KARYA-KARYAKU


Monday, February 13, 2012

Sunday, February 12, 2012

KALIMAH PERTAMA BISMILLAH


Kalimah Pertama daripada Badiuzzaman Said Nursi.

Lafaz bismillah (Dengan nama Allah) induk bagi segala kebaikan, permulaan bagi setiap urusan. Kita juga memulakan dengan bismillah. Wahai diri, ketahuilah sesungguhnya kalimah yang indah dan berkat ini, di samping menjadi syiar Islam, ia juga zikir seluruh makhluk yang ada mengikut bahasanya sendiri. Andainya engkau mahu mengetahui sejauhmana kandungan ucapan bismillah yang mempunyai kekuatan agung yang tidak pernah luput dan betapa luas keberkatannya yang tidak pernah berakhir, maka dengarlah wahai diri akan hikayat perumpamaan yang ringkas ini.

Sesungguhnya seorang badawi yang berkelana (bermusafir) di padang pasir, tentunya berlindung dengan ketua kabilah, bernaung di bawah naungannya agar terselamat dari segala kejahatan musuh, agar terlaksana segala tugasnya serta memperolehi segala keperluannya. Sekiranya tidak, maka ia akan kekal keseorangan, terpinga-pinga dan tercengang-cengang di hadapan musuh yang terlalu ramai dan keperluannya yang tidak terbatas.

Begini… kebetulan dua orang lelaki keluar berkelana. Salah seorang daripadanya bersifat tawadhu' dan seorang lagi pula terpedaya dengan diri sendiri. Maka yang tawadhu' itu bernaung kepada ketua, manakala yang terpedaya tadi menolak dari menerima sebarang naungan. Maka berkelanalah kedua-duanya itu di padang pasir.

Yang bernaung tadi setiap kali mendiami sebuah khemah ia menerima penghormatan dan penghargaan disebabkan kemuliaan nama ketua tersebut. Apabila ia berjumpa perompak, ia akan berkata; sesungguhnya aku berkelana di bawah naungan ketua itu, lalu si perompak tadi akan melepaskannya.

Yang terpedaya pula, ia bertembung dengan pelbagai musibah dan kecelakaan yang tidak mampu diungkapkan. Di sepanjang perjalanan ia sentiasa dalam keadaan cemas, takut dan terpinga-pinga. Lalu ia mengutuk dan mengeji dirinya sendiri.

Wahai diri yang tertipu, ketahuilah, engkaulah si badwi yang berkelana itu, dan dunia yang luas inilah padang pasirnya. Sesungguhnya kefakiran dan kedaifanmu tidak terbatas sebagaimana musuh dan kehendakmu juga tidak berkesudahan. Sekiranya demikian, maka bernaunglah dengan nama pemilik dan penguasa sebenar padang pasir tersebut, agar engkau terselamat daripada kelihatan terpinga-pinga di depan alam ini dan daripada kejinya perasaan takut bila berhadapan dengan musibah.

Ya! sesungguhnya kalimah suci bismillah umpama khazanah besar yang tidak akan pernah berkurangan isinya kerana dengan kalimah inilah kedaifanmu itu akan bergantung kepada rahmat yang maha luas bahkan terlebih luas daripada alam ini, dan dengannya juga, kefakiranmu akan bergantung kepada kuasa yang amat hebat yang mentadbir kewujudan ini bermula daripada atom sehinggalah kepada cakerawala. Sehingga akhirnya, kedaifan dan kefakiranmu itu akan menjadi syafaat di sisi yang Maha Berkuasa, Maha Penyayang, Pemilik bagi segala kemuliaan.

Sesungguhnya yang bergerak dan yang diam, yang berpagi dan berpetang, yang mengungkapkan kalimah bismillah adalah seumpama orang yang terlibat dalam ketenteraan. Ia berurusan atas nama negara dan tidak gentar kepada sesiapapun. Ia berucap atas nama undang-undang dan negara, maka terlaksanalah segala urusannya dan tetaplah pendiriannya dalam menghadapi semua perkara.

Kita telah menyebut di permulaan tadi bahawa semua makhluk ini berzikir dengan bahasanya yang tersendiri iaitu dengan menyebut kalimah bismillah… adakah ini benar?

Ya! sebagaimana engkau melihat seorang lelaki yang mengepalai orang ramai dalam satu perbarisan dan memerintahkan mereka supaya melakukan pelbagai jenis urusan, maka sesungguhnya engkau pasti bahawa lelaki ini bukan mewakili dirinya sendiri dan tidak pula mengepalai orang ramai atas nama dan kekuatan dirinya sendiri, tetapi ia sebenarnya adalah seorang askar yang bertindak atas nama negara dan berdasarkan kuasa pemerintah.

Seluruh makhluk ini juga menunaikan tanggungjawabnya dengan lafaz bismillah, maka benih-benih yang teramat kecil itu, dengan lafaz bismillah, ia menjunjung di atas kepalanya pohonan yang besar dan bebanan yang berat. Setiap pohonan ini pula berkata bismillah, lalu penuhlah dedahannya dengan buah-buahan daripada gedung rahmat Allah, lalu dipersembahkannya rahmat tersebut kepada kita. Setiap taman berkata bismillah, lalu ia seolah-olah menjadi sebuah dapur kepada kekuasaan Allah (S.W.T) yang tersedia di dalamnya makanan yang lazat… dan setiap haiwan yang mempunyai faedah dan manfaat seperti unta, kambing dan lembu pula berkata bismillah, lalu ia menjadi seolah-olah sebuah sumur yang memancutkan susu-susu yang teramat lazat, lalu dipersembahkannya kepada kita sebaik-baik dan sebersih-bersih bahan makanan di atas nama al-Razzaq. Dan akar-akar tumbuhan serta rumput-rampai mengucapkan bismillah, lalu memecahkan bebatu yang keras dengan bismillah dan menembuskannya dengan akar-akar yang menjalar lembut bagai sutera itu, lalu menundukkan setiap kesusahan dan setiap benda yang keras di hadapannya dengan bismillah dan dengan bismirrahman.

Ya! sesungguhnya menjalarnya dedahan pohon di udara, mengendong buah-buahan dan menjalarkan akar-akarnya ke batu yang keras dan ia menyimpan bahan makanan dalam kegelapan tanah… begitu juga dedaunan hijau dapat menanggung kepanansan serta bahangnya itu, lalu dapat terus kekal dalam keadaan segar. Itu semua dan yang lain daripada itu merupakan satu tamparan hebat terhadap mulut golongan materialistik yang menjadi penyembah kepada sebab dan ia juga seolah-olah suatu tempikan di hadapan muka mereka. Sesungguhnya bahan-bahan yang kamu banggakan disebabkan kekerasan dan kepanasannya juga tidak mampu memberi kesan dengan sendiri, bahkan kedua-duanya itu dapat menjalankan tugasnya atas arahan pemerintah yang satu, yang menjadikan akar-akar yang lembut dan halus ini seolah-olah tongkat nabi Musa (a.s) yang dapat memecahkan batu dan tunduk kepada perintah (Lalu Kami berfirman pukullah batu itu dengan tongkat mu), surah al-Baqarah :60 ; yang menjadikan dedaunan yang lembut dan segar seolah-olah anggota badan nabi Ibrahim (a.s) yang ketika menghadapi kepanasan membaca (… wahai api jadikanlah diri kamu sejuk dan selamat ke atas Ibrahim), surah al-Anbiya' :69.

Selagi setiap kewujudan di alam ini mengungkapkan dengan makna bismillah dan mengundang nikmat-nikmat Allah dengan bismillah, lalu dipersembahkannya kepada kita, maka wajarlah kita juga untuk mengungkapkan ucapan bismillah, apabila memberikan dan mengambil sesuatu dengan bismillah. Wajib juga bagi kita menolak pertolongan dari golongan yang lalai yang tidak memberikan sesuatu dengan bismillah.

Persoalan; kita menyatakan rasa hormat, rasa kagum kita kepada mereka yang menjadi sebab kepada nikmat yang kita perolehi. Dan apakah yang dipinta dari kita oleh Allah, Pemilik dan Penguasa semua nikmat itu?

Jawapannya; Sesungguhnya Pemberi nikmat yang hakiki meminta kita tiga perkara sebagai bayaran kepada nikmat-nikmatNya yang tidak ternilai itu iaitu zikir, syukur dan fikir.

Maka bismillah pada permulaan adalah zikir, alhamdulillah sebagai penyudah adalah syukur dan keadaan di antara keduanya (zikir dan syukur) adalah fikir iaitu dengan memerhatikan nikmat-nikmat yang indah tersebut serta menyedari bahawa ia merupakan mukjizat bagi kekuasaan Dia Yang Esa, yang menjadi tempat berserah dan juga menyedari itu semua adalah hadiah bagi sifat rahmatNya yang maha luas, maka pemerhatian inilah yang dipanggil fikir.

Tetapi…tidakkah mereka yang sanggup mencium kaki tentera yang menjadi khadam yang menyampaikan hadiah seorang penguasa, telah melakukan kebodohan yang amat dahsyat dan kedunguan yang amat keji. Oleh itu, bagaimana pula dengan mereka yang memuji sebab yang berbentuk kebendaan yang membawa kepada nikmat, lalu menyerahkan kepada sebab tersebut kasih sayang dan ketundukan tanpa mengkhususkan kedua-duanya kepada pemberi nikmat yang sebenar. Tidakkah mereka ini telah melakukan kebodohan seribu kali lebih teruk daripada contoh tadi. Wahai diri, andainya engkau tidak mahu dimasukkan ke dalam golongan yang bodoh lagi dungu tadi, maka berilah dengan bismillah, ambillah dengan bismillah, mulalah dengan bismillah dan bekerjalah dengan bismillah.

Kalimah Pertama

Oleh :

Badiuzzaman Said Nursi. Daripada Kitab al-Kalimah.

Terjemahan :

Ustaz Muhammad Zaidin Mat

Kolej Ugama Sultan Zainal Abidin, Terangganu Darul Iman, Malaysia.

Disemak :

Prof. Madya Dr. Abdol Rauh Yaccob

Jabatan Pengajian Arab dan Tamadun Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia, Selangor Darul Ihsan, Malaysia.

Sunday, February 5, 2012

KEWAFATAN RASULULLAH SAW




Setelah Nabi Muhamad SAW wafat maka para sahabat berbincang di mana mahu dikebumikan. Ada mencadangkan di kebumikan di Mekah, ada pula cadangan di kebumikan di Baitul Maqdis dan ada pula cadangan di perkuburan Baqik. Abu Bakar menemui isteri-isteri dan anak baginda bertanyakan apakah mereka ada mendengar wasiat daripada Rasulullah SAW di mana dikebumikan. Ternyata mereka tidak pernah mendengarnya. Lalu Abu Bakar as Siddiq berkata. “Saya mendengar Rasulullah SAW bersabda bahawa nabi-nabi itu dimakamkan di tempat mereka wafat.”

Dengan itu keputusannya jenazah baginda disemadikan di dalamn rumah Aisyah Kerana di situ baginda menghembuskan nafasnya yang terakhir. Jenazah baginda dimandikan oleh Saidina Ali, Al Abbas bin Abdul Mutalib, Usamah bin Zaid, Al Fadhal, Qustam dan Suqran.

Ketika sedang memandikan jasad yang mulia itu mereka tercium bau yang sangat wangi sehingga Saidina Ali berkata. “Tuan sangat harum baik ketika hidup mahupun setelah wafat."

Setelah salesai dimandi jenazah baginda dikafankan dengan tiga helai kain putih. Dua helai kain jenis Suhari buatan negerti Yaman dan sehelai lagi kain jenis biasa. Maqam baginda digali oleh Abu Ubaidah al Jarrah dan Abu Talhah al Ansari.

Jenazah baginda disemadikan pada malam hari khamis 15 Rabiul Awwal tahun ke 11 hijrah. Sejak itu makam Rasulullah SAW sentiasa dikunjungi orang ramai sehingga ke hari ini.

KELAHIRAN RASULULLAH


Kelahiran Nabi Muhammad SAW menunjukkan tanda-tanda yang luar biasa. Siti Aminah tidak berasa sakit semasa melahirkan anaknya. Biasanya, bayi yang baru lahir sudah tentu menangis, tetapi Nabi Muhammad SAW tidak menangis, dia diam sahaja. Keadaannya seperti orang berfikir. Matanya bersinar-sinar seperti sedang melihat sesuatu. Kemudian dia bersin. Aminah pula berasa sangat gembira selepas melahirkan Muhammad bagaikan mendapat harta yang banyak.

“Pada malam Aminah melahirkan bayinya, saya berada di halaman rumahnya. Saya lihat rumah itu bermandikan cahaya. Bintang-bintang seperti sangat dekat, hingga saya bimbang sekiranya bintang itu jatuh di atas kepala saya,” kata Fatimah al-Thaqfiyah, jiran yang juga sahabat baik Aminah.

Menurut Fatimah al-Thaqfiyah lagi, apabila dia masuk ke dalam rumah Aminah, dilihatnya keadaan dalam rumah itu juga terang benderang. Dia hairan melihat Muhammad. Biasanya, bayi lahir terlentang, tetapi Muhammad lahir dalam keadaan tertiarap, kepalanya mendongak ke langit, jari-jarinya terangkat-angkat seolah-olah sedang mengucapkan sesuatu, matanya juga merenung ke langit, seolah-olah ada benda yang dipandangnya.

Kisah keganjilan Muhammad itu menarik perhatian jiran tetangga. Mereka datang ke rumah Aminah bagi melihat bayi yang dikatakan luar biasa itu. Akhirnya orang ramai tidak putus-putus mengunjungi rumah Aminah. Keadaan rumah itu juga tiba-tiba sahaja berubah. Rumah yang tidak bermaya selama ini, tiba-tiba sahaja berseri-seri dipandang serta menjadi tumpuan orang ramai.

Pada waktu malam pula, rumah itu terang benderang seperti sedang diterangi bulan purnama sedangkan ketika itu bulan tidak terbit. Kaum wanita pula amat suka melihat wajah bayi yang baru dilahirkan Aminah. Mereka terpesona kerana seolah-olah ada satu tarikan pada tubuh Muhammad.

(Petikan dari Novel HIJRAH)


MADINAH KOTA CAHAYA




Madinah Kota Cahaya, Masjid Nabawi yang luasnya 84 ribu meter persegi dan boleh menampung jemaah lebih 650 ribu orang dalam satu-satu masa itu menjadi terang benderang pada waktu malam dari senja hingga ke pagi. Keindahan masjid itu makin nampak terserlah pada waktu malam.

Dinamakan Masjid Nabawi kerana Rasulullah SAW menyebutnya "masjidku". Baginda bersabda."Sembahyang di Masjidku adalah seribu kali lebih baik dari yang lain kecuali Masjidil Haram"(Imam Bukhari dan Muslim)

Di dalam Masjid Nabawi terdapat satu kawasan dikenali dengan nama Raudhah (Taman Syurga)..Sabda Rasulullah SAW maksudnya."Kawasan diantara rumahku dan mimbarku adalah satu taman daripada taman-taman syurga.Sedang mimbarku terletak diatas kolamku"( Bukhari dan Muslim)

Antara adab-adab masuk kedalam Masjid Nabawi dan menziarahi Makam Rasulullah SAW ialah sunat mandi dan memakai wangi-wangian, membaca doa sebelum masuk masjid, melangkah masuk dengan kaki kanan, Sembahyang Tahiyatul Masjid, menziarahi makam baginda serta mengucapkan salam serta menjaga tatatertib dalam masjid.



Friday, February 3, 2012

MAULIDUL RASUL




Lelaki yang dimuliakan itu bukan raja
Yatim dan Piatu semasa kecilnya
meraut kasih sayang saudara
dia tidak tahu menulis membaca.

Lelaki itu menjadi mulia
Kerana amanahnya
Kerana budi pekertinya
Kerana Tak pernah berdusta.

Lelaki itu dipuja
Kerana wahyuNya
Kerana kerasulanNya
Kerana kebenaran Kata-katanya.

Setiap 12 Rabiulawal
Lelaki itu diingat lagi
namanya disebut lagi
sirahnya di baca


Lelaki itu lebih hebat dari segala raja
hidupnya berjasa
matinya mulia

SELAMAT MENYAMBUT MAULIDUL RASUL

Wednesday, February 1, 2012

TAHNIAH PEMENANG

HADIAH ISTIMEWA ini diberikan kepada PEMINAT NOVEL SEJARAH ISLAM sebagai tanda syukur dan terima kasih di atas sokongan yang diberikan. Mengikut laporan yang dikeluarkan Universitipts.com, jumlah unit terjual pada tahun 2011 berjumlah 120,008 dengan nilai ringgitnya lebih RM 3 juta. Walau siapa pun yang terpilih pemenangnya adalah mewakili peminat-peminat yang lain.







Pilihan pertama jatuh kepada Aftiey Az-Zarqa atau nama sebenarnya Fatin Nor Izzati Binti Nazim, 18 tahun berasal dari Kuala Terengganu. Beliau pelajar di Universiti Islam Selangor. Anak sulung dari 6 beradik ini minat membaca novel sejarah Islam sejak dalam tingkatan empat. Menurutnya, novel Sultan Muhammad al Fateh adalah buku pertama yang membuka minatnya diikuti Bilal bin Rabah. Menurutnya lagi, novel sejarah Islam turut diminati oleh ayah, ibu dan adik beradiknya. Novel tersebut menjadi bacaan keluarganya.

Menurut Fatin Nor Izzati, beliau mempunyai koleksi novel sejarah Islam yang lengkap tetapi ada yang dipinjam oleh kawan-kawan dan ada pula yang tidak dipulangkan.

Ayahnya seorang peniaga, bukan sahaja memberi izin kepada Fatin Nor Izzati malah menyatakan kesanggupannya untuk mengiringi pemergian anak gadisnya ke tanah suci Mekah supaya dapat bersama mengerjakan umrah dengan perbelanjaan sendiri. MasyaAllah…

Selain koleksi novel sejarah Islam, tulisan Fatin Nor Izzati ini berjaya menyentuh hati pengadil untuk memberinya tempat sebagai pilihan pertama.

“Jika saya terpilih menunaikan umrah di Tanah Suci Mekah pastinya tidak putus-putus hati ini memanjatkan syukur. Hanya insan-insan yang dipilih-Nya yang dapat menjejaki ke Tanah Suci yang penuh berkah dan peninggalan sejarah serta nostalgia kisah-kisah umat terdahulu yang diombak rasa perjuangan. Sudah pastinya, jika diizinkan Allah, berniat dan berihram di miqat, tawaf 7 kali, bersolat di Masjidil haram yang mana pahalanya menyamai 100,000 kali ganda, menyentuh Hajarul Aswad, mengunjungi Makam Nabi Ibrahim, merasai air zam-zam dan saie diharapkan dapat menumbuhkan hati yang lebih lunak dan taqwa. Hanyalah hati yang benar-benar khusyu’ sahaja akan dilambungi rasa kecintaan, kesayuan, keikhlasan, pengertian dan merasai kehebatan berada di Rumah Allah tatkala melakukan ibadah suci ini. Semoga aku antara yang dipilih-Nya.”






Pilihan Kedua jatuh kepada Zariyatul Akmalina atau nama sebenarnya Nur Zariyatul Akmalina Binti Mohd Khalid, 20 tahun berasal dari Selangor. Beliau mula meminati novel sejarah Islam pada tahun 2008 setelah membaca Abu Bakar Sahabat Sejati. Anak ke empat dari enam beradik ini sekarang adalah pelajar di Universiti Sultan Zainal Abidin Terengganu..

Menurut Nur Zariyatul Akmalina, beliau mempunyai koleksi novel sejarah Islam yang lengkap tetapi ada yang sedang dipinjam oleh kawan-kawan dan ada pula yang tidak dipulangkan.

Ayah dan ibunya turut memberi izin kepada Nur Zariyatul Akmalina dan menyatakan sanggup mengiringi pemergian anak gadisnya ke tanah suci Mekah dengan perbelanjaan sendiri. Alhamdulillah.

Selain koleksi novel sejarah Islam tulisan Nur Zariyatul Akmalina ini telah berjaya menarik perhatian pengadil untuk menempatkannya sebagai pilihan kedua.

“Jika saya terpilih mengerjakan umrah ke Tanah Suci Mekah, saya memanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Illahi kerana dengan limpah kurnia dan 'inayahNya saya dipilih oleh Allah SWT menjadi tetamunya. Selama 20 tahun saya hidup di dunia yang fana ini, saya rasakan ibadah saya seakan-akan tiada roh. Tiada rasa haya' dan takut kepadaMu. Sesungguhnya saya ingin mencari semangat yang hilang ini. Dan ingin juga mencari kejernihan air mata yang sering mengiringi bacaan doa saya. Maka hati ini sangat-sangat teringin untuk merasai kenikmatan berdoa dan beribadat kepadaMu. Subhanallah, saya pasti terdiam seribu bahasa tatkala menatapi kaabah dihadapan saya. Akan terlukis juga kerinduan yang hadir dari hati yang dihimpit perasaan ingin dibelai Tuhan. Wallahualam.”