanjung pengorbanan mereka dengan muzium dan sebagainya, kenapa kita tidak dapat memberi penghormatan yang sedemikian rupa?

ABDUL LATIP said...

drbubbles

Saya yakin itu memang sebuah kubur lama walau batu nisannya tidak ditulis apa2. Dan saya rasa mereka sengaja membiarkan kubur itu di situ tanpa dipulihara.

Saya pernah berbincang perkara ini dengan saudara di sana, mereka andaikan begini, Singapura menganggap Askar Melayu itu orang Malaysia, dan Malaysia pula menganggap mereka berjuang di Singapura di bawah British. Kerana itu sama-sama tidak memberi perhatian yang sewajarnya.

Walau bagaimanapun pujian harus diberi kerana mereka menjadikan Bukit Candu itu tempat bersejarah.

Di Malaysia nama Leftenan Adnan cuma diabadikan pada sekolah dan nama jalan sahaja.

Kalau kita berasa kecil hati apatah lagi warisnya...

Kerana itu kisah Leftenan Adnan saya jadikan sebuah novel semoga dapat kita sama-sama menghayati perjuangan pahlawan Melayu yang keberaniannya dipuji oleh kerajaan British itu.