Sunday, November 29, 2009

PERTANYAAN PEMBACA


Salam pak latip. Saya ada berbual dengan ayah saya tentang Hulagu Khan ini. Ayah saya kata akhirnya dia memeluk Islam. Tetapi saya baca novel yang pak latip tulis ini tidak menyatakannya.

Puan Aznen Mahmudin
Di salin dari facebook.



Jawapan saya,

Puan Aznen Mahmudin,

Tertima kasih dengan pertanyaan ini. Memang benar ada yang mengatakan Hulagu Khan akhirnya memeluk Islam kerana sebelum meninggal dunia beliau berguru dengan beberapa orang ulama terkenal pada masa itu. Sebelum meninggal dunia beliau berwasiat dikebumikan dalam sebuah tasik.

Tetapi ada pula yang mengatakan dia memeluk agama Kristian kerana masih kekal dengan isterinya yang menganut agama kristian.

Kerana itu saya tidak menyatakannya secara terus terang adakah dia memeluk agama Islam atau kristian. Terserah kepada kepada pembaca untuk menilainya.

Yang pasti Hulagu Khan tidak dikebumikan secara adat istiadat bangsa Monggol. Lebih mirip kepada pengkebumian secara Islam.


Hanya Allah yang Maha Mengetahui.


SURAT DARI PEMBACA


Tahniah kepada Pak Latip.

Saya memang sangat minat sejarah Islam lagi-lagi tokoh-tokohnya.Terima kasih kerana menghasilkannya.

Saya memang nak sangat tahu tentang Salahuddin ayubi ini. Saya belikan untuk pusat sumber sekolah saya.

Ddan kini suami saya pula terjangkit minat dengan saya malah, memborong kesemua tokoh-tokoh yang pak latip hasilkan.

Alhamdulillah. Salam Aidiladha.

Puan Aznen Mahmudin
Yang menulis dalam Facebook.


Thursday, November 26, 2009

Tuesday, November 24, 2009

KHALIFAH UMAR BIN ABDUL AZIZ


Ada yang ingin kembali ke cara pemerintahan khalifah. Namun sejarah silam membuktikan sistem itu juga ada keburukannya apabila khalifah yang dilantik tidak memiliki sifat seperti Abu Bakar as Siddiq dan Umar al Khattab.

Khalifah adalah jawatan seumur hidup. Kuasanya seperti maharaja. Bayangkan jika yang dilantik menjadi khalifah itu wataknya tidak seperti khalifah Umar bin Abdul Aziz.

Menurut Cik Ashikin Wahid editing novel khalifah Umar bin Abdul Aziz sudah selesai.

Tunggu kelahiran novel itu tidak lama lagi.


Sunday, November 15, 2009

DR ABDULLAH AZZAM


Dr Abdullah Azzam berjaya meniupkan semangat jihad di kalangan umat Islam ketika Rusia menakluk Afghanistan. Sekiranya beliau masih hidup apakah perkara yang sama akan diulanginya apabila Amerika dan Nato menakluk Afghanistan?. Namun yang pasti setelah Rusia berundur dari Afghanistan beliau telah terbunuh dalam satu letupan bom yang memang ditujukan terhadapnya.

Dr Abdullah Azzam lahir di Palestin, beliau pada mulanya adalah pejuang Palestin. Apabila PLO atau Fatah berdamai dengan Israil maka beliau berpindah ke Pakistan lalu menyertai jihad menentang Rusia di Afghanistan.

Dalam buku Jihad Jalan Tunggal Menuju Khalifah dan Jihad Afghanistan beliau menulis seperti berikut:

1. Jihad bila musuh (bukan Islam) menyerang Negara Islam.
2.Bila pemimpin Negara Islam meminta rakyat keluar berperang.

Menurut pendapat ulama Ahli Sunnah Wal Jamaah pula apabila musuh menyerang sebuah Negara Islam, contohnya Palestin maka hukum jihad itu menjadi fardu Ain bagi penduduk atau Negara yang berhampiran dengannya. Tetapi bagi penduduk yang jauh hukumnya fardu kifayah.

Kira-kira 50 tahun dahulu, apabila Israel menjajah Palestin maka semua Negara Arab bersatu bagi menentang Israel tetapi kalah dalam setiap kali peperangan kecuali Mesir yang hampir berjaya menewaskan Israel. Tetapi akhirnya dipaksa menandatangani perjanjian damai.

Semenjak tahun 1973, Negara-negara Arab dan Islam tidak lagi bersatu untuk menentang Israel malah ada yang telah menandatangani perjanjian damai. Maka perjuangan itu diteruskan secara bersendirian oleh beberapa pertubuhan Palestin.


Sekarang Palestin terbahagi kepada dua, wilayah Tebing Barat diperintah oleh Fatah dan di Gaza diperintah oleh Hamas. Sepatutnya dua kuasa itu bersatu bagi mewujudkan satu pemerintahan kemudian mereka ada dua pilihan, berjihad menentang Israel atau berdamai bagi mewujudkan sebuah Negara Palestin yang merdeka.



Saturday, November 14, 2009

PANGGILAN JIHAD

Panggilan jihad itu menjadi wajib apabila:

Pemerintah sesebuah negara Islam mengistiharkan jihad. Contohnya ketika Sultan Salahudin al Ayubi menjadi pemerintah Mesir beliau mengistiharkan jihad menentang tentera Salib.

Contoh kedua apabila Sultan Muhamad al Fateh memerintah Turki lalu memgistiharkan jihad bagi menakluk Kota Konstantinopel.

Semasa Muawiyah menjadi khalifah (ada juga yang mengatakan beliau pemerintah yang zalim) apabila beliau mengistiharkan jihad bagi menentang kerajaan Rom Timur maka ramai sahabat Nabi yang masih hidup pada masa itu antaranya Abu Ayyub al Ansari menyahut panggilan jihad itu.

Dalam keadaan negara aman seperti sekarang maka jihad melawan nafsu itu yang menjadi keutamaan.

HADIS DHAIF

Menurut Imam Ghazali, Imam Abu Hanifah dan beberapa orang lagi ulama Ahli Sunnah Wal Jamaah, semua hadis yang tidak bertentangan dengan al Quran adalah hadis sohih. Sekiranya ada hadis yang ditolak bukan menolak hadis tersebut tetapi periwayatnya diragui.

Contoh hadis yang dikatakan dhaif.

Rasulullah saw bersabda, “Sesungguhnya Allah berbangga kepada malaikatNya dengan seorang pemuda yang banyak beribadah dengan firmannya “Wahai pemuda yang meninggalkan hawa nafsunya kerana Aku, menyerahkan kemudaannya disebabkan aku, engkau pada sisiku adalah seperti para malaikatku.”

Hadis dari Abdullah bin Masud ini yang dikatakan hadis dhaif.

Selain itu ada sebuah lagi hadis popular dikatakan hadis dhaif iaitu “Sabar itu separuh dari Iman.”

Hadis daif ini bukan hadis palsu. Tidak salah kalau umat Islam mengamalkannya kerana tidak bertentangan dengan al Quran.

Begitu pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah.



Thursday, November 12, 2009

TERIMA KASIH BERITA HARIAN


Abdul Latip hasil novel berlandaskan sejarah Islam

Oleh Muhd Yusuf Abu Bakar
muhdyusuf@bharian.com.my

Papar ketokohan pejuang silam dalam 16 karya untuk berdakwah kepada orang ramai

KESANGGUPANNYA untuk bersara awal bagi memberi tumpuan kepada penulisan fiksyen akhirnya membawa hasil, apabila berjaya mengangkat bahan sejarah Islam ke bentuk novel sejarah. Novelis, Abdul Latip Talib kini mengukir nama sebagai penulis novel sejarah Islam berjaya selepas menghasilkan 16 novel Islam berasaskan kisah sejarah pahlawan Islam, sahabat Nabi SAW dan Khulafah Arrasiddin dalam tempoh empat tahun.
Kalau sebelum ini, Abdul Latip yang pernah memenangi beberapa anugerah sastera hanya menghasilkan novel kanak-kanak dan novel sejarah Melayu, namun mulai 2005, bekas Penyelia Kanan Felcra itu mengorak langkah menghasilkan novel sejarah Islam selepas menemui penerbit PTS Litera Utama, Ainon Mohd yang mencadangkannya supaya menghasilkan novel sejarah berasaskan sejarah Islam.

Bertitik tolak saranan itu, beliau berusaha mengangkat kisah penakluk Sepanyol, Tariq bin Ziyad ke bentuk novel sejarah Islam yang kemudian ternyata sambutannya menakjubkan. "Selepas itu saya menghasilkan novel Salahuddin Ayubi, Khalid Walid, Ikramah Abu Jahal dan Abu Ubaidah yang menyaksikan beberapa kali cetakan semula berikutan sambutan hangat daripada pembaca. Sebagai contoh, novel pejuang Islam terkemuka, Khalid Walid sehingga kini memasuki cetakan kelima sejak diterbitkan 2005," katanya ketika ditemui di Berita Harian, baru-baru ini.

Bagi menghasilkan novel yang menarik, Abdul Latip berkata, dia menjadikan menulis novel ini sebagai kerjaya sepenuh masa, sama seperti pekerja awam dan swasta. "Saya berkerja selama lapan jam sehari untuk menghasilkan novel. Saya membaca, menghayati dan membuat penyelidikan terperinci sebelum menghasilkan novel sejarah. Ini penting bagi memastikan kandungannya berdasarkan fakta yang benar dan jelas dengan olahan berbentuk fiksyen.

"Hasilnya, ia memberi kepuasan kepada saya sebagai penulis dan pembaca yang menikmati cerita berkenaan apabila diolah kepada bentuk novel. Cukup menyeronokkan apabila pembaca memberi maklum balas memberangsangkan mengenai novel yang dihasilkan," katanya.

Anak kelahiran Rembau, Negeri Sembilan dan kini menetap di Jelebu, Latip turut menghasilkan novel Khalifah Arrashiddin, iaitu Abu Bakar Assidiq, Umar Alkhatab, Usman Affan dan Ali Abi Talib.

"Saya dalam proses untuk menghasilkan novel mengenai kehidupan empat imam besar Ahli Sunnah Wal Jamaah iaitu Shafie, Hanafi, Hambali dan Maliki yang terpaksa berdepan dengan pelbagai rintangan ketika menuntut ilmu dan menyebarkannya sehingga menjadi ikutan sebahagian besar masyarakat Islam di dunia," katanya yang turut menghasilkan novel Bilal Rabah, Sultan Muhammad Al Fateh dan Hulagu Khan.

Ternyata usaha Abdul Latip dalam mengembangkan dakwah melalui penulisan berhasil, kalau dulu, kita hanya mendengar kisah sejarah disampaikan penceramah atau ustaz, namun kini melalui novel Islam yang digarap dengan berkesan dan menyentuh hati, minat masyarakat khususnya generasi muda terhadap Islam akan meningkat.

Boleh ikuti tulisan ini di sini.



Tuesday, November 3, 2009

TULISAN DR TALIB DALAM MINGGUAN MALAYSIA

Novel sejarah Abdul Latip

Oleh DR.TALIB SAMAT
(
dr.talibsamat@yahoo.com)

KEUNGGULAN Abdul Latip Talib dalam penulisan novel sejarah Islam mahupun novel sejarah tokoh tanah air memang tidak boleh dinafikan begitu sahaja. Ini disebabkan kemunculan dan keunggulannya sebagai novelis sejarah Islam telah memberi kesan yang tersendiri kepada perkembangan penulisan novel sejarah Islam yang selama ini lesu dan kurang diperhatikan oleh para penerbit.

Abdul Latip Talib menerusi penerbitan PTS Publications and Distributors Sdn.Bhd. akan menghasilkan setiap dua bulan sekurang-kurangnya sebuah novel sejarah Islam mahupun sejarah tokoh tanah air di pasaran buku negara ini. Abdul Latip Talib sebenarnya sangat beruntung, bertuah dan serius dalam penulisan novel sejarah Islam kerana ketiadaan saingan dan penerbit menaruh kepercayaan kepadanya untuk menghasilkan novel sejarah Islam sekali gus menguntungkan penerbit itu sendiri dan penulisnya juga.


Hal ini diperkukuhkan lagi oleh pasaran buku dalam bahasa Melayu yang semakin berkembang berbanding buku bahasa Inggeris yang perlahan. Kini kedai- kedai buku terbesar tanah air seperti MPH, Popular, Kunikuniya dan sebagainya meletakkan buku-buku Melayu di ruang dan rak-rak depan kedai buku tersebut agar mudah dilihat.

Novel-novel sejarah Islam tulisan Abdul Latip Talib seperti novel Salahudin Penakluk Jerusalem, Sultan Muhammad Al-Fateh Penakluk Konstantinopel dan sebagainya tergolong sebagai novel best seller dan dicetak ulang beberapa kali dalam masa setahun untuk memenuhi pasaran dan permintaan pembaca yang terus bertambah.

Disiplin

Keunggulan Abdul Latip Talib dalam penulisan novel sejarah Islam terletak kepada disiplin kuat dan staminanya yang mantap menulis sekurang-kurangnya sepuluh halaman pada setiap hari secara konsisten dan serius. Keseriusannya berkarya ini dipermudahkan lagi dengan perjuangannya menjadikan bidang penulisan sepenuh masa sebagai kerjaya hidupnya sesudah bersara dari Felcra.

Kekreatifan dan kelajuannya berkarya dalam menghasilkan novel sejarah Islam ada kaitannya dengan penggunaan teknik penulisan Surah Yusuf yang terdapat dalam al-Quran dan teknik penulisan tulang ikan yang dipraktikkan oleh penulis-penulis PTS.

Menulis novel sejarah Islam bukanlah suatu kerja mudah kerana memerlukan pembacaan buku-buku sejarah Islam daripada pelbagai sumber timur dan barat, sebelum ia diproses menjadi sebuah novel sejarah yang berbeza daripada buku sejarah yang mementingkan fakta. Manakala novel sejarah Islam menggabungkan unsur- unsur fakta, fiksyen dan nilai-nilai murni Islam itu sendiri untuk diteladani oleh pembaca yang mendambakan kelainan daripada novel yang terdapat di pasaran.

Novel-novel sejarah Islam yang memfokuskan tokoh-tokoh besar dalam sejarah Islam yang ditulis dengan gaya bahasa yang mudah, berseni dan komunikatif tetapi tetap ada unsur-unsur sasteranya memudahkan pembaca masa kini memahaminya dan mengenalinya menerusi karya sastera yang lebih hidup, berkesan, menusuk ke dalam jiwa dan hati pembaca. Hal ini tentunya amat berbeza sekiranya kita membaca buku- buku sejarah yang kaku dan beku yang kurang memanusiakan jiwa manusia. Di sinilah terletaknya kepentingan dan keperluan novel- novel sejarah Islam dan novel- novel sejarah tanah air yang digarap dengan tekun, serius dan perkasa oleh Abdul Latip Talib, sasterawan dari Jelebu, Negeri Sembilan yang kini berusia 55 tahun.

Sehingga kini Abdul Latip Talib telah menghasilkan berpuluh novel-novel sejarah Islam yang berkait dengan pahlawan Islam seperti Salahudin Penakluk Jerusalem, Sultan Muhammad Al-Fateh Penakluk Konstantinopel, Khalid Walid, Ikramah Abu Jahal, Tariq Ziad, Abu Bakar As-Siddiq, Umar al-Khattab, Usman Affan, Ali Abi Talib, Bilal bin Rabah, Hulagu Khan, Amir Hamzah dan sebagainya.

Di samping itu, beliau juga menghasilkan novel- novel sejarah yang memfokuskan tokoh pahlawan dan sejarah tanah air seperti Si Bongkok Tanjung Puteri, Leftenan Adnan Saidi, Mat Kilau, Dol Said, Tok Janggut, Datuk Onn Jaafar, dan sebagainya yang penting dibaca oleh masyarakat pembaca untuk menyelami perjuangan hebat pahlawan tanah air yang berkorban apa sahaja untuk kesenangan dan kemerdekaan generasi hari ini.

Abdul Latip Talib juga menghasilkan novel-novel remaja dan masyarakat seperti Istana Menanti, Randau Ruai, Beraraklah Awan Kelabu, Siamang Gagap, Merentas Ranjau, Lembing Awang Pulang Ke Dayang, Perang Jementah, Moyang Salleh dan sebagainya yang memperlihatkan keseriusan beliau dalam berkarya.

Malah tuahnya menyebelahinya kali ini bila novelnya Istana Menanti terbitan Utusan Publications and Distributors Sdn. Bhd. digunakan sebagai teks sastera Komsas Tingkatan Satu mulai tahun depan yang tentunya memperluaskan lagi khalayak pembaca karya-karya Abdul Latip Talib.


Sehingga kini beliau telah menghasilkan 21 buah novel sejarah, lapan buah novel remaja, enam buah novel kanak-kanak, satu buah novel dewasa, 100 buah cerpen dan 20 buah sajak. Beliau juga sering memenangi pelbagai sayembara sastera di negara ini dan merupakan sasterawan dari Negeri Sembilan yang paling produktif masa kini yang hidup sepenuh masa dengan menulis.

Atau boleh juga dibaca di sini

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1101&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sastera&pg=sa_02.htm