KARYA-KARYAKU


Sunday, November 27, 2011

TAHNIAH

Tahniah diucapkan kepada adik Muhammad Nabil Anif, 12 tahun pelajar Sekolah Kebangsaan Jitra 2 yang mendapat kejayaan cemerlang 5A dalam UPSR baru-baru ini. Beliau peminat tegar novel sejarah Islam. Mempunyai koleksi sendiri di rumahnya.

Apabila mendapat tahu saya berada di UUM Sintok, beliau mengajak ayahnya datang untuk bertemu.

“Pengetahuan sejarahnya Islamnya lebih hebat dari saya,” kata ayahnya sambil menyatakan rasa gembira dengan kejayaan anaknya.

Semoga Muhammad Nabil menjadi anak yang soleh dan pelajar cemerlang.

InsyaAllah..


















BENGKEL PENULISAN NOVEL ISLAMIK


Terima kasih dan tahniah diucapkan kepada Biro Kerohanian dan Sahsiah Universiti Utara Malaysia yang telah mengadakan Program Bengkel Penulisan Novel Islamik. Dengan adanya program seperti ini pastinya dapat menarik minat pelajar dalam bidang penulisan serta mencungkil dan memupuk bakat yang sedia ada. Semoga di suatu masa nanti dari kalangan mereka akan muncul penulis-penulis tanah air yang terkenal....





























Sunday, November 20, 2011

BENGKEL PENULISAN NOVEL







Bengkel Penulisan Novel di Universiti Utara Malaysia pada 25 November ini. Tiga slot yang akan diperkatakan iaitu


1.Menjana Idea Penulisan
2.Penulisan yang Berkualiti
3. Keusahawanan Dalam Industri Penulisan.

Semoga urusan dipermudahkan.


Saturday, November 19, 2011

Wednesday, November 9, 2011

ULAMA YANG BERANI




Pada 31 Mac 1909 berlaku rusuhan di Istanbul yang sengaja dirancang bagi menjatuhkan Sultan. Dan pada 27 April 1909 Sultan Abdul Hamid 11, yang dituduh merancang rusuhan itu telah dilucutkan jawatan. Diganti dengan Sultan Muhamad Rasyad atau Sultan Muhamad V.

Ekoran dari peristiwa itu, tentera menangkap mereka yang disyaki terlibat termasuk Badiuzzaman Said Nursi. Apabila beliau dibawa ke mahkamah tentera, kelihatan mayat-mayat digantung pada tiang-tiang di sekitar kawasan mahkamah.

Antara soalan yang ditanya Hakim kepada Badiuzzaman Said Nursi, “Adakah kamu mahukan syariat Islam?. Mereka yang menjawab iya akan digantung seperti mayat di luar sana.”

Badiuzzaman Said Nursi menjawab. “Jika saya ada seribu nyawa saya sanggup mengorbankan semuanya demi menegakkan syariat Islam.”

Kemudian katanya lagi. “Saya ingin memberitahu kalian bahawa mereka yang jantan dan berani tidak akan tunduk kepada kejahatan dan kezaliman. Jika mereka dituduh melakukan kejahatan mereka tidak takut kepada hukumannya.”

“Apakah kamu tidak takut dihukum gantung seperti mayat di luar sana??” tanya hakim lagi.

“Saya tidak bersalah dan tidak terlibat dengan rusuhan itu. Jika saya dihukum bunuh secara tidak adil maka saya akan mendapat pahala seperti dua orang yang mati syahid. Jika saya dimasukkan ke penjara mungkin itulah tempat paling nyaman buat saya ketika ada pemerintah yang berlaku zalim. Dan kebebasan yang dijanjikan tidak lebih dari sekadar kata-kata. Mati tersiksa lebih baik dari hidup sebagai penyiksa.”

Keberanian Badiuzzaman Said Nursi membela dirinya itu mengejutkan mahkamah. Akhirnya dibebaskan kerana tiada bukti beliau terlibat dalam rusuhan.

“Sesungguhnya pada kisah-kisah mereka itu terdapat pelajaran bagi orang-orang yang berakal…(Surah Yusof ayat 111)


Monday, November 7, 2011

Thursday, November 3, 2011

KARYA AGUNG BADIUZZAMAN SAID NURSI

Sudah ramai yang bertanya, benarkan Risalah an Nur akan diterjemahkan ke Bahasa Melayu dan diterbitkan di Malaysia?. Penerbit manakah yang memegang hakciptanya?.

Pemergian kami ke Turki baru-baru ini memang berbaloi kerana selain mendapat maklumat yang diperlukan bagi penulisan Novel Badiuzzaman Said Nursi kami juga mendapat kebenaran daripada pemegang wasiat untuk menerbitkan Risalah an Nur di Malaysia.

Delegasi kami yang terdiri daripada enam orang iaitu Puan Ainon Mohd (Pengerusi PTS) Prof Abdullah Hassan (Penasihat PTS) Tuan Khairul Nayan (Pengerusi Persatuan Kebudayaan Malaysia – Turki) Puan Shahrina dan Puan Noor Ezlin, dipertemukan dengan anak-anak murid Badiuzzaman Said Nursi yang masih hidup antaranya Abdullah Yegin, Mehmet Firinci, Said Ozdemir, Salih Ozcan dan Abdulkadir Badili.

Kami juga dipertemukan dengan jemaah an Nur di Istanbul, Ankara, Isbarta, Konya, Barla, Bursa, Yozgat dan Sanliurfa. Kesemua mereka menyatakan rasa gembira apabila dimaklumkan kami mahu menulis novel Badiuzzaman Said Nursi dan selepas itu menerbitkan Risalah an Nur di Malaysia.

Pertemuan yang paling bermakna apabila kami dipertemukan dengan Said Ozdemir . Beliau telah diberi surat wasiat oleh Badiuzzaman Said Nursi untuk menerbitkan Risalah An Nur di Turki. Surat wasiat tersebut masih ada dalam simpanannya hingga sekarang.

Semasa kami mengunjunginya, beliau telah memberikan salinan surat wasiat Badiuzzaman Said Nursi itu kepada saya serta memberi kebenaran untuk menerbitkan Risalah An Nur.

Katanya lagi, sebelum ini beliau tidak pernah memberi salinan surat wasiat itu kepada sesiapa.

Jika tiada apa-apa halangan karya agung Badiuzzaman Said Nursi Risale-i Nur atau Risalah an Nur akan diterbitkan oleh PTS Darul Furqan (Anak syarikat PTS).

Menurut Puan Ainon, usaha sedang dilakukan bagi menterjemahkan karya besar tersebut ke Bahasa Melayu untuk diterbitkan di Malaysia.

Sama-sama kita berdoa semoga usaha ini berjalan lancar...






















Tuesday, November 1, 2011

TERBIT TIDAK LAMA LAGI



Novel Saad Abu Waqas ini akan terbit pada 7 NOvember ini.

SARAWAK BUMI KENYALANG

Alhamdulillah, saya dan keluarga selamat pulang ke semenanjung setelah beberapa hari berada di Bumi Kenyalang. Banyak juga tempat menarik di sekitar Kuching yang sempat kami lawati. Antaranya menyusuri Sungai Sarawak dengan menaiki "Cruise". Muzium Kuching dan Kampung Budaya di Santubong.